Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

KEESOKAN harinya, Eshal masuk pejabat lewat sedikit gara-gara ada hal penting yang perlu diselesaikan dulu. Hampir sejam juga lewatnya. Ketika dia masuk, semua staf fiksyen tempatan sedang bermesyuarat.

Semua pandang Eshal bila dia muncul. Eshal bagi isyarat dengan tangan supaya mereka teruskan saja. Jangan pedulikan dia. Memang dia dah ingatkan awal-awal pada semua, pada pagi ini ada mesyuarat untuk pesta buku nanti. Dan dia suruh mulakan dulu tanpanya.

Eshal labuhkan punggung di atas kerusi empuknya. Nafas dalam ditarik. Penat berkejar. Rasa macam tak cukup oksigen. Dia mahu berehat sebentar sebelum mengikut serta mereka. Bagi dia dua minit.

Beberapa ketika kemudian, Afifah muncul di hadapan meja kerja Eshal. Di tangan kanannya ada satu cawan seramik putih bersama piring kecil. Dan di tangan kirinya pula ada sehelai kertas. Afifah serahkan kertas itu dulu kepada Eshal. Ringkasan daripada mesyuarat sepanjang Eshal tiada tadi. Untuk dibuat rujukan.

Eshal menyambutnya. Kemudian matanya teralih kepada cawan yang diletakkan Afifah di atas meja di depannya itu.

"Warm tea, Cik Eshal." Buatkan Eshal mengangkat wajah memandang Afifah.

"Terima kasih."

Macam tahu-tahu aje dia memang dahaga. Teh suam pun teh suam la. Jemari runcing Eshal mencapai telinga cawan itu. Dia sisip sekali.

Pfff! Belum sempat masuk ke esofagusnya, air itu tersembur keluar. Terkejut Afifah yang melihatnya. Cepat-cepat dia hulurkan tisu kepada Eshal. Eshal terus mengelap sisa air yang meleleh di hujung bibirnya itu.

"Teh apa ni?" Berkerut muka Eshal lepas rasa teh yang penuh alien itu. Dipandangnya muka Afifah dengan mata yang membulat. Menagih jawapan.

"Ginger tea with honey."

Automatik sebelah kening terangkat.

"A.T yang cadangkan." Cepat-cepat Afifah sambung. Mood Eshal bukannya boleh ditebak. Mood elok ke, tak elok ke, macam gitu aje la muka dia. Cuma kalau tak elok, rasa aura gelap yang menyelubungi. Auto tegak bulu roma. Dan ketika itu, dapat dilihat semua orang berdedikasi dengan kerja mereka seperti berlumba-lumba mahu menjadi pekerja terbaik tahunan.

"Saya quote apa yang dia cakap, 'both ginger and honey have the elements of antibacterial and anti-inflammatory which are very good to combat sore throat.' Cik Eshal sakit tekak ke?"

Eshal terkelu. Automatik pandang ke sebelah kanannya, ke arah Ardean yang sedang khusyuk menekan-nekan papan kekunci komputer ribanya di balik cermin di sebelah pejabatnya, tanpa sedar dirinya diperhatikan.

Eshal berdehem. Kemudian pegang tekak sendiri. Automatik geli tekak, tiba-tiba terbatuk kecil pula.

"Sakit sikit aje. Dah nak okey," auta Eshal. Terpaksalah berlakon sakit tekak.

"Hmmm... Macam mana A.T boleh tahu Cik Eshal sakit tekak, ya?" Afifah pandang Eshal semacam. Musykilkan sesuatu.

"Semalam dia call saya pasal kerja." Mendatar saja jawapan Eshal. Buat tak dengar dengan nada penuh spekulasi orang bawahannya itu. Dia bukan bodoh.

Afifah angguk-angguk. Sebenarnya Ardean dah bagi tahu dia tadi. Semalam lelaki itu ada menelefon Eshal untuk ingatkan tentang kerja. Jawapan Eshal juga sama. Tapi, entah kenapa tetap saja dia rasa musykil.

"Kalau Cik Eshal tak nak, saya boleh tukar dengan teh biasa. Atau air suam saja," kata Afifah bila melihat Eshal tenung cawan putih itu macam nak kasi tembus. Umpamanya kena paksa telan Clorox saja.

"It's fine. Leave it here."

Afifah angguk. Setelah itu dia turut berlalu ke arah meja bulat itu. Sambung mesyuarat.

Eshal pandang cawan itu lagi. Kemudian jenguk isi di dalamnya. Warnanya seperti teh biasa yang diminumnya saja. Baru perasan ada sesuatu yang nipis yang berada di dalam air itu. Apa tu? Eshal sepetkan mata untuk mengecamnya. Halia?

Muka Eshal auto berkerut lagi sekali. Halia dalam lauk pun dia buang tanpa ihsan kalau sesat masuk dalam pinggan dia. Ini nak minum pula?

Teh halia pun teh halia la. Mengenangkan satu deparment dah tahu dia 'sakit tekak' serta kesungguhan Ardean dan anak buah yang lain menyediakan teh ini, Eshal hadap aje la. Dia anggaplah ini kafarah kerana menipu Ardean semalam.

Eshal bawa birai cawan itu ke bibirnya. Mahu cuba sekali lagi. Kali ini, air itu perlahan-lahan dihirup. Tak nak terkejut seperti tadi. Cuba ditelannya.

Hmmm... Tak adalah teruk sangat rasanya. Rasa sedikit pedas, tapi boleh diterima. Bau yang menggeliangkan isi usus pun tiada. Hanya bau wangi aroma teh saja. Mungkin sebab ini campuran teh biasa bersama halia. Bukan teh halia asli. Sedar-sedar dah separuh cawan masuk perutnya.

Eshal mahu terus membaca nota ringkas yang diberikan Afifah tadi. Tapi matanya menangkap satu kertas A4 yang terlipat dan elok terletak di atas mejanya. Apa dia ni? Nak kata surat formal, tiada sampul surat. Dia capai dan membukanya.

Seratus sebab kenapa saya perlu bersyukur.

Air yang diminumnya hampir saja tersembur sekali lagi. Walaupun tanpa nama pengirimnya, dia sudah tahu siapa. Terngiang-ngiang perbualan dia dan Ardean semalam. Dia ada mencabar Ardean untuk berikan seratus sebab untuk bersyukur. Tapi, ini sungguh tak diduga Eshal!

Soalan Cik Eshal buatkan saya sedar sesuatu. Tak terhitung sebenarnya nikmat yang Allah berikan tapi kita sering kali alpa. Namun, cukuplah saya berikan seratus sebab untuk saya bersyukur supaya Cik Eshal dapat lihat banyak sebenarnya nikmat kecil yang kita terlepas pandang hanya kerana kita memilih untuk lupa bahawa itu adalah nikmat.

Paling utama sekali.

1) Alhamdulillah, saya beragama Islam sejak lahir.

2) Alhamdulillah, saya dilahirkan lelaki.

3) Alhamdulillah, Allah pilih untuk jadikan saya sebagai makhluknya dalam bentuk manusia.

4) Alhamdulillah, nyawa saya masih panjang sehingga sekarang.

5) Alhamdulillah, saya lahir di Malaysia yang aman.

6) Alhamdulillah, nama saya cantik.

7) Alhamdulillah, saya masih ada ibu bapa.

8) Alhamdulillah, saya juga ada abang dan kakak.

9) Alhamdulillah, keluarga saya dikira agak senang juga.

10) Alhamdulillah keluarga saya tak berpecah-belah. Kedua-dua datuk dan nenek saya dah lama meninggal.

11) Tapi alhamdulillah, saya berkesempatan untuk kenal mereka waktu saya kecil dulu.

12) Alhamdulillah, saya juga ada saudara-mara lain yang baik.

13) Alhamdulillah, saya ni kategori agak pandai juga.

14) Alhamdulillah, saya berpeluang untuk bersekolah.

15) Alhamdulillah, saya dapat membaca dan mengira.

16) Alhamdulillah, kawan-kawan saya semua baik.

17) Alhamdulillah, saya tak pernah dibuli dulu.

18) Alhamdulillah, saya berjaya lulus UPSR, PMR dan SPM.

19) Alhamdulillah, saya dapat sambung belajar ke universiti.

20) Alhamdulillah, saya dapat pensyarah yang baik-baik.

21) Alhamdulillah saya selalu dekan setiap semester.

22) Alhamdulillah sekarang saya berpeluang untuk habiskan zaman belajar saya lebih kurang dua bulan lagi.

23) Alhamdulillah, saya ada rumah sebagai tempat berteduh.

24) Alhamdulillah, saya punya bilik tidur sendiri yang bersih dan selesa.

25) Alhamdulillah, semua kelengkapan dan peralatan dalam rumah juga cukup.

26) Alhamdulillah, kawasan perumahan saya selamat.

27) Alhamdulillah, jiran-jiran saya tak sombong dan caring.

Bila saya berdiri di depan cermin, saya pandang diri sendiri.

28) Alhamdulillah, saya handsome.

29) Alhamdulillah, saya masih muda.

30) Alhamdulillah, saya tinggi.

31) Alhamdulillah, rambut saya hitam lebat. Bila saya senyum...

32) Masya-Allah, cantik rupanya senyuman saya. Alhamdulillah Allah hadiahkan gigi saya cantik tersusun.

33) Alhamdulillah, saya sempurna akal dan tak gila.

34) Alhamdulillah, saya sempurna tubuh badan, tiada cacat-cela.

35) Alhamdulillah tenaga saya masih kuat.

36) Alhamdulillah, saya tiada sakit kronik.

37) Alhamdulillah, saya tak pekak.

38) Alhamdulillah, saya tak bisu.

39) Alhamdulillah saya tak buta, tapi saya ada sedikit rabun.

40) Tapi alhamdulillah juga saya ada cermin mata yang membantu. Bonus, saya tahu saya tetap kacak kalau pakai cermin mata.

Eshal rasa hatinya macam digeletek hujung bulu ayam. Sempat lagi mamat ni! Namun, dia terus membacanya.

Semalam saya sakit kepala.

41) Alhamdulillah itu tanda Allah sayang saya. Allah sebenarnya nak gugurkan dosa-dosa kecil saya.

42) Alhamdulillah Allah cuma beri sedikit sakit kepala, bukan migrain atau lebih teruk, kanser.

43) Alhamdulillah bekalan Panadol di rumah saya masih ada lagi.

44) Alhamdulillah lepas makan, ubat tu berkesan. Kemudian saya buat keputusan untuk tidur.

45) Alhamdulillah cuma beberapa minit saya letak kepala di bantal, saya terus terlelap.

46) Alhamdulillah semalam saya tidur lena tanpa mimpi ngeri.

47) Alhamdulillah pagi ni Allah bangunkan saya lagi. Saya dapat dengar alarm telefon yang saya pasang.

48) Alhamdulillah, rumah ada elektrik.

49) Alhamdulillah, ada bekalan air juga untuk mandi dan berwuduk.

50) Alhamdulillah masa shave muka, saya tak dapat luka.

51) Alhamdulillah masa mandi, saya tak tergelincir jatuh.

52) Alhamdulillah saya masih boleh buang air kecil dan besar secara normal.

53) Alhamdulillah sepanjang saya mandi, tuala yang saya sangkut tak jatuh terkena air.

54) Alhamdulillah, saya berpeluang lagi untuk subuh berjemaah di surau.

55) Alhamdulillah, saya dapat dengar azan subuh.

56) Alhamdulillah motor saya tak buat hal atau tayar pancit.

57) Alhamdulillah saya dapat tiba di surau sebelum bilal mula iqamat.

58) Alhamdulillah saya dapat saf paling depan.

59) Alhamdulillah hampir tiga saf jemaah subuh tadi. Dan saya bersyukur melihat ramai anak muda 20-an dan 30-an yang sedar betapa eloknya berjemaah subuh di surau atau masjid.

60) Alhamdulillah, saya mampu solat berdiri.

61) Alhamdulillah, saya tak terkentut atau perut meragam sepanjang solat.

62) Alhamdulillah, Allah kurniakan saya khusyuk dalam solat.

63) Alhamdulillah, dapat imam yang sedap dan jelas bacaannya.

64) Alhamdulillah, saya faham semua bacaan solat saya.

65) Alhamdulillah, lidah saya lancar bila mengaji.

66) Alhamdulillah, saya berjaya hafal beberapa surah al-Quran.

67) Alhamdulillah, saya ada masa untuk berzikir.

68) Alhamdulillah, saya berpeluang untuk tadah tangan berdoa.

Bila saya nak balik dari surau,

69) Alhamdulillah motor tak kena curi.

70) Alhamdulillah, selipar saya juga tak hilang.

71) Alhamdulillah, tiada halangan perjalanan balik ke rumah. Bila nak masuk ke dalam rumah,

72) Alhamdulillah, kunci rumah tak tercicir.

73) Alhamdulillah, Allah jaga rumah saya. Tak ada pencuri masuk atau berlaku kebakaran.

Kemudian, saya bersiap untuk pergi kerja. Bila saya buka almari saya,

74) Alhamdulillah, banyak rupanya pakaian saya.

75) Alhamdulillah, masa seterika baju, baju saya tak berlubang.

76) Alhamdulillah saya tak lupa untuk tutup suis seterika selepas guna tadi.

77) Alhamdulillah saya jumpa tali leher yang matching dengan baju.

78) Alhamdulillah stoking saya cukup sepasang.

79) Alhamdulillah, masa saya stailkan rambut saya, menjadi macam yang saya nak. Bila saya nak pakai minyak wangi, saya rasa botol macam dah ringan.

80) Tapi alhamdulillah, bila saya tekan kepala spray, masih ada lagi minyak wangi yang keluar.

Ada masa lagi sebelum saya pergi kerja, jadi saya pergi ke balkoni rumah. Saya pandang ke luar. Hari dah cerah.

81) Alhamdulillah, cuaca sangat baik. Pemandangan juga cantik.

82) Alhamdulillah matahari masih terbit di sebelah timur. Itu tandanya pintu taubat masih terbuka luas.

83) Alhamdulillah saya dapat bekalan vitamin D secara percuma.

84) Bila saya hirup udara, alhamdulillah, sangat segar. Syukur... Malaysia tiada jerebu.

85) Alhamdulillah sepanjang bumi ni berusia 4.6 bilion tahun, oksigen tak pernah putus bekalannya.

86) Alhamdulillah, bila saya periksa dompet, saya masih ada duit.

87) Alhamdulillah, baki dalam bank saya juga masih banyak.

88) Alhamdulillah, ada rezeki dapat makan breakfast.

89) Alhamdulillah, lidah saya masih dapat rasa dengan sempurna.

90) Alhamdulillah air kopi yang saya minum tak tumpah dan kotorkan baju kerja saya.

91) Alhamdulillah perut saya kenyang dan saya pun tak kena gastrik.

92) Bila saya keluar rumah, alhamdulillah saya tak tertinggal apa-apa barang.

93) Alhamdulillah, lif rumah saya tak rosak.

94) Alhamdulillah, saya tak terlepas LRT.

95) Alhamdulillah, laluan LRT tiada masalah atau delay.

96) Alhamdulillah, saya dapat tempat duduk walaupun hanya untuk dua minit.

97) Alhamdulillah, saya tak accident atau kena rompak sepanjang perjalanan saya. Saya dapat masuk kerja on time.

Bila saya duduk di meja saya, saya sedar.

98) Alhamdulillah saya dapat intern di sini.

99) Alhamdulillah saya diberi kerusi dan meja yang selesa.

100) Alhamdulillah, saya ada telefon, laptop dan ipad untuk lancarkan kerja saya.

Saya berhenti di sini memandangkan sudah cukup seratus.

'Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?' Diulang tiga puluh satu kali dalam surah Ar-Rahman. Namun, begitulah sifat manusia. Kita sering lupa dan alpa. Terima kasih pada Cik Eshal, sedar tak sedar, saya sudah mengucapkan alhamdulillah sebanyak seratus kali hari ini.

Dan sekarang ini baru pukul sembilan pagi lebih. Belum pun separuh hari yang saya tempuhi, begitu banyak nikmat saya saya syukuri. Itu tak termasuk nikmat-nikmat lain yang saya yakin saya terlepas pandang. Antaranya,

101) Alhamdulillah, kita dipertemukan dan saya dapat berkenalan dengan Cik Eshal Elzahra.

Membaca ayat terakhir Ardean itu, entah kenapa boleh buatkan hujung bibir Eshal naik sedikit. Sesuatu meresap dalam hatinya. Dia rasa lucu. Juga sesuatu yang sukar untuk ditafsirkan.

Tet.. tet...

Bunyi notifaksi daripada telefon Eshal. Pantas Eshal mencapainya. Lambang WhatsApp. Terus dia membukanya.

102) Alhamdulillah, saya dapat melihat senyuman ikhlas dan cantik seorang Eshal.

Dan wajah Eshal terus berbahang. Macam mana dia boleh tahu?

Spontan Eshal menoleh ke arah sebelah. Di balik cermin pemisah jernih itu, Ardean dah sedia menyambut pandangannya. Seolah-olah tahu dan sedang menanti Eshal menoleh ke arah itu.

Dan bila mata mereka bersabung, Ardean mengerdipkan sebelah matanya sekali sebelum kembali fokus pada skrin komputer ribanya. Sangat pantas sampaikan Eshal sendiri tak pasti.

Ilusikah? Tapi Eshal nampak dengan jelas memandangkan mata lelaki itu tidak dilindungi oleh kaca mata. Dan bila melihat bibir lelaki itu ukir senyum senget setelah itu, Eshal tahu semua itu bukan mainan matanya.

Kalau tadi wajah Eshal berbahang, kini dia rasa seperti ingin rentung. Lalu kertas di tangannya dikipas-kipas ke mukanya.

Gila! Ardean memang gila. Macam mana kalau ada yang nampak? Dan kenapa dia terkesan?


"MR. ASTATINE, what you did before, it was inappropriate!"

Ketika itu Ardean masuk ke dalam bilik Eshal untuk dapatkan tandatangan dan cap Eshal pada buku log kehadiran latihan industrinya. Setiap sebulan memang kena dapatkan tandatangan dan cap ketua bahagian sebagai bukti.

"Huh? Saya buat apa?" Ardean tayang muka blur.

Eshal yang baru habis tandatangan, menutup buku log itu sebelum ditolak ke arah Ardean. Dia angkat muka.

"Awak..." Jeda.

Ardean hanya kelip-kelip mata menanti. Muka innocent. Macam betul-betul tak tahu kesalahannya. Eshal pula jadi kelu lidah. Teragak-agak.

"Saya apa, Cik Eshal?"

"Apa yang awak buat pagi tadi, tak patut berlaku. Saya bos, awak orang bawahan saya. Kita kat tempat kerja." Eshal berkata dengan nada yang tegas. Cuba ingatkan Ardean atau diri sendiri, dia pun tak pasti.

"Maksud Cik Eshal, macam ni?" Ardean kenyitkan sebelah matanya ke arah Eshal.

Eshal hampir tersedak liur melihatnya. Tak menduga Ardean yang berani lagi selamba mengulang di depannya. Tanpa rasa bersalah. Kalau tadi, jarak dan dinding kaca menjadi pemisah. Mungkin masih boleh salahkan ilusi matanya. Tapi sekarang, memang tiada dalihnya lagi! Betul-betul di depan mata.

"Awak!" Hilang habis segala tatabahasa Eshal. Lumpuh lidahnya.

Ardean pula simpan senyum dalam hati melihat reaksi Eshal itu. Tapi muka masih kekal selamba.

"Oh, maaf kalau Cik Eshal rasa inappropriate! Kadang-kadang mata saya memang macam ni. Ada masalah agaknya. Maybe I should have a check on my cranial nerves. Why can't I shut both eyes at the same time sometimes?" Ardean membebel sendiri sambil mengurut-urut kelopak matanya.

Eshal tajamkan matanya ke arah Ardean. Tanda dia tak percaya langsung. Alasan tak logik. Tapi kalau Eshal bising, itu seolah-olah dia mahu Ardean mengaku sengaja kenyit mata ke arahnya. Oh, lagi dia tak sanggup! Sebab itu dia memilih untuk membiarkan saja. Ego lagi penting.

"Memang patut pun pergi periksa cepat-cepat. Tak pasal-pasal jadi masalah lain pula kalau asyik jadi depan semua perempuan," sinis Eshal.

"Tak semua."

"Tak semua apa?"

"Dia tak jadi depan semua perempuan. Ada masa-masa dia juga."

"Oh, really? Like what?" Eshal masih melayan walaupun jelas sarkastik nadanya.

"Macam kejadian buah epal Sir Isaac Newton jatuh ke tanah. Terjadi bila ada law of attraction."

"Get out!" halau Eshal akhirnya. Nada suaranya hanya mendatar saja. Bukan menengking atau marah. Sebagai tanda dia malas nak layan Ardean merapu lagi.

Di dalam pejabat ini, hanya Ardean yang berani buat macam ini dengannya. Dia pun dah tak lalu nak marah. Mungkin sebab dia memilih untuk faham itu memang sifat Ardean. Eshal mengamuk pun dia boleh buat biasa macam dah hilang rasa takutnya. Tak macam yang lain.

"Baik. Terima kasih Cik Eshal untuk sign dan cap ni." Ardean sengih lebar sekali sebelum sambar buku lognya.

Baru saja Ardean mula berjalan, dia mendengar suara lunak itu. Buatkan dia kembali pusing ke belakang.

"Thank you for the ginger tea," ucap Eshal. Sudah ditahan bibirnya supaya diam, tapi tetap juga ia ingkar dengan tuannya. Mungkin hati Eshal rasa paling tidak Ardean harus tahu usahanya dihargai. Orang buat baik dengan dia, dia harus berterima kasih.

"Sama-sama. One-o-three. Alhamdulillah, saya bersyukur Cik Eshal hargai teh halia yang kami semua buat. Terima kasih sebab bagi saya buat pahala," balas Ardean bersama senyum manis sebelum dia sambung menapak keluar.

Eshal hanya tersandar pada kerusi empuknya. Mengenang kembali coretan Ardean tentang perkara-perkara yang buatkan dia bersyukur. Setelah membacanya, komen pertamanya lelaki itu sungguh beruntung.

Seperti dia punya segala-galanya. Tapi, dia tak salahkan Ardean. Sudah tertulis takdirnya sebegitu. Tapi malangnya hidup Eshal tak setuah Ardean.

Namun daripada coretan Ardean juga, rasa bersyukur itu kerana nikmat. Nikmat itu boleh jadi dua. Dikurniakan sesuatu, itu adalah nikmat. Dielakkan musibah, itu juga nikmat. Ardean memang betul. Banyak nikmat kecil yang kita terlepas pandang hanya kerana kita lupa itu adalah nikmat.

Caj bateri telefon semalam, bangun pagi dah penuh. Bawa kereta tak kemalangan. Jumpa lampu isyarat terus hijau. Masa jalan tak langgar tiang.

Eshal tak tahu mampukah dia pandang seperti apa yang Ardean pandang sebab dia hanyalah manusia biasa. Yang selalu lupa dan alpa. Yang lebih memandang apa yang tiada daripada apa yang ada. Eshal tahu dia adalah orang yang seperti itu. Dia tahu dia bukanlah orang yang baik. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro