Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

LOCENG bergema beberapa kali di dalam rumah banglo setingkat itu. Perbincangan antara Haries dan Farhan tergendala untuk seketika.

Haries menyeluk poket lalu telefon pintar yang sudah diselaraskan dengan kamera di seluruh bahagian rumah dilihat.

Saat melihat skrin, mata Haries membulat. Seorang wanita separuh usia dengan selendang biru firus berdiri di depan pagar rumah.

"Wei, mama aku!" ujar Haries, agak cemas. Keadaan di sekeliling dilihat. Bersepah dengan kertas-kertas kerja, fail-fail laporan dan juga ada terselit gambar-gambar bukti.

"Ya, ya! Aku tolong okey?" Farhan yang faham dengan pandangan Haries bangun dan tangannya mula tangkas bergerak menyusun barang-barang yang berselerak.

Haries turut mengemas sofa yang agak tunggang langgang. Dia semakin tak tentu arah apabila mamanya, Puan Sri Naina tak berputus asa menekan loceng rumahnya.

Pening kepala Haries jadinya. Dia tahu, selagi pintu rumah tidak dibuka, selama itulah Puan Sri Naina akan terus setia membingitkan telinga mereka berdua.

Bukan Haries tak kenal dengan kedegilan pereka fesyen terkenal tanah air itu. Keras kepalanya tak boleh dijangka.

Setelah hampir lima minit, barulah Haries membuka pintu pagarnya dan mempersilakan wanita yang bergelar mama kepadanya masuk ke rumah.

"Hish, Haries ni. Berasap kepala mama ni tunggu kamu bukakan pintu. Nasib baik tak terbakar. Dahlah panas kat luar tu. Kamu buat apa lama sangat nak buka pintu pagar?" bebel Puan Sri Naina dengan dahi yang berlapis. Dahinya yang sudah berkedut dimamah usia itu bermandi peluh.

Haries tersengih bersalah. Serba salah melihat kepenatan yang jelas terpamer di wajah mamanya itu. Dia tahu, Puan Sri Naina baru saja pulang dari bertemu dengan kliennya dari Tokyo. Dengar kata, pelanggan Puan Sri Naina kali ini cerewetnya tak boleh cerita.

"Sori mama. Duduklah dulu. Saya nak buatkan air. Mama nak air apa?" soal Haries setelah mengucup tangan Puan Sri Naina. Sofa baldu di ruang tamu ditepuk-tepuk lembut.

"Ala Haries ni. Takkan air kegemaran mama pun tak..." Kata-kata Puan Sri Naina terhenti apabila Farhan tiba di hadapan mereka dengan sejag air teh ais pudina.

Wanita yang elegan berbaju kurung kelawar itu tersenyum simpul. "See? Han lebih tahu air kegemaran mama tau!"

Haries menghela nafas kelegaan apabila Farhan lebih pantas bertindak. Sebenarnya, malu untuk dia katakan, dia tak pernah tahu cara nak membancuh air teh pudina kesukaan mamanya itu.

Farhan tersenyum nipis lalu mempelawa Puan Sri Naina untuk minum.

"Kamu tengah berbincang pasal kerja dengan Farhan ke, Ries?" soal Puan Sri Naina tatkala melihat sebuah komputer riba berada di atas meja kaca ruang tamu itu.

"Haah, ma. Mama pun nak datang, beritahulah. Taklah kelam-kabut saya nak sambut mama," ulas Haries, ingin mencapai cawan teh di atas meja, ingin turut minum bersama.

Teh buatan air tangan Farhan. Takkan tak mahu!

Namun perbuatannya dihalang oleh Puan Sri Naina apabila tangan wanita itu laju saja menampar lembut lengan Haries.

Haries membuat muka tak puas hati manakala Farhan hanya menjungkitkan bahunya sambil tersenyum senget.

"Oh, dah berapa lama kauorang berdua ni berbincang? Ries jangan pinjam suami orang lama-lama sangat waktu hujung minggu ni. Kesian Shafira, Han asyik lari ke kamu saja." Selamba Puan Sri Naina menuturkan kata. Sengaja ingin memerli Haries dengan kiasan.

Haries yang faham benar dengan maksud tersirat mamanya hanya tersengih-sengih.

"Tak apa, ma. Fira dah bagi green light dekat saya. Dia kata pinjamlah lama-lama pun tapi waktu malam, kena pulangkan baliklah. Rindu," balas Haries, mula nak tergedik-gedik.

Ketawa meletus dari bibirnya apabila wajah Farhan berubah. Mata kelabu gelap lelaki itu merenung tajam Haries, memberi amaran dalam diam.

Puan Sri Naina hanya menggeleng perlahan sambil tersenyum melihat kenakalan anak terunanya yang sangat suka mengusik temannya.

"Dah, dah. Kamu jangan nak kenakan sangat Han tu. Kamu tu hah! Cermin diri dulu. Mama dari tahun lepas bising nak menantu. Sampai ke sudah tak ada pun!" rungut Puan Sri Naina, mula serius.

Haries tersentak. Bibir diketap. Aduh, ingatkan mamanya sudah putus asa tapi nampaknya topik kahwin ni masih hangat lagi dalam ingatan mamanya.

Ah, jika namanya Puan Sri Naina, manalah tahu apa itu putus asa!

Kepala digaru-garu. "Ala, ma. Kenapa nak cepat sangat? Saya baru je umur 28 tahun. Muda lagi. Han pun baru kahwin tiga bulan lepaskan?"

"Eh, tak ada. Mama tak kira. Tahun ni juga kamu kena kahwin. Tak, sebelum umur kamu cecah 28 tahun, kamu kena kahwin. Faham?" Tegas wanita elegan itu dengan renungan membunuh.

"Hish, mama ni kenapa macam terdesak sangat je? Lagipun sayakan mana ada calon lagi. Berilah saya masa sikit," dalih Haries, lebih kepada ingin mengelak daripada berusaha memenuhi permintaan Puan Sri Naina yang dirasakan susah benar untuk dilakukan.

"Dah hampir setahun mama bagi masa. Mana calon kamu tu? Batang kaki pun tak pernah nampak dia jejak dekat rumah mama," bidas Puan Sri Naina, tetap berkeras untuk tidak menerima alasan lapuk daripada Haries itu.

"Ala, mama." Haries cuba buat nengada-ada. Dia merasakan kahwin bukanlah perkara utama saat ini. Umurnya sememangnya tidak layak dipanggil tua. Dia ada masa lebih dari 10 tahun untuk layak digelar Antertu.

"Dahlah, mama malas nak gaduh. Mama datang rumah kamu ni pun sebab nak beritahu mama dah ada calon sesuai untuk kamu. Suka atau tak, kamu kena kahwin dengan dia juga!" Nada suara Puan Sri Naina tegas. Langsung tiada ruang untuk kompromi.

Tidak menunggu lama, Puan Sri Naina menghabiskan air teh pudina di cawannya dan terus berlalu pergi. Sementara Haries pula cuba untuk memujuk mamanya namun usahanya sia-sia. Haries hanya mendapat balasan dingin daripada Puan Sri Naina.

"Dah, tak payah. Mama nak pergi jumpa Datin Maria pula. Terima kasih ya, Farhan. Sedap air kamu." Sempat lagi Puan Sri Naina melambai-lambai ke arah Farhan sebelum terus saja menghilangkan dirinya dalam perut kereta Hyundai merah hatinya.

▶️▶️▶️

FARHAN berlagak seperti tidak memahami kegelisahan di hati sahabatnya itu. Dia menyibukkan diri dengan membawa cawan Puan Sri Naina ke dapur untuk dicuci.

Baginya, bukan keutamaan dia untuk masuk campur urusan Haries dan Puan Sri Naina.

"Han, apa aku nak buat ni?" soal Haries buntu lalu merenung penuh mengharap ke arah Farhan. Namun balasan ringkas Farhan benar-benar membuatkan dia ingin sepak kepala sahabatnya itu.

"Tahniah."

"Kepala lutut kau tahniah. Aku tengah hadapi masalah besar ni. Kenapa tahniah pula?!"

"Dah tu, takziah?" Farhan seakan-akan sengaja ingin mengusutkan lagi kepala Haries dengan berlagak bodoh.

"Farhan, aku tak nak kahwin."

"Uh huh. And I can see that."

Haries menghela nafas kasar. Sejak bila pula sahabatnya jadi sebegini bodoh? Takkanlah sejak berkahwin dengan Shafira, lelaki itu juga sudah terjangkit dengan sikap naif gadis itu?

"Kenapa kau tak nak kahwin? Sebab nak jaga identiti kau?" duga Farhan lalu menuangkan teh pudina yang masih berbaki ke dalam cawan kosong.

Cawan putih bercorak geometri itu dihulurkan kepada Haries yang jelas tertekan dengan berita yang didengarinya oleh Puan Sri Naina.

Haries menyambut huluran itu namun cawan itu hanya dibiarkan saja di tangan. Seleranya untuk minum hilang.

"Indeed. Aku kerja siang malam. Susahlah kalau dah ada isteri. Kau dengan Shafira sebelum kahwin pun banyak timbul masalah. Apatah lagi aku."

Haries menjeling Farhan dengan hujung mata. Tahu Farhan tersentak dengan ayatnya. Benda betul buat apa nak sembunyi?

"Kalau macam tu, cakap jelah tak nak. Kata anak jantan," sindir Farhan, tenang menghirup teh pudina dari cawannya.

Air sejuk yang melalui kerongkongannya benar-benar melegakan dan menyegarkan. Lebih-lebih lagi dengan cuaca panas membahang seperti sekarang ini.

"Aku tak sampai hati. Kalau aku tolak, nanti mulalah mama aku buat ayat sentuh kalbu. Aku tak bolehlah kalau mama aku mula buat macam tu. Aku jadi serba salah," luah Haries dengan dahi yang berlapis.

Argh, tolonglah! Dia ada banyak lagi perkara yang memerlukan akal fikirannya untuk diselesaikan tapi hal perkahwinan ini seperti tak mahu meninggalkan kepalanya.

"Apa aku nak buat ni? Kalau aku tolak..." Ayat Haries tergantung saat sesuatu melintas di kepalanya. Sesuatu yang bernas dan pastinya tak menyusahkan dirinya.

"Aku tahu nak buat apa." Bibir Haries meleret senyum senget. Pelan rancangan yang muncul di kepalanya sesaat tadi disusun rapi dalam ingatannya.

Kening Farhan bertaut. "Apa yang kau nak buat?"

"Buat perempuan tu benci gila-gila dekat aku."

Dan ya! Itu tekad Haries.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro