Bab 16
TUALA disangkut di atas kepalanya yang masih basah. Tangan Haries mencapai telefon pintar dari meja kerjanya lalu peti mesej dibuka. Daripada Raihanah.
Assalamualaikum, Haries. Maaf ganggu. Kalau tak menyusahkan awak, boleh tak awak beritahu Aunty Naina yang saya duduk rumah awak sekarang ni? Saya takut aunty terkejut kalau tahu daripada saya.
Haries menggosok rambutnya yang basah dengan tuala. Macam mana dia boleh terlupa perkara penting sebegini? Nasib baiklah Raihanah seorang yang peka dengan keadaan sekarang.
Andaikan saja Puan Sri Naina tahu perkara ini bukan dari mulutnya, memang habislah dia! Boleh cair tahi telinganya mendengar bebelan panjang daripada mamanya itu. Silap-silap, kena tarik telinga sekali!
Okey. Terima kasih sebab ingatkan. Nasib baik awak beritahu.
Baru saja ibu jarinya ingin menekan butang 'send', terlintas rasa ragu-ragu. Perlakuannya terhenti seketika. Haries berfikir sejenak sambil membaca kembali ayat yang ditaipnya.
"Hish, macam terlebih baik pula ayat aku," getus Haries lalu pantas memadam kembali dua ayat terakhir daripada mesejnya tadi. Setelah berpuas hati, barulah dia menghantar mesej ringkas itu.
Lima saat kemudian, balasan daripada Raihanah terlayar di skrin telefon pintarnya.
Terima kasih. Maaf sebab selalu susahkan awak.
Lelaki itu menggaru-garu keningnya. Sakit pula kepalanya apabila melihatkan mesej Raihanah yang kedengaran ikhlas dan jujur itu.
Bukannya dia sakit kepala kerana tak suka, tapi sebenarnya lebih kepada rasa bersalah yang telah lama bersarang dalam hati lelakinya.
Gadis itu terlalu baik walau sudah bermacam-macam perkara kejam dia buat terhadap Raihanah.
Haries melihat mesej yang ditaipnya tadi. Ringkas, kedengaran acuh tak acuh saja. Kalau perempuan biasa, mesti dah sakit jiwa melayan perangainya tapi Raihanah masih berlagak tiada apa-apa. Masih mahu berbaik dengannya meski berkali-kali ditolak.
Sebab memang dia bukan gadis biasa, Haries Naim. Hati kecilnya berdetik.
Ya, sebab dia bukan gadis biasa. Haries terpaksa mengakuinya.
Lelaki itu tidak mahu terus hanyut dengan fikiran terhadap Raihanah semata. Dia perlu memberitahu Puan Sri Naina segera tentang keberadaan Raihanah di rumah sewanya.
Percaya atau tidak, tuan rumah itu merupakan sahabatnya sendiri, Farhan. Disebabkan itulah rumah itu telah dibina bilik rahsia di bawah tanah. Farhan jugalah yang membenarkan Haries menyewa di rumah itu.
Haries mencari nombor Puan Sri Naina di dalam senarai panggilannya lalu ia ditekan. Beberapa saat kemudian, panggilannya berjawab.
"Assalamualaikum, ma."
"Waalaikumussalam. Kamu ni kenapa malas sangat ni?" sembur Puan Sri Naina usai menjawab salam.
Haries tertawa kecil mendengar suara tegas itu memerlinya dari hujung talian. Lelaki itu melabuhkan punggungnya di kerusi meja kerjanya.
"Ala, ma. Dah ada teknologi. Lagipun, Haries sibuklah nak turun bawah jumpa mama." Alasan diberi bersama sisa ketawanya.
"Allahu Akbar, kamu ni tau! Sibuk sangat sampai tak sempat turun jenguk mama? Agaknya, kalau kamu duduk jauh nanti, bila mama dah masuk kubur, barulah terhegeh-hegeh datang rumahkan?" sindir Puan Sri Naina.
Tak percaya dengan alasan remeh yang diberikan satu-satunya anak lelakinya itu. Walhal, mereka berada di bawah satu bumbung. Bukannya kena rentas benua pun hendak bercakap dengannya.
Haries tergelak. Geli hati mendengar ayat tangkap syahdu daripada mamanya. Seperti biasa, ayat wanita elegan itu memang sentiasa menusuk ke kalbu. Pedas-pedas!
Jika Haries seorang penembak handal dalam bidang rahsianya, mamanya pula seorang penembak tepat yang takkan melepaskan langsung sasarannya.
"Yalah, yalah. Saya malas nak turun." Lelaki itu mengalah juga. Malas nak berlawan kata dengan Puan Sri Naina yang terkenal dengan sikapnya yang sentiasa ingin menang. Layankan sajalah!
"Dah alang-alang tu, cakap sajalah apa yang kamu nak cakap ni." Wanita separuh usia itu berlembut. Anak sendiri, tidak guna hendak membebel saja.
"Mama, saya cuma nak beritahu yang Raihanah ada dekat rumah sewa saya sekarang."
"Hah?! Kenapa? Kamu buat apa dekat dia!" pekik Puan Sri Naina, terkejut yang amat.
Haries segera menjauhkan telefonnya dari cuping telinga. Pecah gegendang telinga!
"Sekejap, mama naik atas!" ujar Puan Sri Naina. Haries mendengar bunyi tapak kaki wanita kesayangannya kelam-kabut mendaki anak tangga melalui telefon pintarnya.
"Aduh, terlebih semangat pula mama aku ni," keluh Haries.
Beberapa ketika, biliknya diterjah masuk dari luar. Talian sudah lama dimatikan. Di muka pintu, berdiri Puan Sri Naina sambil bercekak pinggang. Dahi yang sudah berkedut itu semakin berlapis jadinya.
"Kenapa? Kenapa Hana boleh ada dekat rumah kamu? Kamu paksa dia duduk sana ya? Kamu nak buat apa dengan dia? Haries, kamu jangan nak main-main ya! Kamu tipu mama, mama sumpah kamu jadi kuali!" bebel Puan Sri Naina sekali nafas.
"Ya Allah, mama! Mana ada saya buat apa-apa dekat dia. Dia ada masalah, saya tolonglah dia. Lagipun, tengok ni! Saya duduk rumah mama, bukan tinggal sana. Lagipun, ada Raziq dekat sana. Mama ni pun, risau sangat!" Haries juga tak mahu ketinggalan dalam memberi hujah-hujahnya.
Puan Sri Naina terdiam. Matanya mengecil memandang anak lelakinya itu. Pandangannya jelas membuktikan dia curiga. Tiba-tiba saja. Mahunya dia tidak terkejut?
"Dia ada masalah apa? Kenapa tak duduk rumah mama je?" soal Puan Sri Naina. Nadanya mulai merendah.
"Apa masalah dia, saya tak boleh beritahu. Mama kena tanya sendiri. Tapi apa saya boleh cakap, dia lebih selamat duduk rumah sewa saya," jawab Haries, tenang.
Sengaja dia tidak menjawab persoalan pertama mamanya. Takut-takut kalau ia akan menambah runsing Puan Sri Naina. Dia juga ingin menjaga privasi gadis itu yang mungkin tidak mahu masalahnya diketahui orang lain.
"Kalau macam tu, mama nak tanya sekarang juga!" gertak Puan Sri Naina. Mahu melihat reaksi Haries.
Tapi lelaki itu tenang saja. Siap menjungkit bahu tanda tak kisah. Bibir Haries tersungging senyum simpul, seakan-akan memberitahu wanita itu yang dia sedikit pun tak takut.
"Tapi, kalau mama nak call, mama call dekat luar ya? Saya sibuk, banyak sangat kerja ni. Okey?" pujuk Haries lalu tubuh molek wanita elegan itu ditolak lembut ke luar bilik.
"Hish, halau mama pula. Kamu ni betul ke tak? Kenapa mama risau tengok kamu ni ya? Kamu jangan main-main. Mama betul-betul nak bersumpah ni!" ugut Puan Sri Naina.
Masih juga memaksa anaknya supaya tidak mengenakannya seperti selalu.
Sukar untuk dia percaya, Haries yang bagai nak mati menolak untuk berkahwin, tiba-tiba saja sudi menumpangkan gadis itu di rumah sendiri.
Apabila Puan Sri Naina berada di luar bilik, Haries pantas mencapai tombol pintu lalu daun pintu ditarik.
Sebelum pintu ditutup, dia sempat mencium pipi Puan Sri Naina lalu bersuara mengusik,
"Mama jangan risau. Anak mama ni takkan jadi kuali. Sweet dreams, ma!"
Belum sempat Puan Sri Naina ingin membalas lebih-lebih, pintu kayu itu ditutup rapat. Siap berkunci lagi.
Mata wanita separuh usia itu membulat, terkejut. Dia bercekak pinggang lalu dengusan kasar terlepas dari bibir tuanya.
"Eee... Budak ni! Geram je kita."
Haries yang terdengar bebelan mamanya dari balik pintu tertawa kecil. Kelakar! Nasib baik ayahnya, Tan Sri Hazman tiada bersama.
Jika tidak, makin galak bebelan Puan Sri Naina.
"Tapi kalau ada Harraz dan Nayra, mesti riuh rumah ni," bisik Haries, tiba-tiba saja teringatkan abang sulungnya dan adik bongsunya yang masing-masing sudah pun mendirikan rumah tangga.
Haries melangkah kembali ke meja kerjanya lalu laci meja ditarik. Sebuah beg plastik yang berisi dompet lusuh dikeluarkan.
Lelaki itu menggeliat sebentar sebelum melabuhkan punggungnya di kerusi.
Bersiap sedia untuk memulakan pencariannya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro