KERETA Mercedes Benz berwarna biru firus berhenti di hadapan sebuah rumah agam yang tersergam indah. Pintu kereta di bahagian penumpang terbuka. Seorang wanita elegan menapak keluar dari perut kereta dengan penuh gaya. Angin sepoi-sepoi bahasa di kawasan bukit itu meniup lembut tudung yang dipakai oleh wanita itu.
Wanita yang berusia dalam lingkungan 50-an itu membetulkan letak duduk cermin mata hitamnya lalu dengan langkah yang berkeyakinan, wanita itu berjalan ke arah pintu utama rumah agam yang sudah terbuka luas. Kasut tumit setinggi dua inci itu berkeletak-keletuk mengetuk lantai.
Seorang lelaki yang lengkap bersut hitam tersenyum manis ke arah wanita itu lalu dengan suara yang lembut, dia mempersilakan wanita bekerjaya itu masuk ke dalam rumah.
"Saya Adrean. Jemput masuk, Puan Sri," ucap Adrean sambil menundukkan sedikit kepalanya. Tangan kanannya diletak ke dada manakala tangan kiri diunjurkan ke dalam rumah.
"Hmm." Hanya itu jawapan balas Puan Sri Naina. Dia hanya menjeling sekilas pembantu peribadi kepada pemilik rumah agam ini. Memang adat di dalam rumah ini tidak perlu membuka kasut jadi Puan Sri Naina terus saja berjalan masuk ke dalam.
Di dalam, seorang pembantu rumah berpakaian seragam hitam dan merah menegur lembut, "Puan Sri, dipersilakan duduk. Tuan Besar masih di dalam bilik untuk bersiap. Harap Puan Sri dapat menunggu sebentar ya." Penuh hemah, gadis yang manis bersanggul itu berkata dengan segaris senyum mesra. Kedua-dua tangannya diletak elok ke perutnya.
Dalam hati, Puan Sri Naina sempat memuji penampilan pekerja di dalam rumah agam ini yang seperti pekerja di hotel bertaraf lima bintang. Namun cepat saja wanita itu menghalau rasa kagum itu. Dia tidak boleh terbuai dengan layanan mereka padanya. Ini semua hanya dusta untuk menutup matanya tentang penipuan mereka!
"Tengah bersiap lagi? Saya ni tetamu dia. Dia perlu hormatkan saya sebagai tetamu. Kenapa saya yang perlu tunggu dia? Kalau dia tu tuan besar dalam rumah ni, sepatutnya... dia tahu adab dia untuk hormatkan orang yang lagi besar dari dia!" Lancang sekali mulut Puan Sri Naina menyoal. Sengaja dia menguatkan suaranya agar penghuni rumah agam itu mendengar sindirannya.
Gadis pembantu rumah itu hanya menundukkan kepalanya. Dengan gaya yang sangat tenang, dia membalas, "Maafkan saya, Puan Sri. Puan Sri boleh duduk di sofa sementara menunggu Tuan Besar. Saya harap Puan Sri boleh bersabar."
Puan Sri Naina memberikan jelingan tajam pada gadis bersanggul itu. "Sabar, sabar. Eh, saya ni penat tau! Ada banyak kerja lain yang saya nak selesaikan dari bazirkan masa dan tenaga saya dengan menunggu tua bangka tu." Pedas kata-kata yang keluar dari mulut wanita elegan itu. Bibirnya meleret senyum sinis.
Pembantu rumah itu akhirnya hanya mampu senyap. Mungkin menyangka dengan cara membisukan dirinya adalah pilihan terbaik untuk mendiamkan mulut lancang wanita bergelar Puan Sri itu.
"Wah, kata-kata kau makin lama makin panas ya, Naina?" Tiba-tiba ada suara tua menegur dari atas tangga. Ketawa si tua itu meletus, geli hati dengan kata-kata wanita itu meskipun jelas sekali Puan Sri Naina sedang mengutuknya.
Puan Sri Naina terkaku. Dia menelan liur mendengar suara itu garau itu. Bulu romanya tiba-tiba saja meremang sendiri. Dirinya yang selama ini cuba menepis jauh perasaan gerun yang datang akhirnya tewas. Mukanya terus saja berubah pucat pabila terdengarkan suara itu.
Namun, Puan Sri Naina cuba berlagak tenang. Riak mukanya dikawal sehabis baik. Dia berpaling ke arah Tuan Besar Malik yang sedang berjalan menuju ke sofa dengan tongkat berwarna emas di tangan. Badan itu masih tegap dan kelihatan sasa meskipun sudah semakin berusia. Wajah itu sudah hilang tegasnya namun mata kuyu itu masih tersimpan bengis.
Lebih-lebih lagi apabila mata berwarna biru kehijauan itu galak merenungnya yang berdiri kaku di ruang tamu. Sebuah senyuman lebar dileretkan.
Setelah Tuan Besar Malik sudah selesa duduk di tempatnya, dia bersuara, "Kau apa khabar, Naina? Sihat?" soal Tuan Besar Malik, lembut.
Puan Sri Naina yang dari tadi terkedu di tempatnya berdehem seketika seraya turut melabuhkan punggung di sofa sebelah tuan rumah agam mewah ini. Dia menjawab dengan suara yang tegas tanpa sebarang senyuman, "Alhamdulillah, sihat saja kalau nak dibandingkan dengan uncle."
Lelaki tua itu menggeleng-gelengkan kepalanya. "Masih sarkastik macam dulu ya? Kau memang tak pernah berubah. Makin keras adalah," puji Tuan Besar Malik sambil terangguk-angguk kagum.
"Uncle tak perlu nak bermanis kata dengan saya. Saya tak terperdaya. Sekarang ni, uncle nak apa daripada saya?" Agak keras suara Puan Sri Naina menyoal. Matanya mencerlung benci pada ayah saudaranya yang kelihatan tenang-tenang saja. Ya, Tuan Besar Malik itu ialah ayah saudaranya tapi bukan sedarah dan sedaging!
Adrean menghulurkan secawan kopi pekat kepada Tuan Besar Malik. Lelaki tua itu menyambut huluran cawan itu lalu ia didekatkan ke bibirnya. Air kopi hitam itu dicicip sedikit sebelum diberikan semula kepada pembantu peribadinya.
"Aku nakkan Haries... macam yang kau tahulah," jawab lelaki tua itu, masih tersenyum.
"Lagipun, ayah kau, Tuan Besar Marzuki dah lama tandatangani perjanjian dengan aku, yang pewaris dari keturunannya akan diserahkan kepada aku. Lagi satu, apa yang kau nak takutkan sangat, Naina? Aku hanya mahukan anak kau menjadi pewaris syarikat aku. Mudah jekan?" terang Tuan Besar Malik sambil menjungkitkan keningnya.
Puan Sri Naina menggigit bibir. Memanglah Haries hanya akan mewarisi syarikat ayah saudaranya, tapi itu juga bermakna yang Haries akan...
Tidak! Aku takkan benarkan Haries jatuh ke tangan mereka! Bisik hati kecil Puan Sri Naina.
Melihatkan Puan Sri Naina berdiam diri, Adrean berdehem, membuat isyarat ingin mencelah. Dia mengeluarkan alat kawalan jauh dari poket sut hitamnya. Dengan sekali tekan, dinding ruang tamu itu terpancar cahaya dari projektor yang telah disetkan.
Di dinding itu, terpapar imej sebuah bangunan tinggi pencakar langit. Puan Sri Naina yang sibuk berfikir kini tanpa sedar turut menumpukan perhatian pada pancaran imej itu.
"Syarikat Malik Jaya telah menguruskan pelbagai cabang industri termasuklah pelancongan dalam dan luar negeri, perhotelan, industri makanan, seni bina dan bermacam jenis industri yang akan diwujudkan dalam masa sepuluh tahun yang akan datang," jelas Adrean sambil menekan-nekan butang di alat kawalan jauh itu, menukar imej di dinding ke slide yang seterusnya.
"Syarikat yang mempunyai cawangan di setiap negeri ini juga mempunyai pelbagai aset penting yang akan diserahkan SEPENUHNYA kepada Tuan Haries jika beliau dapat menguruskan syarikat ini selama sepuluh tahun dengan jayanya," sambung pembantu peribadi Adrean sambil menekankan perkataan 'sepenuhnya' itu. Sempat dia menjeling reaksi Puan Sri Naina.
Wanita itu memang jelas-jelas terkejut dengan kenyataan yang diketahuinya itu. Sepenuhnya? Mulutnya ternganga sedikit, menunjukkan rasa ketidakpercayaannya dengan kata-kata yang keluar dari mulut Adrean.
"Sepenuhnya? Tanpa uncle ambil sedikit pun?" soal Puan Sri Naina seraya merenung wajah ayah saudaranya tanpa berkelip.
Tuan Besar Malik mengangguk lalu tersenyum puas melihat reaksi Puan Sri Naina yang sudah dijangkanya. Wanita itu pasti akan terkejut dan silap-silap, Puan Sri Naina akan terus bersetuju mendengar tawaran yang sangat menarik itu. Ah, memang bukan setakat menarik, tapi menggiurkan juga.
Namun lelaki tua itu tidak terlalu berharap Puan Sri Naina akan terus bersetuju kerana dia juga sangat mengenali sikap anak buahnya. Sejak kecil lagi, Naina yang dia kenal berpandangan jauh, bijak dan bukannya gilakan duit kertas mahupun intan berlian. Malah jika Puan Sri Naina mahu menjadi licik, wanita itu boleh saja menipunya.
"Atas sebab itu, kau wajib batalkan perkahwinan antara Haries dengan perempuan tu. Aku tahu kau sengaja nak Haries berkahwin cepat supaya dia tak dapat mewarisi syarikat akukan?" tebak Tuan Besar Malik dengan rencana Puan Sri Naina yang sudah dalam pengetahuannya.
Puan Sri Naina tersentak. Dia mengangguk lambat-lambat. "Ya, memang saya sengaja suruh dia kahwin cepat-cepat sebab dalam perjanjian tu, pewaris syarikat uncle mestilah belum berkahwin sampailah umur 35 tahun." Nak tak nak, wanita itu terpaksa mengakui. Buat apa hendak menegakkan benang yang basah? Dia perlu bijak bertindak bila berhadapan dengan lelaki tua ini.
Tuan Besar Malik mendekatkan badannya ke arah anak saudaranya itu. Mata biru kehijauannya merenung ke anak mata Puan Sri Naina yang turut tidak mahu kalah dalam perlawanan mata antara mereka berdua. Sikunya diletakkan ke lutut lalu kedua-dua tangan dicantumkan.
"Macam nilah, Naina. Kenapa kau takut sangat nak serahkan anak kau untuk jadi pewaris aku? Dia masih boleh jumpa kau. Dan kalau kau nak, dia boleh je duduk serumah dengan kau. Kenapa kau berkeras sangat? Aku tahu kau tahu sesuatu." Di hujung ayat, suara Tuan Besar Malik kian halus. Bibirnya tersungging senyum sinis.
Dada Puan Sri Naina berdetak kuat. Renungan mata bengis yang membunuh itu seakan-akan dapat melihat segala apa yang bermain di kepalanya. Tak dapat menahan tekanan dari aura yang menggerunkan daripada bapa saudaranya sendiri, Puan Sri Naina lantas bangun dari tempat duduknya.
"Saya nak balik dululah, uncle. Apa guna saya datang tapi sampai sekarang masih tak ada kata sepakat? Tolong jangan ganggu saya lagi. Sekali saya kata takkan, selagi tulah ia takkan!" Tegas dan keras wanita itu menegakkan kata-katanya.
Tuan Besar Malik langsung tidak menghalang. Dia menjatuhkan badannya ke kepala kerusi yang empuk. Jari dibawa ke dagunya yang ditumbuhi janggut nipis.
"Aku tahu kau tahu sesuatu, Naina."
Langkah Puan Sri Naina di muka pintu terhenti. Dia menelan liur. Jantungnya berdegup tak seirama. Tapi sedaya upaya ditenangkan dirinya agar tidak terlihat perasaannya tika ini.
"Sesuatu yang kau tak patut tahu," sambung lelaki tua itu sambil tergelak kecil.
"Saya balik dulu. Assalamualaikum." Tak mahu menunggu lebih lama lagi, Puan Sri Naina melangkah keluar dari rumah agam itu. Membiarkan Tuan Besar Malik di sofa yang masih memerhatinya dari belakang.
Setelah kereta Mercedez Benz itu menderum pergi, Tuan Besar Malik bangun dengan bantuan tongkat emasnya. Sumbing sekali senyum di bibir tua itu.
"And only one from us can win this battle."
Sori lambat!!!! So nak cepatkan sikit cerita ni, author dah start cerita pasal watak2 yang boleh kata memainkan peranan yang penting dalam LBP. Ada satu lagi update! Scroll next chapter! Again, sori. Author rasa kecewa sekolah akan start balik.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro