Bab 7
SEMINGGU di Johor Bahru merupakan pengalaman yang sukar untuk dilupakan. Kini Nina kembali ke Kuala Lumpur untuk meneruskan kehidupan hariannya. Dia sibuk menyambung semula segala kerja yang tergendala akibat cuti mengejutnya tempoh hari. Fail-fail yang bertimbun di atas meja jelas menunjukkan betapa sibuk tugasnya sebagai eksekutif di syarikat pengiklanan itu.
Di samping itu dia juga ditugaskan oleh Tengku Ali mengetuai projek kebajikan syarikat untuk tahun itu. Segala kertas kerja sudah pun dibentangkan dan dipersetujui sejak beberapa bulan yang lalu.
Iklan untuk mendapatkan mr. dan mrs. charity, iaitu sukarelawan dan sukarelawati yang mempunyai penampilan menarik sebagai model untuk kalendar kebajikan yang memaparkan pasangan-pasangan pengantin juga telah lama disiarkan melalui media massa. Model amatur tanpa bayaran memang sukar untuk dicari tetapi Nina gembira kerana rakyat Malaysia sememangnya berjiwa prihatin.
Semenjak minggu pertama iklan itu disiarkan bermula pada awal tahun itu, dia mendapat tindak balas yang baik daripada muda-mudi yang berminat mencurahkan bakti di dalam kerja-kerja kebajikan.
Malangnya, bukan semua calon yang mendaftarkan diri itu berkelayakan kerana syarikat penaja yang membekalkan pakaian-pakaian pengantin berkeras untuk mendapatkan calon-calon yang berpenampilan ala model sahaja untuk menggayakan pakaian mereka.
Setakat ini Nina telah berjaya mendapatkan empat pasangan model yang berkualiti, malangnya dalam masa yang singkat sahaja dia hampir kehilangan satu per satu model-model tersebut kerana masalah yang tidak dapat dielakkan.
Masing-masing mempunyai komitmen lain dan masa yang diperlukan untuk menyiapkan projek itu pula agak panjang. Akibatnya pasangan model sentiasa sahaja bertukar ganti.
Cik Saroja yang turut membantunya di dalam projek itu tidak habis-habis menggaru kepala kerana terpaksa memilih dan memadankan semula mana-mana pasangan yang lebih secocok. Saiz pakaian-pakaian pengantin juga menimbulkan masalah. Pendek kata, untuk melaksanakan projek kebajikan itu memang sukar.
Nina pening kepala. Dia resah memikirkan deadline yang semakin hampir sedangkan sesi penggambaran belum pun bermula. Tahun baru juga hampir menjelang. Kalendar kebajikan harus diedar dan dijual sebelum tahun baru tiba. Di mana pula dia harus mencari satu lagi pasangan.
Sudah hampir sebulan dia mencari pengganti tetapi tidak juga berjaya. Kata Saroja, dia telah pun berusaha mencari dalam kalangan saudara-maranya tetapi tidak ada seorang pun yang berbadan sasa ataupun berwajah menarik seperti yang dikehendaki. Semuanya tidak memenuhi syarat.
Dalam beberapa hari itu, Nina sudah pun mencuba sedaya upaya mendapatkan sukarelawan. Malah ketika sedang berjalan atau makan di restoran pun matanya asyik mencari mr. right. Sekiranya hati berkenan, dia sanggup menghampiri dan memperkenalkan diri.
Malangnya susah sekali untuk mendapatkan calon yang sudi membantu tanpa mengharapkan balasan. Sebaik sahaja mendengar bahawa projek itu adalah projek kebajikan untuk anak-anak yatim piatu dan khidmat mereka tidak mendapat pulangan melainkan sebuah cenderahati kecil, mereka terus menggeleng dengan alasan tidak mempunyai masa yang terluang. Sibuk konon!
Nina membelek fail di hadapan mata, meneliti semula foto bakal-bakal model untuk kalendar kebajikan tahun baru yang akan diberikan judul Sinar Harapan itu. Semuanya tampak bergaya walaupun bukannya model terkenal.
Dia berharap tidak akan ada lagi yang terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir. Kalau tidak, rosaklah rancangan mereka selama berbulan-bulan itu. Tengku Ali, ayah kepada Tengku Zulhan pasti naik angin sekiranya projek tahunan itu tidak menjadi.
Nina pula tentu mendapat malu kerana tidak mampu menjayakan amanat yang diberikan kepadanya. Tidak... Dia tidak boleh gagal. Dia tidak harus menghilangkan kepercayaan Tengku Ali terhadap kebolehannya.
Dari sebalik dinding kaca di bilik pejabatnya, Nina melihat Saroja sedang mengorak langkah menuju ke arahnya. Langkahnya pantas seperti biasa.
Saroja kelihatan hebat hari itu dengan sut berwarna merah yang serasi dengan kulitnya yang agak gelap. Mekapnya pula sempurna. Saroja sememangnya seorang wanita yang cantik dan bergaya.
"Boleh I masuk?" tanya Saroja sebaik sahaja mengetuk daun pintu.
"Masuklah. I memang tunggu you," balas Nina, senyum. Untuk melancarkan projek itu, banyak perkara yang perlu dibincangkannya dengan Saroja.
"Macam mana? Sekejap terlebih, sekejap pula terkurang. I tak tahu mana nak cari lagilah. This is a tough job!" rungut Saroja dengan wajah berkerut-kerut. Dia mengeluh panjang lalu menghenyakkan punggungnya ke kerusi di hadapan Nina.
"Kata Albert, minggu depan sesi penggambaran akan dimulakan. Setting pun dah ready. Pakaian pengantin juga dah dipadankan dengan model yang ada. Problemnya... Sepasang pengantin lagi mana nak cari? Oh!" keluh Saroja lagi. Kepalanya tergeleng-geleng, resah.
" I tahu. I sedang mencari, tapi... entahlah." Nina turut mengeluh panjang. Dia kehabisan ikhtiar.
"Apa kata kalau kita pakai empat pasang model sajalah," cadang Saroja selamba.
Nina tersenyum pahit mendengar cadangan yang disuarakan oleh Saroja. Bukannya dia tidak pernah terfikir untuk mengambil jalan mudah dengan hanya menggunakan dua atau tiga pasang model sahaja tetapi keadaan sebegitu menunjukkan seolah-olah kerja yang mereka lakukan itu hanyalah kerja remeh ataupun orang yang menguruskan projek itu sekadar melepaskan batuk di tangga.
Prinsipnya, buat kerja biarlah bersungguh-sungguh. Hasilnya juga mestilah yang terbaik. Oleh itu dia tidak akan menyerah kalah.
"Ada dua belas bulan, Saroja. Takkanlah asyik memaparkan muka-muka yang sama juga. Lagipun pasangan tak boleh bertukar ganti. Ini kan foto pengantin, perkahwinan. Kita mahu yang terbaik," balas Nina sejurus kemudian.
"Kalau begini, suruh Albert sajalah," ujar Saroja lagi, serius.
Nina tergelak kecil mendengar saranan Saroja itu. Dia terbayangkan raut wajah Albert yang kurus dan bermisai nipis itu. Adakah patut rupa macam Albert yang dicadangkan sebagai bakal model? Badan pun kurus melidi!
"Albert tu pemalu. Daripada pilih Albert, lebih baik you and I yang berlakon. You jadi lelaki dan I pula jadi pasangan you, okey?" usik Nina. Dia tertawa lagi sehingga Saroja pun turut sama tergelak besar.
"Sebenarnya itu idea yang baik. Kita sebenarnya hanya kekurangan seorang saja model lelaki. Yang perempuan I dah dapat," ujar Saroja sebaik sahaja ketawanya reda. Matanya bersinar dengan perasaan gembira.
"Orangnya tak lain dan tak bukan adalah you!" sambung Saroja lagi. Jari telunjuknya menuding ke arah Nina.
"Wait a minute! I? No way!" Nina cepat-cepat membantah. Di dalam projek itu dia yang menjadi pengarah, bukan sebaliknya.
"Apa salahnya? Daripada pening kepala mencari, kan bagus kalau you buat sendiri? Lagipun you dah biasa berlakon iklan."
Nina mula termenung panjang memikirkan cadangan Saroja supaya dia sendiri yang menawarkan diri menjadi mrs. charity. Apa yang dikatakan oleh Saroja itu ada juga kebenarannya. Sekiranya dia melibatkan diri, mereka boleh menjimatkan sedikit masa dan tenaga.
Daripada bersusah payah mencari, adalah lebih baik jika dia sendiri yang menjadi pengantin perempuan. Pengantin lelaki pula boleh dicari dalam kalangan bujangan di office itu yang elok paras rupanya. Siapa? Wajah-wajah Alex Lee, Sanusi, Kong dan Rama mula terlintas di kepalanya. Tetapi kesimpulannya, kesemua bujangan itu pun satu kelas dengan Albert.
"Macam mana? I rasa ini idea yang paling baik. Time is up. Tentang model lelaki pula, you boleh minta bantuan kenalan you yang macam... Amer Khan itu."
"Rudi? No, tak boleh. I tak nak dia fikir yang bukan-bukan. Lebih-lebih lagi apabila berpakaian pengantin nanti."
Rudi adalah jenis lelaki playboy yang telah lama cuba dielakkan oleh Nina. Dia tidak mahu terhutang budi kepada lelaki seperti itu. Nanti menjadi-jadi pula perangai miangnya.
"Kalau begitu, bos? Zulhan? Dia tu boleh tahan juga, ada rupa seorang model. Apa kata kalau kita minta bantuan dia?" soal Saroja, menjeling penuh mengharap.
"Tak boleh!" Nina membantah. Dia merenung tajam pada Saroja.
"Eh, pantasnya membantah," usik Saroja sambil tersenyum nakal. Sebagaimana kakitangan syarikat yang lain, Saroja juga sedia maklum tentang gosip di antara Nina dan Tengku Zulhan.
"Tak baik untuk reputasi dia sebagai ketua syarikat. Jangan you cuba kemukakan cadangan ini kepada dia."
Nina segera memberi amaran. Tengku Zulhan tentu sahaja tidak akan menolak kalau bantuannya diperlukan untuk tujuan kebajikan. Tetapi apa pula kata orang sekiranya foto perkahwinan mereka disiarkan nanti? Sedangkan cerita serta gosip yang ada sekarang pun sudah cukup merunsingkan hatinya. Dia tidak boleh menambahkan manisan kepada umpatan-umpatan yang sedia ada. Bala nanti.
"Okey, I setuju jadi pengantin perempuan. Pengantin lelaki pula... I akan usahakan sehingga minggu depan. Kalau tak ada juga, Albert pun jadilah," sambung Nina, mula membuat keputusan.
Saroja tersenyum meleret, lega dan senang hati dengan keputusan Nina itu.
"Beruntungnya Si Albert. Kalau bukan kerana terpaksa, manalah dia nak dapat pengantin secantik you," ujar Saroja sambil tergelak kecil.
"Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapalah tahu," balas Nina bersahaja.
"Jangan-jangan selepas disolek nanti, you pun boleh berkenan," sambung Nina, mengusik.
"Kalau I berkenan pun, dia bukannya perasankan I. I ni gelap," balas Saroja pula sambil berlalu.
Sesaat kemudian dari dalam bilik pejabatnya Nina menyaksikan satu kemalangan kecil di antara Saroja dan Albert. Saroja yang sentiasa mahu cepat terlanggar badan Albert sehingga berterbangan barang-barang di tangannya.
Tubuh Albert yang sekeping itu pun turut melambung. Apa tidaknya, Saroja berbadan tegap dan berisi. Kemudian Saroja kelihatan tersipu-sipu memohon maaf.
Nina terpaksa menahan rasa geli hati melihat gelagat kedua-dua orang rakan sekerjanya itu. Kalau tidak silap Nina, selama ini tindak-tanduk Saroja menggambarkan seolah-olah dia menyimpan perasaan istimewa terhadap Albert, cuma Albert sahaja yang tidak tahu bermain mata.
Cinta sememangnya buta. Kedua-duanya langsung tidak secocok, berdiri pun tidak sepadan. Selain daripada sikap lurusnya itu, entah apalah yang dipandang istimewa oleh Saroja pada diri Albert.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro