Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 14

LUTUT Raihanah terasa seperti ingin putus kerana sedari tadi berlari. Jantungnya juga seakan-akan ingin luruh dari tangkainya. Meskipun begitu, setiap langkah yang dioraknya tetap laju. Raihanah memaksa dirinya untuk melawan keletihan yang semakin mengambil tempat.

Kepalanya berpaling seketika ke belakang, melihat tiga orang lelaki yang juga punya semangat yang sama seperti dirinya.

Dia ingin terus berlari, dan mereka pula ingin kekal mengejar.

Dada Raihanah berombak ganas. Nafasnya putus-putus kerana bekalan oksigen ke badan yang terjejas.

Beberapa ketika, Raihanah menghentikan langkahan kakinya. Dia menarik nafas dalam-dalam dan dihembusnya kuat. Mencari-cari kembali oksigen yang hilang.

Raihanah memejam mata. Lama, sehinggalah tiga orang lelaki yang mengejarnya mara ke arahnya dan menarik lengannya untuk dibawa bersama.

Raihanah tidak melawan apabila dua orang lelaki menahan kedua-dua lengannya, menghalangnya daripada bergerak.

Dia tiada pilihan lain.

Salah seorang lelaki berdiri di hadapannya lalu pipi Raihanah ditampar kuat. Melepaskan geram mungkin kerana berani-berani melawan mereka. Atau mungkin juga terasa dicabar kerana baru saja dipukul oleh seorang perempuan.

Kepala Raihanah terteleng ke kanan. Pipinya rasa pijar akibat ditampar oleh tangan sebesar itu. Wajah bengis lelaki di hadapannya ditenung dalam.

"Oh, kau masih berani nak pandang aku macam tu? Perempuan bodoh!" tengking lelaki itu dengan gigi digetap kuat. Sakit hati.

"Mana ayah aku?" soal Raihanah, keras.

Lelaki itu menarik kuat tudung Raihanah sehingga gadis itu terdongak. Raihanah hanya menahan rasa apabila lelaki itu meletuskan ketawanya.

"Ayah kau? Kau nak tahu mana ayah kau? Kalau kau nak tahu sangat, apa kata kau ikut je aku?" Kening lelaki itu terangkat, mencabar.

"Cakap jelah kau tak tahu kat mana ayah aku. Yalah, kau bukannya siapa-siapa pun. Kuli batak jekan?" perli Raihanah bersama senyum sinis. Bibirnya terasa pedih, tapi dia tahankan saja rasa itu.

Dua orang lelaki yang sedang memegangnya dari tadi menahan tawa mendengar ayat berani mati oleh Raihanah. Wajah lelaki di hadapannya itu kini berubah merah.

Raihanah yang merasakan pegangan di lengannya melonggar apabila dua orang lelaki itu leka. Inilah peluang dia!

Gadis itu merentap kasar lengannya lalu lututnya menendang celah kelangkang lelaki di depannya. Lelaki di belah kanannya disiku perutnya. Lelaki di belah kirinya ingin menahan Raihanah namun gadis itu tangkas. Kepalanya dihantukkan ke dagu lelaki itu.

Mereka semua kini terundur ke belakang sambil mengerang kesakitan. Raihanah memulakan lariannya kembali dan apabila dia tiba di sebuah padang di kawasan perumahan itu, dia terhenti sekali lagi.

Selagi aku tak lawan, selagi itu mereka akan kejar aku. Fikir gadis itu. Dia tahu, samseng-samseng itu punya semangat yang tak mampu dipatahkan dengan hanya tumbukan biasa.

Dia mengutip batu-batu sederhana besar di tepi jalan. Apabila ketiga-tiga mereka semakin mendekat batu-batu itu dibaling ke arah mereka secara berterusan.

"Argh, sakitlah bodoh!" Jerit salah seorang daripada mereka. Pedih badannya apabila semua batu yang dibaling gadis itu tepat mengena sasarannya.

Raihanah menggenggam pasir-pasir kasar di atas tanah lalu dibaling ke muka mereka. Mereka bertiga berhenti berlari kerana pedih di mata.

"Hish, kau ingat kau akan terlepas ke? Liat betul betina ni!" rungut salah seorang daripada mereka, geram kerana usaha mereka untuk menangkap Raihanah ternyata bukan tugas yang mudah.

Lelaki itu melajukan larian lalu dengan hujung jarinya, baju gadis itu ditarik kasar hingga tubuh gadis itu terjatuh ke tar jalan.

Tanpa berlengah, belakang badan Raihanah ditahan dengan tangannya agar gadis itu tak dapat bergerak apatah lagi mempertahankan dirinya.

Gadis itu meringis sakit tatkala wajahnya bergesel dengan batu-batu kecil yang tajam. Semakin dia meronta untuk melepaskan dirinya, semakin sakit pula yang dia rasa.

"Kauorang tunggu apa lagi? Ambil ubat tu," arah lelaki itu, tegas. Mendengarkan arahan lelaki yang menahannya, Raihanah semakin menguatkan rontaannya.

"Kau nak bagi aku makan apa? Lepas! Lepaslah!"

Dada Raihanah berdebar kencang. Perasaan takut yang amat sangat mencengkam hatinya. Bibirnya bergetar halus. Pandangannya kabur dengan air yang mulai bertakung di tubir mata. Bimbang memalu kuat jiwanya.

Raihanah mengandaikan dirinya mungkin akan diberi ubat yang pelik-pelik. Ubat yang akan membuatkan dia pengsan ataupun khayal. Waktu tu, mereka boleh melakukan apa saja kepada dirinya. Mungkin juga dia akan dirogol, atau dibunuh. Ah, mungkin kedua-duanya sekali!

"Raziq," bisiknya, tergagap-gagap. Mengharapkan adik lelakinya akan datang dengan seseorang yang dapat membantunya.

Tiba-tiba, Raihanah merasakan hidungnya hangat. Dia perasan sesuatu mengalir dari lubang hidungnya. Cecair merah itu turun dan jatuh ke tar jalan.

Kawan lelaki itu memberikan botol merah yang dipenuhi cecair. Lelaki yang menahan tubuhnya tadi menarik kepalanya supaya mendongak. Lalu hujung botol itu didekatkan dengan mulutnya.

Raihanah berdegil. Bibir diketap serapat-rapatnya, menghalang cecair itu dari masuk ke mulutnya.

"Hish, degillah kau ni!"

Pipi Raihanah dicengkam kasar, memaksa mulut itu dibuka. Pantas, cecair di dalam botol itu mengalir turun ke dalam mulut Raihanah. Keadaan gadis itu yang terdongak membuatkan cecair itu berjaya melalui tekaknya.

Lelaki itu menjauhkan diri dari Raihanah dan melihat sendiri gadis itu yang mula pening sendiri sebelum perlahan-lahan, mata itu terkatup rapat.

"Hah, diam pun! Dah, bawa perempuan ni."

Salah seorang daripada mereka menunduk, ingin mengangkat tubuh Raihanah.

Namun tanpa dijangka mereka, tiba-tiba sahaja alarm kecemasan dari setiap rumah di kawasan itu berbunyi nyaring. Menjerit-jerit hingga mencucuk gegendang telinga.

Masing-masing sudah kelam-kabut. Takut-takut pemilik rumah akan terjaga dan akhirnya akan melihat mereka. Dalam kehairanan dan risau, mereka bertiga tetap juga mahu membawa Raihanah pergi dan bersembunyi di mana-mana.

Tapi niat mereka terhenti apabila kali ini, siren polis pula kedengaran. Makin lama, makin kuat. Menandakan polis kian menghampiri kawasan mereka.

"Argh, dahlah! Tinggal je perempuan tu! Bila-bila masa saja orang boleh nampak kita."

Tanpa membuang masa, mereka bertiga berlari menuju ke kereta. Raihanah yang masih kaku di jalan dibiarkan begitu sahaja.

▶️ ▶️ ▶️

APABILA lengannya ditarik oleh Raziq, Haries pantas menahan.

Kanak-kanak lelaki itu memandang Haries. Hairan. Dahinya dikerutkan sambil lengan Haries ditarik-tarik lagi. Tangannya menunjuk-nunjuk ke kawasan perumahannya. Menggesa lelaki itu mengikutnya.

"Ergh... ergh!" desak Raziq dengan sedayanya. Air matanya kembali mencurah turun ke pipi. Raziq benar-benar dapat merasakan kakaknya dalam bahaya.

Cukuplah! Cukuplah dengan apa yang telah dilaluinya selama ini. Dia tak mahu hilang satu-satunya ahli keluarga yang dia ada. Dia sungguh-sungguh tak sanggup untuk hilang tempat bergantungnya.

"Adik, kejap. Relaks dulu. Kita tak boleh terus datang dan serang macam tu saja. Macam mana kalau mereka ada pistol atau pisau?" pujuk Haries lembut.

Bukan dia tak boleh untuk melawan. Tapi dalam keadaan sekarang, jalan lain lebih berkesan daripada sekadar bertumbuk.

"Macam ni. Abang ada idea," ujar Haries lalu mengajak kanak-kanak kecil itu berjalan bersamanya menuju ke kereta.

Raziq berat hati untuk mengikut, tapi dia mesti percayakan Haries. Memandangkan lelaki itu bukan orang lain. Tapi lelaki itu ialah bakal suami kakak kesayangannya.

Cuma Haries saja yang tak mengenali dirinya. Mungkin kerana Raihanah tidak pernah membawa Haries bertemu keluarganya. Atau mungkin Raihanah masih belum cukup bersedia untuk melakukannya.

Setibanya di kereta, Haries mengarahkan Raziq masuk manakala Haries bergerak ke belakang kereta. Dia cuba menghubungi rakan baiknya, Farhan.

Sementara menunggu panggilannya berjawab, tangan Haries mencari-cari sesuatu dari but kereta. Empat biji penyumbat telinga dan dua buah headphone.

"Assalamualaikum. 426, aku perlukan pertolongan kau."

"Waalaikumussalam. Nak apa?" soal 426 lalu menguap panjang. Mengantuk kerana berjaga dari tadi.

Nasib baiklah dia membuatkan keputusan untuk menahan matanya untuk seketika apabila memikirkan Haries memerlukan bantuannya.

"Aku nak kau aktifkan semua alarm kecemasan di setiap rumah. Nanti aku bagi alamat. Kau ada masa 10 minit saja," beritahu Haries lalu dia membuka pintu kereta.

Dua biji penyumbat telinga dan headphone diberikan kepada Raziq. Haries membuat isyarat supaya kanak-kanak lelaki itu memakainya.

Walaupun diburu dengan rasa pelik, Raziq hanya akur. Dia perlu percayakan Haries. Dia mesti!

"10 minit? Nak hack satu taman tu bukan senang," jelas 426, menyatakan keterhadan masa yang diberikan.

"Kalau macam tu, kau aktifkan dekat satu jalan je." Suara Haries setelah terdiam sejenak.

"Okey." 426 bersetuju.

"10 minit tau." Haries mengingatkan.

Setelah itu, Haries segera memboloskan dirinya ke dalam kereta. Dia mencari-cari sebuah nota kecil dan sebatang pen lalu diserahkan kepada Raziq di tempat duduk di sebelahnya.

"Tulis alamat adik dengan jalan sekali. Ingatkan?"

Raziq hanya mengangguk dan menulis alamat penuhnya. Nasib saja dia ingat. Kalau tidak, mungkin kerja Haries akan menjadi lebih sukar.

Setelah Haries menghantar alamat kepada 426, lelaki itu memanaskan enjin kereta dan bergerak ke tempat yang dituju.

Apabila berada di tempat masuk jalan perumahan Raziq, Haries segera menyumbatkan telinganya dengan kapas lalu headphone disarung.

Tatkala mendengar alarm kecemasan dari setiap rumah berbunyi nyaring, Haries membuka radio dan disambungkan dengan telefonnya melalui bluetooth.

"Okay. 3,2,1... start!" Haries mengira sendiri lalu membuka siren polis di telefonnya. Radio dikuatkan frekuensinya hingga ke kekuatan maksimum.

Keretanya bergerak perlahan-lahan tanpa membuka lampu agar samseng-samseng itu tidak perasankan keretanya.

Haries tersenyum melihatkan tiga orang lelaki berlari lintang pukang menuju ke kenderaan mereka.

"Penculik paling takut dengan bunyi bising." Lelaki itu tertawa kecil.

Keretanya dilajukan dan memberhentikan keretanya di hadapan gadis yang sudah terbaring kaku di tar jalan.

Raziq keluar dari kereta lalu terus memeluk erat tubuh kakaknya. Dia menangis di bahu gadis itu melihatkan Raihanah langsung tidak bergerak walau seinci.

Haries memalingkan tubuh itu menghadapnya. Dia terkedu melihat gadis itu ialah Raihanah. Dia terkaku seketika, cuba memproses maklumat di kepalanya yang baru diterima.

Raziq menggoncang tubuh Haries membuatkan lelaki itu tersentak. Dia perlahan-lahan menggendong tubuh Raihanah masuk ke dalam keretanya.

Sepanjang perjalanan untuk ke rumahnya, pelbagai persoalan menerjah mindanya. Pelbagai jawapan juga bermain di kepala.

Dia menjeling Raziq dan Raihanah di tempat duduk belakang. Otaknya bercelaru kini.

Selama ini, dia yang selalu dipersoalkan identitinya. Tapi kini, dia yang mempersoalkan identiti gadis itu.

Sebenarnya, siapa Raihanah Jazmin?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro