Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 6

Angin timur, gelombang selesai,

Bongkar sauh belayarlah kita.

Kruttt... Kruttt!

Perut Adib sudah mula bergendang. Adon yang sedang ralit membaca komik Naruto berpaling lipat maut memandang Adib.

"Kuat tu! Hahaha!"

Adib tersengih.

"Lapar weh!"

"Kau bukan dah melantak Maggi ke tadi?"

"Tu tadi, ni sekarang. Perut aku dah habis hadam Maggi tadi."

"Bukan Maggi kena tunggu tiga hari ke baru hadam? Kau simpan blender ke dalam perut?"

"Kau ingat aku Abam ke boleh simpan barang kat perut?"

"Hahaha! Manalah aku tahu. Melantak aje kerja kau. Perut stoking!" Adon ketawa berdekah-dekah.

"Siot kau, aku laparlah. Dahlah boring. Jemu aku mengadap buku Fizik ni! Lapar!"

Arep yang baru selesai mandi menjenguk ke dalam.

"Apa hal weh?"

"Hah, Arep! Kau tengok Si Adib ni. Dah nak meroyan tu."

"Hahaha! Apa pasal kau?"

"Weh, boring. Lapar. Sikit aje lagi, aku boleh jadi gila! Argh, tak ada mood!"

"Kau meroyan macam ni apa dapat?"

"Arghhh! Stres!" Adib menghempas tubuh kurusnya ke atas katil. Sungguh, entah kenapa malam ni terasa bosan menghadap buku. Semua yang dibuat berasa serba tak kena. Namun, segala-galanya tampak bercahaya apabila ada idea yang masuk ke dalam cepu fikirannya. Perfect! Hahaha! Hatinya menjerit berlagu girang.

"Ah sudah, kau kenapa Adib? Tengah berangan pasal Esya ke?"

"Isy, kau... Memanglah Si Esya tu jodoh aku. Tapi takkan sampai dua puluh empat jam sehari nak ingat dia. Aku ni busy tau tak?"

"Apa yang kau busy?"

"Busy fikir nak makan apa nanti, macam mana nak ponteng prep, nak fikirkan skil baru untuk elak kena denda dengan ayahanda... Huh, banyak tu. Busy!"

"Gila."

"Dah, tak payah merapu. Kumpul semua geng. Aku ada rancangan jahat nak buat ni."

"Huh, apa pula kau ni?"

"Fly."

Adib sengih lebar. Lain-lain sekadar tersengih mengangkat bahu. Tak sampai tiga minit, semua sudah bersiap dan berada di lobi dorm. Liar mata mereka perhatikan sekeliling. Takut kalau-kalau Ustaz Mat Shahrul terjengul secara mengejut di depan mereka. Bukan boleh percaya sangat dengan orang tua sorang tu!

"Okey, sekarang ni tak nak cakap banyak. Misi kita mudah, pergi cari nasi ayam sama mi jawa kat Warung Mak Cik Minah. Aku dah mengidam ni. Dah terasa kat rengkung," ujar Adib. Perlahan, namun cukup kuat untuk pendengaran gengnya.

"Ikut mana, Pek?"

"Biasa. Lubang tikus kitalah. Hahaha!"

"Weh..."

Baru mereka mahu mulakan langkah, Adon bersuara. Arep sedikit mengerut kening.

"Apa hal kau?"

"Aku rasa macam tak sedap hati aje."

"Kau dah kenapa?"

"Entah. Tapi rasa macam malam ni sunyi."

"Aduh kau ni... Dah tengah malam memanglah sunyi. Takkan kau nak bawa budak kompang buat latihan?"

"Isy, bukan itulah."

"Dah tu?"

"Rasa sunyi. Sepi. Macam ada hantu! Seram wei!"

"Kepala lutut kau! Mulut tu jangan choi sangatlah!"

"Entahnya. Bengong kau ni!"

"Alah, kau jangan risau. Kan kita ada pak ustaz!"

"Yeah!"

Mereka ketawa dan terus bergerak. Bukan senang nak cabut tengah-tengah malam ni. Tapi malam ni bulan terang. Cuaca pun baik. Cuma angin malam itu agak kuat. Dan entah kenapa, macam terasa ada sesuatu yang menemani malam ini. Namun, semua itu tidak dipedulikan. Yang penting, mi jawa Mak Cik Minah sudah terasa-rasa di rengkung!

"Yahooo!" Arep sudah melompat suka.

"Yaribba yariba!" Adib menggelinjang tak keruan. Lupa segala stres perihal periksa yang makin mendekat.

Kakinya ringan saja melangkah dan terus melangkah. Semakin jauh dia ke hadapan, meredah gelap malam yang semakin dingin. Awan bergumpal-gumpal hitam. Bangunan makmal biologi kian jauh di belakangnya. Esya memeluk beg galas corak celoreng milik Adib.

Kakinya terus menapak dan menapak. Dia tahu ini kerja gila. Tiba-tiba sahaja dia mendapat idea begini. Usai bercakap dengan Rinn tadi, hatinya berasa gundah sendiri. Bukan dia sengaja mahu buat Adib begitu. Tapi perangainya yang tak semenggah itu yang membuat Esya jadi meluat.

Kali ini dia sudah tekad. Dia sudah merancang dia akan bagi balik beg Adib tapi bersyarat. Dia mahu Adib memohon maaf kepadanya dalam perhimpunan nanti. Ya, itulah rancangannya. Sebab tu dia sanggup gagahkan diri seorang diri untuk mengambil beg Adib. Biar lengkap rasa dendamnya itu.

Esya terus melangkah. Namun entah kenapa, tanpa diduga, kakinya terasa berat. Serba kejang dan beku betisnya. Telapak kaki juga bagai dipaku. Semuanya menjadi serba aneh. Dan jantungnya berdetak laju. Walau besar langkahnya, Esya tetap merasa dia di tempat yang sama. Ya Allah, ada apa ni?

Matanya memandang tajam. Terasa kejang seluruh tubuh. Angin berpusar-pusar di tengah padang. Tampak seperti ada cahaya hijau berterbangan di tengah padang. Seolah-olah bertarung dengan ribut yang melanda.

Petir menyergah bumi, cahaya kilat mencakar langit. Pokok kelapa dan pokok pisang di ladang berhadapan jalan besar kolej tampak dalam gelap banyak yang terbongkang. Menceracak rebah dihenyak angin kencang. Sungguh ngeri.

Esya terpaku dalam ribut dan rebas hujan. Mahu bersuara, mahu bertahmid namun suara tidak keluar. Guruh sekali lagi menyerkup bumi. Berdentum dan tampak percikan api melayang ke pondok jaga sekolah. Allahuakbar! Allahuakbar! Namun suara itu tersengkang di dada.

Beg Adib dipegang kuat-kuat. Ikutkan hati mahu meredah hujan tapi pusaran angin terlalu kuat. Bunyi derap ranting dan dahan reput yang mati dan jatuh terpelanting menyentakkan Esya.

"Esya!"

"Esya!"

Kedengaran ada suara yang menyeru. Dia mencari di sekeliling. Tak ada sesiapa. Suara itu seperti berbisik dan berhembus di cuping telinga. Menyelinap masuk angin dingin ke rongga tubuh. Esya terketar sendiri.

Tidak mampu menyembunyikan diri, dia terpaku di situ. Muncul bunyi mendesah dan ilaian ketawa di tengah padang. Sayup-sayup dan bunyi itu bertingkah dengan detak hujan, namun cukup untuk membuat Esya tergamam.

Dan semakin direnung ke hadapan, semakin jelas dia melihat benda berwarna hijau yang bercahaya itu. Allahuakbar! Kepala terbang bersama usus perut yang berpintal-pintal.

Esya terasa mahu rebah. Jantung bagai meletup di dalam sangkar dada.

Dia tahu dia tidak tersalah pandang. Dia tidak tersilap tengok. Astaghfirullah! Aku? Kenapa aku ada dekat tengah padang tu?

Esya dengan jelas melihat dirinya sendiri sedang berjalan seorangan dalam renyai hujan dengan selendang di kepala berwarna putih. Kain selendang itu meleret mencecah rumput yang basah.

"Allah! Allah!"

Baru hendak membaca ayat kursi, seluruh tubuh Esya terkaku. Kembar dirinya yang berada di tengah padang dan bagai hendak luruh jantungnya apabila susuk tubuh itu selamba sahaja menoleh ke arahnya.

Memandang tepat dan renungan itu seakan-akan menikam terus ke jantung. Mata terjegil dengan kelopak mata menggeleber dan melayut. Bebola mata seakan-akan mahu terpancut keluar.

"Allahuakbar! Allahuakbar!"

Ilaian yang nyaring bersaing dengan bunyi deruan angin. Dan kelibat Esya yang di padang melayang terbang sebelum bertenggek di atas pelepah pokok kelapa.

"Esya! Esya! Mari sayang! Dalam kau ada aku! Dalam aku ada kamu!"

Pusaran angin bertiup kencang namun seruan perempuan yang menyerupai Esya yang sedang bergayut di atas pokok kelapa, mendayu-dayu kedengaran.

Esya mahu menjerit. Tapi suara tidak keluar. Mahu lari namun tak terdaya. Kaki bagai terpasung. Bibir menggeletar dan diketap menahan debar.

Semakin ketakutan semakin galak suara mendayu itu berhembus di tepi cupingnya. Semakin dipejamkan mata, semakin rapat wajah itu menghambat jiwanya. Perempuan yang menyerupainya makin mengganas. Terus melompat dan menggelongsor dari pelepah ke pelepah pokok kelapa. Setiap kali melompat, pelepah yang dilepaskan akan jatuh terhempas ke tanah lecak. Bunyi kocak air menjadi bunyi yang mengerikan bagi Esya.

"Mari, Esya! Mari, sayang. Kau adalah aku, aku adalah kau!"

"Tak mahu! Tak mahu! Kau berambus!"

"Mari, Esya! Mari!"

"Jangan kacau aku! Kau jangan kacau aku!"

"Hahaha! Hahaha!"

Kepalanya pusing. Ketakutan yang melampau membuatkan Esya jadi gila sendiri.

"Setannn! Setannn! Kau setan. Kau jahat! Sama macam Adib! Kau dengan Adib sama! Setannn!"

"Kau pergi jahanam. Kau setan. Kau sama macam Adib! Aku kerjakan kau nanti! Aku huru-harakan hidup kau nanti macam aku buat pada Adib! Pergi mampus kau!"

"Adib jantan tak guna. Aku kawan kau, aku ada dalam hati kau. Kita sahabat dunia akhirat. Aku jaga kau, Esya."

"Kau pergi! Jangan kacau aku! Aku rosakkan tempat kau nanti! Aku toreh kau nanti! Aku cakar-cakar muka kau nanti! Aku punahkan kau macam aku punahkan barang Adib ni!"

Esya sudah menangis teresak-esak. Suara itu semakin menguasai jiwanya.

"Kau pergi! Aku benci kau! Aku kelar muka kau nanti! Kenapa kau serupa muka aku?"

"Sebab aku sayang kau!"

"Aku benci kau! Jahanam kau! Aku punahkan kau nanti! Aku kerjakan barang kau! Aku hancurkan sarang kau nanti. Macam aku kerjakan barang Adib! Pergi!!!"

Dalam ribut yang masih belum reda, Esya terus menggeletar sendirian. Dia nampak semakin jelas wajah yang menyerupai dirinya. Kalimah suci Allah semakin terkunci dan gagal dilafazkan.

Tubuh Esya terasa melayang-layang mengikut alun angin. Separuh jiwanya masih terpasung di bumi. Dia tahu dia harus berusaha untuk balik ke dorm namun kakinya benar-benar terpasak di padang yang lecak itu.

Deruan angin kencang bergaung bunyinya. Sesekali langit bagai mengaum garang. Seluruh bumi bagai tersihir dengan jerkahan petir yang berdentum

Esya terus terpempan dan gementar tatkala susuk tubuh yang menyerupainya itu semakin mengecut dan berlendir hijau pada segenap inci tubuhnya.

Allah! Allah! Itu sahaja yang terlafaz oleh Esya namun suara tidak terkeluar. Sekadar dalam hati. Bau hamis darah dan hanyir menyengat ke hidung Esya. Wajah yang melimpah nanah di hadapan terus menyergah dirinya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro