Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 13

Melihat adik termenung di pintu,

Jiwa abang dirasuk rindu.

"Kenapa ni?" Oh! Gosh! Kenapa dia ada? Suara Adib menyapa.

"Hei, pecah masuk rumah sendiri ke?" Adon sama menegur. Arep yang bersama mereka turut sama berkerut dahi memandang.

Termalu-malu Esya apabila melihat tiga sahabat lama merangkap jiran mereka berdiri tercegat di sisi. Adib tampak sudah bersongkok dan berbaju Melayu.

"Errr pintu rumah kita orang terkunci dari dalam." Payahnya mahu menyudahkan ayat itu. Esya terasa seperti mengirai kebodohan sendiri.

"Lohhh!" Adib terkejut tapi kemudian tersenyum meleret.

"Habis tu?"

"Habis tu, kita orang tak boleh masuklah! Tu yang berdiri depan pintu. Ingat kita orang ni seronok-seronok ke?" Rinn memancung pertanyaan Arep.

"Cuba pakai kad matriks." Adib mencadangkan.

"Hesy, nanti patah." Esya membantah. Adib sudah menyeluk dompet mencari kad matriksnya.

"Patah boleh buat balik," balas Adib dan dia kemudian bersungguh-sungguh cuba selitkan kad matriksnya di celah pintu. Dipulas tombol tapi masih gagal untuk dibuka.

"Payah sangat, pecah ajelah pintu ni." Esya sudah gelisah dan rasa bersalah.

"Hesy, tak usahlah. Nanti tak pasal-pasal nak kena bayar pintu yang dah terkopak ni." Sanggah Ayu.

"Kalau terpaksa, tak apalah. Biar aku yang bayar. Aku yang cuai." Esya pasrah. Seluruh sendi terasa sakit dan lenguh tatkala itu.

"Pintu dapur tak kunci, kan?" tanya Adib sambil ligat berfikir akalnya. Dia yang kurus entah berapa kali bercekak pinggang menjengah laluan masuk menuju arah dapur.

"Tak. Kenapa?" balas Rinn dan Esya serentak.

"Kita masuk ikut dapur."

"Masuk macam mana?" Esya bersungguh tanya.

"Panjatlah!" Polos dan spontan jawapan Adib.

"Hah?" Esya, Ayu dan Rinn terbeliak memandang Adib.

Arep dan Adon sudah tergelak-gelak kecil. Mereka faham sangat perangai Adib.

"Tak usahlah! Nanti jatuh!" Rinn dengan wajah tegas menghalang.

"Kalau jatuh ke bawah!" Berdekah-dekah gelak Adon dan Arep. Tajam mata Esya mengamati dua wajah itu. Terasa mahu dikunyah hidup-hidup dua mamat itu.

"Jangan risau! Adib biasa buat kerja-kerja gini dulu!" Arep cuba berlawak.

"Waktu maghrib memanjat-manjat gini, tak usahlah!" Esya menyanggah. Memang dia berasa amat bersalah. Dia tahu tiga sahabat itu mahu ke masjid untuk solat. Tak pasal-pasal pahala solat berjemaah hilang di tengah jalan gara-gara mahu bantu dia membuka pintu.

Sekelip mata Adib sudah melompat memanjat tembok di balkoni rumah tiga gadis itu. Penuh berhati-hati Adib meniti menuju ke dapur. Sepasang mata Esya mengikut rapat langkah Adib.

Allahu! Gerunnya! Terkumat-kamit Esya berbisik pada Ayu dan Rinn. Keadaan menjadi sunyi seketika.

"Kalaulah terjatuh, mahu terjerumus ke tingkat bawah dari aras sembilan ni!" Rinn sambil menekup mulut terluah juga ungkapan itu.

Adib dengan segala kepayahan cuba imbangkan diri. Matanya sendiri tidak sanggup memandang ke bawah. Tak ada sebarang penghadang pun laluan dari balkoni ke dapur itu. Dia hanya berpaut pada tembok dapur. Tingkap nako yang separuh terbuka, dikuaknya sedikit. Huh! Menitik peluh dinginnya.

Semua yang di luar memandang penuh debar. Darah berkocak kencang. Masing-masing bulat mata mengekori gerak langkah kaki dan tangan Adib.

"Allah!" Terasa mahu putus tangkai jantung Esya mengamati.

Tangan Adib diseluk mengikut celah tingkap yang terbuka sedikit. Tombol pintu dapur dipulas sebelah tangan, sementara tangan kanannya bertahan pada tembok.

"Huyeaahh!" Melompat girang Esya, Ayu dan Rinn tatkala melihat pintu dapat sudah terbuka tapi belum habis menjerit, terdengar sesuatu. Bunyi benda jatuh tersembam dan suara Adib.

"Adoiii!"

"Adib!" Arep menjerit dari luar.

"Woi!"

"Adib? Kau okey tak? Kau bernafas lagi tak! Kalau okey bangun, buka pintu depan ni!" Adon berteriak memanggil.

"Adib jatuh kenapa ya?" Esya tergamam.

"Allah! Baldi aku mop lantai ada kat situ. Tergelincir kot! Tadi pencuci lantai tumpah!" Ayu sudah menggeletar rasa bersalah.

Beberapa minit kemudian Adib dengan muka seribu kerut menahan sakit dan kaki berdengkot-dengkot membuka pintu depan.

"Alhamdulillah! Kau hidup lagi, Adib! Aku ingat dah rest in peace!" Arep dengan mulut capoi mengusik sahabatnya.

"Adib! Sorry, ya? Sebab saya awak jadi macam ni!" Bersungguh-sungguh Esya minta maaf.

"Adib, buku lali awak bengkak tu!" Ayu penuh cemas memandang kaki Adib.

"Alah buku lali dia aje! Gigi tak patah kira okey tu!" Arep bergegas memapah Adib keluar.

"Moh! Moh! Ke masjid kita! Ada kena tangkap basah pula nanti lama-lama kat sini." Arep memaut tangan Adib. Terhincut-hincut jejaka kurus itu melangkah. Mulutnya yang keletah menyakat Esya senyap dan hanya sesekali mengerang sakit. Dia hanya terseringai menahan sakit sebenarnya.

"Huh! Mujur tak tersagat gigi dengan bibir ke lantai! Kot la tercium lantai dengan bibir, masak! Mahu kopak besi rel kereta api kat gigi kau, Apek! Koyak bibir kau, Apek!" bebel Adon sambil membantu kawannya itu.

Bertambah tidak berkelip Esya mengamati susuk tubuh Adib.

Esya memandang dengan seribu rasa kesal.

"Jom pergi solat kita. Ni kena lama sikit bertasbih kat masjid, mujur kau tak arwah masa memanjat tadi," sampuk Adon sambil membantu memapah Adib.

Ayu terpinga-pinga melihat langkah tiga lelaki itu menuju ke lif. Rinn menggeleng sambil bibir berulang kali beristihgfar dan mengomel.

"Aku dah kata. Maghrib-maghrib gini jangan memanjat!"

"Salah aku tu! Aku yang salah! Huh!" Longlai rasa seluruh jiwa Esya terus menghantar kelibat lelaki itu sehingga hilang daripada mata.

Baru sahaja dia mahu melangkah masuk ke dalam rumah dengan jantung yang masih menggelepar, antara percaya dengan tidak, sayup-sayup dia terdengar...

"Esya... Esya!"

Adib sempat berpaling, melambai ke arahnya. Muka berkerut menahan sakit tapi masih cuba untuk tersenyum.

Malu-malu Esya membalas lambaian sambil mengangguk. Sukar ditafsir perasaan sendiri. Hendak menyebut terima kasih berulang kali pun terasa malu.

Dan senja itu Esya terus bungkam dengan hati yang sukar difahami ceriteranya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro