BAB 1
PROLOG
Dinda laksana intan permata,
Abang mabuk menahan cahaya.
"H
AH? Apa dia?"
Dayana fikir dia salah dengar.
"Kita ingat kita nak bernikahlah."
Mahu saja terlepas sudip yang dipegang oleh Dayana. Pantas dia menutup api dapur.
"Hah? Nak kahwin?" Dayana yang mahu kacau santan terus terencat mendengar kata-kata Adib.
Mata Dayana mencerlung. Adib dijeling. Lelaki berbadan kurus itu mengangkat kening. Muka nakal itu langsung tak menunjukkan dia bersungguh-sungguh
Dayana geram. Si kurus ni ada-ada saja akal dia! Ingatkan bila dah putus kawan tempoh hari, mahulah dia insaf taubat sekejap. Ini tidak, tiba-tiba datang bawa cerita nak kahwin pula. Sempat rahang Dayana terbuka besar.
"Hei, kau ada ada awek ke? Sejak bila ada girlfriend ni?" Dayana sudah mula menyiasat lagak CSI Miami.
"Haha... Siapa cakap Adib tak ada awek?" Adib mengenyit mata dan mengusik lagi.
"Adib buat-buat terpijak jubah budak-budak tu aje, lepas tu ramai beri salam kat Instagram."
"Gatal! Huh! Kau apa yang ada?"
"Betullah ni. Ingat kita main-main ke?"
Niat memasak Dayana sudah terbantut. Aroma Masak Lemak Cili Padi itu memang betul membelah hidung, tapi kata-kata Si Adib ini buat Dayana hilang nafsu untuk terus memasak.
Dia memandang Adib. Pandang sungguh-sungguh. Eh, sejak bila mamat ni reti fikir nak bina masjid? Buang tabiat atau apa?
"Adib, kau ingat kahwin tu macam main pondok-pondok, ya? Kau ingat kahwin tu macam belanja kau nak main futsal?"
Dayana sudah menarik kerusi. Duduk sekejap menghilangkan rasa terkejut. Kuliah pendeknya bermula.
"Tahulah. Memang kita dah kaji semua. Dah buat kira-kira pakai buku lejar siap. Kak Yana jangan risau."
"Kepala hangguk kau. Akak serius ni, kau main-main."
"Ya Allah, Adib seriuslah ni."
Mulut Dayana mencebik ke tepi. Apa yang dikaji entahlah. Rasanya baru minggu lepas dia minta duit nak buat beli boxer baru!
"Kau nak kahwin, akak nak tanya kau sikit."
Mamat rambut cacak itu tersenyum. Mendidih hati Dayana. Mujur lesung pipit yang dalam itu buat hati cair.
"Apa status Adib sekarang?"
"Bujang."
"Tahulah bujang! Aku luku kepala tu nanti!" bebel Dayana. Adib tersengih tayang gigi macam iklan Colgate.
"Hesy, dah akak tanya status... Jawablah bujang. Takkan duda beranak lima pula!"
"Okey, apa pekerjaan?"
"Studen."
"Oh, studen!" Terangguk-angguk Dayana.
"Apa harta yang kau dah ada?"
"Ada..."
"Ada motor, ada laptop. Hah, tu cincin emas yang kita beli dekat S Wan IOI Putrajaya."
"Alah, yang seketul tu. Takat dua gram tu. Kak Yana picit sekali, bengkok cincin kau tu..."
Adib ketawa besar. Langsung tidak hirau Dayana yang sudah mahu bertukar menjadi Ultraman.
"Huh, dah Kak Yana yang pesan kat adik-adik beli barang kemas masa study. Studen, kan. Mana mampu beli gelang rantai tebal macam sauh kapal tu. Kira berwawasan apa? Kita sejak muda dah beli emas!" Panjang pula dia menjawab. Dayana mengetap bibir geram.
"Calon kau siapa? Ke sugar mummy yang nak bernikah dengan kau?"
"Sama belajarlah. Cuba teka?"
"Sama kampus?"
Adib angguk dengan muka bercahaya. Beria-ia betul.
"Budak engine?"
"Haaa, sama fakultilah. Hahaha... Kalau budak medic, nanti IQ tak sekufu."
"Siapa?"
"Esya."
Mata Dayana berkerut. Esya ni bukan yang hari tu ke? Yang... Aduh, budak Adib ni buat hal lagi! Tepuk dahi Dayana bila teringat sesuatu.
"Budak Esya yang putih-putih tu ke?"
Adib menyeringai. Lesung pipit menambah nakal di wajah.
Dayana terbeliak.
"Yang sekelas dengan kau dekat SBP tu?"
Adib mengangguk laju.
"Kau biar betul? Budak tu lawa, comel. Kau dah tak ada cermin muka ke kat bilik tu? Cuba masuk sekejap, suluh muka tu," bebel Dayana.
"Apa pula? Kita pun handsome apa? Sejak semester pertama kelas tilawah pun tak payah masuk. Quran dalam dada, gitu!"
Adib menjawab sambil tergelak-gelak dan tangannya menepuk dada sendiri.
"Sengal la kau! Akak cakap yang betul ni!"
"Adib cakap ni betullah! Ingat Adib main-main ke?"
"Bukan Esya tu menyampah dengan kau ke zaman kolej dulu? Bukan kau selalu cari gaduh dengan dia?" Dayana bersungguh-sungguh bertanya. Macam banyak sungguh insiden dahulu yang masih lekat dalam ingatannya. Penat dia berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Bagan Datuk, masih terasa-rasa.
"Hahaha... Tu acah-acah aje, kak. Zaman kolej dulu, tawaf satu bangunan kolej tu bukan jalan-jalan cari gaduh. Jalan-jalan cari jodoh tu!" Berdekah-dekah gelak Adib. Sengaja membakar hati kakaknya.
"Tak kuasa aku nak layan kau!" Dayana bingkas bangun mahu menyambung kerja. Hajatnya mahu membuat pengat pisang tanduk.
"Kak, tolonglah. Kita serius ni." Adib menahan. Suaranya bersungguh-sungguh. Dayana menoleh. Wajah Adib direnung dalam. Mata kuyu itu betul-betul minta simpati.
"Ya Allah! Fikir betul-betul, Adib. Nak kahwin, nak tanggung anak orang. Kau mampu ke?"
"Hesy! Mampu zahir batin, kak." Tayang gigi tak sudah Adib. Semenjak pakai pendakap gigi, memang penuh yakin muka Adib kalau tersenyum lebar. Gigi yang berlapis dulu sudah cantik masuk baris.
"Ha, yalah tu. Esok lusa kalau tak ada duit, sengih aje depan bini. Gigi besi kau tu aje tak habis bayar dengan klinik. Ada hati nak bernikah."
"Rezeki Allah bagi. Kak jangan risau." Adib menjawab penuh yakin.
"Hei, kau dengar sini. Ingat kalau buat kenduri kahwin ni cukup setakat seribu dua ringgit ke? Kalau tak ada paling-paling tiga puluh ribu ringgit, kau jangan berangan nak bernikah!"
Dayana betul-betul angin satu badan.
"Apa kau ingat setakat dua tiga ribu, lepas kau buat majlis? Kalau buat macam tu, mahu tujuh keturunan orang mengata. Sampai tujuh bulan bernikah, orang bercakap! Silap-silap sampai anak kau umur tujuh tahun pun orang ingat lagi! Mana nak letak muka hidung ni?"
"Apa mengarut mahal sangat? Kak Yana kira macam mana?" Gaya Adib sudah tidak puas hati.
"Namanya kenduri. Kita buat cara kenduri. Yalah, takkan setakat kenduri pun dah macam nak buat majlis pertabalan sultan? Ingat kita Sultan Melaka apa?"
"Hantaran, duit mas kahwin, cincin batal air sembahyang, khemah, jemputan orang makan. Kau ingat murah? Lembu ke, ayam ke, semua mahal tahu!" cerita Dayana panjang lebar.
"Hah, kau jangan lupa kira GST tau! Sekarang ni semua barang serba mahal. Kalau kau nak belanja dalam dua tiga ribu, silap-silap nak buat majlis hari jadi pun tak lepas, dik oii!"
"Isy, tak adanya nak sampai macam tu. Akak aje lebih-lebih fikirnya. Manalah tak cepat berkedut muka tu!
Mendidih hati Dayana mendengar cara Adib menjawab.
"Cuba fikir dengan akal waras, Adib!"
"Hah, Kak Yana jangan risau. Kita dah fikir dah semua tu."
"Aku cakap serius, kau ingat main-main, ya?"
"Haha... Buat apa jemput orang makan tengah hari? Banyak belanja, banyak kendarat nak pakai. Kita jemput minum petang aje."
"Minum petang?" Kening Dayana seakan-akan mahu bersambung. Haih, dia pusing kot lain dah!
"Kalau kita jemput orang datang kenduri nikah masa minum petang, jimat bajet, Kak Yana. Kita hidang cucur udang, kita hidang lempeng, hidang roti canai, roti jalan, pengat pisang. Confirm berebut orang makan, Kak Yana. Sedap pun sedap. Ni asal kerja kahwin aje, jamu makan nasi minyak, nasi beriani. Klise tu..."
"Tak dibuat dek orang."
"Orang tak buat, kita buat."
Dayana berpaling geram. Kejap lagi ada juga mulut yang kena sumbat dengan sudip ni!
"Kau jangan mengarutlah! Tutup cerita. Matikan cerita! Habiskan ijazah tu dulu baru cerita nak berbini." Tegas suara Dayana. Tapi pantas Adib memintas.
"Alah, Kak Yana dengan Abang Mie pun bernikah muda, kan?"
"Memanglah kami bernikah muda. Tapi Abang Mie dah kerja masa tu."
"Huh!"
"Duit pengajian pun sengkek, macam mana nak tanggung anak orang?"
"Alah, adalah tu nanti. Rezeki Allah bagi."
"Yalah tu. Kau ingat cinta tu boleh buat kenyang, ya? Kau pandang dia kenyang, dia pandang kau kenyang!"
"Kak Yana, sungguh ni... Kita pinang Esya, ya?"
"Kau tu belajar lagi."
"Islam tak larang pun orang tengah belajar bernikah."
Dayana merenung muka Adib. Hilang sudah sengih Si Adib. Eh, bersungguh-sungguh budak ni nak bernikah? Huh, bangun subuh pun sampai nak kena simbah air segelas. Kalau dah tidur petang pukul lima tu tak dikejutkan, sampai lima petang esok dia masih terbongkang. Itu pun kadang-kadang Dayana intai-intai, kotlah dah tak bernafas. Tidur macam orang mati! Tak bangkit-bangkit. Ni ada hati nak jadi laki orang!
Ah! Adib, bukan boleh pakai mamat ni! Perangai kartun tak habis-habis. Sengih sana seringai sini. Merapu, merepek aje lebih! Bukan boleh dilayan!
Dayana menggeleng sendirian.
BAB 1
Adik baharu, abang pun baharu,
Sekali bertemu terasa bahagia.
SELAMAT berhijrah ke tempat baru! Selamat mencipta syurga di Kolej Nusa Putra! Adib menarik nafas panjang sewaktu mendaftar. Mengamati sekeliling. Hijau di sana sini. Ladang sawit, ladang kelapa dan ladang pisang berhamparan sekeliling kolej.
"Huh! Mati kutu! Jadi kumbang mati beraganlah dekat sini!" rengus Adib tanda protes pada hari pertama dia dihantar ke sana oleh Dayana dan Azmie.
"Dapat tawaran tu besyukur ajelah! Ingat senang ke nak masuk sini?" tegur Azmie yang tahu sangat kerenah adik iparnya itu.
"Hei, mak orang lain dapat masuk sini, obsess tahu! Habis satu kolej ni sampai ke pintu tandas, diambil gambar! Bubuh dalam Instagram. Hah, tiap-tiap hari update status IG kisah anak dapat masuk sini. Belajarlah bersyukur," tegur Dayana.
"Alah, itu MBNU! Mak-mak Baru Nak Up! Adib ni mana ada mak! Hah, akak jangan nak buang tabiat, ya! Takat kita masuk kolej ni nak gebang pukul canang cerita kat orang."
"Kurang asam punya Adib!" Tergelak besar Dayana mendengar jawapan Adib.
"Hah, akak pun tak kuasa! Kau bukan boleh percaya sangat! Nanti entah apa-apa dibuatnya!" sambungnya lagi.
"Hah, tahu pun! Alah, takat masuk kolej ke, masuk SBP ke, sekolah cemerlang ke, ingat nanti dah masuk universiti orang nak tanya ke kita dulu SBP mana. Tak ada maknanya! Kat kampus tak ada siapa peduli pun! Bukan ada tulis pun kat kad matriks kita dulu sekolah sekian-sekian. Cool la!"
Banyak perkara yang masih menyerabutkan fikirannya ketika menjejakkan kaki ke situ. Bungkusan plastik dengan timbunan kotak masih lagi memenuhi ruang locker hostel yang baru didaftarnya itu.
Selamat datang ke dorm AL007!
Mujur rakan-rakan satu dorm semua macam sebatian kimia yang sangat meresap!
Adon, Arep, Ijat, Adi dan ramai lagi semuanya tampak sehati sejiwa. Sama-sama malas, sama-sama berjanji lambat ke kelas atau ke surau!
Setiap pagi bila mahu pergi kelas, Adib berasa macam berlumba dengan masa dalam pertandingan mencari harta karun. Sekejap buka kotak ini, sekejap selongkar plastik ini, demi mencari barang yang diperlukan. Azab!
Dalam pada itu, dia tidak mampu menepis satu renungan nan listrik. Adib sedar ada gadis yang sering memerhatikan dirinya di kolej itu. Kalau di makmal selalu dia menangkap kilasan mata gadis itu sedang merenungnya.
Singgah ke surau atau waktu di kafe kolej pun sama. Asyik terserempak saja dengan si dia berwajah bujur, berkulit putih bersih dan mata kecil yang alisnya sangat cantik.
"Siapa dia, hah?" tanya Adib pada Adon dan Arep rakan satu dorm.
"Siapa?"
"Tu, awek cantik!" Mata macam kartika bercahaya! Muncung Adib menghala ke arah gadis di hadapannya. Si cantik manis tersipu direnung begitu langsung tertunduk.
"Oh! Tu Esya," balas Arep.
"Kenapa?" tanya Adon.
"Selalunya mana aku ada, dia ada. Macam ada jodoh!"
"Sengal la kau, Apek! Jangan perasanlah!" Arep yang memanggil Adib dengan nama Apek pantas menyiku lengannya.
"Betullah!" Adib tergelak-gelak nakal. Esya yang menyedari dirinya diumpat, pantas berlalu pergi.
"Mujurlah hidup dekat kolej jauh di hujung benua ni ada jodoh dah menanti. Boleh cuci mata, bersihkan jiwa renung muka dia! Kalau tak, mahu aku rasa hari-hari nak cari lubang tikus ke, panjat pagar kolej ke, pergi lepak makan mi goreng mamak dekat kedai Bombay tu!" Adib dalam sengih-sengih dengan lesung pipit di kiri kanan pipi menambah loya tekak Arep dan Adon mendengarnya.
"Banyaklah kau punya jodoh. Kalau Esya tu tahu kau kaki fly pergi pekan Bagan Datuk, mesti dia rasa choi kau berangan dia jodoh kau!"
Semakin berdekah-dekah Adib tergelak apabila mendengar komen Arep. Esya dan rakan-rakan yang sedang bersembang tidak jauh dari situ jadi tertoleh-toleh.
"Hai, Esya! Hai, sayang!" Adib selamba melambai-lambai ke arah Esya.
Semua gadis yang ada di situ tersenyum-senyum menggeleng. Esya dengan wajah yang merah padam tergamam. Namun semakin berona pipi gadis itu, semakin galak Adib menyakatnya.
Semakin lama di kolej itu, Adib semakin serasi dengan kehidupan di situ. Memang serba-serbi jauh dari bandar. Kalau mahu merasa makan KFC pun harus pergi ke Simpang Empat.
"Sini memang macam dalam Nat Geo la! Kau tengok ni..."
Terbeliak Arep, Adon serta rakan kolej yang lain memandang makhluk-makhluk yang bergerak-gerak dalam baldi Adib.
"Kau gila! Nak bela buat apa ni?" tegur Arep.
Adib terus tersenyum nakal.
"Itu, kita kena bela benda ni semua! Rare kot benda alah ni."
Ada 6 ekor ulat gonggok, dua ekor katak kecil warna hijau belang merah, empat ekor kumbang tanduk dikawankan dengan lima ekor lipas. Semua sudah diserkup dengan plastik yang sudah ditebuk lubang.
"Hoi! Nak buat apa?"
"Haha, bela! Jadi binatang kesayangan gitu!"
"Kepala hangguk Apek ni tau!"
"Kau rasa kalau aku hadiahkan pada buah hati aku, mesti best, kan?"
Arep dan Adon sudah terbeliak biji mata. Siapa?
"Jodoh akulah!" Adib tergelak-gelak sambil menggaru dagu.
"Kau bengonglah, Apek!"
"Aku kalau sayang orang, mesti bagi yang rare! Bagi benda-benda yang hampir pupus ni!" Semakin bertanduk Adib memikirkan sesuatu.
Dalam diam, dalam serabut dan dihambat jadual kolej yang kian menekan, Adib sempat merancang sesuatu. Dikhadamkannya junior perempuan. Baldi yang tertulis nama Esya diseludupnya ke tepi pagar AL007.
Adik junior yang taat seumpama hamba sahaya menurut perintah dengan senang hati selepas dibelanja nasi ayam kampung di kafe. Adik junior disuruh tunggu di luar pagar dorm lelaki. Segala makhluk-makhluk yang tinggal nyawa-nyawa ikan di dalam baldi Adib, berpindah sarang. Dimasukkan ke dalam baldi Esya, ditutup dengan plastik jernih dan di atasnya dibubuh dua helai tuala mandi yang juga ada tertulis nama Esya di penjurunya.
"Ada apa ni, Abang Apek?"
"Alah, saja. Nak bagi surprise sikit."
"Oh! Ada hadiah! Haha... Akak Esya tu awek Abang Apek, ya?"
"Hahaha... Lebih kuranglah!" Adib terseringai nakal.
Dengan penuh lurus bendul si adik junior pantas susup-sasap berjalan menuju ke bilik mandi dorm Esya. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Waktu petang begitu, pelajar perempun yang senior ada usrah di surau.
Sebelum maghrib semua pelajar bergegas mencuri masa untuk cepat-cepat mandi. Di asrama perempuan, Esya menjinjing baldinya masuk ke dalam kamar kecil untuk mandi. Badan letih dan penat, disauknya sahaja baldi yang tersusun di atas para tanpa memandang ke dalamnya. Sampai di kamar kecil baru tersedar.
"Eh, apa pasal ringan baldi ni? Dia menyeluk tanpa memandang. Ada tuala. Kain tuala disangkut ke bahu. Mana gel mandian, mana berus gigi dengan ubat gigi aku? Tangan terus meraba.
"Makkk! Euwww!"
"Katak!!!" Esya terpempan dan tergamam. Kemudian ternampak yang lain-lain pula.
"Lipas!"
"Makkk ulat gonggok!"
"Tolong! Kumbang!" Laungan Esya bagai menembusi langit ketujuh.
Bergema seluruh bangunan asrama pada senja yang hening itu. Bergaung-gaung bunyi tangisan berselang-seli dengan bunyi jeritan Esya. Pintu plastik bilik mandi itu diterjahnya kuat. Tak peduli kalau roboh. Tuala pendek saja yang menutupi badannya. Terlompat-lompat Esya keluar bilik mandi dengan raungan yang tiada taranya.
"Kenapa?"
"Kenapa ni?"
Semua yang berada di sekeliling menyerbu masuk. Esya sudah terjelepok menggigil. Segala makhluk termasuk katak sudah melompat entah ke mana-mana. Lipas-lipas mengganas terbang. Ulat gonggok ada yang sudah penyet terpijak. Bau kumbang tanduk cukup tengik. Busuk melantung. Ada yang tidak sempat mengelak, terpijak kumbang dan akhirnya keluaran cairan hijau yang bukan kepalang busuknya.
Akhirnya berlakulah adegan paling hodoh dan ngeri. Semua pelajar perempuan becempera lari mengelak segala binatang yang tinggal nyawa-nyawa ikan itu.
Pak Hassan yang kebetulan sedang meronda dengan sebatang rotan di tangan terkejut bukan kepalang. Terus bergegas menghala ke asrama perempuan.
"Siapa punya kerja ni?!" jerkah Pak Hassan sewaktu di pekarangan dataran dorm perempuan.
"Baik cepat mengaku!"
"Kalau ditakdirkan tadi ada yang panik, sampai terjun bangunan macam mana? Siapa nak jawab? Awak semua tak ada akal ke?!" jerkah Pak Hassan yang bertugas malam itu.
Seorang pun tidak berdecit berbunyi. Dan sebagai denda, semua pelajar perempuan menengah atas didenda kena duduk berembun dari selesai solat isyak sehingga tengah malam.
"Hahaha, lawak siot!"
"Kenapa?"
"Pak Hassan mengamuk dengan budak perempuan senior."
"Kenapa?"
"Esya melolong masa nak mandi. Dalam baldi dia penuh ulat gonggok, lipas, katak, kumbang," cerita Ijat penuh perasaan.
"Hah? Biar betul!" Adon dan Arep terkejut dan berpandangan sesama sendiri.
"Betullah! Haha... Pak Hassan mengamuk sakan. Berlari dia ke tepi pintu jeriji hostel budak perempuan. Macam raksasa baru keluar dari bumi! Habis bergegar pintu bawah tu. Puan Som kelam-kabut naik ke atas wakilkan Pak Hassan."
Beria-ia Ijat bercerita dan memang seminggu itu nama Esya ngetop di carta gosip kolej.
"Wei, kau punya kerja ya, Adib?" Arep di balik surau bertanya.
"Hesy! Mana aku tahu!"
"Kau yang kutip semua tu, kan?" Adon memaksa Adib mengaku.
"Hei, tak baik tuduh! Mana boleh aku masuk ke dorm perempuan. Hesy, dosa tahu buat fitnah ni!" Adib tergelak-gelak mengelak untuk berterus terang.
"Habis tu, mana datang benda tu semua dalam baldi Esya?" Arep bersungguh menyoal.
"Hesy, benda tu kan bernyawa, ada kaki, ada kepak boleh terbang. Si katak tu boleh lompat. Hah, kan aku dah kata. Esya tu macam jodoh aku! Tu yang semua alien tu cari Esya!" Panjang akal Adib berdalih.
"Huh! Sengal la kau!" Adon mencebik. Arep menggaru kepala yang tak gatal. Tak mampu dia hendak merisik lagi. Logiknya ada! Mana mungkin Adib menyelinap masuk ke dalam dorm perempuan!
Haih! Dua sahabat itu menggeleng.
Di asrama perempuan sewaktu semua hampir tidur, tiba-tiba Esya menjerit sambil membaling bantal ke dinding. Dia tahu waktu itu semua warden ada kenduri tahlil bersama tenaga pengajar yang lain.
"Aku bersumpah! Aku buat solat hajat tujuh hari tujuh malam! Aku baca Yasin 7 mubin! Siapa yang aniaya aku hari tu, memang mati kena panah petir! Tunggulah. Azab Allah S.W.T maha pedih, okey!"
Semua terdiam. Ada yang bersimpati, ada yang menggeleng dan ada yang menekup mulut tersenyum sumbing. Namun dalam ramai-ramai itu, adik junior yang bernama Rita menggeletar tak pasal-pasal.
Assalamualaikum Kak Esya,
Saya nak minta maaf. Minta maaf sungguh-sungguh ni.
Maaf zahir batin ya, kak!
Hari tu Abang Apek kata nak bagi surprise untuk akak.
Dia suruh saya ambil baldi akak.
Saya tak tahu dia bubuh apa.
Saya tak tengok pun. Huh, salah saya. Memang saya ni bodoh agaknya!
Kemudian dia suruh saya letak balik baldi tu kat tempat asal.
Maaf ya, kak.
Errr, maaf juga sebab saya tak boleh beritahu siapa saya.
Nanti saya nak buat solat taubat! Saya nak minta ampun pada Allah S.W.T sekali.
Maafkan saya ya, kak!
Sebaik saja terbaca catatan yang terselit dalam kasutnya yang tersusun kemas di pintu masuk dorm, sekali lagi Esya bertempik
"Adibbb!"
"Apekkk!"
"Puaka kau!"
"Aku sumpah kau jadi katak! Aku sumpah kau jadi ulat gonggok! Aku lenyek-lenyek kau, Adib! Kurang ajar!"
Dendam hanya tertanam tanpa nisan dalam hati. Esya serba salah mahu memanjangkannya kepada pentadbiran kolej. Huh! Aku benci kau, Adib! Aku benci kau! Jeritan itu hanya bergema dan bergaung dalam hati.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro