Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

LELAKI yang berbaju jingga lusuh duduk di penjuru ruang penjara itu sambil tangan menopang dagu melihat tingkap jeriji segi empat yang terletak agak tinggi.

Di sebalik tingkap yang kecil, langit di luar kelihatan terbentang luas. Awan-awan putih gebu berarak perlahan di langit biru, melindungi warga bumi dari teriknya cahaya mentari.

Jack masih tidak berganjak dari posisinya. Dia masih merenung tempat yang sama namun rohnya sudah lama terbang bebas ke tempat lain.

Sejak belakangan ini, melihat ke dada langit sudah menjadi hobinya. Rutin yang wajib dilakukan setiap kali waktu rehatnya di penjara itu tiba.

"Woi, Jack. Perempuan tu nak jumpa kau!" panggil seorang banduan yang berparut di keningnya. Suaranya yang garau itu berjaya memecahkan lamunan Jack yang panjang.

Lelaki itu menghembus nafas lemah. Dia menjeling pegawai polis wanita yang berdiri tegak di sebalik batang-batang besi penjara itu.

"Nombor 1090, Cik Maya Karmila mahu berjumpa dengan awak."

"Cakap dengan dia, aku dah mati." Selamba jawapan balas lelaki itu. Air mukanya dikawal sebaik mungkin supaya tidak terlihat riak kecewanya.

Kali ini, pegawai polis itu pula mengeluh. Dia memegang kejap kepalanya.

"Encik Jack Raymond, awak tahu tak, hampir setiap hari dia ke sini semata-mata nak lawat awak? Awak langsung tak rasa kasihan pada dia?" duga pegawai polis itu.

Jack mengalihkan pandangannya ke tingkap semula. Dia membuat keputusan untuk tidak membalas apa-apa.

"Biarkan je dia, puan polis. Lelaki bodoh macam tu bukannya ada rasa kasihan pun. Sia-sia je cakap dengan dia," celah seorang banduan lelaki yang berbadan sasa. Wajahnya bengis. Di tepi bibirnya tersungging senyum sinis.

Jack masih juga buat tidak dengar. Dia tahu, lelaki yang digelar Abang Long penjara ini memang sangat suka mencari gaduh dengannya.

Namun lelaki itu tak tahu yang Jack bukannya seorang yang mudah tewas dengan perasaan bernama marah.

Air muka Abang Long berubah merah apabila dirinya tidak diendahkan lelaki berbangsa cina itu. Terasa egonya dicabar, maruahnya seakan diperkotak-katikkan.

"Woi, kau pekak ke?!" tengking Abang Long, nyaring.

Banduan-banduan di bilik penjara yang lain sudah ketakutan melihatkan marah Abang Long meletus.

"Sudah, sudah! Berhenti bergaduh! Jack, kalau awak tak mahu berjumpa dia, tak apa. Saya akan terus halau dia sampai awak pun takkan dapat jumpa dia lepas ni." Kata-kata polis wanita itu berbaur ugutan.

Jack pula hanya membisukan dirinya. Memang itu pun rancangan asalnya. Untuk tidak berhubung lagi dengan Maya dan supaya gadis itu memutuskan segala perkaitan tentang mereka.

"Hei, kau! Kau jangan nak bodoh sombong dengan aku sangat. Tak puas ke kena belasah dengan aku hari tu?"

Abang Long mendekati Jack lalu baju jingga itu direntap kasar hingga tubuh Jack terangkat dari duduknya.

Jack merenung dalam-dalam Abang Long, kosong. Sedikit pun tiada rasa gentar untuk lelaki yang berlagak bagus seperti Abang Long itu. Lelaki ini mesti sudah terlalu lama terpuruk di penjara hingga tidak tahu suasana di luar.

Di luar yang lebih dahsyat, lebih menyakitkan daripada terkurung di bilik berjeriji besi ini.

"Kau tak payah berlagak sangatlah. Aku belasah kau hari tu kau tak pernah melawan punkan?" bisik Abang Long, keras di telinga Jack.

Abang Long merasakan semenjak lelaki bernama Jack itu menjejakkan kaki ke sini, namanya semakin buruk malah pengikutnya mula bertukar haluan kepada Jack. Kata mereka, Jack melayan mereka lebih baik berbanding dengan layanan Abang Long kepada mereka.

Dan begitulah seterusnya cerita tentang Jack itu, dan Jack ini. Semuanya baik-baik belaka. Manakala namanya pula semakin busuk gara-gara lelaki itu. Lagipula, Jack melangkah masuk ke penjara itu dengan jenayah yang berprofil tinggi. Seorang ketua mafia yang terkenal dalam kalangan pihak polis.

Jack menepis kasar tangan besar Abang Long, membuatkan pegangan lelaki itu pada bajunya terlepas. Jack menepuk-nepuk baju jingganya dan kemudian kembali melabuhkan punggung di penjuru bilik seperti tiada apa-apa.

"Bro, dahlah." Lelaki yang berparut di kening cuba meredakan ketegangan di hati Abang Long.

"Kau, Lut... Diam!" Menderam suara Abang Long memarahi rakan banduannya. Matanya merah-merah dan dahinya sudah mula timbul urat-urat hijau.

"Kau tak payah berlagak kau hebat sangatlah bodoh! Hanya sebab kau ketua mafia dulu, tak bermakna pangkat kau akan sama kat sini. Faham tak, sial?!"

Pipi Jack ditampar berkali-kali, cuba ingin menarik perhatian lelaki itu supaya tidak terus menjadikan dirinya seperti tunggul kayu.

Lut yang dari tadi cuba menghentikan perbuatannya ditolak kasar hingga lelaki itu terjelepok jatuh ke lantai simen.

Pipi Jack mulai kemerahan dan tepi bibirnya bengkak. Ada darah di hujung bibir itu. Namun sayang sekali, Jack masih membiarkan dan tidak melawan sedikit pun.

Abang Long yang melihatkan kecederaan Jack tersengih sinis sebelum ketawanya meletus kuat. Berdekah-dekah mengisi ruang bilik penjara itu.

Dengan angkuh dan perasaan megah yang merajai hati, dia berpaling memandang setiap orang banduan di penjara-penjara itu. Matanya bulat merenung setiap wajah yang ketakutan itu dengan rasa yang puas.

Kali ini, dia benar-benar merasakan namanya akan dijulang kembali dalam penjara itu. Dia akan jadikan bilik berjeriji besi ini syurga buatnya dan neraka buat mereka.

Jack tersenyum simpul lalu bangun perlahan-lahan apabila Abang Long leka dengan kenikmatan dunia yang dirasakan sudah mampu dikecapinya.

"Zed," panggil Jack. Suara garau itu halus saja mengisi ruang kosong di penjara itu.

Zed, Abang Long itu terdiam. Dengan wajah yang bengis, dia berpaling pada Jack. Penumbuknya sudah bersedia untuk dihadiahkan buat lelaki baru yang telah menghancurkan namanya di penjara ini.

"Panggil aku Abang Long lah sial! Kau tak layak nak panggil nama aku!" jerkah Zed, bengang.

Tiba-tiba Jack ketawa perlahan. Makin lama, gelaknya semakin kuat dan kuat. Seperti ada sesuatu yang menggeletek hati Jack tika ini sehingga dia mampu ketawa terbahak-bahak seorang diri seperti orang gila.

Zed yang keliru, terkedu melihat perubahan sikap Jack yang langsung tidak diduganya sama sekali.

"Wei, bro! Kau buat lawak ke apa ni? Tampar aku sikit je dah boleh buat kau bangga?"

Jack menapak ke arah Zed yang sudah kehilangan kosa kata. Tawa Jack terhenti apabila dia benar-benar berada di hadapan Zed.

"Zed, kenapa kau tak belasah aku macam selalu? Pukullah aku lagi. Pukullah. Aku bosanlah. Bosan, bosan, bosan! At least, bila kau pukul aku, adalah juga rasa sakit daripada tak rasa apa."

Kening Jack berkerut, seolah-olah pelik kerana Zed tidak menggunakan kekerasan kepadanya seperti selalu yang dilakukan lelaki itu.

Zed terus menguncikan mulutnya. Dahinya merenek peluh dingin. Mata Jack yang merenung tajam dirinya cuba dielak seboleh mungkin.

Namun Jack masih tak berpuas hati. Dia menderam kegeraman. Pipi Zed dicengkam kemas dengan jarinya, memaksa lelaki itu bertentangan mata dengannya.

"Kenapa kau tak pukul aku?! Pukul je aku. Pukul! Pukul sampai aku tak boleh bangun. Pukul sampai aku mati! Kau tak dengar ke, bodoh? Belasah aku!" tengking Jack dengan gigi digetap-getap.

Zed pula meringis sakit apabila kuku Jack membenam masuk hingga ke kulit mukanya. Dia merasakan ada cecair panas mengalir di kedua-dua pipinya.

Jack melepaskan cengkamannya lalu berjalan kembali ke tempat biasanya. Wajah tegangnya masih terlukis jelas. Dada lelaki itu berombak kencang namun Jack membuat keputusan untuk kekal diam. Dia malas untuk mencari gaduh dengan tin kosong yang banyak bunyi.

Zed pula jatuh terduduk di tempatnya. Badannya menggigil. Senyuman simpul Jack yang diiringi dengan mata perang kosong itu begitu menakutkan dirinya.

Jack menjeling sekilas Zed yang seakan-akan digari kaki, tangan dan mulutnya. Dia mengukir segaris senyum sinis.

"Diam pun. Memekak je," gerutu Jack.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro