Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 14

Pura-pura mengata tidak,

Hati di dalam retak seribu.

Kelentang-kelentung Dayana di dapur. Bunyinya macam menumbuk sambal belacan. Dalam dua puluh minit kemudian, dia keluar dari dapur dan membawa mangkuk berisi daun yang sudah lumat ditumbuk. Ada lima helai daun yang seakan-akan daun pandan tampak sudah dilayurkan bersama-sama minyak.

"Mari, hulur kaki yang bengkak tu." Dayana mendekati Adib yang sejak siang tadi terbaring di atas sofa sambil tangannya memegang sepiring keropok lekor.

"Apa tu?"

"Jangan banyak tanya! Nak baik tak?" Bulat mata Dayana merenung Adib.

"Kalau nak cepat baik, bagi Kak Yana sapu daun tembaga suasa tu, Adib." Azmie yang tekun menghadap komputer riba sempat mencelah.

"Doktor bungkuskan kaki,

dia buka. Nanti kaki tu jadi bengkak macam kaki gajah baru dia tahu," leter Dayana yang memang puas bersabar dengan kerenah Adib.

"Sentuh pun dah sakit, macam mana Kak Yana nak urut?"

"Mengada-adalah! Kemain nak jadi hero! Dah tertiarap macam ni siapa yang susah? Kalau tak nak baik cepat, hah pandai-pandai urus diri sendiri. Lusa Kak Yana dengan Abang Mie nak pergi Bali. Kau duduklah rumah sorang-sorang!"

Mendengar saja perkataan Bali terus terlopong mulut Adib.

"Whoaaa! Bali! Aloha Bali! Nak ikut!" Adib mula merengek. Terus rasa mahu melompat dan bersenam di depan kakak dan abang ipar bukti dia tak sakit teruk.

"Wei! Orang sakit buat cara sakit," jeling Dayana yang memang faham sangat dengan perangai Adib.

"Alah, memang dapat cuti sakit pun. Daripada melangut kat rumah sorang-sorang, bagilah Adib ikut. Mana tahu kot kalau kena urut dengan cewek Bali nanti cepat baik." Macam biasa Adib tersengih-sengih menunjukkan lesung pipitnya dengan gaya mata sepet minta simpati.

"Tak ada maknanya! Dah sakit tu ada hati nak berjalan?"

"Orang sakit mana boleh kena kurung. Nanti tu mengakibatkan kemurungan! Depression! Stres!" Panjang saja jawapan Adib, masih tak putus asa merayu pada kakaknya.

"Abang Mie, bolehlah ya?" Dia mengalih pandangan pada Azmie yang masih tekun menyudahkan kerjanya.

"Tanya Kak Yana," sahut Azmie tanpa menoleh.

"Sini kaki tu!" Sepuluh minit selepas daun tembaga suasa yang sudah ditumbuk itu ditepek dan dipupurkan pada betis Adib, lelaki itu meraung seperti anak kecil dititik.

"Huwaaaa! Pedih, Kak Yana! Hadoiii! Pedihhh!"

Semakin kuat lolongan Adib, semakin banyak daun tembaga suasa itu ditepekkan ke betis dan tumitnya oleh Dayana. Daun yang sudah dilayurkan itu dibuat pembalut.

"Hesy! Patut rakam tadi. Bubuh dekat Instagram. Kemain lagi nak tolong perempuan, dah sakit macam ni terpekik macam nak kena sembelih!" sindir Dayana yang memang sengaja menyakat Adib.

"Apa ni, kak? Janganlah sabotaj! Kita betul sakit ni!"

"Memanglah sakit! Dah kaki tu masuk angin. Doktor balut, kau gatal buka. Hah, tak mahu ikut cakap doktor, mari akak jadi Mak Esah!" bebel Dayana yang menggeleng dengan perangai Adib. Tak pernah serik kalau tak sakit betul-betul.

"Kak, boleh ya pergi Bali..." Adib merengek lagi. Muka menyeringai menahan bisa. Terasa daun tembaga suasa itu seperti menyerap ke dalam urat saraf dan menyentap-nyentap segala urat yang tersimpul dan bengkak.

"Bali? Pergi dalam mimpi ajelah ya, Adib!"

Terkekeh-kekeh gelak Dayana apabila Adib yang kesakitan itu mengomel sendirian.

"Kak Yana, sakit! Pedihlah!" Adib mula menggelisah mahu mencabut balutan daun tembaga suasa di tumitnya.

"Hei, Abang Mie susah payah pi cari daun tu tau! Hah, itulah! Cakap besar lagi. Kemain dalam Twitter... Jom guys, kita joging keliling kampus. Manalah tahu ada awek comel kaki terseliuh. Boleh tunjuk hero sikit! Haha ni tulah namanya!" bebel Dayana menambah sebal hati Adib.

"Eee, Kak Yana mengintai Twitter kita apa kes?"

"Suka hati akulah! Beringat sikit! Ni kafarah Tuhan! Baru bagi kau rasa sengal, rasa nak patah tulang kaki! Buat nakal lagi!"

Azmie yang sudah selesai menghadap kerja, menggeleng sambil tertawa melihat Adib yang masih berkeluh-kesah sakit.

"Alah! Jauh dari perut ni! Baru sikit Tuhan nak uji! Tak macholah, bro!"

Tercebik Adib menjeruk rasa. Entah mengapa hatinya tanpa dipinta dihambat resah dan bosan yang tidak mampu dizahirkan dengan kata-kata. Rindu pada kawan-kawan. Eh, bukan rindu pada kawan rumah sangat! Rindu pada kawan depan rumah tu! Esya, aku rindulah!

Huh! Kalau tak, boleh pergi kelas sama-sama! Banyak kuliah dah mula ke? Tutorial aku macam mana? Mesti banyak tertinggal... Allah! Padan muka! Memang padan muka aku! rungut hatinya sambil merenung bengkak akibat terhentak di lantai dapur rumah Esya.

Seluruh tumit dan betis terasa seperti dihiris-hiris dengan pisau apabila terlebih bergerak. Wajah Esya yang merah padam waktu maghrib itu tidak mampu disingkir daripada ingatan.

Di kampus, setiap kali pulang dari kuliah, Esya tidak mampu menahan rasa hati. Panjang saja lehernya meninjau jiran depan rumah. Liar saja matanya cuba meneropong masa dari celah-celah pintu yang kadangkala terkuak sedikit. Adib tak ada! Entah mengapa malu pula rasa hati mahu meminta nombor telefon Adib pada Arep atau Adon.

"Apek tak balik lagi ke?" Ringan saja dia bertanya Ayu. Dengan harapan kot la Ayu ada ternampak kelibat Adib.

"Belum lagi kot. Tak nampak pun," balas Ayu sambil sibuk mengacau nasi goreng di dalam kuali buat makan malam mereka.

"Dia jatuh teruk hari tu. Terhentak. Lantai pula licin. Cuti doktor bagi lama kot." Rinn membalas sambil tangannya mengumpul sampah di dapur.

"Babe, biar aku buang sampah tu ke bawah." Spontan dia menawarkan diri. Entah mengapa serba tidak kena dia di rumah. Masuk hari ini, sudah lebih seminggu kelibat Adib masih tidak kelihatan. Allah! Kalaulah aku yang bersalah, aku patut minta maaf.

Dua beg sampah dijinjingnya keluar. Berderau darah apabila terserempak dengan Adon dan Arep yang baru hendak keluar makan malam di lif. Sebenarnya memang itu niat dalam hati. Harap-harap terserempak dengan dua sahabat Adib itu. Hendak bertanya di kampus, masing-masing sibuk. Dan tentunya, Esya segan mahu bertanya di hadapan Ayu atau Rinn.

"Adib tak balik lagi?" Sekelip mata dia menjadi peramah. Wajah yang mendung cuba dipaksa senyum.

"Belum," sahut Adon.

"Oh..." Allah! Payahnya nak bercakap! Malu sebenarnya mahu bertanya banyak. Nanti apa pula kata budak berdua ini!

"Errr... Dia cedera teruk ke?"

"Huish! Teruk. Dia kata retak semua jari kaki dia. Tak tahulah macam mana." Laju Arep membuat laporan. Esya terbeliak biji mata.

"Retak? Semua jari kaki dia?" Luruh jantung mendengar. Seluruh tubuh terasa menggeletar.

"Ahaaa... Itulah. Takut dia kena tangguh pengajian." Adon menambah. Semakin pucat wajah Esya. Darah terasa menyerbu ke wajah. Pipi yang sudah berona merah tidak mampu disorokkan.

"Ohhh..." Itu saja yang mampu dilafazkan. Hatinya menjerit mahu meminta nombor telefon Adib namun perasaan malu menguasai diri. Mesej saja Adib melalui Facebook! Batin mendesah memaksa dia berbuat sesuatu. Huh! Malu! Malu!

Tangan menjinjing beg plastik sampah, tetapi kaki menghala ke tempat parkir kereta.

"Esya, nak bawa sampah tu ke mana? Tong sampah besar nun sana tu! Belah kiri!" Adon menegur sewaktu melihat wajah Esya seperti mamai tidak keruan.

"Errr... Oh! Saya tak perasan."

Kalaulah dia kura-kura, mahu saja disorokkan muka ke dalam cangkerang. Pipi tidak pasal-pasal menjadi kebas. Ya Allah! Kenapa dengan aku? keluhnya sendiri.

Aku punya pasal, Adib dapat susah! Sampah yang di tangan, dihumbankannya ke dalam tong sampah besar seperti mahu melepas geram. Kalaulah boleh ditarik masa, aku tak patut cuai sampai jadi macam ni!

"Babe! Adib mungkin kena tangguh pengajianlah!" Perkara itu yang pertama disampaikan pada Ayu dan Rinn sebaik saja jejak kaki ke rumah.

"Hah?" Ayu yang sedang mengunyah nasi goreng nyaris tersedak.

"Eh, kenapa?" Rinn turut terkejut.

"Entahlah. Kata Arep dengan Adon, semua jari kaki dia patah," beritahu Esya mengulangi apa yang didengarnya tadi.

"Semua jari kaki patah? Eh, teruknya!" Ayu tumpang rasa bersalah mendengar khabar buruk itu.

"Habis tu?" Wajah Rinn memandang tepat ke arah Esya. Baru dia faham mengapa sejak akhir-akhir ini Esya tampak lesu dan pudar wajahnya.

"Entah. Aku pun tak tahu. Nak mintak nombor telefon, hesy seganlah!" sahut Esya sambil merenung wajah Ayu dan Rinn silih berganti.

Malam itu, Esya resah tidak mampu lena. Sengsaranya menanti siang. Mengharapkan esok semua berakhir dengan baik. Mengimpikan Adib pulang semula selewat-lewatnya esok. Ya, esok masih ada! Oh, kenapa aku dapat penyakit rindu mamat Apek tu? Bukan ke aku benci dia? Bukan ke muka dia paling aku menyampah nak pandang?

Esya terus bernafas dalam sela-sela rindu yang menyakitkan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro