Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 6

DUA hari kemudian apabila Puan Zaiton keluar dan hospital, wajah Tuan Haji Mohammad tampak berseri-seri ketika menyambut kepulangan isteri tersayang. Walaupun Puan Zaiton membebel panjang, Tuan Haji Mohammad tetap tersenyum meleret.

Nina berasa cukup senang hati melihat suasana bahagia begitu. Nampak benar kasih sayang di antara suami isteri itu amat utuh. Tanpa isterinya selama beberapa hari, pak longnya seolah-olah terkapai. Mak longnya juga sama. Diri yang sakit tidak diendahkan tetapi soal makan minum suaminya juga yang dirisaukan.

Setiap kali Nina ke hospital melawat mak longnya di samping membebel tentang suaminya, orang tua itu tidak pernah lupa untuk menyelitkan komen tentang Nina dan Jefri. Mak longnya tidak lenguh mulut memujuk Nina agar berbaik semula dengan Jefri.

Nina terpaksa mengangguk dan menabur janji untuk mempertimbangkan perkara itu demi menjaga perasaan mak longnya. Dia mahu mak longnya cepat sihat. Dia sanggup melakukan apa sahaja asalkan mak longnya segera sembuh, walau dengan berjanji kosong sekalipun.

Malangnya petang itu tanpa disangka-sangka, mak longnya mula menuntut janji. Mak longnya tidak sabar-sabar lagi mahu menikahkannya dengan Jefri. Terpaku Nina dibuatnya.

"Apa pendapat Nina kalau urusan nikah tu dijalankan pada penghujung tahun ini?" tanya Puan Zaiton tiba-tiba ketika mereka sedang menjamu minuman petang di ruang tamu.

"Lagipun rasanya perkara ini dah lama benar ditangguhkan," sambung Puan Zaiton lagi, beria-ia betul. Lagaknya seolah-olah Nina dan Jefri tidak pernah pun berkontroversi.

"Ha, macam mana? Hujung tahun musim cuti. Mak long rasa elok benarlah kalau diadakan majlis nikah ni," ujar Puan Zaiton apabila melihat Nina ternganga tanpa komen.

"Errr... Mak long, ada tak mak long bincangkan perkara ini dengan sesiapa? Pak long? Jefri?" soal Nina separuh berbisik. Hatinya cemas. Dia takut apabila mak longnya serius begitu. Entah-entah mak longnya memandai sendiri menyebarkan berita yang kononnya baik itu kepada sanak saudara mereka.

"Dengan dua beranak tu? Ala, putih kata mak long, putihlah kata mereka," balas Puan Zaiton sambil tersenyum senang.

Melihat pada air muka gadis di hadapannya itu, dia sudah pun mengerti benar bahawa Nina tidak serius dengan anggukannya beberapa hari yang lalu. Nina sebenarnya tetap tidak sudi berbaik dengan anak bujangnya. Rupa-rupanya walaupun telah bertahun kejadian itu berlaku, Nina masih tetap menyimpan perasaan dendam dan marah terhadap Jefri.

"Kalau kamu berdua segera nikah, senanglah hati mak long. Mak long janji takkan masuk hospital lagi," sambung Puan Zaiton sambil tergelak kecil.

Kalau boleh Puan Zaiton mahu Nina terjerat dengan janji kosongnya ketika dia terlantar di hospital beberapa hari yang lalu. Nina pasti tidak sampai hati hendak mengecewakan hati tua mak longnya. Nina seorang gadis penyayang.

Walaupun berjauhan, Nina tidak pernah mengabaikan mereka. Khabar berita sentiasa ditanya. Buah tangan dan wang ringgit juga tidak pernah lupa dikirim. Tetapi bukan itu semua yang Puan Zaiton inginkan. Dia mahu melihat Jefri dan Nina bersatu kembali seperti beberapa tahun yang lalu. Dia tidak ingin lagi melihat kesedihan pada wajah anak-anaknya.

Puan Zaiton kuatkan hati. Dia tahu Nina tidak suka dipaksa, jadi terpaksalah dia menggunakan psikologi. Lagipun semua itu untuk kebahagiaan mereka sekeluarga terutama kebahagiaan Nina dan Jefri sendiri. Kebahagiaan anak-anaknya merupakan ketenangan hatinya.

Jefri seorang anak yang baik. Memang dia pernah tersadung dalam perhubungannya dengan Nina tetapi Jefri tidak patut dihukum sepanjang hayatnya. Jefri sudah pun sedar yang mana intan dan yang mana kaca.

Demi cinta, Nina sepatutnya memberikan peluang kepada Jefri. Puan Zaiton tidak sampai hati melihat Jefri dirundung duka.

"Mak long dan pak long dah tua, ada impian dan hasrat sendiri. Kalau boleh biarlah sempat menimang anak-anak Jeff dan Nina. Kalau dilengah-lengahkan takut tak berkesempatan..."

"Lagipun Nina bagaikan anak bongsu mak long. Mak mana yang tak runsing sedangkan dirinya entah esok lusa dipanggil Tuhan, anak gadisnya pula masih keseorangan. Mak long cuma pentingkan Nina..." ucap Puan Zaiton dengan wajah hiba. Tangannya meramas lembut jari-jemari Nina. Apa yang diucapkannya itu sebenarnya datang dari lubuk hati yang tulus ikhlas. Hati seorang ibu.

Hati Nina semakin runsing apabila mendengar kata hiba dari mak longnya. Kepalanya jadi buntu. Tetapi belaian sayang mak longnya tetap dibalas dengan senyuman manis walaupun hati di dalam cukup gundah. Impian murni mak longnya sukar sekali untuk dipenuhi. Dia belum merancang untuk menamatkan status bujangnya. Dia belum mahu kahwin, lebih-lebih lagi dengan Jefri.

Tetapi ucapan mak longnya benar-benar membuat perasaannya terjerat dalam keadaan serba salah. Hatinya resah. Kata-kata yang bagaimanakah mampu menghuraikan masalah yang menghimpitnya kini? Dia berasa tertekan oleh desakan Jefri dan juga mak longnya. Nasib baik pak longnya tidak turut bersemangat untuk menimang cucu.

"Mak long, Nina faham. Nina pun bukannya menolak tapi buat masa sekarang ni, Nina belum merancang untuk berumah tangga. Nina juga ada impian sendiri. Nina nak buka business, jadi..."

"Nina, bersuami tak bermakna Nina tak boleh beraktiviti. Nina masih boleh buat apa yang Nina mahu. Mak long pasti Jefri takkan membantah. Dia tu orang muda, berfikiran moden, terbuka. Tak macam pak long kau zaman muda-muda dulu..."

"Apa pula yang dibincangkan ni, sampai hal kita pula disebut-sebut?" tegur Haji Mohammad yang baru sahaja melangkah masuk ke ruang tamu.

"Mana Jefri? Dah balik ke office?" soal Tuan Haji Mohammad ketika melabuhkan punggung ke sofa berhadapan dengan isterinya.

Nina segera menuangkan teh ke dalam cawan lalu dihulurkan kepada pak longnya.

"Minum, pak long. Jeff dah balik ke office. Katanya ada meeting pukul 4.00 petang," jelas Nina.

Selepas membawa ibunya pulang dari hospital pagi itu, tanpa berlengah-lengah lagi Jefri terus kembali semula ke pejabat. Selepas peristiwa di kamar tidur Nina tempoh hari, Jefri berkelakuan agak pelik. Dia mula menjauhkan diri. Masanya lebih banyak dihabiskan di pejabat daripada di rumah. Dia hanya pulang ketika subuh hampir menjelang.

"Abahnya, tolonglah nasihatkan anak bujang awak tu supaya berehat sikit. Suruhlah dia bawa Nina pergi shopping ke Singapura. Ini asyik kerja saja dua puluh empat jam. Sabtu, Ahad tak kira masa," komen Puan Zaiton.

"Dia bersikap begitu bersebab. Takkan tak tahu, maknya oi... Di samping nak meningkatkan produktiviti, dia nak lupakan masalah. Orang muda zaman sekarang kan banyak problem, tak macam kita zaman muda-muda dulu," sindir Tuan Haji Mohammad selamba. Matanya terus merenung surat khabar di tangannya. Sejurus kemudian dia mencapai cermin mata dari saku bajunya dan terus membaca. Usulan daripada isterinya tidak diendahkannya.

"Abahnya, kami ini sebenarnya sedang bincangkan soal perkahwinan Nina."

Tuan Haji Mohammad segera berpaling. Air mukanya berubah. Dia kelihatan terkejut.

"Nina? Dengan siapa?" soalnya pantas.

"Dengan Jefrilah. Dengan siapa lagi? Dia orang kan bertunang dah hampir sepuluh tahun. Kenalah langsungkan juga suatu hari nanti," ujar Puan Zaiton.

Tuan Haji Mohammad tampak lega, melepaskan nafas perlahan-lahan lalu menyandar semula ke tempat duduknya.

Nina mengeluh resah dalam hati. Mak longnya bercakap seolah-olah perhubungannya dengan Jefri selama ini tidak pernah pun menghadapi krisis. Macamlah dia dan Jefri bercinta bagai nak rak dan tidak sabar-sabar lagi mahu hidup bersama.

"Baguslah macam tu. Habis, apa keputusannya?" Tuan Haji Mohammad pula menampakkan minat. Surat khabar segera diletakkan ke tepi. Matanya silih berganti merenung wajah Nina dan isterinya, menunggu jawapan.

"Pak long, mak long..." Nina menghela nafas dalam. Dia memberanikan diri untuk mengemukakan bantahan. Kalau dibiarkan, pasti hari itu juga mak long dan pak longnya akan nikahkannya dengan Jefri.

"Nina belum bersedia," tegas Nina sambil merenung sayu pada wajah-wajah di hadapannya.

Tidak tahu bagaimana mahu menerangkan perasaan yang bersarang di sanubarinya selama ini. Pak long dan mak longnya tidak akan memahami. Luka akibat perbuatan Jefri hanya dia yang merasai. Sembilu masih tertusuk dan darah pun masih menitis. Walaupun hati masih berkata mencintai Jefri namun dia tetap tidak dapat melupakan peristiwa yang telah terjadi.

"Nina... dah lama benar ni. Apa lagi yang Nina nak?" bantah Puan Zaiton dengan wajah hampa.

"Ton, bagilah sikit masa lagi untuk budak-budak ini memperbetulkan keadaan. Bersabarlah," sambut Tuan Haji Mohammad dengan wajah tenang. Dalam hati dia mengeluh besar, alamat membujang sampai ke tualah anak bujang aku!

"Mana boleh, bang... Tengok keadaan Jefri tu."

"Tahulah dia uruskan diri sendiri. Dia kan dah besar," balas Tuan Haji Mohammad lembut, cuba menenangkan perasaan isterinya yang mula berkocak.

Nina tertunduk. Berat dan sedih hatinya melihat kedukaan pada wajah mak long dan pak longnya. Jiwanya resah melihat pak longnya yang terpaksa memujuk hati mak longnya supaya bersabar menghadapi situasi itu.

Dia mula berasa bersalah, berdosa kerana menyusahkan hati mak long dan pak longnya yang selama ini menjaganya bagaikan menatang minyak yang penuh. Harapan mereka sebenarnya amat suci, cuma perasaan Nina yang masih goyah. Dia sebenarnya takut untuk berpatah balik.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: