BAB 2
Pinggang secekak bagai diraut,
Di situ punca hatiku gila.
"Hah, jangan duduk tercegat kat situ! Berdiri sini."
Pagi-pagi lagi suara Ustaz Mat sudah bergema di dalam dewan itu.
"Hah, tak payah nak tunduk-tunduk. Ingat orang tak nampak ke muka tak mandi kamu tu?" sindir Ustaz Mat Shahrul.
"Kamu, Apek! Ambil loudspeaker tu!" Cikgu Hassan yang dipanggil Pak Hassan seperti biasa pantas membuat perkiraan. Budak-budak ni nak kena ajar! Tangannya sudah memegang rotan halus.
Adib tersengih-sengih mengikut perintah. Loudspeaker terletak di tepi rostrum diambil.
"Cepat! Jangan terhegeh-hegeh. Yang lain rapatkan baris. Adib tengah-tengah." Pak Hassan sudah memberi arahan.
Entah kenapa di mata Ustaz Mat Shahrul, Adib seperti baru belajar berjalan. Setapak demi setapak.
"Hoi! Kau jangan lembab sangat boleh tak? Aku hambat nanti!" jeritnya sebelum Adib mencicit lari ke arah rostrum.
Adib menghadap Pak Hassan dengan loudspeaker di tangan. Lelaki yang bermisai tebal menuding jari ke arah tempat wuduk.
"Dekat sana tu ada baldi, kan?"
Pelajar-pelajar di hadapannya semua serentak mengangguk.
"Semua pergi ambil baldi. Kalau tak cukup pergi mintak mak cik dewan makan. Yang perempuan pergi ke surau kejap, sarung telekung. Kemudian pinjam mak cik dewan makan periuk. Tak ada periuk, kuali pun boleh?"
"Hah?" Semua sudah saling berbisik. Ustaz Mat Shahrul bercekak pinggang.
"Cepat! Kalau tak ada, saya cari periuk, kuali dengan baldi tu, saya serkup kat kepala kamu."
Masing-masing bertempiaran mencapai baldi. Yang perempuan berlari-lari anak menghala ke surau. Dengan muka kelat terpaksa mereka menyarung telekung. Selepas itu menuju ke dewan makan.
"Cepat sikit jalan. Lembab! Kalau macam ni punya lembab, esok lusa kau orang mati, tujuh hari baru orang tanam!" jerkah Pak Hassan.
Malu tetapi dalam masa yang sama kecut perut. Tiga pelajar perempuan dengan wajah yang merah padam terus memanjangkan langkah nan tangkas.
"Habislah! Pak Hassan dah naik hantu! Masak kau orang dengan Ustaz Mat!" Menggeleng Kak Intan ketua dewan makan bila sekumpulan pelajar perempuan merayu pinjam kuali dan periuk.
"Hah, beratur elok-elok. Masing-masing pegang dram gendang tu." Ustaz Mat Shahrul beri arahan.
"Pusing keliling kolej ni. Rumah pengetua, rumah warden semua kau orang jangan mengelat. Nyanyi lagu nasyid versi aku! Mula!"
Terkebil-kebil Adib yang berdiri paling hadapan. Adon, Arep, Faizal, Shauki, Ijat dan Adi. Pelajar perempuan, Esya, Rinn dan Aira sudah tersipu-sipu malu.
"Jangan nak buat muka katak tercekik lalat, Adib! Macam kau orang tak tahu lagu rasmi aku! Cepat! Kalau tak pumping 20 kali!"
Mendengar saja perkataan tekan tubi 20 kali, laju saja masing-masing berjalan sambil bernyanyi nasyid yang dimaksudkan Pak Hassan. Bergema satu kolej dengan bunyi paluan periuk, kuali dan baldi.
"Sepohon kayu daunnya rimbun. Lebat bunganya serta buahnya. Walaupun hidup seribu tahun, kalau tak sembahyang apa gunanya... Walaupun hidup seribu tahun, kalau tak sembahyang apa gunanya. Kami sembahyang sehari-hari. Maghrib kami datang, subuh kami hilang. Maghrib kami datang, subuh kami hilang..."
"Gilalah, wei... Tak pasal-pasal buat mega tour konsert nasyid keliling kolej." Adi sudah berbisik malu. Semua yang ada di blok asrama menjengah keluar, yang ada di kelas masing-masing pun mengintai. Gaya macam nak tengok sarkas pun ada.
"Phewittt!"
"Lagi! Lagi! Nyanyi lagi!"
"Lenggok sikit, kak long!"
Macam-macam bunyi siulan, mereka dengar. Esya, Rinn dan Aira tak tahu hendak rasa malu, menangis atau menahan gelak. Malu tu tak payah sebutlah. Dah tebal lapan inci menahan rasa!
"Relakslah, bro..." Adib terus menyeringai tunjuk gigi yang terpasang besi rel keretapi.
"Relaks apanya? Dah macam sarkas aku rasa!"
"Malu aku, beb! Kalau jodoh aku nampak macam mana?"
"Apa lagi, dia cabutlah. Malu dapat boyfriend pemalas macam kau. Buat rosak keturunan aje!"
"Kurang asam punya kawan! Aku handsome kot!"
"Huh, handsome konon. Muka kau ni kalau letak sebelah lutut Aaron Aziz pun orang nanti kata lutut Aaron Aziz lagi lawa!
"Hahaha!"
Walau perlahan, namun mereka masih ketawa. Adib memang laser mulutnya!
Namun, baru hendak menyambung lagi perbualan mereka, Pak Hassan dengan motosikal buruknya sudah menunda kumpulan yang bernasyid ini.
"Aku suruh nyanyi! Susah ke? Sibuk sembang!"
Kelam-kabut terus semua elok dan molek bernyanyi dengan suara yang senyaring mungkin. Rakan-rakan satu kolej yang panjang leher menjengah ramai yang bersorak dan bertepuk tangan.
"Hah, bila lagi nak feeling-feeling star dekat kolej, kan!" sindir Pak Hassan sambil memberi arahan.
"Lalu depan rumah pengetua berhenti. Lalu depan rumah pensyarah lain pun berhenti! Nyanyi kuat-kuat!"
Selesai sesi nasyid sekeliling kolej, baru mereka dilepaskan Pak Hassan dan Ustaz Mat Shahrul.
"Hah, esok kalau memonteng lagi solat subuh berjemaah kat surau, saya suruh awak kawad itik junjung baldi nyanyi nasyid tu! Dengar!"
"Dengar, Pak Hassan!" Serentak menjawab.
"Budak perempuan pun apa hal dah pandai buat perangai ni?"
Esya yang paling merah padam muka menahan rasa. Ikutkan mahu saja dia menjawab. Saya memang tak datang bulan, Pak Hassan! Tapi saya rasa saya senggugut teruk ni! Sampai bergulung badan tahan sakit.
Tapi mengenangkan malu dengan cikgu lelaki, ditelannya semua rasa. Rinn dan Aira yang awalnya berniat suci murni mahu menemankan Esya tidak tergamak bersuara.
"Yang perempuan jangan nak ikut perangai budak lelaki. Ingat tu Esya, Rinn, Aira!"
Semua serentak mengangguk.
"Sia-sia muka lawa tapi buat perangai macam Si Apek ni semua! Tak ada siapa nak buat menantu!" bebel Pak Hassan lagi.
Tidak semena-mena menggeletar tubuh Esya. Berombak dadanya menahan nafas. Huh, siapa nak ikut perangai mamat Apek tu? Budak senget! Tahu sengih aje 24 jam!
"Adib, dengar tak? Lepas ni kalau awak dengan kroni awak ni buat hal, saya ikat awak semua dekat atas tangki air," ugut Pak Hassan sambil matanya mencerlang memandang Adib. Mamat kurus itu menyeringai sambil mengangguk-angguk.
"Jangan nak sengih!" Ustaz Mat Shahrul menyergah.
"Janji, Pak Hassan. Janji, ustaz!" Macam koir serentak pelajar-pelajar lelaki itu berikrar. Tapi dalam hati Adib, hihi... Kalau kena ikat dekat tangki air depan pagar kolej ni best juga! Boleh berenang!
Subuh. Tak sunyi mana pun suasana. Bunyi derap selipar Jepun di sepanjang koridor menuju ke bilik mandi sudah cukup riuh. Bilik AL007 masih gelap-gelita. Tapi dalam gelap itu, Ijat sudah siap mandi. Terjengket-jengket dia masuk ke dalam bilik. Kedengaran azan subuh berkumandang.
Selesai azan, dia yang masih bertuala mengejut Adib. Semalam memang Adib berpesan. Kejut dia subuh-subuh.
"Apek! Bangunlah! Hari ni kena cepat."
"Apek!" Dia gegar badan Adib. Haram tak bangun.
"Bangunlah!"
Adib bergolek dan terus bergolek menghala ke tepi katil sebelum berdebuk jatuh ke atas lantai.
"Apek, bangunlah! Aku dah siap mandi ni!"
Mata masih terpejam. Badannya mengengsot masuk ke bawah katil. Adib semakin hanyut tidur beralaskan lantai yang sejuk.
"Adon!"
"Faizal!"
"Arep!"
"Adi!
Ijat gigih mengejut kawan-kawan yang lain. Haram tak ada seorang pun bangun.
"Woi, bangunlah Pek! Semalam kau pesan nak bangun awal." Ijat menjengah bawah katil. Teleng lehernya menegur Adib.
"Lima minit. Lima minit lagi."
Mata terkatup, tangan tergawang-gawang. Selimut sempat ditarik separas hidung.
Tidak semena-mena Ijat yang sudah siap mandi, menguap berkali-kali. Ngantuknya! Kalau landing ni, aku tidur sampai tengah hari. Badan yang tadi basah sampai kering jadinya dek sibuk mengejut kawan-kawan.
Pintu locker ditarik rapat sedikit. Ijat berdiri di dalamnya. Huh! syaitannirrajim betullah! Apa pasal pula aku mengantuk?
Jiwanya kacau memandang kawan-kawan yang masih terkedang tidur di atas katil. Dan tidak mampu ditahan, matanya sendiri perlahan-lahan menjadi kuyu.
Baru melayan mimpi lima saat, tanpa disangka-sangka suara yang biasa didengar memetir.
"Hoi! Bangun! Bangunlah!"
Zast! Zast!
"Ouch!"
"Bangun! Aku kata bangun! Boleh dia tarik selimut lagi!" Memetir suara Pak Hassan sambil melibas rotan yang lebih halus dari jari kelengkeng.
Ijat yang masih tidur berdiri terus menjadi keras di balik pintu locker. Pak Hassan? Hah? Pak Hassan sanggup meniarap di atas lantai sebab nak mengejutkan Si Apek??
"Apek! Bangun aku kata!"
"Yang lain bangun cepat! Nak kena belasah budak-budak AL007 ni!" Suara Ayahanda Cikgu Ripin sudah bergema.
"OMG! Ayahanda ada sekali!"
Ijat terus terkebil-kebil di balik pintu locker.
Zast! Zast! Zast! Semua sudah kena tala. Adi, Arep, Faizal dengan Adon sudah melompat dari katil. Bergegar katil dan lantai.
"Adib! Hoi! Bangunlah!"
Zast! Pak Hassan libas. Ijat kira. Satu. Zast! Dua! Zast! Tiga! Zast! Empat!
Adib masih keras di bawah katil. Suku inci pun tidak bergerak. Yang kedengaran hanyalah bunyi dengkuran yang maha menyakitkan hati Pak Hassan.
"Hoiii! Dah mati ke Si Apek ni?!"
Masuk kali keenam Pak Hassan penat agaknya melibas rotan sambil meniarap.
"Jumpa saya nanti! Siap kamu semua!"
Pak Hassan berdiri membetulkan pinggang. Sia-sia dia menonggeng dan melibas Adib. Sudahnya pinggang dia pula yang tersalah urat. Bala betul! Niat dalam hati mahu keluar dari bilik puaka itu, namun sebaik berpaling sengihan Ijat benar-benar mengejutkan dia.
"Astaghfirullah! Ijat! Kau buat apa dalam locker?!"
"Errr..."
Ijat masih menguap tak berhenti. Menambah bara dalam hati Pak Hassan.
"Hoi! Sangap tutup mulut! Mana jin tak masuk! Nganga mulut macam lubang gua!" jerit Pak Hassan dengan hati yang terbakar. Memang anak hantu betul seekor-seekor!
"Kamu tidur dalam locker ke?!"
Mata Ijat yang tadinya layu sudah mula terbuntang luas. Baru sebentar tadi dia melihat kekejaman Pak Hassan ala-ala Khmer Rouge kepada Adib. Peluh jantan mula merecik di dahi. Tidak tahu jawapan apa untuk soalan tu.
"Errr..."
"Nganga apa lagi?! Keluarlah!"
Ijat yang terkejut cepat-cepat mahu merunduk keluar, namun bala tidak berhenti di situ.
Ktonggg!
Kepala sudah terhantuk pintu locker. Tengah kepala sakit berdenyut, ayahanda menambah pedih. Macam luka disimbah air limau nipis!
Zast sekali di punggung.
"Adoiii! Sakit ayahanda!"
"Apa nak jadi budak-budak AL007 ni?! Yang seorang tu tak boleh nak buat apa! Mati agaknya kat bawah katil tu!" Rengusan suara Ayahanda Cikgu Ripin bersama bebelan Pak Hassan dan Ustaz Mat Shahrul masih kedengaran biarpun kelibat mereka sudah meninggalkan bilik itu.
Baru nak tersengih-sengih dan melompat-lompat sambil berkongsi tunjuk kesan kena libasan rotan, tanpa diduga suara Ayahanda Cikgu Ripin bergema di luar koridor.
"AL007, jangan nak seronok sangat! Lima minit dah siap di depan pavilion semua. Kejut kawan awak yang dah keras bawah katil tu. Saya nak jumpa!" laung Ayahanda Cikgu Ripin.
Semua warga AL007 terdiam sekejap. Desah nafas pun tak berbunyi. Bila pasti langkah tiga pengajar itu sudah jauh dari koridor semua meloncat dan berderai gelak.
"Yuhuuu! Holaaa!" Dan Adib dengan muka yang berserabai dan berminyak menyusur keluar dari bawah katil.
"Kau sengal la, Apek! Kau boleh tidur mati dekat bawah tu!"
"Hahaha... Aku tak rasa benda, siot! Pakai jean, kan! Tak rasa apapun masa Pak Hassan rotan tadi."
"Kurang asam punya Apek! Patutlah dia boleh buat keras tak bergerak tadi!"
"Mahu angin satu badan tiga paduka tuanku kita! Dahlah Pak Hassan sampai kena meniarap kat bawah, kau pula boleh buat keras kat situ."
"Ngok ngek la kau, Apek! Cepatlah... Tak pasal-pasal nanti kena roll call lagi." Adon sudah kelam-kabut mencari tuala.
"Sempat ke mandi ni? Dia bagi lima minit, kan?" Adi cemas.
"Relaks la... Mandi P. Ramlee cukuplah! Sarung baju siap-siap, cuci muka." Adib tetap dengan muka selamba dengan gelak yang tak sudah.
"Tak mandi sekarang, petang nanti mana sempat? Ada meeting akademik, kan?" Baru Adi teringat pengumuman semalam.
"Yalah, petang ni ada meeting akademik. Kemudian sambung prep petang. Gila, doh! Panas, mengantuk, mesti kelam-kabut. Mana nak kejar nasi dekat dewan makan tu!"
"Nak bisik kejap..." Adib sengih lagi. Lesung pipit bukan menyerlahkan wajah kacak, tapi macam bagi penegasan dia memang nakal. Entah mengapa di AL007, selalu sangat dia menjadi ketua tanpa dicalon.
"Apa dia?" Kawan-kawan yang lurus, taat pula melayan.
"Kita ponteng prep la!"
"Gila, wei! Habis tu nak tidur dekat dorm?"
"Tu... Ada tangki air dekat atas blok akademik."
"Eh, tu tangki air tak pakai, kan?"
"Sebab dia tak pakai la, kita kasi pakai. Biar bermanfaat sikit musim panas ni."
"Kita nak buat apa?"
"Kita jengah muka kejap masa meeting akademik tu, lepas tu kita pergi swimming la!"
"Berenang?!"
"Bila lagi nak merasa? Nanti dah SPM tak merasa dah nikmat macam ni."
"Kau gila, Apek?"
"Apa pula? Bro, kita hidup ni buat jangan sampai polis tangkap, jangan sampai Tuhan marah! Hahaha... Life is simple, bro! Jangan complicated!"
"Cikgu marah?"
"Cikgu marah, hujung tahun minta maaf, minta ampun. Alangkan nabi ampunkan umat. Hahaha... Ni pula ayahanda, Pak Hassan dengan Ustaz Mat Shahrul!" Macam yakin sungguh Adib mengayat kawan-kawannya. Semua tampak bercahaya sedikit wajah.
"Kira berbaloilah kalau kita tak mandi pagi ni!"
"Aloha!!!" Adib entah dari mana siap berendam dalam tangki air warna hitam itu dengan kaca mata macam orang hendak menyelam.
"Yariba yaribaaa!" Adi pun tumpang seronok.
"Hahaha... Feeling-feeling hotel lima bintang ni, doh!"
Siap sudah siap! Adib bukan setakat pakai seluar Bermuda berbunga-bunga. Tapi lengkap dengan swim goggles. Adon pula sibuk dengan handphone.
"Kau simpan mana handphone? Hari tu kan dah kena spot check?" Ijat terkejut tengok kawan yang seorang sibuk mengambil gambar.
"Hahaha... Dalam pasu pokok lidah jin depan dorm. Aku balut dengan plastik dulu!"
"Ceh! Lagi cekap! Aku simpan dalam poket baju yang tengah jemur."
Lebih sejam berendam, berkubang sambil makan-makan dan minum-minum macam berkelah di rooftop hotel, hanya selepas semua sudah sejuk kecut, baru mereka keluar daripada tangki air hitam itu.
"Wei, air ni?"
"Kita curah bawahlah..."
Dengan penuh susah payah mereka bersama-sama mengangkat tangki air itu dan mencurahkan airnya ke tingkat bawah.
Sambil-sambil mahu bersalin baju dan mengelap rambut tidak semena-mena ada suara dari aras bawah. Semua terdiam beku seketika. Mulut dikatup rapat-rapat menahan gelak.
Tapi di aras bawah, Esya yang sedang mengangkat bakul baju di hadapan bilik ampaian tergamam apabila melihat ada air menderu mencurah turun dari tingkat atas. Tiada hujan jauh sekali ribut taufan, mana datang air? Esya sudah bercekak pinggang dalam keadaan baju yang lencun dan kuyup.
"Kurang ajar! Hoi!"
Mahu menjerit tapi deruan air menyebabkan suaranya tenggelam dan dia sendiri tersedak-sedak terminum air.
Ikutkan hati memang menangis terduduk Esya di tepi longkang mengenangkan semua baju dalam bakul sudah kuyup.
"Hei, kenapa ni?" Aira dengan Rinn terkejut melihat sahabat yang sudah lencun.
"Hujan tak, ribut tak, kau dah kenapa?"
"Entah! Mana aku tahu! Tadi aku lalu depan bilik ampaian, macam ada orang curah air."
"Astaghfirullah!" Aira mengucap panjang.
"Takkan paip bocor pula? Mana ada paip kat atas tu. Tangki air adalah. Tapi takkan pula tangki air tu tertangkup sendiri."
"Beb, kau orang cover aku boleh?" Esya separuh merayu.
"Cover apa?" Rinn berkerut.
"Aku nak bilas baju ni balik. Nak settle sidai terus..."
"Habis tu?" Aira pula menyoal.
"Hari ni aku ponteng prep boleh?" Muka sedih Esya dengan timbunan baju di dalam bakul yang semua macam baru direndam, membuatkan dua sahabat itu tidak mampu menghalang.
"Kalau aku simpan baju ni, tangguh sidai, nanti berbintik-bintik hitam."
"Kita orang okey aje. Kau pandai-pandai buat kerja dalam bilik air. Takut nanti ada yang sergah." Aira berpesan.
"Okey! Okey! Thanks, ya! Nanti aku nak pinjam nota bio, ya!"
Esya dengan muka menjeruk membilas semua pakaiannya itu di dalam bilik mandi. Terjengah-jengah dia ke luar. Bimbang sewaktu semua pelajar pergi prep petang, dia kantoi seorang diri di situ. Tanpa disedari, Ustaz Mat Shahrul sedang membuat rondaan.
"Eh, hujan ke? Basah semua ni? Saya dari Simpang Empat tadi tak hujan langsung. Panas terik." Suara Ustaz Mat Shahrul membuatkan semua yang sedang bersiap itu menahan perut.
"Errr, hujan ke?" Kak Melah tukang sapu berkerut dahi memandang lantai dan longkang koridor. Memang basah dan bertakung air.
Esya terus terkaku di dalam bilik mandi. Perut semakin kejang memulas. Gerun mendengar suara ustaz di luar.
Mata helang Ustaz Mat Shahrul terasa menangkap sesuatu. Eh, kenapa ada lampu terbuka? Kenapa ada air mengalir dalam longkang kecil? Air dari bilik mandi?
"Ada orang ke dalam bilik air tu, Kak Melah?"
"Mana ada ustaz. Semua dah turun pergi prep."
"Habis tu siapa dalam bilik air tu? Macam ada orang aje?"
Gosh! Mati aku! Mati!
AL007. Langsir ditarik rapat. Siap dikepitnya kain langsir dengan penyepit baju. Tak mahu kain langsir terkibar-kibar bila angin tiup. Biar gelap sikit tak apa. Pintu pun siap-siap diselak. Semua penghuni AL007 ambil port sendiri.
Adib macam biasa tak payah berbantal. Dengan rambut basah yang masih tak berlap, sudah terbongkang di atas katil.
"Ijat, sikit Maggi!" Adi yang sentiasa lapar mengecek makan.
"Adon, kau tak nak biskut mayat kau ni, aku habiskan."
"Makanlah!" Adon menjawab tanpa menoleh. Ada sesuatu disorokkan di dalam kocek. Dia dan Arep, sama-sama menyelinap ke tandas.
Asap berkelun-kelun mengapung di segenap penjuru. Bau tengik rokok murah tak dapat disorok. Biarpun dengan bau busuk tandas lelaki yang selalunya hancing. Tajam bau Clorox pun tak mampu menyembunyikan bau rokok yang menyengat itu.
"Kau makan aje Faizal. Adon dengan Arep tu makan asap sama jin-jin toncit yang dia bela tu. Terus jadi kenyang." Adi menyampuk.
"Dia orang ke mana?"
"Pergi bagi jin-jin makan asaplah tu," balas Adi.
Memang Adon dan Arep waktu itu bukan main lagi. Bercangkung santai di mangkuk tandas, bajet dah dewasa layan asap tembakau.
Maggi baru separuh dimakan dan dihirup Ijat, tidak tahu mana silapnya, dia tersedak. Serdak biskut pula masih penuh dalam mulut Faizal, nyaris tersembur. Air botol di tepi cepat-cepat dicapai. Diteguk laju. Tapi sudahnya memang tersembur habuk biskut yang tersangkut di kerongkong.
Suara di luar itu entah dari mana boleh mencium jejak mereka. Suara itu macam membawa petaka, ada garuda yang bakal menyerkup mereka. Derap kasut cikgu-cikgu bertiga itu cukup membuat semua lintang-pukang. Silap-silap memang kena benam terus di dalam tangki air besar sana.
"Mana datang bau rokok ni?!" Ada laungan di luar sana.
"AL007! Cepat keluar. AL007, buka pintu bilik ni!"
"Apek, Adon, Adi, Faizal, Ijat, Arep... Buka pintu ni! Aku pecahkan nanti!"
"AL007! Keluar cepat dan beratur di pavilion!"
Bunyi libasan rotan bergetar di pintu dorm.
Suara Pak Hassan menggoncang pintu memang sudah mencapai tahap maksimum.
Jeritan Ustaz Mat Shahrul tebus ke dalam lena Adib. Suara ayahanda yang garau tadi disangkakan watak penting dalam mimpi.
Pekikan Ayahanda Cikgu Ripin membunuh berani semua.
Masing-masing terloncat berdiri. Muka pucat macam hantu Cina dalam cerita Stephen Chow.
"Woit! Ayahandalah!"
"Hah? Ayahanda?" Adib terpinga-pinga mengesat air liur meleleh di juring bibir. Kaca mata dicapai.
Adon dan Arep kelam-kabut mematikan api rokok. Segera dicampaknya di dalam lubang tandas.
"Habislah kita! Habislah kita!" Adon panik sangat-sangat.
"Wei, macam mana ni?" Arep menggelabah sudah rasa nak terkucil. Agak-agak sudah hilang suara cikgu, sudah jauh bunyi tapak kasut, baru mereka mencicit keluar dari tandas. Tak sempat pun nak basuh tangan hilangkan bau.
"Bau. Macam mana nak buat ni! Nahas kena tibai ni!" Tatkala itu muka Arep memang kering pucat, ditoreh tak berdarah.
"We're dead!"
Tiba-tiba...
Jeng jeng jeng...
Dalam kalut AL007 mahu bersiap menyarung baju, menyarung stoking, menghadap dan menyerah diri bersedia dengan sebarang hukuman di pavilion... Semua mata memandang Adon. Adib ternganga. Ijat terbeliak. Faizal berdekah-dekah gelak.
Adon pantas menyeluk belakang punggung sendiri. Menggosok-gosok tangannya ke punggung. Kiri dan kanan. Kemudian digosok lagi tangannya pada ketiak.
"Done!" Dia mencium tangan sendiri sambil menarik nafas panjang. Arep benar-benar ternganga memandang.
"Kau gilalah!"
Wajah-wajah bengis menanti jejaka-jejaka AL007. Ayahanda Cikgu Ripin, Pak Hassan dan Ustaz Mat Shahrul masing-masing sudah bercekak pinggang di hadapan pavilion.
"Beratur! Cepat buat barisan!" jerit Pak Hassan sambil melibas-libaskan rotan halusnya ke udara.
"Esya! Sini! Beratur sini sekali!" jerkah Ustaz Mat Shahrul.
Mulut Esya yang dari tadi terkumat-kamit baru mahu membaca doa tolak bala terus terhenti. Tak sempat nak baca, bala sampai dulu! Aduhhh, ingatkan lepas. Dah la kali ni aku sorang aje. Aduh, kena mandi bunga gamaknya. Lutut Esya seperti bergoyang tatkala jelingan tajam diberi Pak Hassan.
"Hoi! Termenung apa? Kamu nak saya bentang karpet merah ke baru nak sampai?!" Jerkahan Pak Hassan membuat pundi kencing terasa lemah. Esya berlari-lari anak masuk ke dalam barisan. Muka langsung tidak berani dipanggung.
"Budak lelaki tunggu kejap lagi. Ni perempuan sorang ni. Astaghfirullah! Apa nak jadi kamu ni, Esya? Tak lama lagi SPM, kenapa sejak akhir-akhir ni suka buat perangai? Dah pandai ponteng prep? Berjangkit perangai buruk budak-budak lelaki? Apa nak jadi kamu ni?!" Bebelan Ayahanda Cikgu Ripin membuatkan Esya terasa mahu menitiskan air mata. Malu tak terucap!
Pelajar-pelajar lain yang sedang prep sudah terjengah-jengah di tepi tingkap. Selalunya masing-masing buat bising. Jarang ada suasana prep yang aman. Bunyi kelas prep selalunya berdengung seperti lebah di dalam buluh.
Hati Pak Hassan panas melihat ramai pelajar sibuk menjengul kepala di balik pintu. Apa ingat ada show ke?
"Yang lain tu jangan sibuk nak mengintai-intai. Ada yang saya panggil kena kawad itik nanti!" Pak Hassan menjerit memberi amaran.
Macam terkena renjatan elektrik, semua pelajar melompat hilang ke kelas masing-masing. Pak Hassan mendengus geram. Kemudian dia berpaling semula ke arah pelajar di hadapannya. Hati Pak Hassan membara. Mujur saja negara ni ada undang-undang. Kalau tak, mahu saja dia mengikat budak-budak nakal ni kat pokok depan bilik guru. Biar senang hendak memantau.
"Kamu buat apa tadi, Esya? Mengaku tak, ponteng prep?"
"Saya... Saya mengaku."
"Muka lawa, belajar bagus, tapi kenapa cari masalah ni?"
"Saya nak basuh baju."
"Tak ada hari lain nak basuh baju?!"
"Saya dah basuh awalnya."
"Habis tu?"
"Masa saya angkat baju tadi, tak tahu apa puncanya, saya kena curah air dari tingkat atas. Habis semua basah baju dalam bakul. Saya dah tak ada stok baju. Tu sebab saya kena basuh balik."
"Hah?" Nyaris suara Adib terlepas. Cepat-cepat Arep menyiku Adib.
Minah ni la tadi yang kena mandi free! Hahaha mandi air aku! Kah kah kah! Adib terasa senak perut menahan gelak. Lenguh rahangnya menahan ketawa. Macam kelakar sangat bila memandang Esya.
"Tak kesahlah apa alasan kamu. Tak sepatutnya kamu ponteng prep!" Pak Hassan memang macam biasa tak akan mengampunkan mana-mana pelajar yang memonteng.
"Hah! Budak AL007... Tak habis-habis muka kamu yang kena jemur dekat pavilion ni! Hei, tak muak ke? Tak tahu takut ke? Tak serik?" sergah Ayahanda Cikgu Ripin.
"Kamu semua ni degil ketegaq, ya?" bebel Pak Hassan sambil acah-acah melibas rotan ke udara. Adon dan Ijat sudah mengetap-ngetap bibir. Rotan belum sampai tapi sudah terasa-rasa hinggap ke punggung.
"Apa masalah kamu semua, ya? Rasa bangga sangat? Lepas satu, satu buat hal? Saya tak pernah jumpa budak perangai macam AL007 ni! Adib, awak tu tiap-tiap pagi nak kena saya kejut! Kalau tak memang tidur mati bawah katil tu! Lain kali saya nak awak semua AL007 tidur aje dekat tepi kubur luar kolej ni. Agaknya kalau dekat situ, baru iblis yang bergayut main buaian kat mata awak tu lari kot!" Ayahanda Cikgu Ripin memang paling meluat dengan Adib.
"Cepat mengaku! Siapa yang ada hisap rokok tadi?!" Pak Hassan membuat mukadimah untuk kes yang baru.
"Adib!"
"Adon!"
"Arep!"
"Ijat!"
"Faizal!"
Semua senyap tak mengaku. Masing-masing tunduk tak berkuit macam anak ayam terkena wabak.
"Saya kata baik mengaku!" Ustaz Mat Shahrul semakin menyinga melihat semuanya terkebil-kebil tak berbunyi.
"Dada dan muka masing-masing ke depan sikit. Bukak mulut. Hulur tangan!" Macam biasa, ujian pengecaman bau rokok dibuat. Warga AL007 dengan penuh gelora dan ribut dalam dada tetap kekal wajah tidak bersalah. Tangan dihulur diangkat separas bahu. Ustaz Mat Shahrul mendekati setiap seorang.
Adib clear. Biar kuku tangan dan gigi ada sedikit karat.
Faizal memang tak kesan.
Ijat bau Maggi kari. Masih ada sisa yang terlekat pada celah gigi.
Adi dengan mulut berbekas serdak biskut pada hujung bibir.
"Huh! Angkat betul-betul! Hulur tangan elok-elok!" Sergah Ustaz Mat Shahrul pada Adon.
Mula-mula tangan Adon dihampiri. Cuba hidu. Kali kedua Ustaz Mat Shahrul macam berkerut sedikit.
"Lain macam bau!" Tiga kali dia menghidu tangan Adon sebelum berlalu pergi dan menggeleng. Kecewa. Tak ada pula bau tembakau. Tapi memang pelik bau tangan Adon.
Sudahnya petang itu masing-masing penghuni AL007 termasuk Esya menerima tiga rotan pada telapak tangan.
Terloncat-loncat juga pelajar-pelajar lelaki apabila menerima hadiah lewat petang itu. Esya dengan wajah kecewa tidak terkata terus berlari ke kelas. Sudahkan juga sisa waktu untuk kelas prep dengan hati yang mengkal.
"Budak-budak AL007 nanti dulu! Esya boleh pergi." Baru nak tersengih menahan sakit di telapak tangan, semua jejaka itu ditahan lagi.
"Seronok kena denda, bukan? Rasa bangga, kan?" soal Ayahanda Cikgu Ripin lagi. Terlopong semua pelajar di hadapannya.
"Kamu semua ni jejaka harapan nusa bangsa, AL007 kan? Tahan lasak, kan? Pergi kawad itik dari pavilion ni sampai ke kelas prep." Tegas arahan Ustaz Mat Shahrul.
"Hah?" Berpinar kepala Adib memandang rakan yang lain. Ingatkan dah selamat! Ingatkan settle!
"Apa hah-hah? Cepat beratur, cangkung, pegang bahu kawan depan. Kawad itik!" jerkah Pak Hassan.
"Adon, Arep tak payah nak buat muka blur sangat! Bukan tak biasa mencangkung sorang-sorang dalam jamban, kan?" sindir Ustaz Mat Shahrul.
Dalam jarak 300 meter berkawad itik memang cukup untuk membuat semua urat lutut, sendi dan betis berasa kejang. Segala sendi lutut terasa mahu tercabut.
"Jalan laju sikit! Apa terhegeh-hegeh ni?!" Ustaz Mat Shahrul terus menghambat sambil mengawasi denda kawad itik.
"Lenguh, ustaz!" Faizal berkeluh.
"Kaki dah cramp, ustaz!" Ijat sudah terhenti. Barisan jadi terputus sebelum kembali kemas bila dibebel Ustaz Mat Shahrul.
"Jangan nak mengada-ada! Jalan laju sikit! Ni itik nak kena sembelih ke apa ni?!" Mata Ustaz Mat Shahrul sudah mencerlang tajam. Pak Hassan dan Ayahanda Cikgu Ripin sudah balik ke pejabat. Tapi dapat dirasa, ada mata helang Pak Hassan memantau dari balkoni pejabat di hujung sana.
"Jauh tu... Hadoi bila nak sampai ni? Tak sampai lagi ke kelas kita!" Adib memandang ke depan. Macam sayup lagi kelas mereka.
Dalam 15 minit sampai ke muka pintu kelas.
Bersorak rakan-rakan yang lain memberi semangat. Ada yang tolong hulurkan air. Ada yang tergelak-gelak suakan tisu buat lap peluh.
Esya yang terkecuali dari kawad itik entah mengapa cukup selumbar matanya memandang Adib dan konco-konconya.
Bertambah sakit hatinya apabila mendengar geng Adib terbahak-bahak gelak selepas itu.
"Bai! Gilalah, wei! Tak sia-sia kau selek tangan kau dekat punggung sama ketiak!"
"Aku nyaris nak terburai gelak! Kalau tak, nahas kita hari ni!" Arep tak sudah bercerita.
"Kau tengok tadi muka ustaz... Tiga kali siot! Tiga kali dia ulang ambil bau. Dia dah nak jalan, dia boleh toleh balik, cium balik tu!"
"Hahaha muka dia tu yang tak tahan tengok! Macam dia fikir tu... Bau apa ni?"
Ketawa pecah lagi.
"Tak apalah! Kita dah siap-siap mandi tolak bala, mandi bunga semua tadi... Tu yang selamat!" Adib menyampuk.
"Kah kah kah!" Bergema gelak mereka tanpa menyedari Esya yang ada di satu sudut bersama Rinn dan Aira menjeling dengan hati yang berkesumat dendam.
"Kurang ajar! Ni memang kerja Apeklah, Esya!"
"Aku rasalah!"
"Huh! Mamat tu biasalah! Dasar bad boys semua tu." Berguni-guni sumpah seranah Esya petang itu. Rakan-rakan lain yang sedang prep hanya mampu menyabarkan mereka.
"Kita buat report nak?" usul Rinn sambil berbisik. Memang tumpang geram dia memandang rakan-rakan yang di hujung sana.
"Huh, malaslah! Aku doa Allah aje yang balas. Jenis lelaki macam ni, jangan kata tak layak nak buat boyfriend. Kalau dia tergolek tengah jalan kena langgar pun aku tak ingin nak tolong!" gerutu Esya penuh dendam.
"Kita doa aje sama-sama. Tuhan tunjukkan nanti. Memang melingkup SPM tu!" sampuk Aira menambah bara dalam hati Esya. Masih terasa-rasa lenguh dan sakit pinggang gara-gara membasuh sebakul baju dua kali tak pasal-pasal.
Baru saja memasang niat, biar Allah S.W.T yang membalas segala perbuatan, hati Esya rentung tidak semena-mena.
"Awak, tadi awak yang basah kena simbah air, ya? Kuyup ke?"
Suara Adib cukup membuat telinga Esya terasa bernanah mendengarnya.
"Orang gila aje yang kena simbah air rasa tak kuyup!" Bulat mata Esya menjegil ke arah Adib.
"Tapikan awak... Awak tak sekuyup saya. Jiwa raga saya kuyup cintakan awak! Cia cia cia!" Berdekah-dekah Adib dengan kawan-kawannya berdendang gelak tujuh harakat. Mujur nampak kelibat Ustaz Mat Shahrul kelam-kabut mamat yang berambut duri landak itu mencari tempat duduknya.
"Kurang ajar kau, Apek! Jaga kau! Sampai mati aku dendam," bisik Esya dengan bibir yang terketap-ketap.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro