Bab 12
JAM digital di dashboard keretanya dikerling sekilas lalu. Tepat pukul tiga pagi. Alat pendengaran hitam di telinganya ditekan sedikit supaya ia kemas terletak.
"426?"
"I'm here." Suara vocaloid itu kedengaran jelas di cuping telinganya. Haries membuka laci dashboard lalu topeng putih disarung ke mukanya.
Topi diletak elok ke kepala lalu hoodie ditarik, menutupi topi di kepala. Haries melangkah keluar dari kereta lalu berjalan tenang ke sebuah bangunan 15 tingkat yang terletak di tengah-tengah bandar.
Pengawal keselamatan yang leka dengan telefon bimbitnya di pondok pengawal memudahkan kerja Haries untuk menceroboh masuk kawasan itu. Namun itu bukan alasan untuk Haries mengambil mudah kerjanya.
Dia bersembunyi di balik dinding pondok yang berdekatan dengan pintu yang terbuka. Haries mengambil sebiji bola kecil berwarna hitam dari dalam poketnya lalu tali bola itu dinyalakan dengan pemetik api dari poketnya.
Dengan pantas, Haries membaling bola kecil itu ke dalam pondok pengawal dan pintu ditutup rapat. Beberapa saat kemudian, letupan kecil kedengaran dari dalam pondok. Asap berkepul-kepul di dalam bilik berdinding putih itu. Di dalam, pengawal keselamatan yang berjaga tadi sudah tertidur lena di mejanya.
Haries meneruskan perjalanan ke tempat yang ditujunya. Lelaki itu tiba di sebuah pintu masuk utama. "Aku dah ada kat depan pintu," beritahu Haries melalui alat yang tersemat di telinganya.
Beberapa saat kemudian, pintu kaca itu terbuka secara automatik. Seusai saja dia melangkah masuk, lif dicari. Pintu lif yang tertutup rapat terbuka luas, memaparkan ruangnya yang kosong dan kelam.
Kaki Haries menapak masuk dengan kepala masih tertunduk menekur lantai dan berdiri benar-benar di hadapan punat-punat lif. Dia menyarung sarung tangan getah sementara menunggu 426 mengakses maklumat untuk diberikan kepadanya.
"Password, 9.15.4.8.6."
Jari runcing Haries yang dilapik sarung tangan menekan laju nombor-nombor yang diberitahu oleh 426 di butang lif itu.
Lif yang bersaiz sederhana mula bergerak ke tingkat sembilan, kemudian naik ke aras lima belas dan diikuti dengan tingkat empat. Lif itu berhenti di lima tingkat mengikut kata kunci yang diberi oleh 426. Apabila lif berhenti di nombor yang terakhir, iaitu di tingkat enam, suara 426 menyapa gegendang telinga Haries.
"Kemudian, tekan 9.8.7.9."
Lelaki itu akur. Lif itu naik dan turun sebelum ia berhenti di tingkat sembilan.
"Okay, last one. Tekan butang paling atas sekali."
Seiring dengan arahan yang melalui gelombang mikro dari 426, mata Haries bergerak memandang ke arah butang yang paling tinggi sekali.
Kali ini, lif itu tidak mengikut aras tingkat yang diprogramkan kepadanya, sebaliknya lif itu bergerak turun. Lama. Hampir seminit Haries menunggu sebelum pintu lif terbuka luas di hadapannya.
Kegelapan menjadi santapan matanya. Langsung tiada cahaya di dalam ruang yang entah berapa ukuran saiznya. Namun, satu perkara Haries pasti...
Kelopak mata Haries terpejam rapat. Dia menarik nafas dalam sebelum dihembusnya kembali.
"Apa kau nampak?" soal 426 dari hujung sana, ingin tahu memandangkan bilik bawah tanah yang sangat rahsia itu langsung tidak mempunyai CCTV.
"Bau hanyir," Jawab Haries, ringkas lalu menapak keluar dari lif membenarkan tubuhnya masuk dalam ruang yang gelap itu.
"Darah?" tebak 426.
"Darah, daging manusia," tambah Haries lalu ketawa kecil.
"Kau tak ada masa untuk gelak, LBP," tegas 426.
"Ironi. Aku bau hancing, busuk, tengik."
"Kumpul maklumat, LBP." Ringkas arahan si penggodam terkenal itu.
Haries senyap. Lampu suluh dibuka lalu ia disuluh ke serata tempat. Dinding putih di bilik rahsia itu kelihatan berair dan ditumbuhi kulat hijau. Sumber cahaya yang mengikut pergerakan tangan Haries itu menerawang lagi ke segenap sudut sebelum sesuatu melintas pandangan mata Haries.
Lelaki itu mengetap bibir.
"This is not his base," ujar Haries, agak tegang nadanya. Cahaya dari lampu suluhnya terus dihalakan pada satu arah. Mata Haries mengecil, tajam memerhati ke arah di mana lampunya difokuskan.
"Then what?"
Haries diam seketika, terus memandang tempat yang sama.
Seorang lelaki kurus tersandar lemah di dinding. Mulutnya penuh darah yang menitik hingga ke hujung dagunya. Matanya separuh terbuka, cuba melihat dalam kepayahan.
Di sisi lelaki itu, terbaring sekujur tubuh. Tubuh yang telah diselongkar segala isinya.
"LBP?" tegur 426 setelah beberapa saat lelaki itu membisukan dirinya. Pada masa yang sama, cuba mendapatkan jawapan kepada persoalannya tadi.
"This is... his hell."
▶️▶️▶️
PELUH dingin merecik di dahi. Tangannya masih menggenggam kemas lengan seorang kanak-kanak lelaki yang ikut keletihan. Walau nafas yang diatur kian bercelaru, dua beradik itu tatap gagah mengorak langkah untuk berlari.
Sekali-sekala, gadis itu akan menoleh ke belakang, memastikan kedudukan sebenar antara mereka berdua dengan tiga orang lelaki yang sedang mengejar tanpa putus asa.
Raihanah mengetap bibir. Walau berapa jauh mereka berdua lari, mereka tetap ditemui juga pada akhirnya. Walau seringkali dia cuba bersembunyi, mereka tetap menjadi juara yang sentiasa akan jumpa tempat persembunyian mereka berdua.
Kaki yang terasa pedih dicucuk batu-batu kecil di tar jalan ditahankan saja. Penat yang semakin menguasai setiap derapan kakinya cuba dilawan.
"Adik, pergi lari dekat bangunan sana dan minta tolong sesiapa yang ada dekat situ."
Gadis itu mula memperlahankan langkah namun suaranya lantang memberi arahan kepada adik kandungnya itu.
Raziq memandang kakaknya dengan riak kegelisahan. Mata itu merenung Raihanah sesaat. Meneka dan cuba bertanya melalui pandangan mata tentang apa yang dirancangkan oleh gadis itu.
Raziq terdiam seketika sebelum perlahan-lahan, kepalanya tergeleng. Gelengan kepalanya kian pantas dengan air mata yang sudah basah di pipi. Suaranya menderam, seakan-akan sedaya upaya menyuruh kotak suara yang sudah lama rosak itu berkata tidak. Tapi, dia tak berdaya!
"Adik tunggu apa lagi? Lari! Lari! Tinggalkan kakak! Pergi!" Tubuh kecil itu ditolak kasar, menggesa Raziq supaya meneruskan lariannya tanpa Raihanah.
Raihanah merenung tajam Raziq sambil memekik kuat, "Pergi, Raziq!"
Tersentak, Raziq berundur setapak demi setapak sebelum dia berpaling ke hadapan dan melajukan lariannya meski badan dan jiwanya terasa berat. Beratnya seolah-olah ia ingin terus terpateri ke bumi.
Dalam kegelapan malam, Raziq meredah angin dingin yang menampar pipinya. Hatinya berkali-kali memujuk yang kakaknya akan selamat. Raihanah akan selamat jika dia bertindak pantas.
Sementara itu, Raihanah berdiri kaku di tempatnya, menanti tiga orang lelaki yang mengejarnya sejak tadi. Lelaki itu saling berpandangan, merangka perancangan melalui isyarat mata.
Apabila mereka semakin mendekat, salah seorang daripada mereka cuba mengelak daripada bertembung dengan Raihanah untuk menangkap Raziq manakala dua orang lagi berlari pantas ke arah gadis itu untuk menyerang.
Raihanah yang dapat mengagak strategi tiga orang samseng itu menumpukan fokusnya kepada lelaki yang ingin melepasinya. Kakinya diangkat separa badan lalu lututnya pantas singgah di perut lelaki pertama.
Apabila lelaki kedua dan ketiga mara, Raihanah menumbuk rahang lelaki kedua manakala kakinya disilangkan dengan kaki lelaki ketiga, menahan pergerakan lelaki itu. Kedua-dua musuhnya itu akhirnya jatuh terduduk di tar jalan.
Raihanah yang tak mahu melepaskan peluang yang tersisa, meneruskan larian yang terhenti tadi. Dalam hati, dia sungguh-sungguh berharap ini bukan pengakhirannya.
▶️▶️▶️
KANAK-KANAK lelaki itu berlari tanpa arah tuju yang pasti. Tapi daripada arahan kakaknya, dia mungkin boleh mendapat bantuan daripada sesiapa yang berada bangunan yang terletak berdekatan dengan taman perumahannya.
Raziq melajukan langkahan kakinya apabila matanya menangkap cahaya yang terang dari pondok pengawal di hadapan pintu masuk utama bangunan 15 tingkat itu.
Dengan nafas yang tercungap-cungap, Raziq mengetuk-ngetuk tingkap cermin pondok itu, berharap pengawal keselamatan yang berada di dalam akan terbangun dari lenanya.
Raziq memaksa kotak suaranya untuk menjerit untuk mengejutkan lelaki di dalam namun usahanya hanya menambah perit di tekaknya. Kanak-kanak berusia 12 tahun itu tak mengalah. Dia menggenggam jemari lalu cermin kaca itu ditumbuk-tumbuk sepenuh hati.
"Ergh... ergh!" Raziq cuba menjerit. Air matanya merembes ke pipi. Seluruh tubuhnya menggeletar ketakutan. Otaknya menjadi kosong. Apa yang ada dalam fikirannya tika ini, dia perlu selamatkan Raihanah.
Tiba-tiba hujung mata Raziq terpandangkan pintu pondok yang terletak sedikit tersorok dari pandangan matanya. Tanpa berlengah, Raziq membuka kasar pintu itu lalu tubuh pengawal keselamatan itu digoncang-goncang ganas.
Namun sayang, lelaki yang berpakaian putih itu masih lagi dibuai mimpi indah. Langsung tidak terganggu dengan apa yang terjadi di sekelilingnya.
Raziq menggetap giginya, geram. Liat sungguh pengawal ini hendak terjaga. Sabar yang kian menipis membuatkan tangan kecil Raziq terangkat tinggi dan dengan kelajuan maksima, tapak tangan Raziq singgah di pipi pengawal itu.
Merah wajah budak lelaki itu tatkala melihatkan pengawak itu tetap juga tidak berganjak dari tidurnya yang panjang. Kena tampar pun tak bangun juga?
Raziq tahu, dia perlu fikirkan cara lain yang lebih berkesan. Kalau tak berjaya juga, pengawal itu memang sangat layak dilucutkan jawatannya.
Bebola mata Raziq meliar ke serata ruang bilik yang sederhana besar itu. Dia terlihatkan sebatang kayu besbol yang tersandar di sudut bilik.
Tangan kecilnya mencapai kayu panjang itu lalu menghayunkannya tepat ke kaki kerusi yang sedang diduduki oleh pengawal itu.
Dengan sekali libas, kaki kerusi itu patah sebelah. Kerusi yang stabil kini terjatuh ke lantai, membawa bersama tuan yang sedang enak tidur di atasnya.
Walaupun pengawal itu sudah terjelepok ke lantai, lelaki itu masih lena mengulit mimpi indah.
Nafas Raziq bercelaru. Lututnya terasa lemah. Tulang tibia dan fibula di kedua-dua belah kakinya terasa sudah tercabut dari soketnya. Perlahan-lahan, Raziq tersungkur jatuh ke lantai bilik.
Suara tangisan yang dipendam sedari tadi dilepaskan dalam kepayahan. Air jernih itu laju turun ke pipinya seperti turunnya hujan di musim tengkujuh.
Mungkin memang ini pengakhirannya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro