Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 25

ERANGAN kecil yang meletus di bibir pucat Jazlan mematikan lamunan Haries. Pantas dia bangun dan berdiri di sebelah kepala Jazlan.

Mata lelaki tua itu lambat-lambat dicelikkan. Haries hanya memandang dengan senyuman di bibir. Lega tapi timbul perasaan bimbang di hati.

Bimbang jika kebahagiaan Raihanah akan mati semula apabila Jazlan sudah sedar dari lenanya yang panjang.

Kerana... Ada sesuatu yang gadis itu tak tahu.

Jazlan mengerdip-ngerdipkan matanya. Barangkali masih cuba untuk menyesuaikan anak matanya dengan cahaya yang menerobos masuk tanpa ihsan ke dalam matanya.

Sepasang mata yang pastinya telah terlalu lama tidak melihat dunia.

Raihanah yang terdengar suara kecil ayahnya, pantas terjaga dari lena. Dia turut bangun untuk melihat Jazlan yang sudah sedar. Langsung tak menyedari Haries yang sedang berdiri bertentangan dengannya.

Erangan halus yang berterusan daripada Jazlan benar-benar merunsingkan hati Raihanah. Kerutan yang timbul di wajah lelaki pertamanya membuatkan Raihanah semakin tak keruan.

Wajah kedut si ayah dipegang dengan telapak tangannya. Raut muka Raihanah turut tergambar resah melihat kesakitan yang sedang dilalui si ayah.

Haries pula dari tadi leka menilik wajah Raihanah. Entah kenapa, matanya langsung tak mahu beralih dari wajah lembut itu. Melihatkan air muka Raihanah yang asyik berubah, membuatkan dia terdetik sesuatu,

Aku nak tengok lebih dari ni. Aku nak tengok riak sedih dia, gembira, malu dia. Aku nak tengok semuanya.

Tapi lamunannya lenyap apabila tiba-tiba saja Jazlan bertindak agresif dengan menolak kasar tubuh genit Raihanah.

Gadis itu terjelepok ke lantai lalu mengaduh kesakitan. Entah bagaimana, Jazlan seakan-akan mendapat kekuatan yang luar biasa hingga jarum yang dicucuk ke tangannya ditarik rakus hingga terlerai.

Riaknya bertukar bengis. Dia mengeluarkan bunyi seakan-akan seekor harimau yang sedang berhadapan dengan musuh sejatinya.

Haries yang melihat segera menekan butang kecil di tepi katil, memanggil doktor dan jururawat untuk datang.

Raihanah yang masih terduduk di lantai mendongak memandang ayahnya yang semakin mendekat. Tubuhnya bergetar, jiwanya kecut.

Matanya berair saat pandangannya melekat pada muka Jazlan. Mata itu kosong, bukan seperti ayah yang dia kenal dulu. Bengis di muka Jazlan cukup membuatkan Raihanah tertanya,

Siapa dia?

Jazlan merapati gadis itu lalu tanpa sebarang kata, dia terus saja melompat ingin menerkam Raihanah yang masih terkaku memandangnya.

Rahangnya dibuka luas, seolah-olah ingin menjadikan gadis itu sebagai mangsa gigitannya.

Atau mungkin lebih tepat, sebagai mangsa kanibalnya.

Tapi hajat untuk melunaskan nafsu yang semakin bergelojak tidak kesampaian apabila tiba-tiba saja Jazlan merasakan tubuhnya tergolek ditendang oleh daya yang sangat kuat.

Haries segera memegang erat lengan Raihanah lalu badan yang masih lagi tidak mahu berganjak dari lantai hospital ditarik bersembunyi di belakang tubuhnya.

Raihanah yang masih terpana hanya mengikut gerak laku Haries. Otaknya kosong. Dia tak mampu untuk berfikir apa-apa yang waras saat ini.

Tatkala melihatkan Jazlan masih terbongkok kesakitan, Haries mengambil peluang itu untuk menyuruh Raihanah pergi jauh-jauh dari bilik wad itu.

"Haries, kenapa ayah..."

Lelaki itu memintas, "Hana, really? Do you really think you have time for this? Awak tak nampak keadaan ayah awak tadi? Get out! Now!" Suara Haries naik memarahi Raihanah yang masih ingin bertanya.

Takkanlah gadis itu tak nampak, dia hampir saja menjadi mangsa baham ayah sendiri?

Raihanah yang tersentak dimarahi sebegitu rupa terdiam. Dadanya rasa sakit diperlakukan sebegitu. Meskipun selama ini dia tak kisah dihina dan dicaci maki, tapi dia masih kisahkan keselamatan lelaki yang dia sayang sepenuh jiwanya.

"Saya akan keluar. Tapi janji dengan saya, awak takkan apa-apakan ayah saya. Awak sentuh dia teruk-teruk," Raihanah membiarkan ayatnya tergantung seketika sebelum kembali berbicara,

"Saya takkan maafkan awak, Haries. Takkan! " Suara Raihanah halus namun cukup tegas memberi amaran.

Sinar matanya jelas menunjukkan yang dia tidak main-main dengan kata-katanya.

Lelaki itu terkedu seketika sebelum Haries tersenyum tiba-tiba. Dia suka melihat sisi lain Raihanah yang tidak pernah dia tahu.

Tidak mahu melengahkan lebih banyak masa, tubuh kecil Raihanah ditolak keluar dari bilik hospital.

"Saya janji."

Sejurus selepas pintu wad ditutup rapat, Jazlan yang bagaikan disampuk jin liar itu datang berlari ke arah Haries. Dia menolak lelaki itu hingga mereka sama-sama terjatuh ke lantai.

Apabila mulut Jazlan yang meleleh dengan air liur itu ingin menggigit tengkuknya, Haries dengan tangkas menahan gigitan buas itu dengan lengannya.

Kini lengannya pula yang menjadi sasaran Jazlan. Giginya yang tajam itu menembusi kulit Haries hingga cecair merah hangat mula mengalir dari celah kesan gigitan itu. Sepenuh dayanya, Jazlan cuba mengoyak dan nengunyah-nguyah kulit Haries. Lapar yang hadir benar-benar buat dia gila.

Dia sangat lapar! Dia mahukan lebih!

Kening Haries bercantum. Kulitnya seperti disiat-siat belati. Pedih namun dia biarkan rasa yang mencengkam itu. Mereka bergelut, beradu tenaga. Pada saat itulah, tangan Haries mengambil sesuatu dari ruang poket bajunya lalu sesuatu itu pula disuntik kasar ke peha Jazlan.

Jazlan mengerang sakit apabila merasakan ada jarum kecil melekat di pehanya. Haries mengambil kesempatan itu dengan perlahan-lahan, menolak cecair di dalam picagari itu mengalir ke dalam salur darah Jazlan.

Apabila cecair itu telah masuk sepenuhnya, Haries menarik kasar picagari bersama jarum itu seraya dibaling jauh ke sudut bilik.

Dada Haries berombak kencang. Entahkan penat atau sakit yang merajai derianya hingga buat dia hilang hampir separuh tenaganya.

Haries memandang tangannya. Dia tersengih. Bukan sebab penat atau sakit, tapi kerana darahnya yang makin deras mengalir.

Kesan gigitan Jazlan sangat dalam hingga menampakkan isi kulit Haries sendiri. Jazlan pula sudah terhuyung-hayang sendirian. Kepalanya diserang pening. Nafsu yang terasa membuak-buak tadi lenyap saat dia merasakan badannya mulai lemah.

Beberapa saat kemudian, tubuhnya terus terkulai layu di lantai hospital. Haries tersandar di pintu dengan nafasnya cuba diatur kembali.

Lutut kanannya diangkat seraya lengan yang digigit rakus oleh Jazlan dibiarkan berehat di kepala lutut.

Rambut yang sudah basah dengan peluh diraup ke belakang. Kini, dia pula yang merasakan dia bakal rebah tak lama lagi kerana kehilangan darah yang banyak.

"Aku dah agak jadi macam ni." Bisik Haries. Memang situasi ini sudah pun dalam jangkaannya. Nasib baik dia ada membawa sekali cecair memabukkan itu sendiri dan disediakan terus dalam picagari.

Baru saja dia ingin bangun, tiba-tiba saja, pintu itu ditolak buru-buru oleh salah seorang doktor yang bergegas menuju ke bilik hospital itu.

Dang!!

Tak semena-mena, kepala Haries menjadi sasaran hentakan pintu itu. Makin peninglah dia jadinya. Kini dia pula yang terlentang di lantai.

"Sakitlah woi!" rungut Haries dengan kesedaran yang kian terbang dibawa pergi. Jururawat yang tiba kelam-kabut menerjah ke arah Haries.

"Doctor, too much blood loss!" Jerit jururawat itu tatkala melihatkan darah terus-terusan mengalir dari lengan Haries hingga lantai hospital itu hampir berlopak.

Dalam kesamaran, mata Haries dapat menangkap wajah Raihanah yang datang ke arahnya. Namanya dipanggil-panggil namun dia tak berdaya untuk menjawab.

Haries dapat merasakan ada air mata yang menitik ke wajahnya. Air mata Raihanah.

Dia ketawa dalam hati.

Hilang darah saja, Hana. Bukannya kena tembak mati.

Sejurus itu, Haries merasakan pandangannya kelam dan terus diselubungi gelap.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro