Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

LEWAT malam itu Nina menghabiskan masa di dalam kamar tidurnya dengan membelek kembali barang-barang lama yang ditinggalkan. Semuanya membawa kenangan manis, terutama sekali gambar-gambar dia dan Jefri pada zaman persekolahan dahulu.

Kegembiraan serta keseronokan yang tidak mungkin dapat diraihnya kembali. Sesungguhnya perasaan gembira yang dirasainya kini tidak dapat menandingi kegembiraannya pada masa lalu, ketika hubungan di antara dia dan Jefri begitu rapat. Perasaannya terhadap Tengku Zulhan tidak ada persamaan dengan perasaan cintanya terhadap Jefri.

Walaupun telah mencuba, dia masih tidak mampu untuk menyayangi Tengku Zulhan sebagaimana dia menyayangi Jefri. Tengku Zulhan adalah seorang lelaki yang mampu setia, sedangkan Jefri, walaupun kacak dan sasa, belum tentu dapat menenteramkan jiwa perempuan Nina.

Lelaki yang pernah berlaku curang lambat-laun pasti akan mengulangi perbuatannya itu. Nina tidak sanggup menghadapinya untuk kali kedua.

Nina menutup photo album dengan pantas, sebagaimana pantasnya dia cuba menghilangkan nama Jefri daripada ingatannya. Selepas menyimpan kembali barang-barang yang telah diselongkar sebentar tadi, dia mencapai gaun tidur lalu disarungkan ke tubuh.

Tatkala sedang sibuk membersihkan wajahnya di meja solek, pintu kamarnya diketuk beberapa kali. Kehairanan, perlahan-lahan dia melangkah ke pintu dan cuba memasang telinga. Hati di dalam waswas. Pak longnya ataupun Jefri?

"Siapa?" soal Nina dengan hati penuh debaran.

"Nina, ini Jeff." Kedengaran suara Jefri menyahut perlahan.

"Bukalah pintu," pinta Jefri.

Nina terdiam. Hatinya gelisah. Apa pula yang Jefri mahu malam-malam buta begini?

"Nina..." panggil Jefri lagi sesaat kemudian.

"Apa yang Jeff mahu?" tanya Nina, masih tidak rela untuk membuka pintu.

Walau untuk tujuan apa sekalipun, Jefri tidak sepatutnya memilih waktu itu untuk mengunjunginya. Malam sudah lewat, hampir pukul 1.00 pagi.

"Bukalah pintu, Nina. Jeff ingin katakan sesuatu," balas Jefri.

"Apa dia?" soal Nina. Dia masih liat untuk membukakan pintu dan bersemuka dengan Jefri.

"Please, Nina. Jeff perlu berbincang. Kenapa tak berikan peluang kepada Jeff?" rayu Jefri lagi.

Nina serba salah. Dia terpaksa berfikir panjang sebelum mengambil keputusan membuka pintu untuk Jefri. Pak longnya sentiasa melarang Jefri daripada merapati kamar tidurnya sejak dahulu. Kenapa pula kini Jefri mesti mengingkari arahan ayahnya?

"Esok masih ada, Jeff. Kenapa pilih sekarang? Sudah lewat."

"Please, Nina..." Hiba saja kedengaran suara Jefri.

Perasaan Nina jadi longlai. Akhirnya dia terpaksa mengalah jua. Daun pintu dibuka lebar. Dia memaparkan wajah geramnya kepada Jefri yang tidak bosan memujuk itu.

"Jeff tahu apa pak long akan buat kalau dilihatnya kita begini?"

"Kahwinkan kita," balas Jefri selamba. Dia melangkah masuk dan pintu kamar ditutupnya rapat.

"Perkara itu mungkin tak menjadi masalah bagi Jeff. Tapi masalah besar bagi Nina. Nina tak rela ditangkap basah!" bentak Nina sedikit marah dengan desakan Jefri itu.

Daun pintu mahu dibukanya semula tetapi sepantas kilat pula dihalang oleh Jefri.

"Apa Jeff buat ni?" tanya Nina tercengang melihat perbuatan Jefri. Matanya merenung tajam pada wajah Jefri.

Dia tidak menyangka Jefri begitu berani memasuki kamar tidurnya dalam keadaan pintu yang tertutup rapat. Apa yang akan terjadi sekiranya diketahui oleh pak longnya? Mereka pasti kelihatan seperti sedang melakukan perbuatan tidak senonoh. Hati Nina kian berkocak kencang.

"Lebih baik rendahkan suara, Nina."

"Semudah itu?"

"Bukan Jeff tak cuba untuk berbincang dengan Nina di tempat yang lebih elok tapi Nina yang tak sudi jumpa Jeff. Jeff tunggu hampir dua jam dan itu bukannya kali pertama."

Nina terdiam. Mengenangkan janji temu yang tidak dikotakannya tengah hari itu, dia terpaksa mengaku kalah.

"Kenapa Nina benci sangat pada Jeff? Kenapa tak boleh lupakan kisah lalu? Perlukah Jeff beritahu bahawa Jeff cuma manusia biasa... banyak kelemahan? Bukankah menjadi tanggungjawab Nina untuk memaafkan orang yang telah sedar dari kesilapannya?" ujar Jefri panjang lebar.

"Nina bencikan Jeff," balas Nina dengan suara lemah setelah sekian lama hanya memandang pada dinding di belakang Jefri. Nina tidak lagi membenci. Dia sebenarnya tidak pernah pun mampu untuk membenci Jefri.

Tetapi setiap kali berbicara dengan Jefri membuatkan perasaannya dibelai rasa hiba. Wajah Jefri bagai layar yang menayangkan kembali segala adegan yang cuba dilupakannya selama ini.

Bagaimana dia boleh bertahan? Rasa geram dan sakit hati pasti sahaja bermaharajalela dalam sekelip mata apabila sahaja dirinya mula mengingati kisah lampau.

"Katakan yang Nina masih cintakan Jeff. Please say it..." pinta Jefri tiba-tiba seolah-olah nyawanya hanya bergantung kepada ucapan cinta dari bibir Nina.

Nina tergamam. Dia berdiri kaku di hadapan Jefri, memandang dengan rupa kalut. Tindakan Jefri itu membuat dia merasa serba tidak kena. Lidahnya kelu serta-merta.

"Jeff perlukan kepastian, Nina. Penantian tanpa kepastian amat menyeksakan," adu Jefri.

Dia betul-betul mengharapkan pengertian. Pengabaian Nina benar-benar membuat dirinya berada di dalam kegelapan.

"Jangan minta sesuatu yang Nina sendiri tak pasti. Lagipun Nina tak tahu kenapa Jeff bersusah payah melakukan semua ini," bidas Nina.

"Kerana Jeff terlalu menyayangi Nina. Kita telah bersama sejak kecil, tentu Nina tahu sikap Jeff. Jeff tak akan menyeksa diri tanpa sebab. Jeff cintakan Nina dan Jeff tahu Nina juga masih cintakan Jeff. Cuma Jeff ingin dengar dari bibir Nina."

"Jeff akan lakukan sebaik mungkin untuk membahagiakan Nina. Kahwin dengan Jeff, Nina," lamar Jefri, seikhlas hati.

Kahwin? Jefri melamar? Seperti gadis-gadis lain juga, hati Nina mekar berbunga apabila dilamar. Lebih-lebih lagi apabila dilamar oleh Jefri. Tetapi perkahwinan tidak termasuk di dalam agenda hidupnya buat masa yang terdekat ini.

Dia masih ada rancangan lain yang harus dilaksanakannya. Impiannya untuk membuka dan menguruskan syarikat pengiklanan sendiri harus dicapai terlebih dahulu sebelum dia rela mengabdikan diri kepada sebuah rumah tangga. Segala-galanya sudah pun dirancang. Perkahwinan pasti sahaja menjadi batu penghalang.

Lagipun tempoh masa dua tahun itu terlalu singkat jika dibandingkan dengan masa empat tahun yang terpaksa diharunginya menunggu kepulangan Jefri, sedangkan hasilnya sungguh mengecewakan. Kenapa pula dia harus memudahkan hidup Jefri?

"Kahwin? Nina tak fikir soal kahwin termasuk dalam rancangan Nina untuk tahun ini, tahun depan atau tahun seterusnya. Tapi, kena tengok juga siapa orangnya," balas Nina, sinis. Dia berpaling pantas menjauhkan diri daripada Jefri.

Dalam sekelip mata tangan Jefri mencapai pergelangan tangan Nina, mencengkam kemas dan sepantas kilat tubuh mereka rapat. Perbuatan Jefri itu membuatkan Nina terperanjat besar. Terkedu.

"Jeff!" jerit Nina. Matanya singgah pada wajah Jefri. Dia tidak pernah menghadapi Jefri di dalam keadaan berang begitu.

"Apa kena dengan Jeff ni?"

"Apa maksud Nina?" soal Jefri serius. Wajah gusarnya dirapatkan pada wajah Nina. Dia merenung tajam. Malah kelihatan begitu berjauh hati.

"Nina belum puas menyakiti? Nina mahu menyakiti hati mak, ayah dan seluruh keluarga ini baru puas hati?" tingkah Jefri. Kini kedua-dua tangannya mencengkam kemas di bahu Nina.

Nina terdiam, tercengang dan terpaku.

"Demi Tuhan, Jeff cintakan Nina. Jeff tak inginkan perpisahan. Jeff mahu dekat padamu macam dulu, Nina," ujar Jefri, gelisah.

Matanya yang bening meneliti perlahan pada seluruh wajah Nina meminta pengertian dan simpati. Dia menghela nafas dalam, lalu perlahan-lahan tangannya melurut lembut rambut Nina yang panjang mengurai. Seketika kemudian tubuh Nina dirangkul ke dalam pelukannya.

Sungguh! Nina terkejut. Cemas. Dia kaku bagaikan patung. Tidak berdaya membantah tindakan Jefri itu. Segala-galanya berlaku dengan pantas.

"Jeff?" bisik Nina seketika kemudian apabila Jefri berterusan memeluk tubuhnya seolah-olah tidak mahu dilepaskan lagi. Jefri bagaikan anak kecil yang tidak rela berpisah dengan boneka kesayangannya. Adakah betul Jefri begitu mencintainya?

"Lepaskan Nina, Jeff..." pinta Nina dengan berhati-hati.

Dia resah, tidak tahu bagaimana caranya menangani perkara seperti itu. Apa yang harus dilakukannya?

"Jeff sedar apa yang sedang Jeff lakukan, Nina. Tapi Jeff perlukannya. Jeff perlukan Nina," balas Jefri sambil melonggarkan pelukannya.

Semua itu membuat Nina kelemasan tiba-tiba. Peluh sejuknya memercik! Dia menolak tubuh Jefri sekuat hati tetapi bagaikan menolak sebuah trak. Jefri tetap utuh, manakala dia pula terjelepuk ke tilam. Tubuhnya bergetar dan lemah longlai.

"Keluar dari sini, Jeff!" rayunya tanpa sedikit pun memandang wajah Jefri. Dia ketakutan. Takut pada Jefri dan juga diri sendiri.

Matanya dipejam rapat. Saat-saat seperti itu amat sukar untuk dihadapinya. Menentang orang yang dibenci adalah lebih senang daripada menentang orang yang dikasihi. Sekiranya Jefri berterusan begitu, dia tidak yakin jiwa perempuannya boleh bertahan.

"Nina... Jeff tak berniat serong. Maafkan Jeff. Jeff cuma mahu Nina sayangkan Jeff sebagaimana Jeff sayangkan Nina. Ikhlas," ujar Jefri sejurus sebelum meninggalkan Nina dan kamarnya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: