Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 5

Ikan melompat di puncak gunung,

Ayam mengeram di tengah lautan.

Rasa macam sia-sia saja kena puji melangit dengan ayahanda.

Rasa macam hampas sungguh sebelum ini disebut-sebut Pak Hassan.

Rasa macam loser kalau ingatkan Ustaz Mat Shahrul siap tepuk-tepuk belakang bahunya. Bak kata ayahanda...

"Kamu ajar kami erti husnuzon!" Heboh satu kolej kisah budak-budak AL007 dalam diam buat kerja fardu kifayah dan buat kerja amal jariah bantu Awang.

Pergi ke kafe pelajar lain pandang berbisik-bisik. Masuk ke kafe, tak pasal-pasal mak cik kafe pun belanja makan free. Cikgu-cikgu lain pun sama ucapkan tahniah. Terasa berjalan keliling kolej dengan kepala yang mengembang besar. Jalan pun rasa macam melayang terapung-apung. Lenguh bibir nak senyum sini sana.

Cewah! Bukan senang tu nak dipuji ramai. Rasa macam star pula di kolej. Tapi sudahnya sekarang ni rasa macam nak hantuk kepala ke dinding. Rasa macam nak meraung seorang diri dekat gelanggang bola keranjang depan pejabat ayahanda.

Mana boleh tahan! Dah masuk lima hari pergi sekolah datang berlenggang tak bawa sebuah buku pun. Mana buku latihan, jurnal, nota semua tak tahu ke mana. Beg hilang tak jumpa!

Adib rasa lemah lutut nak pergi kelas. Tak daya nak menipu kata cirit-birit. Takkan nak buat-buat muntah kot? Nak bubuh getah betik tepi kelopak mata, acah-acah kena sakit mata jadi boleh skip pergi kelas seminggu, tak tergamak. Takut buta terus pula terkena getah betik! Hari tu dah bubuh Colgate sama perah air tembakau sikit dalam mata. Terloncat-loncat dia tahan pedih. Memang dah pergi klinik pelajar. Tapi tak sampai sekerat hati, mata merah macam ikan busuk tu hilang terus.

"Aku rasa ada orang sorokkan beg kau la!"

Adon membuat ramalan.

"Betullah! Aku pun rasa ada orang dajalkan kau!" Arep mengeyakan apabila melihat Apek sudah seminggu termenung. Mana nak cari nota-nota tu? Memang bernanah telinga kena sindir dengan cikgu-cikgu yang mengajar.

"Eh, dah jadi tokoh pelajar pun buat perangai!" sindir guru Biologi.

"Datang berlenggang ke kelas! Kata tokoh!" Guru Fizik sudah tegak badan menyindirnya..

"Astaghfirullah... Saya ingat awak dah taubat nasuha, Adib! Ingatkan dah berubah. Nak mati dalam husnul khotimah!" Ustazah Raudah sama mencebik.

Adib garu kepala tidak tahu mahu menjawab macam mana. Sengih ajelah!

Dan tadi dengan guru Kimia dia kena berdiri atas meja. Dengan guru kelas kena berdiri lagi. Hadoiii, kalau separuh hari berdiri jadi tiang lampu di kelas, mahu tercabut kepala lutut! Adib merungut sendirian.

"Adib, kau dah cari keliling kelas, kan? Tak ada ya, beg kau?"

"Dah! Aku dah tak larat nak cari. Tapi rasa macam aku tahulah siapa punya kerja."

"Siapa?" Serentak Ijat, Adon, Arep bertanya.

"Nantilah..." Adib masih memikir-mikir. Penat sebenarnya. Serik dan malu tak terkata. Pergi kelas berlenggang kangkung.

Petang itu sementara menunggu waktu riadah di padang, dia memberanikan diri. Hari ini, dia perlu menghadap masalah tu. Biar sampai selesai. Tak daya lagi dia hendak menanggung sindiran yang maha kejam dari cikgu-cikgu mereka.

Lama dia menunggu di belakang pokok. Menanti masa yang sesuai. Seketika menunggu, Adib akhirnya menarik nafas lega. Sampai pun mak cik sorang ni. Jalan berlenggang bukan main, tahu nak besarkan badan aje. Nasib baik muka lawa.

"Esya! Aku tahu kau punya kerja." Ringan saja mulut Adib berkata sebaik Esya melintas di hadapannya.

"Eh! Kau kenapa, Apek?" Lenggang Esya terhenti. Matanya yang kecil dibulatkan besar memandang wajah Adib.

"Aku tahu, kau yang sorokkan beg aku!" tekan Adib lagi. Dia tahu tak akan ada orang lain yang berani berbuat begitu.

"Hei, jangan main tuduh-tuduh, ya?"

"Esya, please... Tolonglah. Tolonglah! Aku dah tak larat kena kutuk dengan cikgu. Pulangkan balik beg aku, Esya!"

"Hei, makan zaman sekarang ni pun tak boleh makan sebarang tau! Silap makan boleh kena food poisoning, boleh kena kanser untuk jangka panjang kalau kau makan benda-benda junk food! Ni pula nak tuduh orang! Jangan sebarang tuduh ya, Apek? Dunia sekarang ni dekat nak kiamat! Allah bagi kau cash nanti. Apa hal aku nak sorok barang kau, Apek?!" ujar Esya angkuh. Dalam hati, dia terasa mahu ketawa besar berguling-guling. Suka benar hatinya melihat wajah keruh Adib. Puas hati!

"Esya, tolonglah! Aku tak larat dah nak berdiri dalam kelas! Lenguh tau! Reput badan aku. Tolonglah! Tolonglah pulangkan balik!"

"Aku nak pulangkan apa? Aku tak tahu apa-apalah, Apek! Tepilah! Sibuk aje!"

"Esya... Tolong, kasihan kat aku!" Adib benar-benar merayu dan mahu menangis. Dia cuba menghadang Esya. Tubuhnya merapati Esya. Ah sudah, masalah si budak Adib ni! Dia ni apa hal nak rapat dengan aku?!

"Kau jangan cari pasal boleh tak?! Ke tepi!" Esya membeliakkan mata. Adib terpaksa beralah dengan penuh kecewa.

Dari jauh, Adon, Arep, Ijat, Awang dan beberapa rakan lain turut sama menjadi saksi kejadian itu. Masing-masing menggeleng.

"Kau rasa dia ke?" Arep berbisik.

"Entahlah, aku rasa dia!"

"Kenapa kau rasa dia?"

"Entah. Tapi hati aku kuat kata Esya punya kerja."

"Kau ni... Kot bukan dia! Tak baik kau main tuduh." Arep cuba menenangkan keadaan. Wajah masing-masing serius tumpang risau dengan masalah Adib.

"Bukan tuduh. Hati aku kuat kata dia ambil."

"Macam mana kau tahu?" Adon menyampuk.

"Dia kan jodoh aku! "

"Beballah kau, Apek! Dah macam ni pun kau nak main-main!"

"Sungguh! Aku rasa dia punya kerja!" Adib yakin andaiannya tepat. Dia sendiri tidak tahu bagaimana, tapi dia tahu kalau gadis itu terlibat sama.

Malam langit tidak berbintang. Di asrama puteri, Rinn dengan Esya seronok mengumpat hal-hal pelajar lelaki AL007.

"Sampai bila kau nak peram beg dia?" tanya Rinn sebelum kembali meniup Maggi dalam mangkuknya. Usai solat isyak tadi, memang dia sudah bersiap-siap dengan Maggi dan telur. Memang dalam seminggu, dia wajib makan Maggi. Bukan sekadar sedap, malah menjimatkan ekonomi rumah tangga!

"Biar dia rasakan! Peduli apa aku?" Esya senyum mengejek. Namun, matanya tidak lepas memandang Park Bo Gum di dalam laptop miliknya. Oh, kacaknyalah mamat ni. Kenapalah tak ada Park Bo Gum kat Malaysia ni? Handsome sungguh. Indah betul ciptaan Tuhan yang satu ni. Dengan kulit putih, wajah mulus, mata redup... Nasib baik bukan orang Malaysia. Kalau tak, memang dah propose kat mama suruh buat calon menantu pilihan. Tapi mak dah pesan tak mahu menantu internasional. Nak yang kebangsaan aje. Yang ada, Melayu muka apek tu adalah. Huh, putus nafsu aku! Esya berfikir sendiri.

"Kau tak mahu pulangkan ke?" sambung Rinn lagi.

"Takdir Tuhan aje yang boleh terbalikkan otak aku berdamai dengan Si Apek kurus kering tu!"

Rinn ketawa kecil. Namun cepat-cepat dia menyambung makan Maggi dengan lahap.

"Mana kau sorokkan?" tanya Rinn sekejap sebelum menyambung lagi kunyahannya.

"Ada dalam locker dekat makmal bio."

Hampir terlepas sudu di tangan Rinn.

"Serius, babe? Sengal kau!" Berani sungguh minah seorang ni.

Esya tersengih dengan wajah puas. Ada riak takbur pada Esya. Puas. Hatinya benar-benar puas. Melihat Si Apek yang macam kucing hilang anak, melihat dia berdiri di luar kelas dan berterusan dimarahi cikgu bagai memadam bara dalam hati. Tapi, dia masih belum mahu berhenti. Bagi dia, itu harga yang Adib perlu bayar apabila menyebabkan dia didenda cikgu!

"Hahaha aku nampak dia merayu dekat kau tadi. Nak menangis muka dia."

"Biar dirasakannya! Suka dajalkan orang! Perangai macam syaitannirrajim!"

"Tapi, aku respek dekat kau, babe!" tukas Rinn membuat gadis itu tersentak. Kuah Maggi terakhir dihirup perlahan.

"Respek sebab aku dapat kalahkan anak monyet tu?" Riak Esya bertanya.

Rinn senyum kecil.

"Itu betul, tapi aku lagi respek bila kau mampu tengok Si Adib tu terus kena marah walaupun bukan salah dia."

"Helooo, dia yang mulakan dulu! Dia buat aku kena denda dengan cikgu!"

Angguk kecil.

"Betul, tapi sekali aje... Bukan sampai seminggu."

"Siapa cakap? Kau takkan tak tahu. Dia tu, pantang nampak muka aku, mulalah keluar ayat manis dia tu! Rimas, malu aku, tau tak?!" Nada Esya sedikit tinggi. Bengang sedikit dengan Rinn yang entah mengapa mengubah nada perbualan.

"Babe, chill... Kau ni, aku cakap aje."

"Kau cakap tu sedap mulut aje. Macam aku pula yang salah."

Rinn sengih lagi.

"Bukan... Kau jangan salah faham."

"Dah tu?"

Rinn mengelap mulut dengan tisu sebelum menyambung perbualan.

"Babe, ikhlas daripada hati... Aku tak rasa yang ayat manis dia tu memalukan. Sebabnya dia cuma tunjuk yang dia ada hati kat kau. Berani ayat kau depan-depan. Tak main surat-surat ni!"

"Huh, kau confirm ke dia serius?" cemuh Esya.

"Kau confirm ke dia main-main?" Peluru berpandu Esya mudah dipatah Rinn.

Esya diam. Tidak ada jawapan untuk itu.

"Dahlah... Tak nak cakap pasal ni." Esya memilih untuk mematikan perbualan mereka. Rinn sekadar mengangkat bahu sebelum berdiri. Mangkuk Maggi dicapai.

"Kau nak ke mana?"

"Basuh mangkuk ni. Nak tolong ke?"

Esya tersengih dan menggeleng.

"Ceh!"

Rinn segera berlalu pergi. Esya kembali pegun menatap Park Bo Gum. Namun, hanya mata sahaja yang memandang ke laptop. Fikirannya sudah jauh melayang, mengenang kata-kata Rinn tadi. Dia... Jahat sangat ke? Salah ke kalau dia cuma pertahankan diri dia? Dia yang jadi mangsa buli Adib. Jadi, sepatutnya tak salah tindakan dia. Betul, kan??

Esya menarik nafas dalam-dalam. Ah, persetankan semua tu. Alang-alang dah menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan! Esya bingkas bangun dari kerusi. Ada rancangan yang dia rasakan sangat sempurna muncul dalam benaknya. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro