Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 19

Empat tahun lalu...

Bungkusan plastik dalam genggaman tangannya dikemaskan, sedang menahan rasa. Kepalanya tertunduk memandang tar jalan. Tidak berani untuk menentang panahan jijik orang kampung.

Panahan yang sering kali dilemparkan kepadanya. Ataupun sesiapa sahaja daripada kalangan ahli keluarganya.

Raihanah tahu, sejak dari kecil lagi, keluarganya sudah dibenci. Tohmahan dan cacian sudah menjadi santapan telinga mereka saban hari.

Masing-masing masih tidak mahu melepaskan mahupun melupakan apa yang sudah berlalu. Masing-masing masih hanya memandang buruknya manusia tanpa mahu menilai kebaikan yang pernah dilakukan. Dan masing-masing lebih suka berpeluk tubuh, hanya menyepi apabila seseorang dikeji.

Pada fikiran Raihanah, begitulah sikap penduduk kampungnya. Dari dia baru setahun jagung mengenal dunia sehinggalah membesar menjadi seorang remaja. Tiada apa yang berubah!

Sesungguhnya, mentaliti mereka masih di takuk lama. Hanya segelintir saja daripada mereka yang terbuka hati menerima.

Tanpa Raihanah sedari, tiba-tiba saja seorang wanita berbadan gempal datang ke arahnya dan membaling segenggam pasir tepat ke mukanya.

"Hei, pembunuh! Kenapa kau tak berhambus saja dari sini? Berani kau tunjuk muka kau?" pekik wanita berambut kusut itu.

Raihanah terbatuk-batuk kecil apabila debu-debu pasir itu masuk ke dalam hidungnya. Bibir yang agak berpasir disapu dengan belakang tangan. Pipi yang pedih terkena batu-batu kerikil yang tajam itu diusap-usap.

Che' Pah!

Raihanah menelan liur melihat wanita itu bercekak pinggang di hadapannya. Mata Che' Pah itu membulat besar. Galak merenung tajam Raihanah yang terkulat-kulat sendiri.

"Saya minta maaf. Saya nak balik rumah," pinta Raihanah, dengar tak dengar. Kakinya ingin melangkah, mengelak dari terus berhadapan dengan wanita itu.

Namun tubuhnya ditolak kasar oleh tangan Che' Pah yang berdebu dengan pasir.

"Kau nak pergi mana hah? Kau pembunuh tahu tak? Kurang ajar kau eh? Mana adab kau? Senang-senang je kau nak pergi?" tengking Che' Pah.

Sinar matanya jelas terlukis benci. Benci yang sangat dalam. Benci yang tiada noktahnya.

Raihanah menggaru kepalanya yang bertudung itu. Tak tahu nak buat apa. Hendak meminta tolong orang kampung, mustahillah mereka akan membantunya. Siapa saja yang sudi?

Tapi takkanlah pula dia nak belasah Che' Pah? Tak baik biadab sebegitu sekali dengan wanita yang lebih tua. Lagipun, Raihanah kasihan dengan wanita berambut kusut itu. Hendak tinggi suara pun dia rasa tak layak untuk dia lakukannya.

Hujung mata Raihanah memandang Che' Pah yang mendengus-dengus sendiri.

Che' Pah tu bukannya waras lagi. Dia dah lama menjadi seorang gila sejak satu-satu anaknya, Marya membunuh diri lima tahun lepas.

"Apa? Apa hah? Kenapa kau pandang aku macam tu? Kau ingat aku gila? Kau tu yang gila, dasar pembunuh. Keturunan jijik! Eee... Kenapa kau masih duduk lagi dekat kampung ni? Patutnya kau sekeluarga pergi merempat dekat tepi jalan," cemuh Che' Pah dengan wajah yang sudah merah-merah. Kakinya dihentak-hentak ke tar jalan, ingin lepas geram.

"Che' Pah, saya minta maaf. Tapi saya betul-betul nak balik rumah ni," ujar Raihanah dengan wajah keruh. Takut pun ada melihat Che' Pah serupa kerbau liar.

Sekali kena tanduk, boleh lebam-lebam tubuhnya nanti.

Che' Pah mengukir senyum sinis sebelum dia ketawa berdekah-dekah seperti dirasuk saka. Berundur setapak Raihanah. Takut-takut air liur Che' Pah merecik ke mukanya.

"Kau mana ada rumah, sial! Kau tu pembunuh! Pembunuh tak ada tempat dekat dunia ni. Patutnya kau mengemis, cium tapak kaki orang untuk minta makan. Tu baru padan dengan pembunuh! Kau faham?" Tinggi suara Che' Pah menghina Raihanah di hadapannya.

Gadis itu yang semakin kecut dengan perilaku Che' Pah hanya mengangguk-angguk faham. Dia mahu pulang ke rumah segera.

Ayam tak boleh biar lama di luar, nanti dah tak segar, fikir Raihanah. Hanya itu yang dibimbangkannya tika ini, bukannya perkara lain.

"Che' Pah! Ya Allah, kau buat apa dekat dengan budak tu?" Kalut-kalut si empunya suara mendapatkan wanita tua itu seraya bahu tubuh tua itu dipeluk kemas.

Matanya menjeling tajam pada Raihanah yang hanya terkebil-kebil seorang di situ. Gigi digetap. Wanita yang menegur itu mendekati Raihanah.

"Kerja kau memang suka kacau orang ya? Kau memang suka buat orang sakit hati dengan kau? Kau dah nampak dia, kau blahlah! Buat apa masih nak tunjuk muka?"

Dahi bersih gadis itu ditunjal-tunjal lalu bahu Raihanah ditolak kasar, berharap gadis itu akan terjelepok jatuh. Tapi Raihanah bukannya lembik. Dia takkan mudah jatuh hanya kerana ditolak dengan daya yang kecil.

Raihanah tidak melawan sebaliknya terus menganggukkan kepala. Sejak kecil dia diherdik. Teruk daripada ini juga dia pernah alami. Mungkin dia memang layak dapat layanan sebegini. Siapa saja suka dengan golongan miskin seperti keluarganya? Siapa saja yang suka rapat dengan keluarga yang pernah ada sejarah kesalahan jenayah?

Masyarakat lebih suka memandang hina tanpa mahu memaafkan. Atas sebab itu, Raihanah rasa layak untuk dicaci. Walaupun yang melakukan kesalahan itu bukanlah dirinya. Keluarganya telah terpalit sekali kerana perbuatan daripada abang kandungnya dulu.

Dan kerana lelaki itu ialah darah dagingnya, Raihanah rela menerima bagi pihak si abang. Dia rela.

"Dah, dah. Jangan layan perempuan bodoh ni. Terencat. Tahunya nak angguk je." Wanita itu menarik tubuh Che' Pah supaya berlalu.

Mulanya Che' Pah membantah kerana masih tidak puas memaki hamun Raihanah. Namun setelah dipaksa, dia ikutkan saja.

Sebelum itu, sempat dia meludah ke muka Raihanah. Gadis itu terundur sedikit, terkejut. Nasib baik hanya terkena sipi-sipi saja. Segera titisan air liur itu dilap dengan tisu.

"Ergh, bau belacan!" bisik Raihanah, geli sendiri lalu berjalan tenang ke rumahnya seperti tiada apa yang terjadi.

▶️ ▶️ ▶️

Bahu Raziah ditepuk lembut oleh Raihanah. Tangannya disambut mesra oleh si ibu. Raihanah melabuhkan punggungnya di sebelah Raziah yang sedang menjahit sesuatu.

"Ibu tengah jahit apa tu?" soal Raihanah sambil melihat kagum jemari ibunya lincah menari di awangan dengan benang dan jarum.

Raziah tersenyum riang. "Dompet ayah. Masa tu ayah mengadu dekat ibu cakap dompet dia dah koyak. Nak minta ibu jahitkan katanya."

"Eee... manjanya ayah nak minta jahitkan pula? Tapi ibu jahit ni bukan dompet yang ayah selalu pakai," usik Raihanah sambil tersengih sumbing.

"Memanglah tak, Hana. Ibu buatkan baru, khas untuk ayah. Hari jadi ayahkan dah nak dekat?" Raziah mengingatkan.

Raihanah menepuk dahi lalu berdecit halus. Sungguh, dia terlupa.

"Hah, lupalah tu!" gurau Raziah pula.

Raihanah hanya ketawa kecil. Mereka berdua membisu seketika. Raziah masih dengan aktiviti jahitannya manakala Raihanah merenung kagum ibunya menjahit. Sejak dulu lagi, kepakaran Raziah adalah kraf tangan.

Gadis itu sangat menghormati Raziah. Wanita tua itu sangat penyayang, setia, tabah, pandai mengemas dan memasak. Baginya, wanita itu serba serbi sempurna pada pandangan mata zahir dan batinnya.

Kadangkala, dia tertanya, sejauh mana kehebatan seorang ibu itu boleh pergi? Setinggi manakah keperibadian wanita itu boleh terbang?

Raziah terlalu hebat untuk diungkapkan dengan kata. Walaupun dilahirkan dengan keadaan tidak dapat melihat dunia, namun kemahiran dan personaliti Raziah benar-benar buat Raihanah jatuh sayang berkali-kali dengan wanita itu.

"Dah, siap!" ujar Raziah lalu dompet kain yang kemas terjahit itu diangkat dari ribanya. Tangan Raziah tergawang-gawang mencari tangan Raihanah sebelum dompet kain itu diberikan kepada anak gadisnya dengan riak ceria.

"Cantik?" soal Raziah, mengharapkan komen yang positif.

Raihanah mengangguk laju walaupun dia tahu ibunya tak mampu melihat.

"Sangat cantik. Mesti ayah suka!" puji Raihanah. Matanya berkaca tak semena-mena melihat wajah ceria Raziah dan hasil tangan wanita itu.

Betapa dia dapat merasakan keikhlasan dan kasihnya Raziah pada suaminya sendiri. Tak pernah menganggap kekurangan menjadi satu kelemahannya untuk membahagiakan seorang suami.

Mata Raihanah tertancap pada bentuk-bentuk di sudut dompet kain itu.

"Braille ke ni, ibu?" soal Raihanah, inginkan kepastian.

Raziah mengiakan. Raihanah membacanya.

RJ.

"Cantik?" soal Raziah lagi.

"Sangat. Kreatif pula tu. Mesti ayah akan simpan dompet ni sampai bila-bila." Raihanah tersengih membayangkan senyuman lebar Jazlan apabila mendapat dompet kain ini.

"Sebab dompet ni menceritakan segalanya tentang keluarga kita," bisik Raihanah lalu dia menyandarkan kepalanya di bahu si ibu.

Hangat. Dia rindu.

▶️ ▶️ ▶️

YA, dia rindu! Sangat-sangat rindu dengan kenangan yang pernah dompet kain ini saksikan. Kebahagiaan, kegembiraan keluarga kecil mereka.

Dompet itu dicium. Air matanya tumpah pada kain dompet itu. Raihanah mengetap bibir, melawan tangisan daripada keluar dari kotak suaranya.

Dompet itu digenggam erat seperti tak mahu lepas. Raihanah takut, jika dia melepaskan, dia bakal merasai kehilangan buat kali keduanya.

Haries yang sedang merenungnya dibiarkan sepi. Raihanah lebih sibuk melayan perasaannya. Lebih senang melayan rindu di dada ini.

Memegang dompet itu seakan-akan mengulang kembali kenangan manisnya bersama keluarga tersayang. Tapi semuanya hilang. Hilang tanpa jejak. Hilang tidak bernisan.

"Saya boleh beritahu awak kalau awak nak tahu pasal ayah awak," ujar Haries, tak mampu nak menahan perasaannya saat melihat sisi kecewa gadis itu yang tak pernah dilihatnya.

Sisi Raihanah yang benar-benar buat dia resah dan gelisah, tidak tentu arah!

"Awak bersubahat dengan penjahat tu sembunyikan ayah saya?" tuduh Raihanah.

"Mana ada! Awak ingat muka lawa macam ni jahat ke?" Haries mempersoalkan sambil jarinya lurus menuding ke wajahnya.

"Ya, sebab muka awak sekarang ni seburuk-buruk manusia!" bentak gadis itu, perlahan.

Haries terdiam. Kata-kata Raihanah menusuk jiwanya. Muka hensem dikata seburuk-buruk manusia?

"Kenapa awak kurung ayah saya? Saya tak sangka awak jahat. Saya langsung tak sangka, baiknya awak pada saya bersebab. Apa untungnya awak ambil orang yang saya sayang?" Raihanah masih terus-terusan menuduh.

Haries tergamam. Dia menggosok-gosok belakang kepalanya. Dia melepaskan keluhan panjangnya. Mungkin dengan berterus-terang, Raihanah akan percaya.

Haries mendekati Raihanah di sofa lalu dia mencangkung menghadap wajah sembap itu. Sinar benci dan kecewa tergambar jelas di mata itu saat pandangan mereka saling bertentang.

"Okey, pertama sekali, maaf sebab kecewakan awak sebab saya bukan orang jahat yang culik ayah awak. Kedua..." Ayat Haries tergantung tatkala Raihanah memalingkan wajah.

Dengusan Haries kedengaran memecah sunyi. Tangannya menarik kepala Raihanah supaya kembali memandangnya.

"Don't ever look away. I want you to see how serious I am now." Nada itu berbisik perlahan namun tegas.

Setelah Raihanah kembali bertentangan mata dengannya, dia menyambung,

"Kedua... saya..." Sekali lagi, bicara Haries terhenti. Tapi bukan kerana Raihanah, tetapi kerana keraguan di hatinya kini.

Dia tak mahu sebahagian identitinya terbongkar, tapi entah kenapa dia juga tak mahu gadis itu terluka dan membencinya.

Walhal, sebelum ini, dia beria-ia mahukan gadis itu membencinya tapi tidak kali ini. Hatinya bergolak sendiri saat melihat Raihanah menangis.

Haries menarik nafas lalu dihembusnya. Dia membuka mulut,

"Saya bekerja dengan polis secara rahsia. Ketiga, dompet tu saya jumpa dekat ayah awak waktu saya jalankan tugas."

Haries lihat dahi Raihanah berkerut. Dia menyambung katanya kembali,

"Keempat, don't cry. Please! Sa... Saya tak tahu nak buat apa kalau awak nangis," ujar Haries, berterus-terang.

"Kenapa saya perlu percayakan awak?" soal Raihanah setelah lama berdiam. Entah kenapa, dia rasa lain apabila Haries melutut di hadapannya dan berusaha menghentikan tangisannya. Sedangkan sebelum ini dia telah terbiasa dihina orang lain.

"Sebab saya ada bukti. Awak berikan saya masa sehari untuk tunjuk bukti tu. I need time because I'm working with my friend. It takes times."

Raihanah membisu sebelum perlahan-lahan mengangguk.

"Awak kena tunaikan kata-kata awak tu," balas Raihanah.

Haries mengangguk-angguk lalu tersengih lega. Sangat lega.

"Saya minta maaf tengking awak. Kali ini, awak pula boleh marah saya. Saya terima." Kepala Raihanah tertunduk.

Haries meletuskan tawanya.

"Kalau macam tu, saya cuma minta awak percayakan saya. Please, trust me. Kalau ada sedikit pun keraguan dalam hati awak, jangan biarkan ia musnahkan kepercayaan awak pada saya," tutur Haries, lembut.

Raihanah menjatuhkan kepalanya, akur. Dia mesti percayakan Haries!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro