BAB 12
Mimpi bahagia abang semalam,
Bulan bintang jatuh ke riba.
Angin pagi dari timur membawa kesejukan yang luar biasa. Dengan segala kepayahan, Adib memaksa diri untuk pergi ke kuliah pukul lapan pagi itu. Arep dan Adon terkejut melihat Adib sudah berkemeja seawal pukul 6.45 pagi.
"Woi! Awalnya!"
"Aku tak tidurlah sejak malam tadi!"
"Gilalah kau!" balas Arep yang masih terkial-kial mencapai failnya.
"Ingatkan kau subuh gajah!" sampuk Adon yang tak mandi pagi. Selepas gosok gigi, berwuduk langsung bersolat. Tanpa rasa bersalah terus bersiap untuk kuliah pertama.
"Hesy, depan rumah ada jodoh. Mesti tunjuk kita bakal imam dia!"
"Bongek la kau!" Berdekah-dekah gelak tiga bujang di rumah itu.
"Kau bangun pagi ni nak intai dialah?" jerkah Adon sambil bersikat rambut. Mandi tak penting. Rambut mesti rapi bersisir dan minyak wangi entah berapa kali disemburnya satu badan.
"Aku tak intai. Aku perhati dari jauh. Cerah harapan kita nanti tiap kali sahur bulan Ramadan kalau kekal berjiran dengan jodoh, kita mesti tak miss sahur." Adib mengenyit mata nakal. Memang dia terkejut melihat lampu rumah depannya sudah bernyala pada pukul empat pagi.
"Sudahlah lu, Apek! Ketuk gendang sebelah kau pun time kat kolej, haram kau tak bangun sahur. Penatlah ayahanda tu meniarap rotan kau, pun kau kejang macam dah tak bernyawa. Lagi mahu berangan budak depan rumah ni nak kejutkan kau sahur. Piraaah mabuk!" cemuh Arep disambut gelak berderai Adon dan Adib sendiri.
"Assalamualaikum!" Laju saja Adib memberi salam pada Esya sewaktu terserempak di depan pintu.
"Waalaikumussalam," jawab Rinn dan Ayu serentak. Esya pula pura-pura tidak nampak. Wajahnya selamba memandang Adib seperti memandang tembok.
"Banyaknya barang awak bawa, Esya. Berat beg tu!"
Adib tetap tak berputus asa. Gigih berusaha untuk mengayat Esya. Langkah gadis itu terus laju meninggalkan Adib. Huh! Rimas! Memang aku pindah rumah sudahnya nanti! Esya sudah ligat berfikir macam-macam.
Rakan-rakan yang berada di belakang Adib sudah menggeleng. Arep dan Adon ketawa terbahak-bahak menambah bara pada hati Esya.
Berdengung kepala Esya mendengar suara-suara nakal itu. Tanpa rasa bersalah, langkah Esya semakin laju meninggalkan Ayu dan Rinn. Tapi Adib tetap berusaha mengejar.
"Esya! Esya! Tengok awak tercicir ni!"
Esya terhenti dan menoleh ke belakang. Berkerut memandang Adib. Kemudian menoleh ke beg galasnya sambil meraba-raba ke dalam. Tangan kemudiannya merapat ke dada. Kad matriks elok aje ada.
"Jangan laju sangat! Nanti tercicir barang payah." Adib bersungguh.
"Cicir apa?"
"Awak tercicir hati awak. Saya dah ambil tadi. Dah simpan dalam dada saya!" Adib mendekati gadis itu dan berbisik perlahan. Merah padam wajah Esya.
"Adib!!! Awak memang sengal la!" Esya tergamam geram. Spontan bibirnya menjerit halus. Nyaris tangannya mahu menghempuk Adib dengan fail yang dipegang.
"Yalah, bawa barang macam nak pergi berkelah, jalan macam kena kejar hantu. Nanti semua barang cicir." Adib mahu melompat ke bintang melihat gadis itu seperti sedikit beralah. Langkahnya kian seiring dengan langkah Adib menuju ke lif.
Huh! Memanglah langkah macam tak cukup tanah! Dah kau jadi hantu raya yang mengejar aku! cemuh Esya dalam hati.
"Adib, awak ni masuk kuliah lenggang kangkung aje, ya?"
"Cukuplah ada satu pen, ada segulung kertas."
Adib mengenyit mata nakal. Memang itu saja yang dibawa ke kuliah. Pen tergantung pada lanyard kad matriks dan kertas yang digulung dan dibiar berkerenyuk terselit pada poket seluar.
"Eee, awak ni pemalaslah!"
"Pemalas tapi berwawasan!"
"Huh!"
"Kalau bawa beg nanti, payah. Takut ada budak yang admire dekat saya, curi beg saya." Selamba saja Adib menyelongkar kisah silam membuatkan Esya menggumam sendirian. Sakitnya hati, Tuhan saja yang tahu!
Sementara menanti bas kampus di tempat hentian untuk membawa mereka ke kampus induk, mereka sempat berbual-bual.
"Awak, macam mana awak boleh dapat Engineering Biotech, ya? Eh, bukan awak dengan biologi sejak zaman kolej lagi memang tak ngam ke? Awak mana pernah dapat A dalam kelas bio, kan?"
Adib dengan wajah yang tidak bersalah bertanya dengan bibir tersenyum nakal. Terbeliak Esya mendengar soalan Adib.
"Hei, ini boleh menimbulkan kemarahan! Haha! Apa, awak ingat saya tak cerdik ke?"
"Yalah, awak tu dapat Engineering Biotechnology And Biochemical. Hahaha Chemistry awak pun macam ke laut dalam aje!"
"Hoi! Mulut tu jaga sikit, ya? Kalau tak mahu tengok siling rumah awak turun ke tanah, lantai rumah awak ternaik atas siling... Haaa cakap selalu macam tu!" Esya memberi amaran. Panas hatinya mendengar ejekan Adib.
"Memanglah biotech tu adalah second choice saya. Pilihan pertama material engineering. Tapi kalau Allah dah kata memang biotechnology tu untuk saya, yang terbaik untuk saya, jadi reda ajelah! Allah lebih tahu, kan?"
Lancar saja bibir comel Esya menjawab membuat Adib tersipu-sipu dan dalam masa yang sama kagum dengan Esya. Nampak saja kalut dan garang, tapi bijak apabila menepis usikannya tadi.
Menyempurnakan hari pertama amat meletihkan buat Esya. Entah mengapa kawasan kampus yang amat besar itu terasa menghakis segala kalori dan lemak di badan. Berjalan pantas dari satu bangunan ke satu bangunan benar-benar memenatkan. Waktu senggang yang ada sekadar duduk di Stabak, kafe yang cukup popular dalam kalangan pelajar kejuruteraan.
"Allah! Jom kita ke suraulah, Rinn!" Sepasang mata yang tajam sudah terkesan sesuatu. Esya jelas ternampak kelibat yang menjengkelkannya.
"Eh, kata penat?"
"Daripada aku dapat dosa kering menyumpah orang dalam hati, marilah kita berzikir kat surau."
"Kenapa?"
"Tu!" Bibir Esya memberi isyarat ke arah Adib dan rakan-rakannya.
"Hai, Esya!" Belum pun sempat mencapai fail dan nota, Adib sudah tersengih-sengih duduk di hadapannya.
"Helo... Brothers duduk di sana, ya! Sini sisters!" Rinn memberi amaran.
"Alah, niat murni kami ni. Baru nak belanja kau orang nasi lemak nuget Stabak Engin ni." Adib tersengih-sengih membalas.
"Tak payah nak mengayat. Nasi lemak habis!" jeling Rinn lagi yang kemudian mengekori Esya untuk terus mencari ruang berlunjur kaki di surau berhampiran.
"Alah, nak ajak makan sama pun sombong! Kekwat la Esya ni!" Adib dengan muka nakal mengejek.
"I don't date guys from my campus because masya-Allah brother, apa date-date ni... Kalau berani masuk meminang, nikah teruslah!" sindir Esya geram yang bukan kepalang. Matanya menjeling tajam pada Adib. Huh! Jantan penakut! Acah-acah aje berani. Kalau dicabar menikus!
"Haha! Nikah? Haha masya-Allah, sister!" Pecah gelak Adib dan gengnya yang lain. Tapi jauh dalam sudut hati, hah, kau cabar aku, ya? Kau tu dari dulu aku dah pangkah! Sejak kolej, tak tau kenapa Esya... Kau jodoh aku! Adib tersengih-sengih sendiri.
Lewat senja sebelum maghrib, Esya dan Rinn serta rakan-rakan lain pelajar yang tidak tinggal di hostel berebut bas untuk pulang. Muka melekit, badan berlengas dan dahi terasa menakung minyak membuatkan Esya tidak sabar untuk mencari bantal peluk.
"Huh, mujur beruk-beruk depan rumah tak naik bas sama kita," bisik Esya sambil matanya meliar memandang sekeliling.
"Dia orang tu mesti balik naik motor. Tumpang entah siapa-siapa," sahut Rinn meneka sendiri. Tepat seperti yang dijangka, dari jauh mereka sudah mendengar bunyi gitar yang sumbang dari ruang tamu kediaman Adib.
"Huh! Dah balik awal buat bising!" bebel Esya sambil memandang ke arah pintu rumah Adib. Ikutkan geram, mahu saja digegarkan pintu rumah itu.
"Dasar lelaki pemalas, pengotor! Tengok tu... Sidai baju selamba aje sangkut-sangkut depan grill rumah ni. Berjejeh air dia perah!" Selumbar mata Rinn memandang seluar-seluar kecil yang bergantung pada pintu jeriji rumah Adib.
Cuaca di luar agak dingin. Angin perbukitan yang bertiup kencang bagai memberi isyarat hari mahu hujan. Gugus-gugus awan tampak mendung dan kelam biarpun langit seharusnya berwarna tembaga lewat senja itu.
"Alamak, hari nak hujan. Aku pergi beli nasi ayam ajelah ya kat kedai Awei. Kau nak kirim apa-apa tak?" Rinn meluru masuk ke rumah. Fail dan beg sandang diletak ke tepi dahulu. Tanpa bersalin baju dan bertukar tudung, dia mencapai payung dan dompet.
"Nak beli makanan sekarang ke? Nak aku temankan?" Ayu menawarkan diri. Dia yang balik awal sempat membasuh baju.
"Tunggu lepas maghrib, takut hujan lebat. Leceh nanti," balas Rinn sambil memandang ke luar. Angin yang bertiup semakin nakal dan kasar.
"Esya nak apa?" tanya Ayu yang sudah siap melilit selendangnya.
"Nasi ayam sama teh ais ajelah," sahut Esya yang entah mengapa, kepalanya masih semak dengan bunyi gitar dari rumah depan. Duit sepuluh ringgit dihulur kepada Rinn.
Sementara tinggal sendirian, Esya sempat mengemas dan mengumpul semua kotak-kotak yang tidak terpakai. Diletakkan setempat di depan pintu rumah. Segala sampah sarap diikat kemas-kemas dalam beg sampah dan dilonggokkan dalam kotak-kotak yang bertimbun itu. Niat hati mahu dibuang di tempat pengumpulan sampah di aras bawah.
Esya keluar masuk rumah. Hujan yang mula bergerimis membuatkan dia menjadi kelam-kabut. Dan langkahnya menjadi semakin kalut bila ada suara yang ramah menegur dari hadapan,
"Hai, awak! Dah balik? Berkemas ke?" Adib menegur sambil terus memetik gitar. Adon dan Arep terlalak-lalak menyanyi.
Menjeling sekilas, memang nampak di mata Esya jejaka kurus itu dengan seluar denim lusuh, berbaju Melayu dan bersongkok sedang memetik gitar.
Meluatnya! Dah nak maghrib pun terpekik-pekik! Mahu saja Esya menjerit geram.
"Awak! Terror tak saya main gitar? Muka handsome, senyum comel, pandai goreng gitar, pandai goreng Maggi! Pemuda harapan bangsa kan, saya ni Esya?" Suara Adib masih galak menyakat Esya. Arep dan Adon berdekah-dekah tergelak besar.
Esya semakin tidak keruan. Dia entah mengapa menjadi menggelabah. Keluar masuk rumah. Hendak tangguhkan mengangkat semua kotak ke bawah, macam buat penat badan aje! Jenuh dah dia melonggokkan semuanya di depan pintu. Betul-betul menghadap rumah Adib.
Tanpa diduga angin berhembus garang, membawa hawa nan dingin. Deruan yang sangat luar biasa dan kasar sehingga pintu kayu rumah Esya berdentum terkatup sendiri.
Dummm! Pintu yang terbanting kuat itu menyentakkan Esya. Gadis itu yang sehelai sepinggang di luar rumah terpinga-pinga.
Wajah menjadi pucat dan lutut terasa menggeletar kesejukan. Allah! Allah! Kunci! Pintu terkunci! Awat aku gatal pergi tekan lock dari dalam? Terasa mahu hantuk kepala ke dinding!
Esya benar-benar mahu terkulai di depan pintu rumah. Sudahlah penat, makanan pun tak sempat dijamah sejak siang. Pintu rumah pula tertutup dari dalam.
Tombol pintu cuba dipulas. Berkali-kali diusahakan tapi sampai merah tangan, sakit telapaknya tetap tak memberi kesan. Kalau ada tingkap tepi pintu, boleh juga dipecahkan tingkap, seluk tangan ke dalam dan pulas tombol. Allah!
Esya benar-benar mati akal. Hujan semakin menderu turun. Membawa sekali angin sejuk yang tertempias pada Esya di balkoni itu.
Bunyi gitar dengan lagu Awie, Tiada Rahsia Antara Kita hilang tanpa Esya sedari. Azan maghrib sudah beralun syahdu dan dua sahabat, Ayu serta Rinn pulang berlenggang sambil menjinjing plastik makanan. Mereka yang agak kuyup terkena hujan berkerut memandang Esya dari jauh.
"Hei, buat apa ni?" Mata Rinn memandang Esya atas bawah. Bersama-sama kotak yang ada berlonggok di depan rumah, menambah rasa hairan.
"Kenapa ni? Macam nak lari rumah aje!" tanya Ayu pula.
"Banyak kau punya nak lari rumah. Aku nak buang kotak-kotak ni. Alih-alih angin kencang, pintu terkatup. Aku pula dah lock dari dalam." Esya dengan wajah yang penuh rasa bersalah, menerangkan.
"Ya Allah!" Ayu ternganga mendengar.
"Astaghfirullah!" Rinn sudah menghela nafas panjang.
Tiga sahabat dengan segala susah payah, menggunakan segala kudrat yang ada cuba menolak dan memulas tombol pintu. Langit membawa dingin hujan namun mereka sudahnya berpeluh-peluh dengan segala usaha.
Esya sudah berasa mahu menangis dan duduk mencangkung di tepi pintu rumah. Ya Allah! Kenapalah seksa sungguh hidup jadi mahasiswi ni? Aku ni banyak dosa ke? Agaknya reda mama tak pernah ada pada aku? Terasa mahu menitis air mata tatkala itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro