SEORANG gadis manis berselendang biru duduk di bangku di Penjara Kuala Lumpur. Jari si gadis bermain sesama sendiri. Raut mukanya terlakar riak resah menunggu maklum balas dari anggota polis yang bertugas.
"Cik Maya," panggil satu suara lunak merdu dari arah kaunter. Pantas kepala Maya berpaling ke arah pegawai polis wanita di kaunter itu.
Mata Maya tersinar segunung harapan namun terselit juga sejuta keraguan. Maya terus bangun dan bergegas menuju ke hadapan kaunter itu.
Tihani yang melihat kesungguhan si gadis rasa tidak sampai hati untuk memberitahu perkara sebenar. Melihatkan kekecewaan Maya setiap kali tiba ke sini meruntun hati perempuannya.
Maya, tidak pernah tinggal walau sehari untuk datang ke Penjara Kuala Lumpur demi melawat Jack, yang dikatakan abang angkatnya itu. Gadis itu cukup kental dengan tidak pernah berputus asa walau sudah tiga bulan Jack menolak untuk berjumpa.
"Dia nak jumpa saya tak?" soal Maya, tak sabar-sabar. Matanya merenung tepat ke anak mata Tihani, mencari sedikit harapan walaupun apa yang dia lihat adalah sebaliknya. Tanpa sedar, Maya cuba untuk menipu dirinya sendiri untuk kesekian kalinya.
Lambat-lambat, kepala pegawai polis muda itu menggeleng. Anak matanya sedaya upaya dilarikan ke arah lain. Tak sanggup rasanya mahu memandang kesedihan Maya.
"Oh. Tak apalah. Terima kasih," ucap Maya. Gadis manis itu cuba menghadiahkan senyum buat Tihani. Senyum kelat, senyum yang tiada perisanya.
Maya berlalu pergi dengan hati yang kecewa. Bukan sekali, tapi saban hari dia menanggung rasa itu. Dia cuba menjadi yang terbaik jadi mengapa lelaki itu semakin menjauh?
Mungkin silapnya selama ini terlalu besar untuk dimaafkan. Mukanya terlalu jijik untuk dipandang. Kata-katanya juga mungkin terlalu hina untuk didengari oleh halwa telinga lelaki itu.
Pelbagai andaian mengasak mindanya. Hatinya sesak dengan sangkaan-sangkaan yang entahkan betul atau tidak.
Maya ingin menumpahkan air mata yang sudah sekian lama dia tahan. Dia ingin melempiaskan segala apa yang terbuku di hati yang selama ini dia pendam. Namun, dirinya masih ingin menghukum. Menghukum betapa hinanya Maya yang dulu.
Akalnya berkata, untuk apa dia menangis, untuk apa dia meratap, sedangkan dia tidak layak untuk semua itu. Dia manusia berhati busuk, kejam. Dan bodoh juga.
Bibir diketap. Nafasnya ditarik dalam-dalam dan dihembus kuat. Berkali-kali dia menghukum dirinya agar tidak menumpahkan walau setitik air mata. Dan kerana keazamannya, dia berjaya.
Namun, sampai bila? Bilakah masanya yang tepat untuk dia memaafkan dirinya yang dulu? Mungkin masa itu takkan pernah tiba.
"Jack, aku tak ada siapa selain kau. Dan sekarang, kenapa kau pula yang nak pergi?" bisik Maya sepanjang perjalanan menuju ke keretanya. Hiba menghimpit jiwa mengenangkan kenyataan pahit itu.
Ya, seorang Maya Karmila dah tiada siapa-siapa untuk dianggap keluarga mahupun kawan. Dari dulu lagi, yang setia ada di sisinya ialah Jack Raymond. Dan kini, lelaki itu pula membuat keputusan untuk meninggalkannya.
"Ya Allah, kenapalah aku bodoh? Kalau boleh aku kembali pada waktu dulu, mungkin bukan ini pengakhiran jalan cerita akukan?" getus gadis itu dengan suara yang bergetar.
Walau hatinya meronta sakit, namun Maya nekad untuk mengikat ketat jiwanya supaya tidak menumpahkan sedikit pun kekecewaan melalui air matanya.
Kerana memang itu hukuman sepatutnya untuk seorang Maya, si pendosa.
▶️▶️▶️
"Saya kesianlah dengan Cik Maya tu. Hari-hari datang nak jenguk abang angkat dia. Tapi abang dia buat bodoh je. Hish, dasar ketua mafia! Tak berperasaan langsung!" rungut Tihani dengan dahi berkerut-kerut kepada rakan sekerjanya, Adham.
"Kalau Jack tu tak berperasaan, tak adanya Cik Maya tu sayang nak mati dekat abang angkat dia." balas Adham sambil tangan lincah menyusun fail-fail di atas meja.
Tihani mendengus perlahan lalu meletakkan kepalanya ke meja. Hatinya juga retak melihatkan kesedihan gadis bernama Maya itu. Perasaan sebak pasti mengiringi saat Maya datang ke Penjara Kuala Lumpur.
Tiga bulan, setiap hari! Tiga bulan bukanlah tempoh yang singkat untuk orang yang sentiasa menunggu insan tersayang. Kata orang, satu hari tidak ketemu bagaikan setahun tidak bersua!
"Aduh, macam mana aku nak buat diaorang berjumpa eh?" soal Tihani, lebih kepada diri sendiri sebenarnya tapi omelan gadis itu didengari Adham.
Adham menjeling sekilas ke arah Tihani yang nampaknya sudah berkaca-kaca anak matanya. Menandakan gadis itu akan memulakan drama air mata sebentar saja lagi.
Adham mengeluh panjang. Sangat panjang sebelum lelaki itu berdecit halus.
"Yalah. Aku pujuk papa aku, okey?"
Mendengarkan tawaran itu, Tihani terus menegakkan badannya. Bibirnya tersenyum-senyum seronok. Pantas, Tihani memberikan kucupan terima kasih kepada Adham sebelum badan sasa lelaki itu dipeluk erat.
"Sayang awak ketat-ketat!" ucap Tihani kepada suaminya.
Adham laju menolak gadis itu agak menjauh. Matanya mencerlung tajam Tihani yang tersengih kambing.
"Hei, profesional! Kita dekat tempat kerja."
"Yalah, yalah." Tihani akur sebelum kembali melakukan tugas hariannya. Adham memandang isterinya dengan hujung mata lalu mencebik kecil.
Tadi bukan main lagi sedih. Drama queen betul perempuan ni, gerutu hati kecil Adham sebelum menyambung semula kerja-kerjanya.
▶️▶️▶️
KEESOKAN harinya, gadis itu datang lagi ke Penjara Kuala Lumpur. Maya mengenakan jubah hitam yang dipadankan dengan selendang manik hitam, pemberian oleh Shafira kepadanya sewaktu mereka berkawan baik dahulu.
Selendang yang telah lama dibiarkan berdebu di almari bajunya sejak sekian lama kini disarungkan semula ke kepalanya. Kembali menutup apa yang sepatutnya ditutup olehnya.
"Assalamualaikum, Puan Tihani," sapa Maya bersama senyuman.
Tihani yang dari tadi menunggu kedatangan gadis itu lantas melemparkan senyuman lebar. Matanya bersinar terang memandang Maya di hadapannya.
"Cik Maya, saya ada berita baik untuk cik. Cik boleh melawat abang cik! Saya dah minta kebenaran daripada Ketua Polis Penjara dan dia benarkan! Mari, ikut saya," ajak Tihani, tidak sabar-sabar. Dia menarik lengan gadis itu untuk mengikut langkahnya.
Mendengarkan itu, wajah Maya berubah teruja yang amat. Dia hampir-hampir saja tergelak kesukaan pabila berita gembira itu menyapa gegendang telinganya.
"Ya ke, puan? Dia setuju nak jumpa saya?" soal Maya.
"Sebenarnya, tak. Tapi kami tipu sikit abang awak tu supaya berjumpa dengan awak. Dan awak dapat kebenaran untuk berjumpa dia secara berdepan. Tapi masa Cik Maya terhad tahu? Hanya 10 minit saja. Jadi gunakan peluang ini sebaiknya," terang Tihani, tersenyum-senyum.
Ayah mentuanya yang merupakan orang atasan di penjara ini memberi kebenaran setelah berkali-kali dipujuk. Lemah dengan pujukan menantu kesayangannya, dia akhirnya bersetuju dengan syarat masa yang diberikan tidak lama.
Mereka berdua tiba di sebuah bilik kecil. Bilik itu mempunyai tingkap bercermin yang membolehkan orang di luar melihat bahagian dalam bilik. Tetapi pada pandangan orang di dalam, apa yang mereka lihat hanyalah cermin yang berukuran besar semata.
Tihani membukakan pintu buat Maya dan mempersilakan gadis itu masuk. Manakala Tihani pula akan berdiri di hadapan pintu itu sehinggalah Maya selesai.
Tihani pantas memulakan kiraan. Dalam hati, dia berdoa moga-moga Maya berjaya memujuk abang angkatnya supaya membenarkan Maya melawat selepas ini.
Sementara di dalam bilik, Jack menunggu dengan gari di tangan. Saat pintu terkuak, dia terpaku melihat gadis itu masuk dan duduk di hadapannya.
Jack berdecit halus apabila menyedari dirinya telah ditipu hidup-hidup oleh pegawai polis yang memanggilnya tadi.
"Jack, sihat?" soal Maya sambil tersenyum tawar. Tersinggung melihat wajah tidak puas hati yang terlukis jelas di raut lelaki itu.
Namun dia keraskan jiwa. Maya tidak patut mensia-siakan peluang ini. Dia harus melakukan sesuatu agar Jack tidak terus meminggirkannya seperti selalu.
"Kau berpakat dengan polis tu untuk tipu aku ya?" Tajam renungan Jack pada Maya yang sangat anggun bertudung labuh. Pada masa yang sama, dia mengambil kesempatan itu untuk menilik wajah Maya.
Argh, bodoh! Kalau kau dah rindu, cakap jelah. Desis hati Jack. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangannya apabila matanya asyik melekat pada mata dan bibir merah si gadis.
Maya menarik nafas dalam lalu dihembusnya kuat. Maya menyilangkan kakinya sambil berpeluk tubuh. Air muka yang kecewa tadi berubah garang.
"Jack, kau kata kau masih setia pada aku. Jadi apa semua ni? Tiga bulan kau mengelak dari bos sendiri. Pandai-pandai kau saja buat keputusan tak nak jumpa aku. Kau siapa untuk memutuskan? Aku bos kau, jadi automatik, kuasa ada di tangan aku!" ujar Maya, tegas dan keras. Matanya mencerlung setajam pisau ke arah Jack yang terpinga-pinga.
"Eh? Eh?" Ternyata Jack amat terkejut melihat perubahan sikap Maya yang kembali pada sikapnya yang dulu. Suka mengarah! Dia sangkakan gadis itu sudah melupakan terus sikapnya yang satu itu. Dia jangkakan gadis itu akan datang menangis dan meratap hiba kepadanya.
Tapi, rupanya dia yang kena marah!
"Kalau kau dah tak anggap aku bos kau, kau tak perlu untuk tanggung semua ni. Biar aku saja yang serah diri. Untuk apa kau berkorban kalau aku bukan bos kau lagikan?" Suara Maya masih jelas kedengaran, sejelas dan setegar semangatnya dalam usaha memujuk Jack agar tidak terus memutuskan pertalian antara mereka berdua.
Wajah keliru Jack berubah garang. Matanya membuntang memandang wajah Maya yang sedang duduk tenang di hadapannya. Air muka gadis itu sangat yakin seolah-olah gadis itu akan menunaikan kata-katanya jika Jack terus berdegil. Badan Jack didekatkan ke arah Maya.
"Kau jangan buat kerja bodoh, Maya. Aku khianati kau bukan untuk kau yang kena sumbat dalam penjara ni. Aku relakan diri aku kena pukul bukan untuk kau tanggung semua ni. Aku leburkan nama Red King bukan untuk kau buat kerja bodoh ni," bisik Jack, keras di cuping telinga Maya. Seboleh-bolehnya dia tak mahu orang mendengari perbualan mereka berdua. Pasti nanti identiti sebenar Maya sebagai RedK akan terbongkar.
Jack, kau sebenarnya tak perlu berkorban apa-apa untuk aku, desis hati Maya. Tersentuh bercampur sedih melihat kesungguhan lelaki itu untuk melindunginya. Macam mana dia boleh dapat seorang kawan yang baik seperti Jack? Dia langsung tak layak!
"Kalau macam tu, jumpa dengan aku selalu, Jack. Kau tinggalkan aku, sedangkan aku tak ada siapa-siapa selain kau. Kau kata kau nak jaga aku, jadi kenapa kau pergi? Aku hilang semuanya sebab kebodohan aku dan takkanlah sekarang kau pun nak jauh?" soal Maya, bertalu-talu menyentap tangkai hati Jack yang mendengarnya.
Maya langsung tidak menitiskan air mata tika ini namun daripada riaknya, daripada kata-katanya, luka seorang Maya sangat dalam.
Luka yang diguris sendiri oleh Jack. Luka yang dicipta dengan kebodohan seorang Maya Karmila.
"Please, Jack. Aku merayu dengan kau. Kalau kau rasa apa yang kau buat ni untuk aku, tolonglah... Tolonglah jangan tinggalkan aku. I need you in my life. I really need you," rayu Maya sambil kedua-dua tangannya disatukan dan didekatkan dengan mulutnya. Kedua-dua kelopak matanya terkatup, menunggu jawapan balas daripada Jack.
Dia sudah pun berusaha, kini hasilnya ada pada Jack.
Ya Allah, hadirkan dia sebagai peneman aku, doa Maya sungguh-sungguh. Dia sunyi tanpa ada sesiapa yang menemani. Yang mengenal dia dari dulu hingga sekarang. Orang yang melihatnya kini mungkin nampak dirinya seorang gadis biasa. Tapi di sebalik semua itu, kisah hitam terpalit noda pernah menjadi sejarah hidupnya.
Dia yakin, tatkala mereka semua mengetahui tentang dosa-dosanya yang lalu, muka dia pun tiada orang sudi untuk pandang.
Hembusan nafas lemah kedengaran di dalam bilik yang sunyi itu.
"Yalah, yalah. Aku akan jumpa kau selalu," balas Jack, perlahan. Akhirnya kalah dengan serangan bertubi-tubi oleh gadis itu. Gadis yang bukan sebarangan, tapi gadis yang sudah menempah tempat dalam hatinya.
"Kau tak tipu?" soal Maya, inginkan kepastian. Anak matanya bersinar terang dengan cahaya harapan.
"Ya, kan aku dah kata aku janji. Kalau kau nak sangat tunggu sampai aku keluar penjara pun, tunggulah. Jangan salahkan aku pula kalau kau mereput seorang nanti," kata Jack lalu menyandarkan badannya ke kerusi.
Wajah Maya yang gembira dikerling. Dia mengeluh. Bukan Jack tidak suka dengan semua ini, tapi dia tahu keadaan ini takkan kekal lama.
Suatu hari nanti, gadis itu akan pergi meninggalkannya pula. Bila? Bila gadis itu bertemu dengan cinta hatinya.
Saat itu, Jack yakin, Maya takkan ada masa untuk mengingatinya lagi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro