BAB 10
Di dalam telur lagi kunanti,
Inikan pula di dalam sangkar.
"Adib, bangunlah! Dah nak maghrib ni! Tak mahu balik kampus ke?" Suara Dayana dari dapur sudah memetir.
"Woi! Bangun! Berapa kali nak jerit ni?!" Hati Dayana semakin panas.
"Payah jerit-jerit. Simbah aje air segelas." Azmie yang sudah siap berkain pelekat dan berbaju Melayu menyampuk.
"Huh! Lepas tu saya yang serabut nak kena usung tilam, jemur tilam!"
Dayana memang tak cukup gemar melihat suaminya muncul dari dapur dengan membawa botol air dan cawan ke arah Adib yang sedang tidur.
Meloncat terus Adib dari katil apabila disimbah air oleh abang iparnya.
"Payah sangat nak kejut. Tak kuasa aku nak terjerit-jerit. Siram aje terus!"
"Kau ni nak balik ke tak?" Dayana sudah siap berkemas untuk Adib sejak petang tadi.
"Balik."
"Ni dah pukul berapa?"
"Alah, balik sebelum pukul sepuluh."
"Itu... Akak dah siapkan barang-barang kau." Mata Dayana menghala ke arah satu sudut rumah. Adib yang tadinya terpisat-pisat terus terbuntang mata memandang barang yang rapi bersusun.
"Apa tu, kak?"
"Barang-baranglah. Adib kata duduk rumah sewa, kan?
"Aha."
"Dah dapat kunci, kan?"
"Dah."
"Hah, ni semua barang untuk rumah sewa tu la."
"Hah?"
Terlopong Adib memandang. Matanya berkerut dan kemudian menggeleng.
"Apa ni, kak? Macam nak pindah satu rumah aje."
"Hahaha... Nasib kaulah, Adib! Abang dah cakap, Kak Yana kau degil." Azmie sudah tergelak-gelak apabila melihat mata Adib melekat dan terpaku pada satu sudut.
Ada dua biji bantal, ada karpet kecil, baldi, penyidai baju, beg berisi cadar, selimut, pinggan mangkuk sudu dan garpu serba satu termasuk cawan beralas dan gelas.
"Kak Yana, apa ni?"
"Apa ni, apa?"
"Barang tu! Siapa nak bawa?"
"Adib bawalah ke rumah sewa."
"Tak mahulah! Tu macam nak berhijrah terus aje."
"Huh! Suka hati kaulah! Akak dah kemaskan, kau tak mahu bawa, kau punya pasal!" Dayana sudah mula berleter panjang. Malas mahu menahan pedih telinga, Adib terus bingkas mandi dan bersolat. Makannya juga laju. Bak kata Dayana, kunyah patah dua aje nasi tu dah ditelan! Kemudian segera dia bersiap untuk kembali ke sarang.
Pada tubuh yang kurus itu, tergantung satu beg selempang. Tiga helai baju sangkut pada hanger. Beres! Tak berkelip Dayana memandang adik lelakinya itu. Ni macam nak tidur dua hari dua malam aje gaya dia balik asrama. Paling sakit mata Dayana memandang seluar yang dipakainya. Sumpah macam terlondeh aje rupanya.
"Boleh tak pakai seluar tu senonoh sikit?" Jeling Dayana.
"Fesyen tu..." Azmie sengaja menyakat isterinya.
"Ni fesyen nak tunjuk pakai spender cap apa, ya!" jerkah Dayana namun Adib tetap selamba.
"Kata duduk rumah sewa, sabun mandi, sabun pencuci, ubat gigi dengan baldi, takkan tak bawa langsung?"
Adib terhenti membelek rambutnya di cermin dan menoleh ke arah Dayana.
"Sepanjang kat asrama kita tak pernah bawa pun pencuci baju akak bagi! Buat berat aje! Tinggal ajelah, ya."
Mata Dayana semakin mencerlung tajam.
Mulut mula laju membebel.
"Adib pakai orang punya? Tahu tak halal haram? Nanti belajar macam mana nak pandai? Entah orang halalkan ke tak!"
"Budak lelaki sempoi la, kak! Barang kat bilik mandi, kat dapur tu semua maknanya barang wakaf!"
"Huh! Kedekut tak kena tempat!"
"Kak Yana mana tahu ni semua. Akak masuk UM duduk kat Kolej Kinabalu tu kejap aje. Tu pun takat minggu orientasi. Lepas tu akak duduk luar. Kemudian jadi bini orang. Abang Mie tanggung semua. Mana akak tahu duduk asrama macam mana!"
Berdekah-dekah Azmie mendengar mulut laser Adib yang memang tak mahu beralah kalau bercakap dengan Dayana.
"Haha! Give me five, Abang Mie!" Dua lelaki itu bukan main bertepuk tangan.
"Hesy! Adib memang nak kena cili!"
Gerbang keluar masuk kawasan perumahan yang rata-rata diduduki pelajar kampus itu menjadi sesak. Kereta yang terparkir menjadi berlapis-lapis barisannya. Semua mengambil masa untuk menurunkan barang.
Ada yang mengangkut baldi, ada yang berusung tempat sidai baju, ada yang memikul gulungan tikar atau permaidani. Adib saja yang berlenggang kangkung.
Sewaktu di lobi Sri Harmonis, matanya terlekat pada kelibat seseorang yang sedang terkial-kial mengheret beg beroda.
"Holaaa, jodoh!" Pantas langkahnya menghampiri Esya yang tidak menyedari dirinya diperhatikan. Adib tersengih-sengih menyapa gadis itu.
"Meh la, saya tolong." Adib tanpa memberi salam terus mencapai beg dari tangan Esya.
"Eh, awak!"
"Beratnya! Awak bawa batu ke apa ni?" Adib sendiri terhegeh-hegeh mahu tolong menarik beg yang berwarna merah jambu itu. Payah benar mahu diseret.
"Laaa... Roda terkucil sebelah! Awak ni ganaslah, Esya." Adib mencangkung sambil membelek beg yang hampir tercabut roda sebelah kanan.
Di dalam lif Esya terasa serba canggung. Pendingin hawa macam tak terasa. Berpeluh-peluh Esya yang berdiri di belakang Adib.
"Awak tingkat berapa?" tanya Adib yang mahu menekan butang lif.
"Sembilan."
"Hah? Sembilan juga?"
"Adib unit mana? 9-3-5."
"Oh, saya 9-3-7!"
Damn! Kenapa dia dekat dengan aku? Ya Allah! Bencinya! Terasa berdengung kepala apabila tahu Adib bakal berjiran dengannya. Terus Esya hilang semangat. Bibir terkunci rapat sampailah lif terbuka. Tidak berminat mahu bersembang.
Tersengih-sengih Adib bersorak girang dalam hati! Hahaha, jodoh wei! Jodoh!
"Boleh bawa?" tanya Adib apabila melihat Esya terkial-kial menjinjing baldi, beg kecil dan besi ampaian baju.
"Boleh," balas Esya dengan muka yang tidak dapat disorokkan riaknya. Meluat! Sungguh dia jadi meluat tidak semena-mena.
"Esya, nak tanya sikit boleh?"
"Apa dia?"
"Kenapa awak nak pindah macam angkut barang satu lori, ya?"
"Ikut suka sayalah!"
"Saya tanya aje." Adib dengan muka manis mengekori Esya dari belakang.
"Jangan jaga tepi kain orang. Jaga tepi kain sendiri! Dah letak sini barang saya tu. Lain kali jangan busybody hal saya."
Perlahan-lahan Adib meletakkan beg Esya yang ditariknya itu dekat muka pintu sementara Esya seperti terkorek-korek beg galasnya mencari kunci.
"Esya, saya tak jaga tepi kain orang... Saya nak jaga hati awak aje!" Adib sempat berbisik sewaktu menghampiri Esya.
"Hei, jangan loratlah! Pergi cari jalan pulang cepat!" Esya terkejut dan hampir mengundur ke belakang. Hesy, mamat ni belum apa-apa cari pasal dengan aku di sini! rengus Esya dalam hati.
"Tu, dekat aje! Hari-hari awak sidai kain, saya jaga tepi kain awak, tepi tudung awak, ya!" Adib mengenyit mata nakal sambil jari telunjuknya menghala ke arah nombor pintu rumah yang bertentangan dengan pintu rumah Esya.
Terbeliak mata Esya memandang ke arah nombor itu. Allah! Bencana dan musibah apa pula yang bakal menanti? Kenapalah mamat ni berjiran dengan aku? Bencinya! Sakit hatinya memandang kelibat jejaka yang kurus tinggi itu melangkah masuk ke rumahnya.
"Bye, Esya! Cak!" Adib melambai-lambai sebelum menarik jeriji dan menutup pintu.
Tajam renungan Esya pada Adib. Hatinya semakin bengkak menakung rasa benci yang meluap.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro