BAB 8
Seratus tahun kanda menghilang,
Dinda hidup dalam kenangan.
Perasaan Esya sukar dimengerti sejak kejadian yang satu itu. Menunggu, menanti dan mengangankan saat dia dan Adib bertentang mata berdua hanya muncul dalam mimpi.
Kalaulah dia mampu mengusir rasa ego dan menepis rasa malu ini, tentu saja dia mahu mohon maaf daripada Adib. Tetapi kata-kata itu tidak pernah terzahir, biarpun ada ketikanya mereka berselisih sewaktu di dalam kelas atau makmal.
"Apek! Tolong, Apek! Aku rasa pada aku pun ada anak hantu bertenggek. Cuba kau tengokkan Apek!" Sengaja Arep menyakat kalau Esya lalu di hadapan mereka.
"Aku dah tujuh hari tujuh malam mimpi pelik-peliklah, Apek. Kau rasa aku nak kena ruqyah tak, Pek? Ken ada puteri bunian nak kahwin dengan aku?" Mulut Adon pun sama naik dengan mulut Arep. Mujur Adib buat-buat tak dengar. Atau lelaki itu akan menunjal kepala kawan-kawannya.
"Kau orang lebih hantu daripada hantu! Puntianak dengan langsuir pun takut!" bidas Adib yang menyedari Esya selalu tersipu malu apabila mereka bertentang mata. Penat Esya menggantung harapan. Dia hanya mampu berharap Adib boleh membaca segala yang tersirat dalam hatinya.
"Janganlah cepat terpedaya. Kalau lelaki baik, apapun perbuatan dia baik. Ni kaki rokok, pemalas, acah-acah tahu semua hal agama. Pirahhh! Masa solat subuh nak kena perhambat dengan cikgu juga!"
Zamri pernah berdebat dengan Esya sewaktu gadis itu bersembang-sembang dan meluahkan rasa kagum pada lelaki kurus itu.
"Bukanlah macam tu! Maksud Esya, tak sangkalah dia reti juga sikit-sikit."
"Esya, aku nak pesan sikit!"
Esya mendongak memandang Zamri yang memang lebih tinggi daripadanya.
"Jangan jadi perempuan bodoh, okey? Jangan senang sangat kau kena makan! Cepat sangat kena goreng. Setakat mamat tu berlakon aje, pura-pura baik, kau dah kena kelentong!"
Menghiris kalbu kata-kata Zamri itu. Huh, kau pun Zamri, tak sempurna mana! Ada jiwa yang meronta, ada hati yang membantah. Namun mengenangkan lelaki itu adalah sepupunya, Esya hanya menggumam dalam hati.
Masa hanya tinggal bersisa untuk ulang kaji. Adib kian larut dengan segala nota dan latihan. Matanya tekun dan teliti melihat nombor-nombor di atas kertas itu. Sesekali kepalanya digaru, namun jemarinya turut sama tangkas menekan butang kalkulator.
Segala kisah yang kusut sudah ditutup rapi, SPM kini menjadi tumpuannya. Peperiksaan yang tinggal lagi dua hari memaksa mereka untuk membuka buku Matematik Tambahan di petang hari.
"Pek, mana jawapan ni? Dah kematu aset aku berdiri ni!" Adon bersuara setelah lama menjengah.
"Ah, diamlah kau. Ni hah, kau tengok master nak tulis ni." Adib sempat kerek sedikit sebelum mula menulis jawapan. Geng-geng yang lain pantas menyalin sambil cuba memahami tulisan Adib yang seperti tauge itu.
"Apek... Tu! Tu!" Adon, Ijat, Arep yang sedang mengerumuni Adib terperasan sesuatu. Masing-masing tersengih dan berhenti menyalin.
"Weh!" Arep pula memanggil.
"Apa?" Adib tekun menyelesaikan jalan kerja Matematik Tambahan. Haram dia tak berpaling.
"Apek, pandanglah!" Arep sudah menyiku tangannya.
Adih mengerut dahi.
"Apa bendalah kau orang ni? Tadi aku malas nak ajar, kau orang kata kedekut ilmulah! Ni aku nak ajar..."
"Hesy! Bongoklah Apek ni!"
"Amenda?!"
"Tu!" Kepala Adib ditunjal Adon untuk memandang ke kanan. Ternganga Adib apabila melihat tepat ke pintu masuk kelas lima Ibnu Sina.
"Gosh! Patutlah tulang rusuk aku terketar-ketar tadi!"
Adib tersengih-sengih. Esya serba salah. Mujur rakan-rakan yang lain faham, terus buat kerja sendiri. Memberi ruang pada Adib.
"Adib, saya minta maaf, ya?"
Adib macam tak percaya. Mata sepet itu semakin kecil apabila dia tersenyum lebar. Ikutkan rasa bahagia, mahu dia berjoget di atas meja! Kerja Matematik Tambahan sudah ditolak ke tepi.
Esya sudah merah padam muka.
"Minta maaf ya, Adib? Memang saya dendam dengan Adib. Tapi Tuhan dah balas cash kat saya. Minta maaf ya sebab malam tu saya termuntah banyak dekat tangan Adib." Tersipu-sipu suara Esya. Tidak berani dia memandang wajah Adib.
"Eh, tak ada apalah!"
"Saya minta maaf ya, Adib? Sungguh-sungguh ni."
"Tak ada apa. Kosong-kosong, ya?"
Baru mahu tersenyum simpul, acah-acah malu, gema suara daripada belakang benar-benar membunuh tunas rasa romantis.
"Alah, tak apa Esya... Adib kan nak jadi Badang! Dia makan muntah Esya tu!"
"Hoi!" Adib pantas menepuk bahu Arep yang ketawa berdekah-dekah.
Esya yang serba tidak kena, minta izin untuk pergi. Adib angguk dan senyum. Jiwa terasa terbang ke langit ketujuh. Ketika itu dia berasa entah mengapa langkahnya bagai terlalu perlahan. Dan pada renungan tajam Adib, gadis manis itu memang bergerak dalam lenggang yang slow motion.
Namun baru sahaja Esya melangkah dua tapak, dia berpaling. Adib yang baru mahu meloncat dengan mulut dua kali menyebut yezzza terus terkaku.
"Errr, ni buku tulis awak, kan?"
Esya mengeluarkan sesuatu dari failnya. Buku tulis yang berwarna coklat itu sebenarnya buku contengan Adib. Nyaris tersembul biji mata Adib memandang. Damn! Oh, man! Dada Adib berkocak kencang.
"Saya dah baca. Awak dengan kawan-kawan awak mengumpat pasal saya, ya?" sindir Esya sambil memulangkan buku itu.
Adib terlopong dan pantas menyelak halaman yang dimaksudkan Esya.
Bro Apek,
Bila ingat lu,
Gua ingat Esya.
Symbol of quality future.
-Arep- (arop_kojeng)
Apek,
Kita blood brother.
Belajar kasi padu!
Baru tulang rusuk Si Esya bergetar-getar cari sarang kat kau!
-Muiz- (muizharun)
Apek @ Adib,
Lu jangan macam-macam.
Lu jangan asyik-asyik jodoh lalu aje.
Lu jangan jadi mat cintan sedunia, Pek!
-Ali Zaki- (imrnzaki)
"Habis! Bom Hiroshima nak kena gugur dah!"
"Tidur luarlah kau malam ni, Pek!"
Berderai ketawa geng-geng Adib apabila melihat Adib terkebil-kebil macam kera sakit gigi.
Aduh, dia orang ni pun satu. Tak backup member langsung! Boleh pula pergi tambah bising. Haih, rosak plan aku nak berbaik-baik dengan jodoh aku! Adib menggerutu dalam hati.
"Kau orang ni! Kacaulah! Bising! Malu tau! Jodoh aku datang ni!" Adib memberi isyarat jari telunjuk ke bibir.
"Adib, bongek la!" jerit Arep.
Adib masih gagah untuk tersenyum biar pipi sudah merah menyala. Gadis itu terus berlalu.
"Hahaha! Habislah kau Apek!" Terbahak-bahak Adon memandang Adib yang sudah terjelir-jelir lidah memandang buku yang konon-konon menjadi buku autograf untuk kawan-kawan tandatangan.
"Koyak! Koyaklah ego aku! Habis Si Esya dah baca semua ni!" Adib sedikit menggelabah.
"Relakslah, bro. Kata jodoh! Apa nak takut?" Arep mengejek dengan gelak yang masih bersisa.
"Pergh! Apek! Bukan main berdrama pula, ya? Bukan main kau tak apa kena muntah! Awat tak cakap, kau dah buang aje baju tu! Dahlah baju aku yang kau rembat!" bebel Ijat yang geram tengok Adib terus hilang mood untuk mengajar kawan-kawan Matematik Tambahan.
Kaki Esya sudah melangkah ke hadapan. Namun hiruk-pikuk dan gelak tawa kawan-kawan Adib jelas didengar. Esya yang hilang separuh jiwa, menahan malu dan segan, tidak mampu menepis rasa. Ada sesuatu yang berbisik di kalbu.
Ada sesuatu yang mencengkam sukma. Ya, Esya sendiri sebenarnya tidak pernah menafikan kalau Adib punya daya tarikan yang tersendiri.
Dalam kenakalannya, seakan-akan ada suatu aura yang membuat hatinya tertarik kepada lelaki itu. Ah, mainan jiwa barangkali. Dan ini juga mungkin kali terakhir dia melihat Adib. Ini tahun akhir. Dan mereka semua akan membawa haluan sendiri.
"Esya!"
Esya berpaling apabila Adib seperti orang terkena sawan menjerit namanya.
"Awak... Nak jadi jodoh saya, kan?" tanya Adib dengan kepala sahaja yang terjengul di balik pintu. Sorakan Arep, Adon dan Ijat jelas kedengaran.
Wajah Esya merah padam.
"Awak memang lelaki yang baik."
Adib terkedu. Dan Esya cepat-cepat berlalu pergi. Tidak mampu memandang wajah Adib lagi walau untuk satu saat. Malunya! Apalah yang gatal sangat mulut aku ni? Warghhh!
Pada bibir Esya terukir satu senyuman yang cukup indah. Tetapi, hatinya juga sayu. Kerana dia tahu ini pertemuan terakhir mereka, Selamat tinggal Adib!
Nama awak, diri awak, segala-galanya tentang awak akan saya kenang sampai bila-bila. Hati Esya berbisik sendiri. Jiwanya menjerit mahu meminta alamat rumah Adib. Tapi rasa malu menguasai diri. Biarlah! Biarlah!
Para pelajar bersurai selepas sesi meminta maaf sesudah memohon restu dan bersalaman dengan semua tenaga pengajar. Langit redup bagai tumpang bersedih dengan perpisahan itu.
"Esya! Esya!" Jeritan Adib mengejutkan Esya. Gadis itu menoleh dengan dada yang penuh rasa debar.
Adib kelihatan tersengih dan tergaru-garu kepala. Di tangannya ada bungkusan kecil.
"Errr, saya nak bagi awak ni."
"Apa tu?"
"Jersi bola saya."
"Jersi awak? Baju awak?" Berkerut wajah Esya.
"Haha! Jangan risau! Saya tak pernah pakai pun! Saya baru aje tempah ni. Kira kalau awak pakai, dijamin, awak takkan kena panau atau kurap saya!" Berdekah-dekah kemudian Adib tergelak.
"Awak beli, kenapa pula nak bagi saya?" Esya serba salah untuk menerimanya.
"Tak apalah. Anggap ni hadiah daripada saya, ya? Saya ni kan selalu kacau awak! Okey. Bye, Esya!" Belum pun sempat Esya mahu mengucapkan terima kasih, Adib sudah berdesup meninggalkannya. Kelihatan dari jauh, keluarga Adib sudah menantinya di tempat parkir.
Esya menghela nafas dengan jiwa yang bergemuruh.
"Apa pasal sedih sangat ni? Tiba-tiba aje buat muka syahdu." Nada Zamri mengejek Esya yang sama-sama menunggu bas persiaran yang ditempah khas oleh pihak kolej.
"Eh, suka hati sayalah! Nak sedih ke, nak gelak ke!"
"Sedih pasal tak jumpa Adib lagi ke?" Selumbar dan berbisa nada Zamri. Memang dia cukup meluat apabila ternampak Adib menghulurkan sesuatu kepada Esya tadi. Jantan tak guna tu tak habis-habis mahu berdrama!
"Apa masalah ni, ya? Kenapa asyik nak berdengki khianat aje dengan orang, hah?" jerkah Esya yang semakin hilang sabar. Rimas sungguh dia apabila terasa setiap inci pergerakannya bagai diperhatikan oleh mata helang Zamri. Kalau setakat memandang dari jauh tak mengapa. Ini ada-ada saja yang tak kena. Ada saja yang mahu dicemuh.
"Esya! Aku ni amanah mama kau! Sedar diri sikit. Kau tu siapa! Jangan sampai jadi manusia tak sedar diuntung!"
Tergamam Esya dengan peringatan keras Zamri. Matanya yang berkaca-kaca merenung Zamri kemudian menggeleng menahan tangis. Lelaki itu dengan penuh bongkak membalas pandangan tajam itu tanpa sedikit pun rasa simpati.
"Nak berkawan tu, pilih-pilih sikit! Biar berjenis! Jangan berkawan dengan jantan yang tak ada masa depan macam Si Adib! Hanyut hidup."
"Huh!"
Hati menjerit, batin merusuh. Esya tahu dia tidak mampu berbuat apa-apa. Ah, Zamri, suka gunakan kuasa yang tak seberapa. Konon, engkaulah penjaga aku! Konon engkaulah sepupu aku! Benci!!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro