Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

DALAM masa beberapa hari itu tangan Nina terlalu cekap mengangkat gagang telefon. Pantang berbunyi terus sahaja diangkat. Semua itu kerana terlalu mengharap jawapan daripada Jefri tetapi semuanya mengecewakan.

Jefri telah membuat dia resah menanti selama beberapa hari. Di pejabat, dia tidak sanggup berjauhan dari telefon. Di luar, hatinya cemas setiap kali mendengar bunyi telefon bimbit. Dia teringatkan Jefri.

Di rumah pula, apabila Jefri telefon mengucapkan selamat malam, dia geram mahu mengangkat telefon dan terus bertanyakan jawapan. Tetapi dia tidak mahukan perubahan. Dia cuma mahukan kerjasama daripada Jefri.

Kenapa Jefri terlalu liat? Kenapa buat dia tertunggu-tunggu? Sepanjang hari Nina bagaikan ibu kucing yang kehilangan anak. Duduk tidak senang, berdiri pun tidak kena.

Hari Sabtu semakin hampir. Sudah banyak kali dia menjeling kalendar. Semakin masa berlalu semakin tidak sabar hatinya menunggu. Memang dia tidak boleh bersabar lagi. Resah dan cemas semakin menjadi-jadi.

Biarlah dia mengalah. Biarlah dia berlembut. Demi projek kebajikan itu, dia sanggup melakukan apa sahaja walaupun terpaksa merendahkan diri merangkak mencari Jefri.

Lagipun berita tentang kesudian Jefri telah pun disampaikan kepada Saroja serta kakitangan yang terlibat. Semasa mesyuarat, dia telah pun mengesahkan bahawa projek itu akan berjalan mengikut perancangan, tidak akan tertangguh walau sehari pun.

Pantas Nina mencapai gagang telefon, lalu didail nombor telefon pejabat Indah Textiles di Johor Bahru yang kini tidak lagi jelas di ingatan. Sekejap sahaja kedengaran suara penyambut tetamu di talian yang jelasnya bukan lagi suara Haryati yang dikenalinya.

"Encik Jefri, please?" pinta Nina dengan hati penuh debaran. Sudah terlalu lama dia tidak menelefon Jefri. Kini dia berasa agak janggal.

"Minta maaf, cik. Encik Jefri sudah keluar. Cik mahu saya sampaikan message?"

Malangnya jawapan penyambut tetamu itu amat menghampakan.

"Er... Tak mengapa. Bila Encik Jefri akan balik semula ke office?'

Setelah terdiam seketika, gadis penyambut tetamu kembali memberi tindak balas.

"Cik boleh telefon balik dalam masa setengah jam. Ataupun cik mahu bercakap dengan setiausaha Encik Jefri?"

"Saya telefon balik. Thank you."

Gagang telefon diletakkan perlahan-lahan ke tempatnya. Hampa betul perasaannya ketika itu. Entah kenapa tatkala hatinya berkobar-kobar dengan semangat, apa yang dirancang tidak pula menjadi seperti yang diharapkan. Kecewa.

Nina menjatuhkan tubuhnya ke kerusi. Perasaannya terasa longlai, gelisah memikirkan sekiranya Jefri terlupa tentang perbincangan mereka tempoh hari kerana sibuk dengan urusan pejabat.

Lagipun anak syarikat Indah Textiles di Kuala Lumpur sedang dalam proses pembinaan. Jefri tentu sahaja tidak ada masa untuk memikirkan perkara lain selain daripada urusan pejabat.

Seandainya Jefri tidak dapat meluangkan masa, maka terpaksalah dia memilih salah seorang daripada rakan sekerjanya sendiri. Walaupun tidak berpuas hati, projek terpaksa juga diteruskan.

"Nina!"

Nina segera berpaling apabila namanya dipanggil. Tengku Zulhan muncul di muka pintu dengan anak perempuannya di sisi.

"Oh, Han. Masuklah."

"Elly!" jerit Nina manja sebaik sahaja bertentang mata dengan anak perempuan Tengku Zulhan.

Elly kelihatan sungguh comel dengan baju overall jean yang kelihatan jauh lebih besar daripada tubuh kecilnya. Bibir merahnya melebar dengan senyuman manis. Dia segera berlari anak ke dalam pelukan Nina.

"Auntie." Seperti biasa sebaik sahaja bertemu, mereka saling berbalas kucupan sayang di pipi.

"Comelnya Elly. Apa khabar?" tanya Nina mesra.

"Daddy bawa Elly pergi hospital jumpa uncle doctor," balas Elly yang petah bercerita itu.

"Ya ke? Elly tak nakal, kan?"

"Tak. Uncle doctor bagi sweets," cerita Elly sambil mengeluarkan beberapa biji gula-gula daripada poket bajunya.

"Emmm, uncle doctor sungguh baik, ya?"

"Elly sa... yang uncle doctor!"

"Macam mana?" soal Nina berpaling kepada Tengku Zulhan yang sedang duduk memerhatikan gelagatnya dengan Elly. Dalam masa beberapa tahun itu hampir setiap minggu Elly dibawa ke hospital untuk pemeriksaan doktor.

Kata Tengku Zulhan, anaknya itu hanya menunggu masa untuk menjalani rawatan di sebuah hospital kanak-kanak di Australia.

"Macam biasa. Kadang-kadang dia nampak sihat dan ceria tapi kadang-kadang tu agak lemah. Nina pula macam mana? Mengelamun panjang tadi. Ada masalah dengan projek kebajikan?"

Dalam senyuman Nina mengeluh perlahan. Dia tidak mahu Tengku Zulhan tahu betapa terdesaknya dia sehingga terpaksa mengharapkan sumbangan tenaga daripada satu-satunya lelaki yang cuba dielakkan di dunia ini. Jefri sendiri tentunya tergelak panjang mengenangkan kelemahannya itu.

"Sebenarnya Nina sedang menunggu panggilan dari calon mr. charity. Lusa hari penggambaran. Nina nak pastikan Nina dapat orang ni."

"Tapi Han dengar semuanya dah settle. Model dah cukup, setting pun dah sedia dan kata Joe, kita dah nak mulakan penggambaran," ujar Tengku Zulhan dengan wajah berkerut hairan.

"Belum melekat. Nina nak melegakan perasaan dia orang saja. Sebenarnya Nina masih kena berusaha memujuk orang ni. Katanya nak call tapi sampai sekarang belum juga call. Nina cuma takut kalau-kalau dia terlupa. Orang business katakan. Sibuk memanjang."

"You kan pandai memujuk, gunakanlah kepakaran you tu," usik Tengku Zulhan.

Mendengar kata-kata Tengku Zulhan, Nina sekadar tersenyum. Kalau benar-benar mahu memujuk Jefri terpaksalah dia menipiskan sedikit egonya.

"Semoga berjaya, Nina. Han beredar dulu. Nak ke rumah nenek Elly. Kalau ada problem, jangan segan bertanya."

"Sayang, ucapkan selamat tinggal..." ucap Tengku Zulhan pada anaknya.

"Bye, bye... auntie!"

"Bye, bye Elly..." balas Nina semanja suara Elly.

Beberapa minit selepas Tengku Zulhan dan anaknya meninggalkan pejabat, Nina sekali lagi mendail nombor telefon pejabat Jefri. Kalau sudah terdesak, terpaksa juga dia bermulut manis dengan Jefri.

"Jefri, please," ucap Nina sebaik sahaja mendengar suara penyambut tetamu di talian.

"Oh, Encik Jefri baru saja masuk ke bilik mesyuarat. Boleh tunggu sekejap? Saya cuba dapatkannya. Boleh saya tahu nama cik?" tanya penyambut tetamu, sopan.

"Nina. Nina Roshan," balas Nina pantas, lalu menunggu.

Rasanya cukup lama barulah kedengaran suara Jefri menyambut panggilan. Sibuk sangatkah dia sehingga membiarkan Nina menunggu begitu lama di talian?

"Helo, Jefri bercakap."

Mendengar suara Jefri, tiba-tiba sahaja lidah Nina jadi kelu. Suaranya tersekat di kerongkong. Berkecamuk perasaannya.

"Helo! Helo?"

"Er... Jeff. Ini Nina."

Mendengar suara Nina, bibir Jefri melebar senyum. Akhirnya Nina merendahkan diri menelefon setelah dua tahun lamanya dia tidak mendengar suara merdu itu di talian. Sememangnya sahih Nina sudah terdesak.

"Maafkan Nina kerana mengganggu. Tapi Nina perlu dengar jawapan Jeff. Nina tahu ia kedengaran macam mendesak, tapi... memang pun Nina dah terdesak," ucap Nina berterus terang.

"Kalau tak, Nina pun tak ingin bercakap dengan Jeff, kan? Tak mengapa. Jeff faham," balas Jefri. Maksudnya begitu jelas, yang pastinya untuk halwa telinga Nina seorang. Nina yang terasa, mengakui dalam diam.

"Jadi, Jeff?" Debaran di dada Nina kala itu selantang bunyi dram. Dia resah menunggu jawapan. Tenggelam timbul nasibnya seolah-olah di tangan Jefri. Seandainya Jefri mahu menghukum, ketika itulah saat yang paling sesuai.

"Nina betul-betul perlukan Jeff, hmmm?"

Nina terdiam. Keras lidahnya mahu mengaku betapa dia mengharapkan Jefri.

"Nina?"

"Ya, Nina perlukan Jeff," ucap Nina perlahan. Terpaksa dia melembutkan lidah mengucap empat perkataan itu walaupun hati di dalam masih tidak rela.

"Baiklah. Demi Nina, demi anak-anak yatim, Jeff berbesar hati untuk membantu. Siapa bakal pengantin Jeff? Sekurang-kurangnya Jeff perlu tahu namanya," pinta Jefri.

"Errr... Sebab perkara ini ditentukan oleh Cik Saroja, Nina pun tak berapa pasti. Boleh Jeff tunggu sehingga sampai masanya?"

"Kalau begitu kata Nina, okey, Jeff boleh bersabar."

"Terima kasih, Jeff. Jeff tahu harinya, kan? Lusa."

"Ya, Jeff datang nanti. Nina, Jeff mesti pergi sekarang. See you."

"Bye!"

Sebaik sahaja meletakkan gagang telefon, Nina terus menjerit riang. Dia berasa sungguh gembira bagaikan baru lulus satu ujian terbesar dalam hidupnya. Akhirnya kepastian sudah di tangan. Jefri sudah pun memberi janji.

Kalau tidak ada aral melintang, dia pasti datang pada hati yang dijanjikan. Nina tidak perlu lagi gundah-gulana.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: