BAB 11
Adik umpama emas tempawan,
Wajah sentiasa lekat di dada.
Sampai saja di rumah, Esya tersandar melepas lelah. Sakit bahunya memikul segala barang yang berat. Tangannya juga merah dan hampir melecet mengangkat besi-besi penyidai baju. Tapi, apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan rasa panas hati apabila terpaksa berjiran dengan Apek.
"Banyaknya barang kau, Esya!" Ayu menjerit apabila melihat ruang tamu sudah penuh dengan barang-barang sahabat yang baru sampai itu.
"Weh, kau nak pindah duduk sini sampai buat PhD ke?" usik Rinn pula. Memang terkejut dia memandang segala yang dipunggah oleh Esya.
Dalam beg besar ada kotak, dalam kotak ada segala khazanah. Ada lesung batu, ada mesin pengisar, ada periuk nasi, ada sudip dan gelas. Dalam beg yang lain pula ada bawang, cili kering, garam dan balang-balang kecil yang berisi rempah-ratus dan serbuk kunyit. Dia ni ada plan nak buka restoran sekali ke kat sini?
Esya yang terbaring keletihan di atas sofa sekadar melambai tangan. Namun kemudian, dia sepantas kilat bingkas bangun.
"Rinn kau tahu aku jumpa siapa?" Ayu di sebelah yang asyik membelek kunyit turut terkejut.
"Siapa?" soal Rinn sambil duduk bersila menyusun baju di dalam almari di bilik kecilnya.
"Apek."
"Apek mana?"
"Apek mana lagi? Apek yang sengal tu la! Apek... Ah Chai!"
"Adib? Maksud kau Adib?" Kali ini Rinn betul-betul terkejut.
"Serius ke ni, babe? Kau dah bertembung dengan dia?!"
Esya mengangguk laju dengan pandangan ngeri. Kedengaran kejam. Nightmare. Ayu masih ternganga mahu memahami butir bicara rakan sebiliknya.
"Yes, I met him. And the worst part is... Kau tahu dia duduk mana?"
"Dia pun tak dapat hostel, kan?" tanya Rinn. Esya angguk dan memandang tepat ke arah Rinn.
"Dah tu, macam mana kau jumpa dia? Wait. Don't say..."
Esya mengangguk melihat Rinn sudah mula faham situasi.
"Tu... Tu rumah dia!" Muncung Esya terjongket ke depan. Rinn dan Ayu terkejut memandang.
"Mana?" Rinn tidak faham.
"Depan rumah kita ni!"
"What?!"
"Hahaha memang afdal kan kalau aku kata what the hell!" Rinn masih berguni-guni sumpah seranahnya.
"Kenapa, babe? Siapa Apek tu?" soal Ayu, rakan serumah yang tak tahu hujung pangkal.
"Kawan kita orang dulu. Nakal dia kus semangat! Kita orang panggil dia Apek. Tak sangka kat sini kami berjiran pula." Rinn menerangkan sambil tangannya laju mengemas nota-nota pula.
"Perangai bukan kus semangat! Ni macam banyak jin bertenggek kat badan dia. Ada aje yang dia buat menyakitkan hati," sahut Esya yang memang terus rasa hilang mood untuk mengemas segala khazanah yang diangkut dari rumah.
"Oh, budak yang kurus tu, ya? Eh bukan dia ke yang tolong tarik beg kau yang macam batu tu? Tadi aku naik lif dulu, nampak kau orang. Ingatkan kau orang memang couple." Ayu terkekeh-kekeh gelak menambah bahang pada wajah Esya.
"Simpang malaikat 44 aku berkasih sayang dengan mamat tu! Huh! Badan pun kurus, kaki panjang macam ostrich! Mata sepet. Harap lesung pipit aje buat manis muka!" cemuh Esya yang memang mati hidup balik terasa mahu minta pindah rumah.
"Tak baik kutuk orang macam tu. Kalau Allah S.W.T nak tunjukkan, dengan satu hembusan aje nanti dia jadi sebaik-baik orang pada kau, Esya." Lembut Ayu menenangkan keadaan.
"Huh, tak ada maknanya! Aku bila tahu dia berjiran dengan kita tadi, rasa nak pengsan, bangkit kemudian pengsan balik tau!"
Mengekek gelak tawa Rinn dan Ayu mendengar kata-kata Esya.
"Barang kau banyak, muat ke kabinet?" Ayu terkejut sewaktu memandang Esya mengheret beg.
"Insya-Allah. Nanti aku kemaskan dulu."
"Barang kering untuk masak aku susun kat tempat yang rendah. Yang lain aku simpan kat belah bawah." Rinn tumpang berkerut memandang segala khazanah Esya. Ini serius banyak! Macam mahu duduk selama-lamanya di rumah kecil itu.
Tangannya pantas mengasing barang. Dapur yang agak sempit, kurang pencahayaan dan sedikit lembap itu memang melemaskan. Sewaktu membuka pintu kabinet dapur memang bau hapak menyengat ke rongga hidung. Bau lipas pun sama tajam memualkan tekak Esya.
"Aku rasa nak kena sapu dan cuci dulu kot kabinet ni. Takut kita punya bawang nanti ada perisa lipas pula." Melentik-lentik jarinya sewaktu menyusun barang kemudian ternampak pula telur lipas dan lipas kering yang sudah mati tersepit.
"Memang pun, baik kau..."
"Rinn... Arghhh! Apa ni? Makkk! Tikus!"
Belum sempat Rinn menyudahkan ayat, dari dapur Esya sudah terjerit-jerit dengan muka yang pucat lesi. Menggeletar gadis itu menunjuk-nunjuk ke arah kabinet.
"Kau kenapa??" Ayu bertanya.
"Ada apa ni?"
"Tikus! Tikus anak-beranak! Ada yang dah tersepit tengkuk."
Geli-geleman Esya menunjuk ke arah kabinet. Kain baju kurungnya diangkat ke paras lutut. Tak terucap rasa seram sejuk. Tak semena-mena paha dan betis terasa dingin bagai dipanjat tikus.
Rinn cuba menguis-nguis pintu kabinet yang dimaksudkan dan serentak itu juga gadis itu sendiri terpekik bagai dirasuk histeria.
"Makkk! Ada anak tikus! Mengemut-ngemut merah lagi. Geli wei!"
Tikus yang besar-besar sudah mencicit lari lintang-pukang dek terkejut dengan suara nyaring yang bukan kepalang. Yang tersangkut leher terkaku di balik pintu kabinet. Anak-anak tikus yang merah lagi badan tanpa bulu, mengerekot duduk di celah kabinet. Nyaris termuntah tujuh tempayan Esya sewaktu memandang makhluk Tuhan itu.
Hiruk-pikuk tiga gadis itu terloncat-loncat riuh sebelum rumah mereka diketuk kuat di pintu.
"Esya! Esya! Awak okey ke tu? Esya?!"
Esya tersentak. Allah, Adib!
Pantas dia berlari ke muka pintu. Pintu rumah dikuak.
"Adib! Tolong saya! Ada tikus!"
"Huh?"
"Please... Tolonglah. Saya takut sangat ni!" Esya sudah mahu menangis. Ayu dan Rinn yang baru saja sampai turut sama mengangguk di belakang.
"Lah... Saya ingatkan ada perogol bersiri ke, pembunuh upahan ke. Baru nak buka silat."
"Adib! Cepatlah!" Rinn pula menggesa.
Adib tersengih sedikit sebelum melangkah masuk ke dalam. Namun dia terhenti sebentar dan memandang sekilas.
"Tak apa ke saya masuk ni?"
"Tak apa. Kami tunggu kat sini. Awak pergi masuk ke dalam dapur tu, lekas!"
"Haah, lekaslah. Tak apa, kami jaga di pintu!" sampuk Ayu pula. Dia sememangnya sudah geli-geleman tahap ke lapan dek melihat tikus yang bersimpang siur di dalam dapur.
"Okey, tumpang lalu, ya?" Sengaja Adib mengenyit mata sedikit kepada Esya sebelum berlalu ke dapur.
Esya bengang sedikit namun dia sekadar diam. Yang penting, tikus-tikus tu kena buang! Geli!
"Kau orang ada kotak tak? Plastik besar ke?" laung Adib dari dapur.
Esya mengambil kotak besar di belakang pintu dan menyua kepada Adib. Hanya tangan dia sahaja yang sampai kepada Adib. Wajahnya masih diteleng ke luar, geli mahu memandang bangkai tikus di dalam dapur.
Adib tersengih.
"Awak, hulurlah dekat sikit. Saya tak sampai nak ambil kotak tu."
Aduh... Macam-macamlah dia ni.
"Dah dekat dah ni. Awak datang sini ambillah."
"Tak boleh. Sebab ada anak tikus warna merah betul-betul tepi tangan awak. Geli betul!"
Warghhh! Esya sudah melompat keluar. Sempat dia membaling kotak ke dalam dapur. Namun sepantas kilat juga, terdengar ketawa Adib yang maha dasyat.
"Siot punya Adib! Dia kenakan akulah tu!" Esya mengomel geram.
"Kau kenapa, babe? Adib okey ke?" tanya Rinn.
"Mamat tu siot. Tapi biar dia clear dululah. Geli!"
Ayu, Rinn dan Esya masih berdiri di muka pintu. Wajah masing-masing pucat menunggu Adib yang masih bertarung di dapur. Dalam sepuluh minit, Adib muncul dengan sekotak besar bangkai tikus.
"Wah, banyak betul tikus kau orang ternak. Saya ingat orang perempuan ni pandai ternak badan aje," ujar Adib sebelum ketawa terbahak-bahak.
"Adib!"
"Okey, okeyy... Gurau aje. So nah, ni tikus kau orang." Adib selamba menyua kotak tersebut kepada gadis-gadis itu.
Bluwekkk! Yucks!
"Adib, buanglah kejap. Geli!"
Adib mengangkat bahu.
"Erm... Saya flush dalam toilet, ya?"
"Eh, jangan... Kesian kat tikus tu!"
"Huh? Erm... Letak bawah katil? Kalau boring, boleh keluarkan, buat main tembak-tembak."
"Jangan!"
"Dah tu?"
"Awak letaklah kat bawah. Kat tong sampah tu. Biar dia orang jumpa famili dia orang balik."
"Errr... Tadi suruh tangkap. Ni nak serahkan kat kaum kerabat dia balik?"
"Kenapa?"
"Tak faham saya dengan stail orang perempuan ni. Dah penat saya tangkap, awak suruh lepaskan kat koloni dia orang ni. Makin membiaklah tikus-tikus ni!"
"Tapi takkan nak bunuh... Kesian."
Adib menepuk kepala.
"Aduh... Ikut suka kau oranglah. Saya pergi letak kat bawah."
Esya, Rinn dan Ayu menarik nafas lega. Hampir semput nafas mereka bertiga.
"Terima kasih sangat-sangat ya, Adib!" ujar Esya sambil tersenyum malu.
"Takkan terima kasih aje kot?
"Erk, dah tu? Nak apa?"
"Tak ada hadiah ke?"
Esya tergamam dan bagai hilang kata-kata. Dia mula balik dah...
"Mana ada hadiah..."
"Okey, kalau awak tak nak bagi hadiah, biar saya yang bagi hadiah."
"Huh? Hadiah apa?"
"Huarghhh! Tikus makan orang!" sergah Adib sambil melambung bangkai anak tikus betul-betul di depan muka Esya.
"Makkk!!!" Terpekik-pekik Esya ketakutan dan seluruh aras itu berdengung dengan gelak besar Adib.
"Bencilah Adib!" Sumpah seranah Esya sambil membaling tong sampah plastik ke arah Adib yang sudah deras langkahnya menuju ke lif.
"Memang kurang asam punya Adib! Sempat dia menyakat!" geleng Rinn yang sama mahu gugur jantung melihat anak-anak tikus di dalam kotak nyaris jatuh berterbangan dari kotak dikerjakan Adib.
"Patutlah kau orang semua panggil dia Apek, ya? Hesy, memang perangai macam kartunlah dia ni!" Ayu turut sama terlopong melihat kejadian tadi.
"Itu yang aku benci dia! Otak dia tu bersimpang-siur aje fikir yang tak terjangkau dek akal kita. Kalaulah tadi terkena cik ti tu, harus aku demam tak kebah seminggu," rungut Esya yang masih berderau darahnya.
"Tapi, itulah..."
"Itulah apa?" Esya memandang ke arah Ayu.
"Orang nakal ni kadang-kadang nampak aje ganas. Hati baik."
"Huh! Tak ada maknanya mamat Apek ni baik."
"Jangan. Jangan cakap macam tu. Mana tahu, orang yang kita benci itulah sudahnya jadi orang yang paling kita sayang." Lembut Ayu menuturkannya.
"Perghhh! Tu tujuh kali pengsan, tujuh kali bangun, tujuh kali rebah semula tu!" jawab Esya sambil mencebik.
"Sungguh! Kadang-kadang orang yang paling kita benci itulah nanti orang yang paling kita cinta." Bersungguh-sungguh Ayu memberi pendapat.
"Ni bukan aku kata. Ustaz-ustaz dengan ustazah yang cakap!" sambungnya lagi.
"Aku hantar anggur sekilo yang seedless kat masjid kalau ada perempuan yang jatuh cinta dengan mamat sepet tu!" Berdekah-dekah gelak Ayu dan Rinn mendengar kata-kata Esya.
"Haha, aku jadi saksi! Kalau mamat tu ada awek, kau belanja kita orang anggur sekali, ya? Yang seedless, okey? Anggur hitam tau," ujar Rinn menambah lagi gelak kecil Esya.
"Huh! Tak ada siapa ingin mamat tu buat boyfriend. Mamat tak ada wawasan tu!"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro