Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 4

Hujan lebat, gunung terbakar,

Embun setitik padam apinya.

"Astaghfirullah!"

Dayana mengeluh kesal. Surat yang berada dalam tangannya rasa ingin dironyok dan dilempar ke adik lelakinya yang seorang itu.

Budak ni memang tau, tak habis-habis nak cari pasal! Dingin pendingin hawa di dalam bilik tidur itu sedikitpun tidak mampu mengurangkan tahap panas menggelegak dalam hatinya. Kalau masuk besi, boleh lebur agaknya!

"Apa pasal?" Azmie memandang Dayana yang sudah berubah wajah. Ini jika tidak bertapis ayat, mahu kena rodok di perut penangan Dayana.

"Hesy, tak tahulah nak kata apa adik ipar awak tu!" Tidak diketahui apa puncanya, Dayana berasa kepalanya berdenyut-denyut. Azmie masih memandang dengan muka separuh blur. Angin tak ada, ribut tak ada, tanpa dapat dikawal, dia naik angin.

Namun dia tahu, isterinya memang akan berapi satu badan dan menyinga kalau pasal adik lelaki dia.

"Kenapa?" Azmie bertanya sepatah. Memberi kuasa sepenuhnya untuk isterinya merungut panjang. Harap-harap tak keluar darah dari telinga kena dengar leteran Dayana.

"Adib ni kan, kalau tak buat orang marah, tak buat orang menyampah dekat dia, tak meriah agaknya hidup dia!" leter Dayana sambil menghulur surat yang sampul dan isinya ada cap rasmi kolej.

Dia menghenyak punggung di atas kerusi empuk sebelum merungut sendiri. Di luar, hujan masih renyai-renyai. Cuaca sedikit sejuk walaupun hatinya masih panas. Dia membuang pandang ke arah Azmie, menanti reaksi suaminya.

Lama Azmie membaca kandungan surat. Mula-mula wajahnya berkerut serius tapi pada satu perenggan, dia tidak mampu menahan gelak. Terhambur ketawa besarnya. Aduh, kelakar sungguh adik iparnya ini. Memang geliga otaknya, licin berkilat. Lebih berkilat daripada batu cincin!

"Eh, abang dah kenapa?" Dayana sudah mengangkat kening ala-ala Ziana Zain. Ingatkan adalah penyokong tetap, tapi rupa-rupanya hampeh! Sah! Suaminya tak kesah langsung pasal masalah budak Adib ni.

Azmie cuba menahan tawa melihat muka cemberut isterinya. Namun, sengihannya masih belum reda.

"Tak... Cuba baca betul-betul! Kena tindakan tatatertib, tindakan disiplin sebab berniaga di kolej."

"Memanglah! Tapi yang abang gelak tu kenapa?"

"Kelakarlah surat ni. Ambil tindakan disiplin sampai tahap mungkin kena gantung kolej sebab berniaga gula-gula, berniaga Maggi dengan sosej rebus!"

"Memanglah salah! Nama pun studen, kan! Orang hantar pergi kolej tu suruh belajar, bukan suruh sibuk-sibuk berniaga." Makin panas hati Dayana melihat reaksi suaminya.

"Tak adalah besar sangat kes dia. Ingatkan belasah orang ke, kes buli ke! Ni, takat meniaga. Hah, patut bangga tu! Zaman gawat ni memang eloklah budak-budak tu asah skil berniaga." Entah kenapa Azmie berasa tak ada isu serius yang perlu digusarkan.

"Kalau Adib dengar komen abang ni mahu kepala dia tu tumbuh tanduk macam tanduk rusa! Tak kiralah! Menyusahkan saya tak habis-habis budak ni. Satu kerja pula saya nak kena balas surat amaran kolej ni." Memang mencuka muka Dayana. Rosak moodnya hari itu mahu ke Putrajaya untuk satu shooting iklan.

"Alah, cool la! Benda kecik aje tu!"

"Memanglah benda kecik. Tapi kalau dah selang sebulan saya jenuh nak menjawab telefon pihak kolej, penat nak kena balas surat macam ni... Memang rasa nak kena rendam Si Adib ni dalam kolah Masjid Kampung Hulu dekat Melaka tu!" rungut Dayana dengan dada yang berapi-api.

Entah kenapa adik yang seorang ini memang sangat mencabar kesabarannya. Tak macam adik-beradiknya yang lain. Semenjak orang tua mereka tak ada, memang dia memikul amanah menguruskan pengajian Adib.

"Masa balik cuti semester lepas beria-ia sangat nak buat cermin mata mahal. Alih-alih tak sampai tiga bulan semua jahanam!"

Memang Dayana tak boleh lupa detik yang satu itu. Lebih kurang jam dua belas tengah malam tiba-tiba dapat panggilan jauh. Memang kalau begitu, selalunya Adib yang menelefonnya.

Sayup-sayup suara Adib di hujung talian. Maklum simpan telefon bimbit pun memang comfirm dosa besar di asrama. Kata Adib, selalunya dia simpan dalam siling dorm atau tanam dalam pasu depan dorm yang pokok bunganya sengaja dipunahkan. Dan telefon itu tentunya berbungkus plastik.

"Kak Yana, errr cermin mata kita jatuh dalam lubang tandas!"

Hohoho... Terus rasa berasap satu badan.

"Cermin mata yang mana? Cermin mata yang enam ratus ringgit tu ke?"

"Aha... Yang tu!" Dayana yang baru berbaring mahu tidur terus melompat dari katil. Oh, cermin mata tu belum pun berusia tiga bulan rasanya!

Menggelegak darah mendidih naik ke kepala tengah-tengah malam itu. Dayana cuba menghadam cerita Adib. Dia kata jatuh dalam lubang tandas cangkung. Bukan tandas duduk!

"Tandas cangkung." Perlahan-lahan dan penuh drama kekesalan Adib bercerita di hujung telefon. Kata Adib lagi...

"Kita masa tu pakai tandas tingkat atas. Lubang tandas tu saluran paipnya terus ke bawah. Hanyut dan hilanglah gamaknya. Lagipun akak faham faham ajelah kalau toilet asrama. Dah samak air tanah tujuh baldi pun kita mesti tak tergamak nak pakai! Lagi horror dari tandas awam!"

Terketap-ketap bibir Dayana menahan amuk.

"Ayooo!!! Mujur jauh kau ni Adib, kalau tak dah kena jerit satu rumah!" Dayana tidak mampu bersabar sepertimana Azmie kalau berdepan dengan kerenah Adib.

Aduh, confirm darah tinggi naik mencanak! Elok-elok panjang umurnya, dek melayan kerenah Si Adib ni, memang harus terencat nafasnya.

"Adib ni kan kalau tengok rambut dia tu cukuplah! Tercacak rambutnya. Jenis sikat pun tak mahu lurus rambut tu! Orang kata cicak kalau jatuh kat rambut dia memang tak sempat mengucap dah mati. Rambut aje dah macam duri landak. Tu tanda dia ni memang keras hati." Azmie perlahan-lahan menyampuk tatkala melihat Dayana terdiam mengelamun jauh.

Dia mengambil tempat di sebelah Dayana, cuba menenangkan isterinya. Dayana bungkam. Marahnya masih belum reda. Namun, Azmie yang berada di sebelah sedikit menyejukkan hatinya.

"Tak payahlah nak marah-marah sangat. Nanti tersentak-sentak dia kat sana Yana asyik seru nama dia!"

Dayana berpaling ke arah suaminya. Huh! Dasar lelaki mesti nak menangkan Si Adib. Baru ingat nak feeling-feeling romantik, terus terpotong. Tamat di situ.

"Ni kalau dia call, memang nak kena tazkirah cukup-cukup! Rasa macam nak jerit aje kat dia nanti! Tapi mesti sentap. Lagi satu nanti tak pasal-pasal jiran ingat saya hilang akal pula mengamuk malam-malam. Hari tu kasut futsal yang abang beli, hilang. Kasut tu aje harga dekat tiga ratus ringgit! Budak seorang ni payah!"

Wajah tenang Azmie menambah bara pada kemarahan Dayana. Dia sedikit tersenyum sambil memandang Dayana. Dia tahu isterinya yang seorang ini memang letih melayan kerenah Adib. Namun, jauh dalam sudut hati, ada rasa sayang yang tebal dalam hati isteri kesayangannya itu. Azmie sekadar membiarkan Dayana meneruskan leterannya.

"Abang ni kan... Kita cakap senyum-senyum pula. Mana budak tu tak naik lemak? Kita ni niat konon ada rezeki lebih ingatkan kongsi dengan adik. Nak bagi dia hidup selesa. Hari tu melobi bukan main. Konon len cermin mata mahal tu teknologi baru. Boleh kurangkan power la... Itulah! Huh, tak habis marah hari tu, ni tambah lagi masalah. Macam mana nak buat budak ni, bang? Surat amaran kolej dah sampai. Kita nak ke Bagan Datuk ke?"

"Jomlah siap!"

"Eh, siap ke mana? Bagan Datuk?"

"Cepatlah siap. Daripada marah-marah tapi empunya badan tak ada, buat tambah stres Yana aje. Jomlah, meeting lambat lagi, kan. Kita pekena roti canai arang sama teh tarik tiga layer!"

"Abang!!"

Satu cubitan halus menyinggah di lengan Azmie. Huh! Memang payah nak bawa berunding abang ipar yang mithali ni! Memang bagus sungguh dia membela anak yatim piatu ni! Tenang macam air yang langsung tak berkocak!

Di kolej, angin sudah bertiup kencang. Silap hari bulan seluruh penghuni dorm AL007 akan digantung pengajian. Semua keputusan bakal diketahui selepas mesyuarat lembaga disiplin. Tiap kali berselisih bahu di koridor, di kafe atau di bilik prep, ada saja pelajar yang berbisik-bisik kalau ternampak Adib dengan geng-geng yang lain.

Entah di mana silap mereka, projek yang selama ini berjalan dengan lancar kantoi akhirnya dengan Ustaz Mat Shahrul. Habis satu kolej kecoh dengan berita Adib dan kroni-kroninya. Nasi sudah menjadi bubur. Adib juga tidak berani beracah-acah kali ini. Saat ini, kelihatan garis-garis senyuman dari pelajar-pelajar lain yang tidak sebulu dengan Adib. Tegang rasanya.

"Kaulah! Berani sangat, Adib! Berniaga rokok buat apa?"

"Hoi, makan memang boleh sebarang makan, kalau nak makan sup kasut, meh aku rebuskan! Hahaha jangan cakap sebarang, ya? Siapa kata kita orang berniaga rokok?!" Menyirap darah Arep mendengar usikan Rais.

"Alah, kau jual Maggi dengan sosej tu buat cover line aje, kan?" sampuk Badli dengan kening terangkat mengerling ke arah Esya yang ada di hujung sana. Esya tidak memberi sebarang reaksi. Namun, wajahnya hanya tunduk, tidak berani bertentang mata dengan Adib.

Adib panas. Darahnya menyirap memandang Badli. Dahlah badan gemuk, mulut jahat. Ada hati lagi pandang-pandang awek orang! Memang nak cari nahas budak ni!

"Hoi, tak kiralah nak kata cover line ke, cover buku ke, cover tempayan ke, kalau bercakap tu mata tu jangan nak menjeling-jeling sana boleh tak?" Adib dengan wajah yang sukar diduga riaknya, bernada serius memberi amaran.

"Kau apa hal? Mata aku suka hati akulah!"

"Jangan! Mata kau apa aku peduli? Tapi kau jeling tu jodoh aku!"

Berdekah-dekah Arep, Ijat dengan Adon mendengar ayat selamba Adib. Biar kepala tertunduk menyiapkan nota, namun terasa pijar dan merah cuping telinga Esya. Hesy, mamat ni memang nak kena ganyang dengan cili apa? Memang nak kena ajar Si Apek ni! Berguni-guni sumpah seranah Esya dalam hati.

"Kau jangan banyak cakaplah. Entah bila, kau mesti kena panggil dengan Pak Hassan. Ayahanda sama Ustaz Mat Shahrul tu tunggu masa aje nak belasah kau." Badli geram. Ingatkan tadi bolehlah diajak bertumbuk dengan budak Adib ni. Biar tambah marah Ustaz Mat Shahrul terhadap Adib. Baru saja dia merancang mahu kenakan Adib dan kroni-kroninya. Tapi Adib lebih bijak.

"Kau orang semua buat bagus aje lebih. Nanti, siaplah! Padan muka!"

"Ada kami kesah ke?" Arep mula terasa hangat.

"Alah, takat kena rotan tu apalah sangat... Tu lebih baik daripada kulit kau kena siat besok. Ada kawan yang perlu kau tolong, kau orang butakan mata." Adon pula menyampuk.

"Lu cakap apa, boh! Tolong apa? Tolong beli rokok John kau tu? Nak mati cepat, kau matilah sorang! Aku nak hidup lagi! Nak rasa nikmat kahwin!"

Nyaris saja Badli mahu ditinju oleh Adon yang sudah merah padam pipi tetapi Adib cepat-cepat menahan.

"Pirah mabuk!"

"Kau tu diam. Kau tahu tak anjing polis yang dekat airport tu? Yang lidah terjelir-jelir tu? Hahaha... Kau tu macam tu! Orang datang kolej cari ilmu, jadi manusia. Bukan takat jadi anjing kolej!"

Penumbuk Badli juga sudah siap siaga dikepal-kepal namun Adib pantas menarik lengan Adon dan Arep. Mereka beredar sebelum terjadi sesuatu lebih buruk. Adib tahu yang Badli memang sengaja memancing mereka untuk bergaduh. Point ini yang dia akan gunakan untuk burukkan lagi keadaan.

Esya yang dari tadi hanya diam terkejut bila melihat bunga-bunga perkelahian.

"Kau orang kenapa ni? Adib. Dahlah..."

"Esya, takkan awak tak tau? Orang kalau dah salah, tak tahu adab pula tu, memang macam ni!" Badli menuang minyak.

Riak wajah Adib merona merah. Kepalanya terasa berdenyut menahan amarah yang bukan kepalang. Namun, baru sahaja dia mahu membuka mulut, Esya bersuara lagi.

"Badli, awak pun sama. Dari tadi awak asyik kacau dia orang, kenapa? Biar aje cikgu yang tentukan. Tak payah nak sibuk-sibuk macam ni."

Twinkkk!

Wajah keruh Adib sekelip mata bertukar menjadi comel. Wah, Esya pertahankan aku? Hah, doa orang teraniaya selalu makbullah!

"Awak... Terharunya saya. Awak tolong saya ke ni? Sayang betul awak kat saya, ya?" Adib tersengih tersipu-sipu.

"Tak payah berangan. Saya cuma tak suka orang bergaduh!"

Badli yang sudah jelak dengan drama swasta itu mendengus kasar.

"Eleh, kau jangan berlagaklah Adib. Tak ke mana pun kau tu nanti!"

Adon yang baru sahaja mahu sejuk terus menjadi panas kembali. Berbinar matanya melihat wajah jelak Badli.

"Kau ni!" Tangannya ringan mahu mengayun penumbuk sulung namun cepat-cepat ditarik Adib.

"Bro, jom blah. Budak ni sawan khinzir kot!"

Adib menarik Adon sebelum berhenti sebentar memandang Esya yang terkebil-kebil.

"Terima kasih, darling. Nanti kita bagi hadiah kat awak, ya. Bye!" Sempat dia mengenyit mata dan berlalu pergi menarik Adon yang masih geram menggengam penumbuk.

"Erkkk!" Esya kaku. Mamat ni... Sakit!

Bangku sekolah yang penuh dengan daun ditolak ke tanah. Punggung dihenyak sambil rakus dia meneguk ice lemon tea yang dibeli Adib. Adon masih bengang. Wajah Badli seakan-akan bermain di depan mata. Ikutkan hati, mahu saja dia memijak biar lenyek mulut Badli yang maha laser itu.

"Relakslah, bro! Biarlah dia nak menyalak. Kita tak rugi apa!"

Adib cuba memujuk Adon daripada terus melayan baran hatinya.

"Biadablah dia, Apek. Macam bagus sangat. Matematik pun terlingkup. Ada hati nak tunjuk hero." Adon entah mengapa memang cukup selumbar biji mata memandang Badli tadi.

"Alah, biarlah. Tu tahap ayam jantan aje. Duduk berkokok aje yang dia tahu!" Adib tersenyum kambing cuba meredakan kemarahan kawan-kawannya.

Dan senyum kambing Adib itu tetap kekal tidak berubah biarpun dia bersama sahabat-sahabat yang lain dirotan beramai-ramai oleh Ustaz Mat Shahrul sambil disaksikan oleh Ayahanda Cikgu Ripin, Pak Hassan dan beberapa pengajar yang lain.

"Kau katup mulut boleh tak? Jangan nak sengih sangatlah!"

"Errr... Saya pakai braces, payah nak rapat mulut." Entah mengapa kawan-kawan yang lain terasa mahu hantuk kepala ke dinding mendengar ayat Adib. Huh! Mamat sengal ni memang lurus bendullah! Ada kena dua tiga das rotan lagi! Arep sudah cuak dalam hati.

"Aku cakap kau menjawab ya, Adib! Menyeringai sana menyeringai sini! Jangan nak tayang besi gigi kau kat aku. Nanti aku cabut pakai playar sia-sia gigi kau!" sergah Pak Hassan yang geram tak sudah memandang Adib masih mahu menayang lesung pipit di pipi.

"Kamu tahu kesalahan kamu semua?"

Angguk berjemaah.

"Kamu tahu itu satu kesalahan kolej?"

Angguk serentak.

"Tapi kenapa buat lagi? Kamu semua tahu yang kamu semua boleh digantung pengajian?" Semua mengangguk tapi hati semua warga AL007 itu bagai berkoir senada seirama.

Kena buang pun okey, ayahanda! Haha... Boleh cuti rehat, makan tidur sambil main game dekat rumah!

"Mana kamu simpan duit hasil jualan tu?" Keras suara ayahanda.

"Tak ada pada kami." Adib yang berani, bersuara.

"Lagi sekali saya tanya, lagi sekali saya beri peluang untuk kamu semua mengaku. Mana pergi duit tu? Kamu buat apa sibuk-sibuk dengan berniaga di kolej ni?"

"Tak ada niat apa-apa."

"Cepat cakap!" Jeritan Pak Hassan sudah bergema di dalam bilik yang sederhana besar itu. Ramai yang di luar sudah mulai terdengar sergahan itu.

"Betul. Kami tak ada niat apa-apa."

Pang!

Zast!

Zast!

Pang!

Zast!

Masing-masing mendapat habuan. Satu sebatan di punggung dan satu lempangan yang keras panas dan cukup pijar singgah di pipi. Pak Hassan dengan mata yang terjegil menyempurnakan hukuman pada warga AL007 itu.

"Saya beri amaran pada kamu semua! Dengar sini! Angkat muka!" Ayahanda Cikgu Ripin pula menambah kata.

"Saya ayahanda!" Beramai-ramai menadah muka.

"Kami pun tak kuasa nak dua puluh empat jam menghadap kamu. Apa, kamu ingat kami ni seronok sangat ke nak hukum, nak denda kamu? Sudah-sudahlah tu! Bawa taubat dan insaf terutama Adib. Saya dah tak larat nak baca, nak tandatangan surat laporan salah laku kamu. Jadilah lelaki yang berhemah, pemuda yang ada wawasan. Kamu bakal jadi suami, bakal jadi ketua keluarga. Satu hari, ada rezeki Allah S.W.T, kamu semua ni bakal jadi bapa, jadi pembimbing anak-anak. Kamu bayangkan kalau anak kamu buat balik apa yang kamu buat? Apa rasa?"

Menusuk kalbu kata-kata Ayahanda Cikgu Ripin. Adib diam sesaat. Kali ini dia betul-betul hilang senyum. Lesung pipit yang selalu dijadikan modal membakar hati pengajar, hilang lenyap dari wajah. Semua warga AL007 mengunyah dan menghadam kata-kata ayahanda mereka.

"Huh! Diam tapi esok lusa buat lagi. Mengangguk-angguk macam burung belatuk. Minggu depan nak kena belasah lagi, nak kena hambat lagi pergi prep!" sindir Ustaz Mat Shahrul.

Dalam keadaan tegang itu pintu bilik diketuk. Semua menjadi terkunci mulut. Hanya mata memandang ke arah pintu.

"Ayahanda Cikgu Ripin, ada tamu nak jumpa. Sama Ustaz Mat Shahrul dengan Pak Hassan." Kak Latifah, pembantu pejabat memberitahu.

"Siapa?" soal Ayahanda Cikgu Ripin.

"Ayah pelajar sini. Katanya nak selesaikan sekali bayaran kolej. Tu nak jumpa warden sekali." Pak Hassan dan Ustaz Mat Shahrul mengangguk.

"Dah, yang lain semua bersurai. Janji jangan buat lagi!"

Macam terima satu pengumuman pembebasan dari hakim. Warga AL007 itu pantas berjabat dan mengucup tangan ketiga-tiga pengajar mereka.

Di luar bilik, di tepi koridor, Adib kembali tersenyum lega.

"Perghhh... Zast! Zast! Pang! Hahaha aku ingat kita lama lagi. Kalau tak, mahu berpinar kepala. Mahu keluar bulan bintang planet atas kepala."

Mereka kemudian berbondong-bondong menuju ke kelas. Macam biasa tetap tergelak-gelak. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Bertambah menyirap hati Esya yang memerhati dari jauh.

"Meluatnya aku! Anak kera tu semua dah datang!"

"Eh, dia tak kena rotan ke?" bisik Rinn.

"Entah. Macam happy aje!" Esya memang terasa ada pembalasan dendam yang belum selesai.

Esya diam sebentar. Berteleku sambil memandang Adib dan rakan-rakannya. Entah kenapa, setiap kali dia memandang lelaki itu, hatinya membara. Insiden bersama Badli tempoh hari sebenarnya membuatkan dia sedikit bingung. Mengapa tanpa dia sendiri mengerti hatinya, dia mempertahankan Adib. Tapi, errr... Tapi, ah! Persetankan semua itu. Itu cerita lama. Yang penting, sekarang ini, saat ini, dia perlu menyelesaikan dendam lama. Kisah disiram air mandi Si Adib, baju sebakul yang basah dan paling teruk, buta-buta kena denda dengan ayahanda, gara-gara mamat Apek ni!

"Babe? Kenapa diam ni?" Rinn menyiku pinggang Esya.

"Rinn, aku geram dengan mamat tu!"

Kening Rinn terangkat sedikit.

"Siapa?"

"Anak monyet itulah! Muka aje handsome, perangai macam ungka atas pokok!"

Terkebil-kebil Rinn memandang Esya.

"Kau ni... Kejap puji handsome, kejap kutuk bukan main. Kau ni dah kenapa?"

"Grrr! Aku tak pujilah! Tapi, dah sampai masanya."

Serius Rinn buat muka blur. Masih cuba mencari tajuk utama perbualan Esya.

"Babe, kau cakap pusing-pusing, subtitle pun tak ada. Apa rancangan kau sebenarnya dengan Si Adib tu?"

Esya sekadar tersenyum. Namun dari ekor mata, lirikannya seperti mahu mencencang Adib dan kawan-kawan yang galak ketawa berjemaah di hujung kelas.

"Biar dia rasa langit tu tinggi ke rendah!"

Sewaktu di dalam kelas Kimia, Adib menyedari sesuatu. Semua sudah sibuk mengeluarkan buku latihan dan nota, Adib terpandang-pandang kiri dan kanan. Menggelisah dia sampai terpaksa terbongkok-bongkok bawah meja. Toleh ke belakang, cuba-cuba cari. Pun tak ada.

"Apa hal ni, Adib? Mana buku awak?" Puan Hawabi merapati Adib.

"Errr... Errr... Beg saya tak ada, puan."

"Hah? Beg tak bawa? Datang kelas ni buat apa? Main-main?" sergah Puan Hawabi.

"Bukan. Beg saya hilang." Adib menjawab seadanya. Kepala ligat berfikir.

"Beg hilang? Awak ni apa yang tak hilang, kan? Kepala awak tak hilang? Telinga tak cicir?"

"Betul, puan. Saya hilang beg ni."

"Mengada-adalah awak, Adib. Memang awak ni kalau tak buat hal, tak lengkap hidup awak, ya? Berdiri awak sampai habis waktu!"

"Hadoi!!!"

Seluruh kelas daripada memandang simpati terus tergelak-gelak tengok Adib tergoyang-goyang sewaktu berdiri. Sempat sesekali terlelap apabila Puan Hawabi tak perasan.

"Berdiri atas kerusi! Suruh berdiri elok-elok tak reti. Hah! Naik atas kerusi!" jerkah Puan Hawabi yang nyaris saja mahu mendenda mamat kurus itu berdiri atas meja.

Di bilik Ayahanda Cikgu Ripin, ketiga-tiga orang pengajar yang senior itu tersandar di kerusi masing-masing. Macam percaya dan tidak apa yang diceritakan oleh lelaki yang bernama Encik Ghani di hadapannya itu.

"Saya ni kerja kait buah kelapa aje. Ambil upah dekat kebun orang. Sambil-sambil tu cari ikan sepat buat ikan kering. Pun buat jual. Bini saya buat kerepek pisang. Semua buat jual. Tapi itulah mata saya sekarang tak berapa nampak dah. Kerja pun tak laju macam dulu. Anak ramai." Suara itu bergetar. Ada nada sebak dalam titik mencari nafas. Mencari kekuatan untuk terus menyambung kata.

"Mintak maaf sangat-sangat ya, cikgu-cikgu semua. Anak saya dah lama beritahu, dah lama mintak duit. Memang nak bayar yuran menginap di kolej ni, duit makan sama yuran-yuran lain. Tapi, yalah... Tiga ratus ringgit bayaran setahun untuk orang macam saya ni besar nilainya. Macam tiga ribu saya rasa. Bukan kami mengelat tak mahu bayar."

Tiga tenaga pengajar yang di hadapan Encik Ghani mengangguk-angguk. Memang semua sedia maklum, di kolej itu biarpun ramai pelajar ditanggung dengan biasiswa kerajaan, masih ada bayaran yang harus dilunaskan dengan duit kocek pelajar sendiri.

Namun untuk yang kurang berkemampuan, dua tiga ratus tetap sukar mereka sediakan. Dan guru-guru akur, penduduk kampung terpencil yang sekadar mencari rezeki mengharap ladang pisang dan kelapa, mungkin tersangkut-sangkut untuk menyempurnakan bayaran yang ditetapkan kolej.

"Tak apalah. Kalau Encik Ghani tak mampu bayar sekarang, mungkin bayar lain kali. Kalau tak ada upaya bayar sekali gus, bayarlah sikit-sikit." Ayahanda Cikgu Ripin berbasa-basi.

"Sebenarnya, saya dah lama nak datang ke kolej ni. Tapi macam malu rasanya nak masuk ke pagar besar kolej. Yalah, saya ni orang kampung. Baju seluar sesuai pun tak ada. Nak menghadap cikgu-cikgu dekat sini, rasa saya macam kerdil sangat. Anak saya belajar di sini tapi berbulan-bulan berhutang dengan kolej. Lepas tu bila ramai pula yang murah hati menolong, saya rasa malu benar." Perlahan-lahan lelaki itu menzahirkan segala yang bergolak dalam hatinya.

"Awang pun tak bagi saya datang. Tapi rasa tak patut kalau saya tak ucapkan terima kasih pada cikgu-cikgu semua. Allah S.W.T aje yang balas budi baik cikgu-cikgu. Kolej ni bukan takat tempat budak-budak ni belajar tapi tempat dia orang diasuh jadi manusia budiman. Terima kasih sangat cikgu. Saya tak sangka kawan-kawan sekelas Awang sanggup susah payah berniaga untuk carikan duit belanja buat Awang."

Tiga cikgu yang di hadapan Encik Ghani terkedu seketika. Malah Pak Hassan tidak mampu menyimpan tanda tanya dalam hati.

"Kawan sekelas Awang tolong Awang? Macam mana tu Encik Ghani?"

"Kata Awang, ada kawan-kawan yang tahu dia tak ada duit belanja. Lepas tu sanggup keluar modal berniaga jajan, berniaga Maggi dekat asrama. Duit jualan tu dia orang tak ambil sesen pun. Semua buat bantu Awang bayarkan yuran. Ini duitnya."

Bergulung-gulung duit kertas dikeluarkan daripada kocek seluar panjang lusuh Encik Ghani. Terpempan Ayahanda Cikgu Ripin memandang. Terasa kabur tak semena-mena matanya memandang duit yang diletakkan di atas meja. Ustaz Mat Shahrul juga sama menggelisah tiba-tiba.

"Allahuakbar! Syukur. Kami tak tahu cerita ni semua. Syukur sangat budak-budak ni kuat semangat setiaka wannya," ujar Ayahanda Cikgu Ripin. Pak Hassan menarik nafas panjang. Dada terasa sedikit sebak.

"Awal tahun hari tu, Awang masuk sekolah tak ada pun seluar panjang sekolah kaler hijau tu. Tak mampu nak beli. Yalah, adik-beradik Awang ramai. Saya janji dengan Awang, selesai saya uruskan sekolah adik-adik, nanti perlahan-lahan saya kumpul duit buat beli seluar tu. Dah cuba cari kedai bundle, tak ada pula seluar budak sekolah. Alih-alih Awang bagi tahu, kawan-kawan dia dah kumpul duit ramai-ramai. Siap belikan seluar sekolah Awang dekat Simpang Empat."

Polos jujur Encik Ghani bercerita. Tenang menyebutnya satu demi satu. Namun semua itu berdentum dalam minda Ayahanda Cikgu Ripin.

Bibir diketap kuat. Semakin panas kelopak mata Ayahanda Cikgu Ripin. Subhanallah! Tidak mampu dia menepis wajah Adib dan kawan-kawannya yang nakal di AL007.

"Alhamdulillah! Alhamdulillah! Kami pun tak tahu kisah ni, Encik Ghani. Terima kasihlah sebab sudi beritahu."

Pak Hassan menyampuk setelah terdiam beberapa ketika. Sengih dan lesung pipit Adib entah mengapa berlegar-legar di dalam fikiran.

Sejuk rasa hati Ayahanda Cikgu Ripin tatkala itu. Terasa Allah merahmati semua guru dan warga kolejnya.

"Lega saya, Encik Ghani. Anak-anak di sini nakal, kami pun garang. Tapi alhamdulillah kalau semua asuhan meresap ke jiwa."

"Allah S.W.T aje yang balas budi baik kolej ni. Buat kawan-kawan Awang tu, saya tak mampu bayar balik apa yang dia orang dah buat untuk tolong Awang. Tapi memang siang malam saya doa, biar Allah S.W.T jaga budak-budak tu."

Nada lirih Encik Ghani saling bertingkah dengan bunyi ilai gelak Adib. Entah mengapa suara nakal Adib terngiang-ngiang di cuping telinga Ayahanda Cikgu Ripin.

Allahu! Engkau jua yang Maha Mengetahui setiap satu rahsia dan kejadian di bumi dan di langit ini!

Besarnya kuasa-Mu, Tuhan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro