Bab 17
SARUNG tangan getah disarung kemas. Haries membuka zip beg plastik lalu dompet lusuh yang masih lembap itu dikeluarkan.
Bau hapak dan hanyirnya darah menusuk hidung dan mencucuk anak tekak. Tapi itu bukanlah penghalangnya untuk melakukan tugas rahsianya itu.
Dompet yang diperbuat daripada kain itu dibelek-belek. Ada benang jahit di sekeliling dompet. Kemas dan elok terletak. Tapi Haries dapat merasakan dompet itu bukanlah dompet yang dibeli dari mana-mana kedai.
Lagipula hiasan dalaman dan luaran dompet itu diperbuat daripada corak kain yang berbeza.
Mata Haries terpaku pada bentuk bulat-bulat kecil di hujung dompet. Matanya mengecil, memaksa ditajamkan penglihatannya untuk melihat dengan lebih jelas bentuk yang diukir dengan benang itu.
0 0
00 00
0
Ibu jari Haries mengusap jahitan itu. Lantas keningnya bertaut. Pelik. Bentuk benang itu bukanlah huruf, bukan juga nombor.
Haries mencapai buku kecil dan sebatang pen lalu tangannya mula laju mencatat maklumat yang diperolehinya setakat ini.
Gambar turut dirakam menggunakan telefon pintar keduanya. Telefon yang digunakan khas semasa dia menjadi seorang LBP.
Haries membuka dompet itu. Walaupun dia sudah tahu, tapi Haries tetap juga mencari kad pengenalan atau kad bank di dalam dompet. Tapi memang tiada.
Duit pula hanya tinggal tiga ringgit dan beberapa duit syiling yang sudah lunyai dan berkarat.
Haries cuba mencari. Mungkin ada sesuatu yang boleh menjadi petunjuk tentang identiti sebenar lelaki kurus itu. Dia membuka setiap zip yang ada, melihat setiap satu ruang yang tersembunyi.
Tapi hampa, memang tiada apa. Klu yang dia jumpa hanyalah bentuk yang terdapat di luar dompet itu. Tiada sebarang gambar mahupun petanda yang akan membawanya lebih jauh daripada bentuk-bentuk yang tidak diketahui maknanya sama sekali.
Haries meletakkan dompet itu di atas meja lalu menyandarkan badannya ke kepala kerusi. Dengusan terlepas dari bibirnya.
"Kau memang bijak, Sovrano. Benda yang kecil pun kau takkan ambil mudah," omel Haries sebelum memasukkan kembali dompet lusuh itu ke dalam beg plastik.
Nampaknya, boleh atau tidak, dia kena juga mencari sendiri makna bentuk-bentuk itu. Tapi jikalau tak mampu pun, Haries memang sudah bercadang untuk membantu lelaki kurus itu bebas dan kemudiannya dihantar saja ke rumah orang tua.
Sedang Haries masih lagi dengan pekerjaannya, telefonnya berdenting. Menandakan ada mesej masuk. Dia melihat skrin.
Mama Garang.
Haries, makanan dekat rumah kamu tu cukup tak? Kesian Hana.
Lelaki itu tertawa. Cis, tadi bukan main lagi wanita itu memarahinya kerana menggunakan telefon untuk berkomunikasi. Tetapi nampaknya wanita kesayangannya itu juga sudah turut terjebak sama.
Jarinya sudah laju menaip, ingin membalas pertanyaan Puan Sri Naina, sekaligus mengurangkan rasa bimbang wanita itu. Makanan di dalam peti sejuk dapurnya tidak pernah berkurang. Sentiasa ada.
Namun tiba-tiba saja, dia teringatkan sesuatu.
Dia pantas menepuk dahinya sebelum beristighfar dengan suara yang kuat.
"Ya Allah, macam mana boleh lupa? Makanan dalam peti sejuk rumah semua Addy dah curi-curi ambil," rungutnya.
Mindanya mula membayangkan lelaki tembam mencuri makanan daripada dapurnya buat stok dalam bilik tidur.
Bukan dia tak tahu. Bukan dia tak larang. Sudah berbuih mulut dan bermacam cara dia mendenda Addy namun nampaknya kelemahan Addy yang dulu amat fobia dengan ular kini menjadi kekuatan lelaki itu.
Pendek kata, Addy dah imun dengan hampir semua dendanya. Ular pun dah boleh kucup mulut dengan mulut kerana Addy tahu ular itu jenis yang terlebih dos manja. Macam Addy jugalah.
Haries berdecit halus. Geram, sakit hati. Nak tak nak, terpaksalah dia pergi beli barang dapur untuk bekalan Raihanah dan Raziq.
Agaknya, seharian mereka hanya menjamah mi segera. Raihanah pun satu. Memang minta kena cubit. Susah sangat nak minta tolong! Pasti alasannya kerana tidak mahu terus menjadi beban.
Addy yang dia tanggung berbulan-bulan tu tak pernah dia rasa menyusahkan apatah lagi Raihanah. Bukannya dia tak mampu. Malah dia lebih dari mampu.
Nafas lemah Haries terlepas. Dia menghantar mesej ringkas kepada Raihanah, memberitahu dia akan datang esok untuk memberikan stok barangan dapur.
"Aku dah rasa macam jadi suami," monolog Haries sebelum menekup wajahnya dengan tangan.
Apalah dia mengarut ni?
"Aduh, Haries. Fokus!" marahnya pada diri sendiri.
Kali ini, telefon bimbit keduanya pula berdering-dering minta diangkat. Haries melihat nama si pemanggil di skrin telefonnya.
Farhan Poyo.
Lantas butang hijau dileretkan sebelum telefon dilekapkan ke telinganya. Pasti lelaki itu memerlukan sesuatu yang mustahak daripadanya atau ingin memaklumkannya sesuatu berkaitan dengan misi pencarian semalam.
Jika tiada apa yang penting, Farhan akan menggunakan nombor telefon pertamanya saja. Tapi jika apa-apa yang berkaitan dengan tugas sebelah malam, Farhan akan memanggilnya menggunakan nombor yang kedua.
"Assalamualaikum, Haries. Esok datang rumah aku. Ada benda menarik aku nak cakap ni."
"Waalaikumussalam. Esok? Lama ke? Sebab aku ada hal esok," beritahu Haries. Hal membeli barang dapur.
"Bergantung. Kalau otak kau jenis otak udang yang berakalkan lembu, mungkinlah lama." Tenang suara itu membalas.
Dari hujung talian, telinga Haries dapat menangkap letusan ketawa Shafira. Seronok sangat gamaknya dapat mengenakan dia.
"Ada Shafira ke kat sana?" soal Haries, sengaja ingin ambil tahu apabila suara lunak itu kedengaran. Asyik dia saja terkena belakangan itu.
"Malam-malam ni jangan tanya pasal isteri orang." Selamba Farhan menjawab.
"Farhan!" Menjerit Shafira mendengar ayat suaminya yang lain macam bunyinya.
"Hei, ada pula cakap macam tu. Yalah, yalah. Aku datang esok. Tapi tak boleh lama sangat sebab tengah hari aku ada hal lain."
Farhan bersetuju dan kemudiannya mematikan panggilan.
▶️ ▶️ ▶️
AHAD. Seawal lapan pagi, Haries sudah bergerak ke rumah Farhan seperti yang diaturkannya semalam. Dia turut membawa dompet lusuh itu di dalam beg silangnya, mahu ditunjukkan apa yang telah dijumpainya kepada Farhan.
Keretanya berhenti di lampu isyarat merah. Jam di dashboard kereta dikerling sekilas lalu. Baru menginjak ke pukul 8.10. Masih banyak masa yang terluang sebelum ke tengah hari.
Tiba-tiba, gajet canggih yang tersimpan elok di poketnya berbunyi nyaring. Haries mengambilnya dari dalam kocek seluar lalu nama si pemanggil dilihat.
"Raihanah?" Nama itu terlepas dari bibirnya. Pelik. Pertama kali gadis itu menelefonnya. Ada sesuatu terjadi ke?
Hatinya berlagu risau. Segera panggilan itu dijawab.
"Ha... Haries, boleh tak awak datang sini. Sekarang?" pinta Raihanah dengan nada berbisik. Suaranya terketar halus.
Dahi Haries berkerut. Irama di dadanya sudah berdetak lain macam. Mendengarkan suara Raihanah yang bernadakan ketakutan itu buatkan mindanya mula membayangkan segala yang tak elok.
"Kejap. Awak duduk dalam bilik awak diam-diam. Kejap lagi saya datang," arah Haries.
"Tapi... Raziq, awak. Raziq ada dekat bawah. Saya tak boleh tinggalkan dia seorang," balas Raihanah, seakan-akan memberitahu yang dia akan melanggar arahan lelaki itu apabila adik kesayangannya masih berada di tingkat bawah. Di dapur pula itu.
Haries berdecit halus. Timbul juga rasa hairan dalam hatinya. Kawalan keselamatan di rumahnya sangat ketat. Agak mustahil untuk perompak mahupun pencuri menceroboh masuk. Lagipula, Black tidak beritahu apa pun.
"Awak nak perkara sama berulang ke? Jangan risau, saya tak jauh ni," pujuk Haries supaya gadis itu tidak bertindak melulu. Mahunya perompak itu bersenjata api, tak ke naya?
"Tapi..."
Haries pantas mencantas kata-kata Raihanah dengan suaranya yang tegas.
"Saya cakap apa, Raihanah? Just stay in your room. Don't defy me!"
Gadis itu terdiam saat digertak sebegitu. Setelah Haries mendengar kata persetujuan daripada Raihanah, barulah Haries memutuskan taliannya.
Lampu merah bertukar hijau. Haries menukar gear lalu stereng dipusing hampir 360 darjah, ingin berpatah semula untuk menuju ke rumah sewanya.
Sementara itu, dia mendail nombor Black secara handsfree. Hatinya semakin berdebar tidak keruan tatkala panggilannya tidak berjawab. Dia mendail nombor Edri namun hampa, masuk peti suara.
Nombor Addy dan Andy turut ditekan tapi keputusannya tetap sama. Tiada siapa yang menjawab panggilan daripadanya.
Haries menumbuk stereng. Air mukanya berubah tegang. Kakinya menekan pedal minyak hingga penunjuk meter di dashboard kereta mendadak naik.
Entah kenapa, raut lembut gadis itu bermain di mata batinnya. Semerta, terlintas sesuatu di lubuk hatinya yang dalam. Sesuatu yang bernama takut.
▶️ ▶️ ▶️
RAIHANAH mundar-mandir di dalam bilik sendiri. Hatinya seakan-akan dilanda ombak tsunami. Rasa takut tumbuh di jiwa. Dia ingin keluar dan pergi menyelamatkan adiknya tapi Haries awal-awal lagi sudah memberi amaran kepadanya supaya berdiam diri.
"Tapi, Raziq. Ya Allah, Raziq." Kuku digigit-gigit.
Hidungnya terasa hangat dan berair. Seakan-akan ada sesuatu akan mengalir keluar. Semakin ingin dia tahan, kian deras pula cecair itu turun dari lubang hidungnya.
"Tak boleh. Aku tak boleh duduk sini dan tak buat apa."
Raihanah bulatkan tekadnya. Dia lambat-lambat menguak pintu biliknya lalu kakinya menapak perlahan-lahan menuruni anak tangga. Apabila tiba di anak tangga terakhir, Raihanah berhenti.
Kepalanya dijengukkan untuk mengintai ke ruang dapur dari sebalik dinding. Jantungnya seakan direntap kasar dari tangkainya tatkala melihat Raziq sudah tiada di dapur.
Bayang adik lelakinya itu menghilang entah ke mana. Hanya segelas susu segar yang berada di meja menyapa pandangannya.
Raihanah pasti gelas susu itu dibancuh sendiri oleh Raziq. Gadis itu melangkah ke ruang dapur lalu nama adiknya dipanggil dengan harapan kanak-kanak lelaki itu akan muncul atau sekurang-kurangnya suara deraman yang sering keluar mulut Raziq yang akan kedengaran.
Suasana di dapur terlalu sunyi. Seolah-olah hanya ada Raihanah di dalam rumah besar itu. Kaki yang masih melangkah menggigil. Hatinya merayu-rayu.
Tolonglah, dia tak kisah apa saja jadi pada dia tapi bukan Raziq.
Dia takut. Bukanlah takut dirinya akan diserang kerana dia sentiasa bersedia untuk itu. Tapi dia takut satu-satunya darah dagingnya yang masih ada pergi meninggalkan dia sendiri.
Raihanah dah tak sanggup untuk menanggung lebih daripada ini setelah acap kali berita kehilangan keluarga tersayang sampai kepadanya. Kehilangan yang bukanlah selamanya dan bukan juga kehilangan sementara.
Tetapi kehilangan yang dia rasa selama ini sesuatu di antara dua. Raihanah tahu dia takkan mampu terus berdiri jika adiknya pula hilang begitu saja.
"Raziq, jangan bergurau macam ni. Jangan buat kakak takut! Raziq!" jeritnya. Air matanya tumpah. Dia benar-benar lemah saat ini.
Cecair merah yang sentiasa ditahan keluar daripada hidungnya dibiarkan saja mengalir dan menitik-nitik ke lantai.
Dang!
Raihanah tersentak. Matanya terus melekat pada sebuah bilik berpintu kayu yang terletak di hujung dapur, punca dari mana datangnya bunyi itu. Haries mengatakan bilik itu ialah stor untuk menyimpan barang lama.
"Raziq?" panggil Raihanah untuk kesekian kalinya. Dengan dada yang seperti dilanda angin kencang, Raihanah tetap berani mengorak langkah mendekati bilik itu.
Tangannya memegang tombol pintu. Sejuk seperti tangannya sekarang. Sebelum memulas tombol pintu, Raihanah mengungkap basmalah.
Belum sempat pintu itu dikuak, tiba-tiba saja Raihanah merasakan ada tangan yang menekup mulutnya dari belakang. Tangannya ingin menyiku orang di belakang namun tangannya segera dikunci kemas pergerakannya.
Desah nafas manusia itu begitu jelas terasa di telinga Raihanah yang sudah sedia ditutup dengan tudung. Gadis itu meronta hebat, minta dilepaskan dengan kadar segera.
"Shhh... Raihanah. Relaks, ni saya." Haries berbisik halus.
Saat mendengar suara lelaki itu, Raihanah semerta berhenti bergelut. Badannya dipusingkan menghadap lelaki itu.
"Haries, Raziq... Raziq." Bibir itu bergetar ketika menutur kata. Matanya berkaca.
"Tak apa. Saya tahu nak buat macam mana. Awak pergi masuk kereta saya. Duduk dalam tu dan jangan keluar, faham?" Panjang arahan Haries.
Raut mukanya sangat tegang. Terlukis marah di air mukanya. Rahang lelaki itu bergerak, menahan marah yang semakin tiba ke kemuncak.
Meski Raihanah ingin membantah, namun mulutnya terkunci. Hatinya gerun melihat riak itu. Bukannya dia tidak pernah melihat Haries marah. Malah selalu. Tapi kali ini marah itu berbeza dari sebelum ini. Sangat berbeza hingga Raihanah terkelu sendiri.
Walaupun berat hati, Raihanah melangkah juga ke luar dan masuk ke dalam kereta. Tolonglah jangan sesuatu yang lebih buruk terjadi.
Tolong jangan hilangkan siapa-siapa lagi dalam hidup aku, Tuhan. Jiwanya merayu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro