Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 7

Berhenti ribut, lenyap daratan,

Namun laut berombak juga.

Malam kian merangkak sunyi. Adib dan rakan-rakan masih terjengket-jengket mahu keluar dari kolej. Namun, dari kejauhan mata Arep seakan-akan menangkap satu kelibat di hujung koridor.

"Wei, tu orang ke?"

Hujan yang terus menjarum turun membuatkan pandangan mereka agak kabur. Kedinginan tajam menggigit tulang hitam.

Semua yang lain berhenti melangkah. Mata masing-masing kecil merenung tajam ke arah hujung koridor itu.

"Wei, serius ke? Tu orang ke hantu?" Masing-masing bungkam. Melihat lembaga itu berlegar-legar di koridor. Langkah gayanya seperti orang mabuk.

"Wei, hantu tu!"

Wajah mereka pucat. Namun, Adib selamba bersuara.

"Takkan hantu pegang barang?"

"Pegang barang?"

Jelas kelihatan lembaga itu sebenarnya seorang perempuan yang sedang berjalan mundar-mandir dengan memegang beg di tangannya. Dan, beg tu...

"Adib, tu bukan beg kau ke?" Adon bersuara setelah lama mengecilkan mata.

"Huh?"

"Tu bukan Esya ke?"

"Huh?!" Double nganga.

Esya dilihat sudah separuh gila. Dia sekejap-sekejap ketawa, sekejap-sekejap menangis. Tangannya memeluk erat beg Adib. Sesekali dia menjerit sayu. Ngeri dan seram bercampur baur.

"Ya Allah, Esya!"

Adib bingkas berlari ke arah Esya. Rakan-rakan lain turut sama mengikut.

"Esya! Esya! Awak kenapa?!"

Esya berhenti bergerak. Tegak mematung raut wajah itu. Sepasang matanya membuntang meratah wajah Adib yang berada di hadapannya. Serentak itu juga dia menjerit kuat.

"Allah... Don, cepat panggil ustaz. Yang lain, tolong aku! Pegang Esya. Dia dah kena rasuk!"

Sepantas kilat, Adon membuka langkah mencari Ustaz Mat Shahrul. Yang lain-lain berusaha untuk menenangkan Esya.

Seketika kemudian, bangunan biologi sebelah surau itu penuh dengan para pelajar. Semuanya dipanggil untuk membantu membaca Yasin. Ustaz Mat Shahrul mengambil alih cuba untuk menenangkan Esya. Adib sudah berundur dahulu menyertai jemaah membaca Yasin.

"Jangan pegang dia, tepuk dari belakang dulu. Baca ayat ruqyah ramai-ramai!"

"Ada sesiapa yang hafal, sebaik-baiknya yang hafal."

Semua pelajar lelaki dan perempuan mengundur ke belakang. Di tangan masing-masing memang ada buku surah Yasin.

Esya semakin menggila. Fikirannya bagai dikuasai sesuatu. Matanya sekejap membuntang, sekejap terpejam dan ada ketika cuma nampak mata putih saja. Nafasnya kasar dan mendesah. Sesekali dia mendengus garang. Tubuhnya menggelepar.

"Kau gila! Kau bodoh! Jangan kacau aku! Pergi jahanam semua orang! Biar mati kena petir!" Dia mengilai kemudian cuba mencapai serpihan kaca tingkap yang pecah tadi.

Kali ini ramai sudah semakin ke belakang. Bimbang histeria itu berjangkit. Yang perempuan diasingkan di surau. Pelajar lelaki beramai-ramai membaca Yasin dan ada yang melaungkan azan.

Keadaan semakin tidak terkawal apabila Esya kian meracau. Beberapa pelajar lelaki termasuk Ustaz Mat Shahrul, Ustazah Raudah, Rinn serta Pak Hassan disepaknya sehingga tersungkur. Dan tiga kali Esya cuba menerpa ke arah Rinn.

Adib tanpa disuruh oleh sesiapa, dengan wajah tenang, keluar dari tempat wuduk lelaki. Dengan ubun-ubun yang basah dek wuduk nan sempurna, dia membaca surah al-Fatihah dan ayat kursi.

Jelas dan indah bacaan Adib. Sekumpulan pelajar yang sedang membaca Yasin terkejut memandang Adib. Bibir melafazkan surah Yasin namun mata penuh cemas memandang Adib.

"Eh, apa hal mamat ni?" Suara Zamri cukup jengkel. Mukanya sudah merah padam, lengan baju terasa mahu disingsing. Kalau Adib mahu mengusik orang lain, itu dia tak peduli. Pergi jahanam sama Adib. Tapi jangan disentuh walau di hujung kuku pada Esya.

"Si Apek buat apa ni?" Malek kawan karib Zamri sama berkerut.

"Apa hal jantan senget ni?" Zamri nyaris ke depan tetapi terhenti langkahnya apabila berdengung suara Adib melafazkan ayat-ayat suci al-Quran.

Selesai semuanya, Adib berulangkali membaca surah al-Hasyr ayat dua puluh satu dan dua puluh empat. Dia sambung dengan surah al-Falaq. Kemudian sambil membaca ruqyah dengan bacaan yang sangat jelas dan tertib, dia menepuk belakang belikat Esya dalam keadaan tangan beralas. Bismillahi masyaallah allahuakbar. Selawat tafrijiah diulang baca tanpa henti.

Zamri menyirap darahnya memandang perbuatan Adib. Dasar jantan tak guna! Suka sangat ambil peluang.

Tetapi apabila memandang semua cikgu tergamam dan bagai merestui dan mengakui kemahiran tersembunyi Adib, Zamri hanya mampu memendam rasa.

Mulutnya terkumat-kamit menyumpah Adib. Sama rancak dan lantang, bibir pucat Esya yang sudah berbuih-buih menanggung jantung yang asyik tersentak-sentak.

Entah berapa kali gadis Esya itu meracau.

"Puihhh! Bodoh kau! Kau Adib, kau jantan tak guna! Pergi berambus. Aku dah curi beg kau, aku dah sorok beg kau! Nanti lepas ni dengan kau tu aku terus cincang lumat!"

Semakin kuat bacaan Adib dengan gema bacaan Yasin daripada rakan-rakan, semakin kuat Esya meronta. Diludahnya Ustaz Mat Shahrul dan Pak Hassan. Seperti singa kebulur, mahu diterkamnya Adib.

Ayahanda Cikgu Ripin dalam keadaan cemas dan kalut, beberapa kali mengangguk-angguk, melafazkan bacaan ruqyah bersama-sama seiring dengan Adib. Lelaki kurus itu sangat tenang melagukan ruqyah.

Allahu! Hebat anak muda yang satu ini! Dalam kurus, dalam nakal, masih ada nur di dalam jiwanya. Ayahanda Cikgu Ripin terasa ada sebak bergelora dalam dada.

Laungan azan bergema di seluruh kolej. Entah berapa kali Adib diludah. Adib tetap kekal bertahan dengan bacaan ruqyah. Serak-serak suaranya meruqyahkan Esya bersama guru-guru lain.

Selepas berulang kali menggelepar, menggelupur dan meraung, Esya akhirnya termuntah di tangan Adib sebelum terus terpejam mata. Wajah Esya jelas tampak penat dan pucat tidak bermaya.

"Sakit!"

"Aku sakitlah, bodoh!"

"Kau pergi mampus!"

"Bluweekkk!"

Penat meratap, menangis dan meraung, Esya muntah dan terus muntah sebelum betul-betul terkulai layu.

Selain guru-guru yang sama-sama mengawal keadaan keletihan, Adib sendiri tampak tersandar di dinding surau sebelum terlelap sekejap. Bukan tenaga fizikal yang hilang namun kekuatan minda dan kerohaniannya yang rentung menahan serangan Esya.

Sebuah malam yang panjang. Menanti pagi sangat menjerakan buat Esya.

Seluruh tubuh terasa sakit. Namun hatinya lebih sengsara menanggung rasa. Malu bukan kepalang apabila dirinya kantoi depan cikgu. Ah, kantoi depan cikgu tak kesah sangat! Tapi kantoi depan Adib paling sebal jiwa dibuatnya.

"Pergh! Apek, sejak bila kau jadi ala-ala ustaz?" Kawan-kawan mula mengusik. Adon dan Arep entah beberapa kali menepuk bahunya yang hanya tampak tulang. Kata Kak Dayana, kalau air hujan jatuh pun, boleh bertakung pada lekuk tulang di bahu.

"Caya la, Apek! Tak tahu ada bakat terpendam! Boleh jadi abam Imam Mudalah!"

"Apek, lepas ni kalau kemana-mana bawa kopiah, genggam tangan kemas-kemas, letak di dada!" Rakan dari dorm lain sama menyakat. Adib cuma terseringai tanpa memberi komen.

"Kau belajar ni kat mana, Apek? Tak pernah tahu pun kau terror bab-bab ni!" Arep beria-ia memujuk untuk mengorek rahsia. Adib sengih-sengih saja tanpa menjawab.

"Alah, setakat terkumat-kamit! Kemudian acah-acah laungkan azan! Baca sikit ayat kursi, baca Yasin, kemudian al-Fatihah! Standardlah... Semua orang tahu. Bajet waraklah konon. Puiii!" Zamri yang melintasi koridor AL007 tanpa diduga menyeranah Adib. Semua terdiam dan terkaku.

Bukan kerana takut tapi keliru dengan reaksi Zamri yang terserlah tidak mampu menahan rasa benci pada Adib.

"Mamat ni dah kenapa? Sawan apa? Ke nak rasa penumbuk aku?" Adon tumpang panas hati, nyaris mengejar Zamri yang menuju ke blok bersebelahannya.

"Adon! Lantak dialah!"

"Mulut macam longkang! Nak kena ajar tu! Meh kita kasi Clorox sikit. Biar hilang bau loji najis tu!" bebel Ijat pula.

"Pedulilah dia. Biasalah... Dia mana boleh tengok orang lebih," balas Adib yang ketika itu sudah tidak berdaya mahu membuka kelopak mata. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro