Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

MAJLIS perkahwinan di antara Shafira dan Farhan sangat meriah dengan kehadiran tetamu yang membanjiri halaman rumah Datuk Haidil. Wajah kedua-dua mempelai terhias dengan senyuman kebahagiaan. Begitu juga dengan para tetamu yang lain.

Seorang gadis berselendang kuning datang mendekat ke arah Shafira yang sedang melayan Kak Nurin. Apabila melihatkan seorang gadis asing di hadapannya, Shafira tersenyum ramah ke arah gadis bertudung terang itu. Kak Nurin yang mahu memberi peluang kepada tetamu yang lain mengucapkan tahniah buat kesekian kalinya sebelum mengundurkan diri.

"Hai, Shafira Addina kan?" tegur gadis itu bersama sebuah senyuman nipis.

"Ya, saya. Cik ni siapa? Kawan Farhan ke? Cik nak jumpa dia? Kalau cik nak jumpa dia, saya boleh panggilkan." Shafira sekadar berbahasa. Sempat Shafira berpaling melihat ke arah Farhan yang sedang melayan rakan-rakan bisnes ayahnya.

"Eh, tak payah! Saya datang sini sebab nak jumpa awak je. Kalau saya kata nak jumpa Farhan pun, dia takkan nak jumpa saya," Di hujung ayat, suara gadis itu menjadi sayu.

Shafira terdiam dengan perasaan hairan. Kenapa dia cakap macam tu? Farhan memanglah pendiam dengan orang, tapi dia bukannya jenis yang tidak menghormati orang lain. Omel hati kecil Shafira. Walaupun dia teringin nak tahu makna di sebalik ayat gadis misteri itu, namun dia menahan mulutnya dari melontarkan pertanyaan yang mungkin akan membuatkan gadis itu kecil hati dengannya.

"Oh, ada apa ya cik nak cakap dengan saya?"

"Before that, my name is Zafrina. Call me Zaf. Drop the cik." Tangan dihulur kepada Shafira dan pantas Shafira menyambutnya. Tangan mereka bertaut dan saat itu, Zafrina terus saja menggenggam erat tangan Shafira sehingga gadis itu mengaduh sakit. Tangannya meronta kecil, meminta Zafrina melepaskan tangannya.

Namun Zafrina hanya tersenyum kecil. Senyuman yang penuh kepura-puraan. "Zaf, lepaskan saya. Sakit," pinta Shafira dengan keningnya bertaut rapat.

"Heh, tahu sakit? Habis awak ingat tak sakit ke kalau hak milik kita dirampas orang?"

"Ap...apa awak cakap ni?" Shafira masih sedaya upaya untuk melepaskan tangannya dari genggaman tangan Zafrina. Namun cengkaman Zafrina semakin erat dan kuat.

"Mesti awak tak tahukan? Farhan tu bekas tunang saya. Awak cuma dapat bekas je. Sayangnya," ejek Zafrina dengan mengukir segaris senyum sinis.

"Saya tahu. Tapi saya tak tahu perempuan bodoh yang tinggalkan Farhan dulu awak." Sindir Shafira apabila merasakan Zafrina agak melampau dengannya. Memang Farhan pernah memberitahunya yang lelaki itu pernah ditunangkan namun hanya bertahan selama setahun saja apabila bekas tunangannya itu memutuskan tali ikatan mereka kerana ingin melanjutkan pelajaran.

Dan kisah itu cerita empat tahun lalu. Kisah itu cerita lama. Tiada sebab untuk Shafira rasa tersinggung mahupun kecil hati. Selama hampir 30 tahun hidup di muka bumi ini, takkan lelaki itu tak pernah sukakan sesiapa.

Senyuman Zafrina mati. Wajah mesra yang sengaja dibuat-buat tadi bertukar masam. Sengaja dia menguatkan lagi cengkamannya.

"Kau jangan nak..." Ayat gadis itu dipintas seseorang.

"What's wrong?" Lelaki yang lengkap dengan sepersalinan berwarna biru menegur.

"Farhan." Dua suara yang berbeza menyebut nama yang sama. Masing-masing kelihatan terkejut. Farhan tersenyum mesra lalu tangan Shafira dalam genggaman Zafrina ditarik. Tatkala melihat tangan isterinya merah-merah, dia membawa tangan itu ke bibirnya. Mata redup Farhan merenung tepat ke dalam anak mata Shafira.

"Sorry, Fira. Are you okay?" Penuh lembut dan lunak sekali suara Farhan bertanya.

Darah Shafira naik hingga ke muka hingga membuatkan pipinya memerah dan panas. Segan diperlakukan sebegitu depan orang. Sakit dan pedih digenggam Zafrina hilang begitu saja.

"Hmm, congrats Han. Lepas empat tahun, kahwin juga akhirnya." Ucap gadis berselendang kuning itu, acuh tak acuh. Namun dia berjaya mengawal air mukanya supaya kelihatan mesra.

Farhan ketawa. "Yalah, kalau nak tunggu you, habuk jelah yang I dapat."

Kelihatannya Farhan pun tidak mahu mengalah dalam menjadi seorang pelakon talam dua muka yang berjaya. Zafrina mengetap bibir. Tapi cepat-cepat dia mengoyak senyum paksa.

"You tak tunggu I. Mana you tahu akan dapat habuk saja?"

"I bukanlah bodoh sangat macam you, menunggu dan mengharapkan orang yang pergi datang balik." Perli Farhan lalu tersenyum. Langsung tiada rasa kesal dalam nadanya mahupun dalam senyumannya. Malah ia kedengaran bahagia.

Dan perkara ini amat menyakitkan hati Zafrina. Walaupun memang dialah yang memutuskan tali pertunangan dengan Farhan, namun secara jujurnya, dia masih sayang akan Farhan dan daripada gaya Farhan, dia tahu, lelaki itu takkan dapat mencari cinta lain selain dirinya. Namun ternyata, sangkaannya jauh meleset. Pulang saja dari Toronto, Canada, dia mendapat berita Farhan akan melangsungkan perkahwinannya.

"Cik Zafrina, jemputlah makan. Janganlah bercakap je." Celah Shafira tiba-tiba. Tidak suka benar dengan cara Farhan dan gadis di hadapannya bergaduh. Bibir tersenyum manis tapi cara mereka berbual menunjukkan sebaliknya.

"Eh, maaf. Saya terbuat isteri awak cemburu pula. Maaf, saya pergi makan dulu ya?" Mulut ditutup dengan telapak tangan, menyembunyikan senyuman kemenangannya kerana menyangka sudah berjaya membuatkan Shafira sakit hati. Sebelum berlalu, sempat Zafrina menjeling tajam ke arah Shafira.

Tapi Shafira bukanlah gadis yang sama seperti dulu. Kini, dia sudah pandai mempertahankan dirinya sendiri. Serangan mental daripada Zafrina itu tidak membawa sebarang kesan kepada dirinya.

'PERASAN'.

Semasa Zafrina memandang ke arahnya tadi, Shafira sempat mengejek gadis berselendang kuning itu dengan bercakap tanpa suara. Hanya bibirnya saja yang bergerak menyebut perkataan 'perasan' itu. Memberi tanda kepada Zafrina yang dia sedikit pun tidak terganggu. Dia menghentikan 'perbualan' mereka berdua kerana Farhan dan dirinya sendiri mempunyai banyak urusan lain yang perlu diuruskan daripada melayan gadis itu.

"Saya nak pergi minum airlah. Dahaga." Ujar Shafira sambil tersenyum ke arah Farhan. Tapi tiba-tiba saja Farhan menarik lengan isterinya, menghalang sang isteri melangkah pergi.

"Tangan awak okey tak?" Belakang tangan gadis yang manis berbaju pengantin itu diusap lembut.

Shafira tergelak kecil dengan keprihatinan yang berlebihan daripada suaminya itu. Macam tak masuk akal. Setakat kena genggam saja. Dia pernah merasa lebih teruk daripada ini.

"Ala, awak ni. Risau sangat. Bukannya dia nak patahkan tangan saya pun."

Namun pujukan Shafira langsung tidak mengurangkan kerutan di dahi Farhan. Malah makin rapat tautan di kening lelaki itu. Tangan kanan Shafira dipegang lembut lalu diteliti.

"Awak jangan cakap besar sangat. Zafrina tu nampak saja macam perempuan Melayu terakhir, tapi dia dapat jadi naib juara Taek Won Do peringkat kebangsaan tahu?" Ujar Farhan dengan nada risau. Gelak Shafira mati. Wajahnya berubah pucat.

Tangannya segera dibelek lalu digerak-gerakkan. Selamat saja. Nasib baik!

"Patutlah sakit gila waktu dia genggam tadi. Hish, nasib baik dia tak jahat sangat nak patahkan tangan pengantin baru."

Farhan meletuskan tawanya. "Berani sangat ke dia nak cari pasal dengan," Bibir dirapatkan ke telinga Shafira yang dilitupi tudung. Sebuah senyuman senget terukir lebar.

"426?"

Shafira turut tergelak sama. "Hanya saya seorang saja kut yang berani."

"Oh ya?"

"Haah. Sebab setiap kali saya cari pasal dengan awak, awak akan sentiasa maafkan saya kan? Kan?" Hujung baju melayu Farhan dipegang lalu matanya terus merenung suaminya itu.

"Ya ke? Bila masa?" Dahi Shafira ditunjal lembut.

"As...Assalamualaikum."

Perbualan mereka berdua terhenti. Kepala menoleh ke arah datangnya suara itu. Suasana sunyi seketika tatkala melihat gerangan di hadapan mereka. Farhan yang tidak mahu masuk campur dalam urusan Shafira dan tetamu itu meminta diri untuk melayan para tetamu yang masih berkunjung datang.

"Aku... cuma datang nak cakap... tahniah. Jangan risau, aku sekejap saja kat sini. Nanti aku balik." Tutur gadis yang berjubah dan bertudung hitam itu, tersenyum kelat. Dia tahu, dia hanya tetamu yang tidak diundang. Dia tak sepatutnya datang ke sini apatah lagi dengan beraninya menunjuk muka depan Shafira namun dia tetap tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat hari bersejarah rakan baiknya sendiri.

Shafira hanya senyap melihat Maya di hadapan matanya. Wajah gadis itu semakin lama kian berubah. Nampak semakin berseri-seri dari hari ke hari. Melihatkan kedatangannya tidak mendapat apa-apa sambutan, Maya berpaling, ingin melangkah pergi. Ah, apa yang dia sangkakan? Dah nama pun tetamu tak diundang, bagaimana pula dia akan disambut mesra?

Mata Shafira hanya merenung belakang tubuh Maya yang menapak pergi. Bukan lagi renungan benci. Hanya marah saja. Kedua-dua lengannya disilang ke dada.

"Pergilah makan." Pelawa Shafira.

"Eh?" Langkah Maya terhenti lalu dia menoleh ke arah Shafira. Adakah dia silap dengar?

"Kenapa? Salah ke kalau aku pelawa seorang anak yatim piatu makan sekali? Tak kan?" Kening sengaja diangkat.

"Tak apa ke? Bukan ke kau... kau benci aku?" Soal Maya, tergagap-gagap.

Shafira mendengus kasar dengan wajah yang mencuka. "Jangan banyak bunyi. Dah ajakkan?"

Gadis berjubah itu hampir-hampir saja ingin menitiskan air mata kegembiraan. Walaupun wajah Shafira kelihatan dingin, sekurang-kurangnya, dia disambut juga oleh si pengantin baru itu.

"Thank you, Shafira. Aku doakan kau bahagia sampai hujung hayat." Ucapan itu kedengaran sangat ikhlas yang sememangnya datang daripada hati.

"Hmm," hanya itu balasan daripada Shafira. Gadis itu berlalu pergi untuk melayan tetamu yang lain tapi sempat matanya melirik ke arah Maya untuk memastikan gadis itu benar-benar makan sebelum pulang.

Farhan yang sedang memerhati daripada jauh mengoles senyum lebar. Dia yakin saat Shafira dan Maya berbaik semula seperti dulu akan tiba suatu masa nanti. Moga-moga Tuhan akan memberikan sedikit lagi kekuatan kepada isterinya itu untuk memaafkan Maya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro