PINTU bilik wad dikuak lebar. Raihanah menjengukkan sedikit kepalanya, mengintai ke dalam bilik yang sunyi seperti tidak berpenghuni itu. Semacam rasa tidak enak menjentik tangkai hati.
Debar di dada semakin menjadi-jadi apabila pandangannya disapa seorang lelaki kurus tinggi lampai yang sedang duduk di birai katilnya. Kepalanya terhala lurus ke arah dunia luar menerusi cermin tingkap.
Raihanah menelan liur apabila lelaki yang kelihatan lemah itu menoleh sedikit ke sisi. Terkejut apabila lelaki itu seperti tahu-tahu akan kehadirannya.
Langkah kaki yang baru saja menapak terhenti. Entah kenapa, rasa ragu-ragu hadir bertandang di jiwa. Mungkin kerana dia sudah lama sangat tidak bertemu empunya badan.
Rasanya mungkin sudah hampir sedekad. Jarak masa yang cukup panjang. Jarak waktu yang mampu membuatkan dirinya terasa janggal.
Dan mungkin juga takut.
Suara garau itu tiba-tiba bersuara tanpa memandangnya,
"Misi nak apa lagi? Saya... Saya dah makan ubatlah! Tak perlulah... nak sibuk sangat! Per... Pergi!" marahnya diselang-selikan dengan batuk keras. Lelaki itu memegang kejap dadanya dengan kening yang bertaut, mengekspresikan kesakitan yang mencucuk tajam ke dadanya. Pedih!
Rasa negatif yang datang menyinggah tadi terbang tatkala melihatkan kesakitan lelaki itu. Sakitnya seperti tidak tertanggung, membuatkan hati si gadis lembut. Walauapapun, lelaki itu ialah darah dagingnya. Itu hakikat yang tidak dapat dinafikan lagi.
Raihanah berjalan perlahan ke arah lelaki cengkung itu dengan debaran rasa yang bermacam. Isi perutnya terasa bergelora hebat.
Takut memang ada. Apatah lagi kenangan dia bersama lelaki itu bukanlah sebuah memori manis yang ingin dikenang. Ia kenangan pahit yang ingin dia buang jauh dari ingatan.
Tapi saat melihatkan belakang tubuh itu, hatinya terdetik sesuatu,
Sampai bila? Sampai bila lagi aku mahu menidakkan dia? Sedangkan dia ialah...
"A... Along?" panggilnya. Perlahan. Sangat perlahan hinggakan dia sendiri terkejut dengan suaranya yang entahkan mampu didengar atau tak.
Namun yang pasti, abang kandungnya mendengar suara halusnya itu. Lelaki itu lambat-lambat memalingkan kepalanya sebelum pandangan dua beradik itu terpaut.
Lama. Masing-masing masih terkejut hinggakan tiada kata yang mampu terkeluar dari dua ulas bibir mereka.
"Raihanah?"
Mata itu mulai berkaca dikuasai emosi.
▶️▶️▶️
TANGAN Raihanah dicapai oleh Ruzayn lalu dibawa ke genggaman tangannya. Mukanya tertunduk jatuh ke tangan si adik yang sudah mengeras kerana terkejut diperlakukan sebegitu.
Air mata jantannya jatuh menitis dengan esakan tangis si pendosa yang mulai ingin mengenal erti sesal. Bibir itu terketap-ketap sendiri, cuba menahan rintihannya dari didengar mereka yang berada di luar.
"Hana, maafkan along. Maafkan along. Along salah... Along berdosa." Sungguh-sungguh Ruzayn meminta kemaafan daripada si adik yang dahulunya dibenci sepenuh jiwa raganya. Sehinggakan suatu masa dulu, dia selalu menyangka, selagi nyawa dikandung badan, Raihanah tidak akan pernah dianggap adik.
Namun hari ini, dia rela menjilat ludah sendiri. Memang Ruzayn mengaku, dia seorang hamba pendosa yang tak pernah jumpa jalan pulang. Yang sering terleka dan melatah di kala Tuhan memberi jentikan sayang. Dia hamba yang sentiasa menyalahkan takdir.
Raihanah masih terkedu. Dia tak tahu mahu membalas apa. Badan dan rohnya seperti direnjat elektrik sehinggakan tubuhnya terkaku dan mulutnya terkunci tanpa bicara. Hanya deruan nafasnya saja yang kedengaran.
Namun hati Raihanah tersentuh melihat lelaki yang dia kenal dari kecil lagi sebagai lelaki yang keras hati dan kepalanya itu mengalirkan air mata dan merayu meminta kemaafan daripadanya.
Dia sebenarnya tak pernah menyimpan dendam. Mungkin masih terselit marah namun perasaan itu pudar pabila waktu kian menginjak. Perasaan itu dilupakan begitu saja saat Raihanah menyedari sudah hampir sedekad wajah abang kandungnya tak pernah menjengah kornea mata.
Lagipun, hati Raihanah sendiri dah tak ada ruang lagi untuk menyimpan dendam. Apa yang ada hanyalah kecewa dan sedih. Terkilan.
"Along berdosa dengan semua orang. Dengan ibu, ayah, Hana, dan Raziq. Along tinggalkan tanggungjawab along. Along biarkan amanah yang patut along pegang pada Hana seorang. Along kejam... Along kejam, Hana," ngongoi Ruzayn. Pegangan pada tangan Raihanah semakin dikemaskan.
Kepalanya langsung tidak diangkat. Ruzayn malu! Dia malu dan terhina dengan dosa-dosa dan kesilapan yang pernah dia lakukan dulu. Noda-noda hitam itu seolah-olah terpalit sekali di wajah, memburukkan muka hingga Ruzayn tak punya kekuatan untuk bertentangan mata dengan adik sendiri.
Dia dapat merasakan pabila dia mengangkat mukanya nanti, pasti pandangan jijik yang akan dilemparkan Raihanah.
"Along tahu... pasal ayah?" Takut-takut, Raihanah menyoal, meminta kepastian daripada mulut Ruzayn sendiri walaupun dia sudah tahu jawapannya dari Haries dua hari lepas.
Dia mahu tahu cerita yang lebih jelas daripada lelaki itu. Wajah merah dan cengkung Ruzayn ditenung berani. Dia tekad, jika ia melibatkan ayah, Raihanah tak mahu lemah. Dia harus berjuang untuk tahu segalanya.
Ruzayn tersentak. Genggaman tangannya melonggar saat nama ayah disebut. Tangan Raihanah terlepas namun kali ni, Raihanah pula yang memegang lembut lengan si abang.
"Along tahukan?"
Lambat-lambat, Ruzayn mengangguk.
"Kenapa orang tu nak tangkap along sekali? Hanya sebab hutang?" Suara Raihanah berubah tegas. Tajam matanya merenung Ruzayn, seakan-akan mencurigai abang sendiri.
Bibir Ruzayn terketar. Mulutnya sekejap terbuka kemudian tertutup, seolah-olah ingin menyatakan sesuatu tetapi diserang perasaan ragu-ragu. Pandangan helang dari gadis itu terasa tembus hingga ke kepala.
"Along tak... tak tahu. Tiba-tiba je ada orang datang pukul along dan heret along sampailah ke depan ayah. Along sendiri terkejut nampak ayah masa tu. Ayah... nampak teruk sangat." Suara itu kian perlahan dan bergetar. Badan itu menggigil.
Takut dan gerun saat teringatkan kejadian ngeri yang masih segar luka dan lebamnya di badan. Luka akibat diseksa kejam masih terlihat parut jahitannya. Dan ketakutan yang hadir pada malam itu masih mengejar dan menghantui setiap malamnya.
Raihanah rasa serba salah apabila melihat wajah pucat Ruzayn. Dia melepaskan pegangan perlahan-lahan lalu tersenyum manis.
"Along, Hana minta maaf sebab ungkit pasal malam tu. Hana cuma pelik. Kenapa orang tu nak cari along sampai sanggup kurung along hanya sebab hutang?" Gadis itu menyuarakan pendapatnya. Keningnya bertaut, mula berfikir sendiri.
Dia hairan! Takkan hanya sebab hutang ayahnya yang hanyalah lima ribu ringgit itu pun, satu keluarga hendak dikejar? Pasti ada sesuatu di sebalik kejadian yang terjadi selama ini.
Firasat Raihanah mengatakan... ada rahsia yang masih tersimpan rapi di sebalik penculikan abangnya dan punca si penghutang itu masih ingin mengejarnya tanpa rasa putus asa selama hampir dua tahun.
Rahsia yang hanya akan terungkap dengan berlalunya arus waktu.
▶️▶️▶️
SHAFIRA mencapai alat kawalan jauh lalu punat merah ditekan. Punggung dilabuhkan ke sofa baldu yang berada di ruang tamu dengan mata memandang skrin TV plasma yang mulai berubah terang.
Kudap-kudap dalam balang yang dipeluk bersama dibuka seraya tangannya laju saja mencapai kerepek pedas itu dan disuap ke mulut.
Rangup! Bibir Shafira tersenyum suka, merasa sendiri nikmat makanan yang dikurniakan Tuhan.
"Bismillah mana?" celah seseorang di sebelah yang sedang menaip di komputer ribanya.
Tersedak Shafira mendengar teguran daripada suaminya. Ingatkan Farhan nak buat tak peduli dengan dia, rupanya kena perhati juga.
Gadis itu tersengih-sengih bersalah. Terlupa nak memulakan kunyahan dengan kalimat suci Allah. Huh, memang pedas kena tepat ke hatinya. Sampai perit tekak. Kerepek pedas tu pun tak boleh lawan.
"Bismillahi awwalihi wa akhirihi," bisik Shafira lalu mula menyambung kembali kunyahannya.
Farhan yang dari tadi hanya memerhati tersenyum senget. Tangannya berhenti seketika daripada menaip sebelum tangannya tiba-tiba saja naik mengusap manja kepala Shafira di sebelah.
"Pandai!" Pujian ringkas itu ternyata buat Shafira kembang semangkuk. Terus melebar senyumannya mendengarkan perkataan yang jarang-jarang sekali diberikan kepadanya.
"Maksud doa tu, dengan menyebut nama Allah, di awal dan akhir," ujar Shafira dengan sengihan panjang. Matanya memandang tepat Farhan yang baru ingin menyambung kerja. Mengharapkan reaksi yang sama daripada Farhan.
Lelaki itu tertawa. Pipi Shafira dicuit kecil. "Ni macam dah salah je niatnya. Macam nak suruh saya puji je?" duga Farhan, geli hati melihat Shafira seperti anak kecil yang cuba memancing pujian daripadanya lagi.
"Sebab jarang awak nak puji saya lepas tu usap lagi kepala saya. Usaplah lagi," pinta Shafira, sengaja menggedik dengan pasangan halalnya sendiri. Kepala didekatkan dengan Farhan yang sedang bersama dengan komputer ribanya.
Lelaki itu menggeleng perlahan lalu kepala Shafira ditunjal lembut dengan hujung jari.
"Dah, nak gedik sangat pula. Sana! Tak terlayan nanti." Farhan sengaja menghalau. Dia sudah berura-ura untuk menyambung kembali kerja yang tergendala tadi. Kalau asyik melayan sangat Shafira, dia pula yang terleka nanti.
Haries sekarang pun asyik bising kerana dia selalu melebihkan Shafira berbanding kerja sekarang ni. Farhan mencebik kecil tanpa sedar.
Tahulah jeles aku dah kahwin. Sempat lelaki itu mengutuk sahabat sendiri di dalam hati.
"Ala... awak ni. Gedik sikit pun tak boleh. Saya cari madu lain nak? Madu lelaki?" usik Shafira sambil mengangkat-angkat keningnya. Tawanya meletus tatkala wajah Farhan berubah cemberut.
"Awak nak tengok TV ke tak ni? Kalau tak, tutup," dalih Farhan, sengaja tak nak melayan usikan daripada Shafira yang kadang-kadang buat dia geram. Ikutkan rasa, dah lama kena godam telefon isterinya biar seminggu kena serang virus.
"Hish, yalah... yalah! Nak gurau pun tak boleh?" Kali ni Shafira pula memasamkan wajahnya. Kepalanya sudah terhala lurus ke kaca televisyen plasma berukuran 32 inci itu. Sempat dia mengerling sekilas reaksi Farhan di sebelah namun lelaki itu langsung tidak mempedulikannya.
"Aduh, Fira. Nampak sangat kau syok sendiri," gumam gadis itu, agak kecewa kerana dibuat tak endah. Bukan sengaja ingin mengganggu tetapi sejak pagi tadi, Farhan asyik menghadap komputer riba. Apabila tiba waktu solat dan makan saja, lelaki itu akan berhenti. Lepas tu, pasti akan sambung kerja balik.
Macam sibuk sangat!
Asyik lebihkan kerja dari aku. Ni mesti Haries. Ish, musuh rumah tangga betul Haries tu. Aku potong gaji nanti. Gerutu hati Shafira. Merungut-rungut pada diri sendiri. Skrin TV sudah tak dipedulikan lagi. Dia lebih sibuk melayan rasa terkilan. Kenapalah sensitif sangat sebulan dua ni? Bendera merah naik agaknya.
Tapi takkanlah berlarutan sampai berbulan? Ah, Shafira malas mahu ambil peduli. Diakan memang dari dulu sensitif.
Farhan melepaskan hembusan nafas panjang. Dia mengerling Shafira yang sudah memuncung sendiri. Kalau perempuan lain buat perangai begini depan dia, awal-awal dia cabut dulu. Tak sanggup nak melayan sangat.
Tapi, sebab Shafira...
Lain.
Farhan meletakkan komputer ribanya ke meja bulat di ruang tamu lalu rambut Shafira yang diikat ekor kuda itu ditarik lembut sehingga kepala itu jatuh ke ribaannya.
Tangan besarnya mula mengusap lembut ubun-ubun si isteri. Dia memang bukan suami yang terbaik sebagaimana Rasulullah, namun jika cara ini mampu menggembirakan hati bidadari syurganya, dia tak kisah bermanja walaupun tak biasa.
Shafira terkedu seketika sebelum tersengih-sengih. Gadis itu memandang Farhan yang masih setia mengusap kepalanya. Terasa kehangatan kasihnya seorang suami di situ.
"Alalala... Manisnya suami saya ni. Nak cair hari-harilah macam ni!" Sempat pipi Farhan dicubit kecil namun pantas saja lelaki itu menepis.
"Fira, awak nak tengok cerita apa ni? The Conjuring?" soal Farhan apabila melihat night movie malam itu merupakan cerita hantu, genre yang paling Shafira ingin elak untuk tonton lebih-lebih lagi pada waktu malam.
"Eh, tak nak! Buka beritalah!" arah Shafira. Hampir saja dia ingin terbangun kerana terkejut tapi cepat-cepat dia landaikan kembali kepalanya ke riba Farhan.
Takut sekali dia angkat kepalanya, terus Farhan tak mahu pelawa lagi ribanya kepada Shafira. Penat saja dia merajuk tadi.
Farhan hanya akur. Dia membuka berita tengah malam. Di kaca televisyen, pembaca berita yang berpakaian segak itu mula berbicara tentang topik seterusnya.
"Ramai yang tidak berpuas hati dengan keputusan pihak polis mendakwa tokoh usahawan terkenal, iaitu CEO syarikat Haiy Travels Sdn. Bhd. merupakan dalang kepada pengurungan dan penyeksaan ke atas mangsa-mangsa... "
Shafira dan Farhan khusyuk mendengar. Mereka masing-masing ralit membuat spekulasi sendiri. Spekulasi yang saling bertentangan.
"Kesiankan dekat Datuk tu? Gelap masa depan dia sebab kena tuduh sampai macam tu sekali," luah Shafira, kecewa. Riak wajahnya jelas terlukis simpati.
"Datuk tu, walaupun muda lagi, baik sangat-sangat. Semua pekerja dia sukakan dia. Selalu juga tolong orang susah. Memanglah ramai bising kalau tiba-tiba dia kena tangkap," sambung Shafira.
Farhan berdehem seketika, lupa bahawa isterinya tak tahu menahu tentang kes itu. Nampaknya strategi Sovrano sangat menjadi. Dia tersenyum sinis.
"Memanglah kena tangkap. Salah atau tak, polis kena siasat sebab mayat-mayat tu jumpa dekat basement syarikat dia," ujar Farhan, tenang. Matanya tetap digam pada skrin TV.
"Tapi dah lama kut. Isu ni hangat sangat sampai dua minggu lebih dah. Tak selesai juga. Mesti ramai pandang serong dekat dia lepas reman habiskan?" Shafira dengan kenaifannya meluahkan rasa simpatinya kepada jutawan muda yang dikenalinya sebagai seorang yang terpuji keperibadiannya.
Ramai orang terhutang budi dengan lelaki itu. Lelaki yang merupakan usahawan terkenal itu disegani ramai kerana perwatakannya yang lembut dan berbahasa. Tidak pernah memandang rendah orang yang kurang bernasib baik dan sering saja terlihat di tepi jalan membantu gelandangan-gelandangan yang memerlukan bantuan.
"Pengaruh kuat, Shafira. Jahatlah macam mana pun, imej dia tetap akan baik," perli Farhan dengan dengusan kasar.
Sebab dia memang dah rancang taktik ni awal-awal lagi. Farhan hanya mampu menyambung dalam hati saja.
Bibir gadis itu tersenyum lebar, suka. "Alhamdulillah, baguslah. Saya tak naklah sebab orang yang dengki dengan dia, dia terpaksa tanggung susah. Tapi memang berani betullahkan orang yang sanggup gunakan basement sebagai tempat kurungan? Agaknya owner syarikat tu dah gila!" komen Shafira, kedengaran agak geram kerana mendapat berita bahawa bangunan itu dibeli dari seseorang pemilik bangunan yang dicurigai identitinya.
Pemilik itu juga didakwa oleh Sovrano bahawa mayat-mayat yang berada di bilik bawah tanah itu adalah kerja si pemilik bangunan. Dan jutawan muda itu tak pernah pun tahu akan kewujudan bilik rahsia itu.
Dan kini, pemilik bangunan itu sedang disoal siasat. Dan pada perkiraan Farhan dan Haries, dua tiga hari lagi, Sovrano akan kembali bebas seperti dulu. Kerana pemilik bangunan itu sendiri ialah anak buah kepercayaan Sovrano.
Hanya sedikit pengakuan, Sovrano akan terlepas begitu saja.
Farhan menyimpul senyum. Bijak, licik! Itulah yang dia dapat katakan sejak mengenali Sovrano, ketua The Oscura. Mengalah? Berundur? Itu bukan Sovrano.
"Awak kenapa, Farhan?" soal Shafira, pelik melihat reaksi wajah lelaki itu yang sekejap berubah riak. Tengok berita saja pun, bukannya tengok drama Korea.
Farhan hanya tersenyum nipis lalu Shafira yang masih merenungnya di atas ribaan diusap lagi kepalanya.
"Shafira, kadang-kadang... manusia tak perlukan topeng pun untuk sembunyikan diri dia yang sebenar."
Semakin lebat kerutan di dahi gadis itu. Tak faham. Apa kaitannya dengan berita yang mereka tengok? Farhan pasti ada sembunyikan sesuatu lagi.
"Awak ni perahsiakan? Tapi tak apalah. Saya tahu, kerja awak." balas Shafira lalu gadis itu mencubit kedua-dua belah pipi Farhan. Tapi pantas saja lelaki itu memegang tangan Shafira, menghentikan perlakuan manja isterinya.
"Shafira..." Baru Farhan mahu menghabiskan ayatnya, Shafira memintas kata,
"Saya faham awak 426." Pendek ucapan Shafira tapi mampu buat Farhan terdiam seketika sebelum bibirnya melebar dengan senyum.
Ah, aku sayang dia. Bisik hati kecil Farhan.
So... Ada orang minta nak scene sweet Shafira dengan Farhan. Harap tak cringey lah ya. Author sejujurnya masih tak biasa nak buat scene yang terlalu bergula macam ni. Huhu... Apa-apa pun, saya akan update lagi satu chapter. In syaa Allah, doakan author pemalas awak ni.
Tapi tau panjang chapter ni berapa?
Dalam 2300+ jugaklah. Sori klu bosan sebab saya takut readers tak suka bab meleret sangat. Dan maafkanlah saya sbb tak pernah bertaubat buat awak tertunggu-tunggu. Uhuk... Uhuk 😭😭😭
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro