Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 15

Pandang bumbung jiwa rawan,

Hendak dijenguk malu sendirian.

"Selamat sore Buk Dayana, Bapak Azmie, Mas Adib. Saya Pak Nyoman. Selamat datang ke Bali. Kita langsung aje yuk dari Bandara Internasional Ngurah Rai ini ke Popies Lane. Ibu sama bapak sudah booking hotelnya?" Ramah Pak Nyoman menyambut kedatangan tamu majikannya.

"Ya, sudah. Macam biasa, saya menginap di Asana Agung Putra di Kuta," balas Azmie sambil melihat kembali e-mel yang sudah siap dicetaknya sebelum berangkat.

"Kami mahu ke wartel dulu ya Pak Nyoman." Membeli nombor baru di Bali untuk telefon menjadi agenda pertama dalam fikiran Azmie. Mudah nanti kalau mahu buat panggilan.

"Bisa aja. Ayuh... Kita ke sana, ya. Mari begnya biar saya yang urus." Pak Nyoman bersungguh-sungguh mahu menarik dua bagasi besar di tangan Dayana dan Adib.

"Aduh, ngapain anak muda yang ganteng ini?" Mata Pak Nyoman tidak berkelip memandang Adib yang terdengkut-dengkut.

"Udah! Jangan bimbang, pak! Sikit aje ini. Saya bukan aje ganteng, tapi gagah, pak!" Berdekah-dekah gelak Adib menjawab sambil kaki sebenarnya menahan lenguh dan sengal.

Dayana terbeliak memandang adiknya.

"Huh! Bila berjalan terus kata sihat. Depan doktor pandai pula mintak MC. Pergi kelas tak boleh, ikut sampai ke Bali boleh!" bebel Dayana sambil tangannya laju saja mencubit lengan adiknya.

"Hesy, akak ni! Kalau bercakap boleh tak tangan tu jangan nak jadi sepit ketam?"

"Mas Adib juga punya urusan business di sini?" tanya Pak Nyoman sambil memperlahankan langkahnya ke tempat parkir kereta. Selama ini dia biasa menyambut Azmie dan Dayana tetapi tidak pernah pula dengan orang muda yang kurus lampai ini.

"Dia masih kuliah, pak. Masih belajar di universitas," sampuk Dayana apabila melihat Adib tersengih-sengih ala-ala mahu mengangguk. Muka bangga teringin mengaku yang dia pun berbusiness sama!

Sempat Dayana memberi amaran pada Adib.

"Tak payah nak kelentong, Adib! Nanti ada tulah lagi! Kaki dah sakit tu bawa mengucap sikit!"

"Kalau gitu, Mas Adib bisa beristirahat di Kuta. Dari Asana Agung Putra Bali, kita bisa ke Laut Timur dalam waktu lima menit saja. Kalau mahu ke Waterboom dan Kuta Square, hanya sepuluh menit berjalan kaki. Enggak capek."

Tidak henti-henti Pak Nyoman berkempen pada Adib. Jejaka kurus itu biarpun kaki sesekali menyentap rasa sengal dan bisa, terseringai seronok membayangkan diri bersantai dan bersalai di bawah matahari di laut Kuta.

"Adib, beg kecik tu jangan dilangkah, ya. Akak ada simpan surah Yasin dalam tu." Dayana memberi peringatan pada Adib sewaktu lelaki itu memunggah barang di dalam bilik.

Mereka mengambil vila yang ada dua kamar besar. Vila mereka lengkap gerbang atau gebyok Jepara itu memang mempesonakan tetamu yang menggemari seni hias Bali.

"Oh, Kak Yana bawa surah Yasin?" Adib sedikit kaget.

"Mestilah bawa. Mohon doa, kalau ada jin-jin yang bertenggek dekat sini tak hinggap pada kau pula," balas Dayana dengan muka selamba. Letih sebenarnya mahu melayan perangai Adib.

Dua hari pertama Dayana dengan Azmie padat jadual mereka dengan segala macam mesyuarat dan pertemuan dengan klien. Pulang saja ke vila muka masing-masing letih.

"Buat apa hari ni? Pak Nyoman bawa ke mana?" tanya Azmie pada adik iparnya.

"Pergi berurut! Perghhh, best! Tengok, dah baik terus kaki." Adib menunjukkan kaki yang sudah hilang kesan bengkaknya.

"Dua hari berturut-turut pergi berurut?" soal Dayana yang baru hendak meluruskan kaki, menghilangkan lenguh pada daybed yang berukir menghadap kolam renang di hadapan vila itu.

"Man of leisure!" sahut Adib sambil mengenyit mata dan menikmati jus adpokat yang mewah bercoklat.

"Leisure la sangat, ya... Nanti masuk kampus tu boleh catch up ke dengan mana-mana kuliah yang tertinggal?" jerkah Dayana yang memang tidak boleh mengelak untuk terus berleter pada Adib.

"Erk, tak mahulah cakap pasal kuliah kat sini. Macam alergilah. Gatal-gatal kulit!" balas Adib.

"Yang urut tu lelaki ke perempuan?" Nada Azmie yang nakal mengundang rasa berasap di kepala Dayana.

"Haha, Abang Mie nak join. Cantik awek Bali! Gebu! Badan macam porselin! Semua jenis pejal, makan jamu gitu! Hahaha! Jom ikut. Esok free, kan?"

"Jangan nak buat maksiat pula, ya! Nanti ada yang nak kena azan dekat tengah-tengah kuil dekat Bali ni!" Jeling Dayana yang kemudiannya terus melemparkan kusyen kecil ke arah Adib.

"Apalah akak ni! Yang urut kita ni lelakilah! Datuk tua, tapi tangan dia macam ada duri besi. Sekali dia lipat kaki kita, berkeletak-keletuk bunyi sendi!" Berdekah-dekah gelak Adib memandang kakaknya yang sudah membuat muka cemburu ke arah Azmie.

Bertambah tinggi muncung Dayana mendengar usikan Adib. Malam itu entah mengapa dia resah dan sukar melelapkan mata. Dalam kelam cahaya lampu dinding, Dayana membuat solat tahajud pada pukul tiga pagi.

"Kenapa tak tidur lagi? Esokkan kita nak ke Ubud. Kata nak singgah ke Pasar Sukawati sekali." Azmie menegur apabila Dayana tampak masih menghadap komputer ribanya dalam keadaan masih bertelekung.

"Tak mengantuk," jawabnya sepatah.

"Penat sangat tu. Yana rehatlah dulu. Kerja kita pun semua dah selesai. Cuba tidur. Esok kita nak berjalan. Lusa dah nak balik," pujuk Azmie yang kasihan melihat Dayana yang masih berjaga.

Sambil-sambil Dayana menemankan Azmie dalam beberapa mesyuarat dan pertemuan dengan wakil dari Jakarta di Kuta itu, dia sendiri tidak lepas daripada menghadap komputer riba menyudahkan konsep dan storyboard iklannya.

Semuanya menunggu deadline untuk dibentang kali kedua. Biarpun bekerja sendiri, bebas dan tidak terikat namun pada waktu tertentu lelah pada wajah Dayana tidak mampu disorok.

Esok seawal jam lapan pagi, Adib dengan beg galasnya bersama Azmie dan Dayana sudah menaiki Toyota Kijang Pak Nyoman.

"Kak Yana, jom beli tu! Letakkan kat rumah! Kak Yana kan suka benda-benda ni!" Mata Adib meliar memandang sepanjang jalan sewaktu mereka menghala ke Ubud.

"Hah, baru tahu kenapa Kak Yana kemaruk nak ke sini!" Dayana mengangkat kening memandang Adib.

"Gilalah! Perabot kayu semua tergolek-golek aje tepi jalan. Pintu gerbang pun tergedang aje macam tu. Satu daybed kalau dekat Tanah Melayu harga RM5,000, dekat sini bawah RM900 tu! Huh, rasa nak pikul bawa balik kemudian jual online!" Adib mengomel sendirian dengan satu renungan ke arah barang-barang yang dilihatnya. Terliur sungguh mahu membeli dan dibuat jual semula di Kuala Lumpur.

"Kita zaman gawat ni siapalah nak beli kayu-kayan macam ni? Baik orang beli beras, beli ikan buat makan," sanggah Azmie membuatkan Adib mencebik.

Separuh hari di Ubud, mereka kemudian menghala ke Pasar Sukawati. Sekali lagi Adib mabuk melihat segala lukisan abstrak yang dijual.

"Kak Yana, awat tak beli? Duit juta-juta rupiah berkepuk lagi tu dalam beg tangan," tegur Adib apabila melihat kakaknya itu seperti tumpul selera untuk berbelanja. Sudah dua tiga kali dia melihat Dayana menawar-nawar harga barang tetapi kemudian barang itu diletaknya semula dengan sopan.

"Nanti dululah. Sebelum balik sempat kan kalau kita nak menyinggah sini," ujar Dayana yang tampak seperti berhati-hati mahu berbelanja.

"Nak beli, baik beli sekarang. Adib pun ada ikut ni. Senang suruh dia aje yang angkut barang nanti. Lusa dah balik. Kalau beli hari ni boleh kita cari kotak ke, cari pembalut ke." Azmie berkerut memandang Dayana yang tidak seperti selalu.

"Nantilah!" Sepatah saja Dayana menyahut kemudian selepas sejam lebih berlegar-legar mereka berlenggang kangkung keluar dari Pasar Sukawati.

"Huh! Tak mahu beli ke, kak? Selalu kalau akak pergi Jakarta ke, pergi Bali ke, bukan ke segala mak nenek akak bawa balik? Sangkar burung, serkap ayam, semua akak beli."

Adib tumpang hairan memandang kakaknya. Memang dia tahu sangat selera kakaknya. Kalau boleh, rumah yang didiami mahu dibuat galeri Bali dari hujung pagar ke penghujung longkang dapur.

"Tak dapat ilham dari langit lagilah. Biar duit juta-juta rupiah ni kita peram lama sikit dalam beg ni." Dayana menjawab sambil mengangkat kening ke arah Adib. Lelaki kurus itu sudah tersenyum bahagia bila dapat membeli helmet Jerman corak Louis Vuitton dengan harga kurang lima belas ringgit Malaysia.

"Haha ni kalau pakai kat kampus ni, stylo gilalah!"

"Jangan nak mengada-ada nak pakai helmet kura-kura ni masa bawa motor. Eh, siapa pula bagi dia bawa motor dekat kampus?" jeling Dayana yang memang tidak dapat menyorokkan wajah ketatnya dengan kerenah Adib.

"Ibu enggak belanja apa-apa?" Pak Nyoman yang sentiasa setia menunggu untuk membawa barang-barang terkejut melihat Dayana tidak menjinjing sebarang beg plastik.

"Lain kalilah Pak Nyoman. Lepas ni kita ke mana?"

"Kita ke Tanah Lot, kemudian ke Taman Ayun, ya? Ibu dan Bapak Azmie mungkin sudah biasa. Kita raikan Mas Adib ke sana, ya. Yuk, silakan." Penuh berhemah Pak Nyoman membukakan pintu kereta.

"Ke mana, Pak Nyoman?"

"Kita ke Tanah Lot, kemudian ke Taman Ayun ya, Mas Adib."

"Hah, memang sesuai, pak! Untuk mana-mana budak yang rasa dirinya mangkuk ayun, memang sesuai ziarah Taman Ayun tu!" sampuk Azmie membuatkan Adib berdekah-dekah gelak. Dayana pula di dalam kereta sudah mencari minyak kayu putih untuk disapu pada dahi.

"Perghhh! Kat sini kalau jemur moist coklat kek, mesti boleh kering rentung jadi biskut mayat!" Panas terik yang amat menjerakan di Tanah Lot cukup untuk menambah berdenyut-denyut kepala Dayana.

Dari jauh dia sudah ternampak Adib menyinggah ke gerai kraf yang menjual topeng ramaya.

"Beli? Hesy, macam hantu aje topeng ni!" tegur Dayana.

"Haha bawa balik ni best! Buat sergah awek depan rumah kita orang," ujar Adib sambil menggayakan topeng yang bertaring, berambut panjang hitam dan berbibir merah menyala ke mukanya.

"Niat tu tak boleh ke senonoh sikit? Asyik fikir nak mengenakan orang aje!" leter Dayana tapi Adib tetap membeli satu.

"Relakslah, Kak Yana. Tak meriah hidup kalau tak kacau orang!"

"Jangan sampai orang sumpah hidup kita, Adib."

"Hesy, apa pula. Kita gurau aje."

"Gurau tu biar kena tempat. Kalau mana pergi asyik nak buat orang marah, sampai orang menyumpah dalam hati nak buat apa? Dah jadi orang bujang ni cubalah berubah." Tidak pasal-pasal dalam bahang dan kering angin yang bertiup, Adib masak diberi tazkirah oleh Dayana.

Jauh di pinggir Gombak, Esya sudah seminggu menahan debar dan resah. Ke mana kau, Adib? Ke mana Apek pergi? Mahu tanya banyak pada Adon dan Arep, segan rasanya. Tak pasal-pasal jadi bahan sembang budak-budak lelaki jiran depan rumah nanti.

Tapi petang itu sewaktu berselisih dengan Adon dan Arep, dia gagal menyembunyikan gelora rasa. Spontan bibir bertanya.

"Adib tak balik lagi? Dia sakit teruk ke?"

Adon tergamam untuk menjawab. Tak tergamak mahu berbohong tapi pada Adib dia sudah berjanji, biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Aku sakit di kaki tapi tetap nak berjimba di Bali!

"Entah, tak dapat contact dia." Arep pantas menyahut. Jawapan yang selamat.

"Tak tahu ke dia di hospital mana?"

"Sungguh tak tahu. Cari bomoh patah kot." Laju saja akal Adon mencipta alasan. Menjawab sambil tersenyum nakal.

Esya menghela nafas geram.

"Huh, orang tanya betul-betul, jawab main-main."

"Insya-Allah dia okey kot! Sedekah ajelah al-Fatihah. Sian Adib, rest in peace la hendaknya!" Arep menyakat tanpa rasa bersalah.

"Sengal la kau orang!" rengus Esya sambil berlalu pergi. Melangkah dengan seribu kekesalan menggigit jiwa. Ke mana kau, Adib! Kalau sebab salah aku, minta maaf ya, Adib!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro