Bab 4
JARI telunjuk Nina menekan punat rewind pada alat perakam suara telefon, lalu dia membaringkan tubuhnya ke tilam dan mula memasang telinga.
"Nina, hari ini Jeff berjaya mendapatkan sebuah kontrak besar. Hari yang paling menggembirakan ini teringin rasanya meraikannya bersama Nina. Tapi Jeff sedar, Nina jauh dari Jeff. Jauh di mata tetap dekat di hati ini Nina. Selamat malam."
Begitulah report daripada Jefri yang bermula sejak dua tahun lalu, sering terakam di pita perakam telefon di kamar tidur Nina. Selama dua tahun Jefri tidak pernah tertinggal walau satu malam pun.
Tetapi itu adalah report semalam. Report Jefri untuk malam itu belum kedengaran lagi walaupun jam sudah menunjukkan hampir pukul 11.00 malam.
Semenjak Nina meninggalkan Johor Bahru sehingga sekarang, Jefri tidak berhenti-henti menelefonnya walaupun hanya sekadar untuk mengucapkan selamat malam. Kadang-kadang dia bercerita panjang lebar tetapi kebanyakannya hanyalah sepatah dua kata kerana Nina tidak pernah sekalipun melayan panggilannya itu.
Dia sengaja membiarkan pita perakam menyambut setiap panggilan daripada Jefri sejak dahulu sehinggalah ke saat ini.
Selama dua tahun itu, Nina jarang sekali menjejakkan kaki ke rumah mak longnya. Dia tidak ingin bertemu muka dengan Jefri. Dia masih ingat akan janjinya pada diri sendiri untuk tidak berbicara dengan Jefri sehingga ke akhir hayat mereka. Hatinya yang terluka sukar diubati. Dia tidak mahu tahu apa-apa tentang Jefri.
Malangnya Jefri tidak pernah berputus asa. Dia tetap menelefon dan menceritakan perihal dirinya dan apa sahaja secara sukarela. Kadang-kadang dia sampai merayu meminta Nina mengangkat telefon kerana rindu ingin mendengar suaranya.
Tindakan Jefri menelefonnya setiap malam itu sesungguhnya membuat hatinya dalam persimpangan di antara rindu dan dendam.
Walau bagaimanapun Nina tetap mengagumi semangat Jefri. Jefri tidak pernah lupa menelefonnya walau di mana jua dia berada, seolah-olah di dalam kepalanya hanya ada Nina. Hati batu sekalipun pasti digamit rasa terharu. Apakah yang ingin Jefri buktikan sebenarnya? Kesetiaannya terhadap Nina? Tidakkah Jefri sedar bahawa semua itu sudah terlewat?
Sekali lagi Nina menekan punat rewind, ingin mendengar semula luahan hati Jefri. Sudah menjadi tabiatnya setiap malam mengulang dengar kata-kata Jefri beberapa kali sebelum lena dibuai mimpi. Mengenangkan keadaan dirinya yang merana teruk suatu ketika dahulu akibat perbuatan Jefri yang menduakannya, Nina tahu dia tidak sepatutnya leka mendengar suara Jefri seolah-olah mendengar muzik Strauss.
Nina tidak ingin lagi mengeluh. Walaupun gagal meraih cinta sejati, dia kini telah pun berjaya membina kerjayanya bersama Zulhan Advertising Agency. Dia menyenangi kehidupannya sekarang. Ramai kawan untuk sama-sama bersuka ria dan juga mempunyai seorang ketua yang tidak ubah seperti kawan biasa. Tengku Zulhan merupakan pemilik syarikat pengiklanan tempat Nina bekerja.
Selama dua tahun bersama Syarikat Zulhan, dia berpuas hati dengan layanan baik Tengku Zulhan sekeluarga terhadapnya. Mereka berkawan rapat. Ketika Nina baru memulakan tugas di Syarikat Zulhan, Tengku Zulhan baru sahaja kematian isteri akibat penyakit barah yang kritikal.
Tragedi itu meninggalkan kesan mendalam terutamanya kepada anak perempuannya, Tengku Allisa yang ketika itu cuma berusia tiga tahun. Elly, anak comel yang terpikat pada Nina sejak pertemuan pertama sehingga kini bagaikan anak perempuan Nina sendiri. Elly yang begitu dahagakan belaian kasih seorang ibu seolah-olah tidak boleh lagi berpisah dengan Nina.
Hubungan baik di antara Nina dan Elly secara tidak langsung merapatkan lagi persahabatannya dengan Tengku Zulhan. Mereka bagaikan satu keluarga. Malah ada yang meneka bahawa Nina pasti bakal menggantikan ibu Elly, sebagai Puan Zulhan yang baru.
Memang Nina menyedari bahawa perasaan Tengku Zulhan terhadapnya mulai berubah sejak setahun yang lalu. Tengku Zulhan tidak lagi menganggapnya sebagai pekerja ataupun teman biasa.
Nina sudah pun mengisi ruang hatinya. Tetapi Nina sendiri tidak pasti tentang perasaan sebenarnya terhadap Tengku Zulhan. Dia cuma bersimpati terhadap lelaki itu, terutama sekali terhadap Elly yang kehilangan tempat untuk bermanja.
Walaupun Nina tidak mungkin menggantikan tempat ibu Elly tetapi sekurang-kurangnya dia dapat memberikan kasih sayang sekadar yang termampu. Kasihan Elly, sudahlah kehilangan ibu, badan pula sentiasa saja letih lesu akibat kerosakan buah pinggang. Dia tidak lagi seceria anak-anak kecil yang lain.
Memang malang sungguh nasib kedua-duanya. Tidak ubah seperti nasib Nina tiga belas tahun yang lalu apabila nyawa ayah dan ibunya diragut pergi akibat kemalangan jalan raya.
Nina kehilangan kedua-duanya serentak. Nasib baik Nina masih ada saudara-mara seperti mak long dan pak longnya yang masih sudi memberikan perlindungan kepadanya walaupun pertalian saudara di antara mereka bukannya rapat.
Nina memang sentiasa merindui mak long dan pak longnya. Tanpa mereka di sisi, kehidupannya kini tidak lagi seperti dahulu. Mak longnya tiada di situ untuk bermanja-manja.
Kalau merajuk pun tidak ada sesiapa yang hendak memujuk. Orang lain memang tidak mampu menandingi kehebatan kasih sayang mak longnya itu.
Setelah berjauhan dari keluarga, Nina hanya mampu menelefon sekali-sekala untuk berborak dan melepaskan rindu. Dia paling takut sekiranya panggilannya diangkat oleh Jefri. Kejadian seperti itu pernah terjadi beberapa kali. Lidahnya kelu sebaik sahaja mendengar suara Jefri.
Sesungguhnya Nina masih tidak dapat melupakan tangisan pilu mak longnya ketika dia melangkah kaki meninggalkan rumah untuk memulakan kerja di Kuala Lumpur. Mak longnya risau untuk melepaskan Nina hidup merantau.
Baginya, Kuala Lumpur adalah kota metropolitan yang penuh dengan musibah. Sehingga sekarang pun mak longnya masih membebelkan perkara yang sama. Nina sanggup mendengar apa sahaja cerita dari mulut mak longnya itu kecuali cerita tentang Jefri.
Masih Nina ingat bagaimana Jefri menjerit berkali-kali memanggil namanya ketika keretanya sudah pun meluncur laju meninggalkan halaman rumah. Pada saat itu perasaannya cukup tersentuh. Jefri seolah-olah tidak rela berpisah.
Tetapi ketika itu hatinya amat degil. Dia tetap memecut walaupun Jefri cuba menghalang. Malah sehingga sekarang hatinya masih juga sekeras besi aloi. Walaupun Jefri berusaha keras dari kejauhan untuk berbaik dengannya, dia tetap tidak dapat memaafkannya.
Malangnya Nina tidak pula dapat melupakan bekas tunangannya. Tiada apa-apa pun yang boleh membuatkan bayangan wajah Jefri pergi dari kotak fikirannya. Kesibukan kerja juga tidak dapat membantunya melupakan Jefri.
Selama ini dia sengaja membebankan diri dengan kerja-kerja pejabat dan juga tugas sambilannya sebagai model iklan. Sebagai model iklan, namanya cukup dikenali walaupun tidak sebaris dengan model-model catwalk yang berlakon iklan barang-barang kosmetik serta iklan-iklan eksklusif di kaca televisyen.
Jefri pernah berkata bahawa hanya wajah Nina di kaca televisyen sahaja yang masih mengekalkan kewarasannya selama ini. Dia hampir hilang akal kerana merindui Nina.
Ucapan hiba Jefri itu masih terakam di pita kecil yang disimpan di laci mejanya. Kadang-kadang Nina akan memainkan semula beratus-ratus pita yang merakamkan suara Jefri itu.
Gila! Dia sendiri tidak mengerti kenapa ucapan Jefri begitu menarik hatinya walaupun sekadar ucapan selamat malam dan maafkan Jeff. Apakah kelebihan Jefri berbanding lelaki-lelaki yang dikenalinya di sekitar bandar raya itu?
Kalau mereka kaki lagak dan kaki bohong, Jefri pun sama. Jefri juga jenis mata keranjang. Hanya Tengku Zulhan sahaja pada pandangannya merupakan seorang lelaki yang berwibawa, baik hati dan penyayang. Memang bertuah perempuan yang bakal bersuamikan Tengku Zulhan.
Tetapi kenapa Nina tidak mengambil kesempatan di atas minat yang ditunjukkan oleh Tengku Zulhan terhadapnya selama ini? Kenapa dia begitu terkejar-kejar untuk mendengar ucapan selamat malam daripada Jefri? Kenapa matanya tidak mahu lena sebelum mendengar suara Jefri?
Tiba-tiba telefon berdering. Nina berpaling melihat jam meja yang kini menunjukkan hampir pukul 12.00 tengah malam. Selepas beberapa deringan, kedengaran rakaman suara Nina sendiri meminta orang yang menelefon meninggalkan pesanan. Sejurus kemudian Jefri mula berbicara.
"Nina..." Diam seketika. Nina memasang telinga. Selama ini suara Jefri sememangnya kedengaran sayu tetapi kali ini kesayuannya kedengaran aneh. Berbeza. Apa pula yang akan diceritakan oleh Jefri malam itu? Jefri mahu menagih simpati?
"Nina, Jeff cukup bimbang bila mak tiba-tiba saja pitam dan dimasukkan ke hospital. Terasa seperti keresahan selama bertahun-tahun itu tiba-tiba datang menghempap sekaligus ia bagaikan hujan batu. Jeff ingin sampaikan berita ini lebih awal tapi Jeff tahu Nina takkan menjawab."
Sepantas kilat tangan Nina mencapai gagang telefon. Mendengar kata-kata Jefri, hatinya terasa seperti mahu gugur. Terkejut. Sakit darah tinggi mak longnya begitu serius?
"Mak long di hospital? Apa terjadi? Macam mana keadaan mak long?"
Bertalu-talu Nina menyoal tetapi tiada jawapan daripada Jefri. Talian sepi. Perasaan Nina semakin berkecamuk. Dia bimbang bukan kepalang.
"Jeff? Jeff!"
"Nina..." bisik Jefri akhirnya.
"Jeff, macam mana keadaan mak long?"
"Mak beransur baik, Nina. Tapi masih perlu berehat di hospital selama beberapa hari. Jangan bimbang. Semuanya akan baik. Mak masih kuat."
"Nina akan pulang segera."
"Nina."
Telefon diletakkan. Hati Nina berdebar kencang. Dia cukup risau memikirkan tentang keadaan mak longnya. Mak long memang sudah lama menghidap penyakit darah tinggi tetapi tidak pernah pula sampai pitam dan terpaksa dirawat di hospital.
Mak longnya sememangnya semakin tua dan uzur. Begitu juga dengan pak longnya. Kedua-duanya pun berpenyakit. Hidup mereka berbekalkan ubat-ubatan.
Malam itu tidur Nina terganggu kerana memikirkan tentang mak longnya. Dia tidak sabar-sabar menunggu hari siang.
SEJAK awal pagi lagi Nina sudah pun bersiap sedia dengan beg pakaiannya. Dia tidak sanggup menunggu lebih lama. Hatinya cukup risau memikirkan keadaan mak longnya yang kini terlantar di salah sebuah hospital swasta di Johor Bahru.
Selepas menelefon Tengku Zulhan untuk memohon cuti kecemasan, dia segera mengetuk pintu kamar tidur rakan serumahnya, Rafidah yang juga merupakan kawan sekolahnya semasa di sekolah menengah dahulu.
Rafidah lebih dahulu menjadi warga kota, iaitu sebaik sahaja meninggalkan bangku sekolah ketika berusia 18 tahun. Dengan bantuan kewangan saudara-maranya di Kuala Lumpur, Rafidah telah mengambil kursus perakaunan selama beberapa tahun dan kini dia adalah seorang pegawai akaun di sebuah syarikat ternama.
"Ida! Ida! Bangunlah!" Nina terus memanggil berulang kali.
Setiap hari minggu Rafidah memang sentiasa tidur mati sehingga tengah hari. Dia tidak suka tidurnya diganggu walaupun oleh panggilan telefon daripada Iskandar, lelaki yang digilainya selama bertahun-tahun itu. Iskandar adalah seorang penerbit terkenal di sebuah syarikat rakaman antarabangsa.
Setelah agak lama menunggu, barulah wajah Rafidah yang sembap tersembul di muka pintu. Rambut pendeknya menggerbang macam singa lapar. Dia seolah-olah mengalami mimpi ngeri sepanjang malam.
"Ala... Nina, ada apa ni?" soal Rafidah dengan wajah tidak puas hati. Tangan kanannya asyik membetul-betulkan rambutnya yang kusut-masai itu.
"Sorrylah, Ida. Tapi Nina ada hal emergency. Mak long sakit di hospital. Nina kena balik sekarang juga, cuti seminggu. Ada apa-apa Ida nak kirim pada mak Ida?" soal Nina pada Rafidah yang sudah hampir setahun tidak menjenguk kampung halamannya.
"Emmm... Tak adalah. Mak long you sakit apa?" soal Rafidah acuh tak acuh.
"High blood pressure. Nina pergi dulu. Bye!"
"Ah... ah," balas Rafidah sambil berundur kembali ke tilam empuknya. Tubuhnya direbahkan ke tilam.
Setahu Nina, ketiadaannya nanti akan pasti menyeronokkan Rafidah. Seperti biasa Rafidah pasti bebas mempelawa Iskandar bermalam di rumah dan berseronok memadu kasih tanpa gangguan.
Rafidah mengamalkan cara hidup bebas. Seks tanpa nikah adalah perkara biasa baginya. Dia dan Iskandar nampaknya lebih gemar cara hidup begitu.
Katanya, kasih sayang akan lebih berkekalan sekiranya bersekedudukan tanpa komitmen. Nina tidak kuasa lagi hendak menasihati.
Lagipun usia Rafidah dua tahun lebih tua daripadanya. Rafidahlah yang sepatutnya menjadi contoh dan sepatutnya memberi tauladan yang baik bagi Nina yang berpangkat adik, bukan sebaliknya.
Walau bagaimanapun sejak akhir-akhir itu Rafidah sudah pun mengurangkan tabiat membawa Iskandar ke kamar tidurnya di rumah itu. Mereka ke hotel atau ke tempat-tempat yang membolehkan mereka bersendirian.
Rafidah telah berterus terang. Katanya, dia tidak suka cara Iskandar merenung Nina, bukannya kerana takut pada leteran Nina tetapi kerana Rafidah sudah lama menyimpan rasa cemburu yang membuak terhadap sikap mata keranjang teman lelakinya yang pantang melihat perempuan anggun. Apatah lagi Iskandar sering kali digosipkan dengan penyanyi-penyanyi wanita muda yang glamor.
Tetapi pujuk rayu Iskandar sentiasa sahaja berjaya mematahkan api cemburu Rafidah. Nina sedikit pun tidak mempercayai sumpah cinta Iskandar terhadap Rafidah.
Iskandar memang tidak boleh diharap oleh mana-mana perempuan yang berhasrat untuk berumah tangga dan mempunyai keluarga bahagia. Iskandar hanya meminati tubuh badan Rafidah. Itu sahaja yang menarik hati Iskandar.
Bagi Nina, hubungan di antara Iskandar dan Rafidah hanya nafsu semata-mata, bukannya perasaan cinta. Kalau tidak, Iskandar tentu sahaja tidak akan cuba menggoda Nina, kawan kekasihnya. Tindakan Iskandar menggoda Nina memang menjijikkan.
Nina mendiamkan sahaja perkara itu demi menjaga hati Rafidah. Tetapi Iskandar sememangnya jenis buaya tembaga, tidak pernah berputus asa. Di hadapan Rafidah, dialah Romeo tetapi di belakang Rafidah, tangannya mula merayap.
Iskandar sentiasa membuat Nina hilang kesabaran. Rasanya seperti mahu sahaja dia menghentak kepala lelaki itu dengan kasutnya.
Nina membelok keretanya ke kanan memasuki lorong ke arah rumah mak longnya. Setelah berjam-jam memusing stereng dan bermain gear, akhirnya dia tiba jua di halaman rumah yang telah lama ditinggalkan. Dia kepenatan, lapar dan dahaga.
Tetapi ingatan terhadap mak long yang terlantar di hospital mendorongnya melangkah pantas ke dalam. Matanya mengamati sekeliling, ke segenap ceruk ruang tamu. Semuanya tetap sama seperti enam bulan yang lalu, ketika dia singgah seketika dalam perjalanan ke Singapura.
"Pak long... Pak long!" Nina memanggil cemas. Dia berlari-lari anak ke dapur, ke belakang rumah mencari pak longnya tetapi hampa. Orang tua itu tidak kelihatan di mana-mana.
"Pak long!" panggilnya lagi tatkala melangkah masuk semula ke ruang tamu. Memandangkan suasana rumah yang sepi itu, Nina pasti pak longnya sudah pun keluar. Bagaimana pula dengan Jefri?
"Nina?" Kedengaran suara yang amat dikenalinya menyeru namanya dari tingkat atas.
Nina segera berpaling. Matanya singgah pada Jefri, berwajah tampan, tinggi dan sasa. Rambutnya kelihatan basah dan seperti baru disikat. Tergamam Nina. Sudah sekian lama dia tidak bertentang mata dengan Jefri.
Rasanya seperti sudah bertahun-tahun dan dia lupa betapa Jefri sebenarnya mempunyai perwatakan yang sungguh menarik. Malah sekarang Jefri kelihatan dewasa dan matang. Jefri kini kelihatan berbeza daripada pemuda yang dikenalinya sebelum ini.
"Jefri..." bisik Nina perlahan.
Dia tercengang memerhati langkah Jefri yang begitu pantas menuruni anak-anak tangga. Jefri seolah-olah melayang ke arahnya dan dalam sekelip mata sahaja tubuhnya dirangkul erat oleh Jefri. Termangu Nina. Terperanjat besar dia dengan tindakan melulu Jefri itu. Rangkulan Jefri itu sememangnya mesra dan erat sehingga haruman sabun mandi serta colognenya menusuk lembut ke hidung Nina.
"Oh, Nina... Nina. Jeff sungguh gembira," keluh Jefri berulang kali.
Dia seolah-olah tidak menyedari perbuatannya. Setelah puas memeluk, baru Jefri mengangkat muka merenung wajah resah Nina. Jari-jemarinya singgah membelai perlahan di rambut dan muka Nina. Matanya bersinar penuh kebahagiaan.
Nina masih tergamam, tetapi masih berpijak di bumi nyata. Dia sedar apa yang sedang Jefri lakukan ke atas dirinya, iaitu belaian rindu terhadap seseorang yang disayangi. Sedangkan dia bukan lagi kekasih Jefri! Tidak... Dia tidak akan memaafkan Jefri. Jefri tidak berhak memeluk tubuhnya semesra itu.
"Apa kau buat?!" soal Nina tegas. Dia masih membatu merenung Jefri. Sungguh dia tidak percaya Jefri kini sedang melakukan perbuatan yang tidak pernah mereka lakukan selama ini walaupun ketika bercinta dahulu.
Mendengar ucapan Nina itu, tiba-tiba sahaja wajah Jefri berubah menjadi redup. Perasaan kecewa, hampa dan hiba kini bersatu. Perlahan-lahan tangannya yang sesaat tadi begitu ramah mulai menjauhi Nina.
"I'm very sorry," bisik Jefri perlahan. Dalam pada itu jiwanya merintih kesal kenapa Nina sentiasa sahaja cuba mengingatkannya bahawa di antara mereka tiada lagi hubungan cinta? Mengapa Nina tidak pernah lupa untuk membina sempadan?
"Jeff tak bermaksud..."
"Lupakan. Anggap saja ia tak pernah terjadi," balas Nina.
Dia sebenarnya berasa amat malu dan segan kerana dipeluk Jefri. Tidak tahu apa yang harus diucapkannya dalam suasana begitu. Di antara mereka bagaikan orang asing.
Percintaan antara dia dengan Jefri baginya sudah lama berlalu, berkubur akibat perbuatan Jefri sendiri. Usaha Jefri untuk memujuknya selama ini tidak akan dibiarkan berhasil. Luka di hatinya masih berdarah.
Biarkan Jefri gila bayang! Kalau bukan kerana angau, tentu sahaja Jefri tidak akan menelefonnya saban malam, bercakap sendirian walaupun tidak dilayan. Nama Jefri sepatutnya dicatatkan di dalam Guinness Book Of Records kerana usahanya yang tidak kenal jemu itu.
"Pak long tak ada?" soal Nina sebaik sahaja melabuhkan punggung ke sofa kesukaannya.
Matanya memerhati sana sini, kecuali pada wajah Jefri. Dia memang sangat merindui suasana kekeluargaan yang sudah lama ditinggalkannya itu. Pak long dan mak longnya suka duduk di sofa hadapan bercerita disertai gelak ketawa riang.
"Ayah ke hospital menjenguk mak," jawab Jefri lalu melihat jam di pergelangan tangannya.
"Nina nak ke hospital," ujar Nina, lalu bangun.
Mengenangkan mak longnya, hatinya kembali cemas. Dia tidak senang hati selagi tidak melihat keadaan mak longnya dengan mata sendiri.
"Tak payah tergesa-gesa. Nina pergi mandi, bersihkan diri... Kemudian kita ke sana bersama, okey?"
"Tapi..." Nina serba salah. Berdua-duaan lagi? Setakat ini dia sudah pun berasa tidak selesa untuk menghadapi Jefri.
"Jangan bimbang. Mak tak apa-apa. Sehari dua lagi mak dibenarkan balik. Nina berehat dulu. Jeff tahu Nina penat."
"Kalau macam tu... baiklah. Nina ke atas dulu. Er... Bilik Nina?" soal Nina ragu-ragu. Setelah lama tidak bertuan, entah-entah kamar tidurnya sudah berubah menjadi stor.
"Sama juga seperti dulu. Tetap bilik Nina," balas Jefri, tersenyum.
Jefri leka memerhati setiap langkah Nina memanjat anak-anak tangga, teratur dan gemalai. Terbawa-bawa langkah catwalknya. Bagi Jefri, kecantikan Nina tiada tandingannya. Dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki, semuanya bernilai. Nina sangat jelita. Semakin jelita dari setahun ke setahun.
Sesungguhnya setiap detik masa yang berlalu, Jefri tidak lagi dapat menahan keinginannya untuk meraih kasih sayang daripada Nina. Dia hidup terseksa kerana perasaan cinta dan rasa rindu yang tidak berbalas.
Nina masih lagi tidak sudi menerimanya. Nina tidak pernah pun melayani beratus-ratus panggilan telefonnya selama dua tahun itu. Jefri sedar, seandainya keadaan itu dibiarkan berterusan tanpa seinci pun perubahan positif, suatu hari nanti dirinya pasti lenyap daripada dunia nyata.
Dia pasti akan terperangkap dalam dunia angan-angan bertemankan bayang-bayang Nina buat selama-lamanya.
Dia bertekad akan memperisterikan Nina dengan apa jua cara sekalipun. Dia ingin menikmati hidup bahagia bersama gadis yang dicintainya. Tanpa Nina, jiwanya betul-betul kosong, sunyi dan sepi. Seandainya Nina tiada, musnahlah mimpi serta harapannya.
Selama dua tahun itu dia berusaha keras untuk mendekatkan diri pada Nina. Dalam masa beberapa bulan lagi, cawangan pejabat dan kilang Indah Textiles akan dibuka di Kuala Lumpur.
Dia akan menetap di Kuala Lumpur dan menguruskan segala urusan pejabat di sana. Jarak di antara dia dan Nina akan didekatkan dan dia akan menggunakan peluang itu untuk meneruskan usahanya memujuk Nina supaya kembali ke sisinya.
Jefri tidak rela melepaskan Nina kepada lelaki duda yang bernama Tengku Zulhan itu. Sebaik sahaja membaca laporan daripada penyiasat persendirian yang diupahnya untuk mengawasi Nina, dia hampir gila selama berminggu-minggu. Moodnya tidak menentu dan asyik termenung panjang.
Dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa Nina tertarik kepada lelaki lain selain daripadanya. Nina nampaknya betul-betul telah berubah hati. Jiwanya terseksa. Dalam hatinya, Nina tetap miliknya untuk selama-lamanya. Nina dan Jefri tidak boleh berpisah.
Tetapi pelukan tadi seperti menjanjikan sesuatu. Nina memang termangu tetapi Nina bukannya batu. Sememangnya Nina masih berperasaan. Sedetik tadi Jefri dapat merasakan tindak balas yang begitu memberangsangkan daripada Nina.
Malangnya Nina cepat sedar. Sedaya upaya Nina cuba pendamkan perasaan sebenarnya. Tetapi walau sekuat mana pun Nina berusaha, naluri jantan Jefri dapat menilai betapa perasaan Nina terhadapnya sebenarnya belum mati. Menyedari hakikat itu tiba-tiba sahaja secalit perasaan gembira mulai menjengah di hati Jefri. Bibirnya menguntum senyum.
DALAM perjalanan ke hospital suasana di antara mereka sunyi dan sepi. Tegang. Nina ketandusan cerita, manakala Jefri pula hanya bersuara menerusi renungan matanya. Sekali-sekala dia melirik pada Nina tetapi kereta tetap dipandu dengan waspada. Keadaan betul-betul telah berubah. Seratus peratus berubah.
Seingat Nina, suasana di antara dia dan Jefri enam tahun yang lalu bukannya seperti pada saat itu. Mereka makan sepinggan, berkongsi barang-barang serta cerita. Apa yang Nina tahu pasti Jefri juga tahu, begitu juga sebaliknya.
Hidup mereka ceria, seronok dan mereka sering kali menantikan saat-saat di mana mereka boleh berduaan. Dunia remaja mereka dipenuhi dengan warna-warni. Tetapi sekarang, berbeza. Alam dewasa mereka telah kehilangan keseronokan yang pernah mereka lalui bersama.
Hati Nina terluka kerana kecurangan Jefri, manakala wajah Jefri dibaluti kesedihan yang berpanjangan kerana mengharapkan kemaafan yang tidak pernah hadir. Nina tidak rela menghulurkan kemaafan seandainya kemaafan itu menandakan kesudiannya untuk kembali bercinta dengan Jefri.
Sedangkan itulah yang diharapkan oleh Jefri selama ini. Pujukannya melalui telefon selama dua tahun itu kerana dia berharap Nina kembali semula ke pangkuannya.
Nina pula sanggup terseksa demi melihat Jefri mendapat pengajaran daripada sikapnya yang tidak bertanggungjawab. Rasa simpati dilemparkan jauh-jauh. Dia tidak pernah bertanya tentang Nur Ayu ataupun Siti Zulaikha, gadis-gadis yang pernah muncul di dalam hidup Jefri.
Dia tidak ingin tahu tentang semua itu tetapi mak longnya tidak habis-habis merungut menerusi telefon menceritakan ketidaksenangannya terhadap gadis-gadis yang cuba mendampingi Jefri.
Mak longnya tidak pernah bosan memujuk Nina agar memaafkan Jefri sehingga Nina terpaksa memekakkan telinga. Pujukan mak longnya sering kali membuat hatinya diserang rasa serba salah.
Dia bukan sengaja mahu mengecewakan mak longnya yang sentiasa berharap untuk menyatukan dua insan yang disayangi. Tetapi sekiranya dia terlalu berlembut, Jefri tidak akan serik. Dia mahu Jefri menyesal dan serik.
Jefri mesti sedar bahawa peluang baik tidak datang berkali-kali. Dia tidak mungkin lagi berpeluang menikmati senyuman manis Nina. Apa yang tinggal hanyalah keadaan seperti yang sedang mereka lalui sekarang, sepi, dingin sedangkan hati di dalam hangat berperang.
Kecoh setiap kali mata bertentang. Nina tidak dapat menafikan betapa hatinya masih terpikat kepada Jefri. Dia mencintai Jefri ketika masih hingusan dan perasaan cinta yang berputik sekian lama tidak mungkin dapat dikuburkan semudah itu.
Apa yang diraguinya hanyalah kesetiaan cinta Jefri. Mampukah Jefri berpegang kepada sumpah dan janji? Tidakkah peristiwa bersama Nur Ayu akan berulang lagi?
Kali ini nama gadis yang sering disebut-sebut oleh mak longnya ialah Siti Zulaikha, gadis pereka corak fabrik di syarikat mereka. Sekiranya Jefri serius terhadap gadis itu, kenapa pula dia masih mengejar cinta Nina?
Adakah benar perasaan Jefri tidak pernah teguh, sering kali berubah bagaikan seorang playboy? Perpisahan selama beberapa tahun itu membuat dia tidak lagi mengenali Jefri. Jefri dewasa di seberang lautan. Jefri tidak lagi seperti pemuda yang dicintainya dahulu.
Kini dia kelihatan begitu matang sedangkan umurnya baru menjangkau dua puluh tujuh tahun. Tampak lebih matang daripada abangnya, Fadzil yang tiga tahun lebih tua daripadanya. Perwatakan kedua-dua beradik itu amat berbeza.
Fadzil lembut dan agak pendiam orangnya. Dia ialah seorang bapa yang baik kepada tiga orang anaknya. Isterinya, Salmi ialah seorang guru di sekolah kebangsaan. Kedua-duanya memang sepadan. Salmi adalah menantu tunggal kesayangan mak longnya.
Manakala Jefri... Mata Nina mencuri pandang ke wajah serius Jefri. Orangnya memang tampan, kemas dan bergaya. Perwatakan yang telah pun sebati dengan dirinya sejak dahulu. Jefri kelihatan seperti seorang lelaki yang berjaya dalam hidup, seorang yang berpangkat besar dan kaya-raya. Seorang yang disegani dan dihormati.
Seperti kata mak longnya, Jefri memiliki segala-galanya. Tetapi sayangnya pada pemerhatian Nina, Jefri kelihatan seperti kehilangan sesuatu yang amat berharga di dalam hidupnya. Wajah yang gusar dan murung itu begitu jelas menunjukkan kekecewaan yang bersarang di hatinya.
Begitu jugalah air muka Jefri suatu ketika dahulu apabila ayahnya melarang dia daripada meneruskan hobi memandu kereta lumba sedangkan itulah satu-satunya bidang yang cukup diminati.
Pada umur lapan belas tahun, Jefri gemar menghabiskan masa di litar lumba kereta bersama kawan-kawannya. Kalau bukan melibatkan diri, dia sekadar menjadi pemerhati.
Seingat Nina, Jefri berminat betul. Dia sanggup menghabiskan masa berjam-jam berlatih dengan kereta buruk ayahnya dan ayahnya pula membebel panjang kerana bimbangkan keselamatannya.
Suatu hari apabila Jefri betul-betul ditimpa kecelakaan, Nina pun turut membantah hobi Jefri yang membahayakan diri itu. Dia merajuk panjang tetapi Jefri berjaya meyakinkannya bahawa kemalangan seperti itu tidak akan berulang lagi.
Dia berjanji akan sentiasa berhati-hati. Katanya, dia masih mahu hidup lama untuk menemani Nina di hari tua. Mengenangkan peristiwa itu, bibir Nina menguntum senyum. Hatinya tiba-tiba terbuka untuk berbicara.
"Masih berlumba?" soalnya tiba-tiba.
Jefri berpaling. Matanya bersinar. Terkejut agaknya apabila tiba-tiba ditegur oleh Nina yang selama ini diam membisu.
"Hmmm? Sorry?"
"Masih memandu kereta lumba?" ulang Nina.
"Oh ya, tapi tak lagi seperti dulu. Jeff sibuk dengan urusan kerja," balas Jefri.
"Bagaimana dengan perkembangan syarikat? Nina dengar ada berita baik."
"Setakat ini memuaskan. Cawangan pejabat dan syarikat kita akan dibuka di Kuala Lumpur tak lama lagi. Jeff akan jaga urusan di sana dan Abang Fadzil pula akan jaga urusan di sini," cerita Jefri sambil tersenyum senang.
Nampaknya berita yang disampaikan oleh mak longnya memang tepat. Sejak Jefri menguruskan syarikat mereka, perkembangan syarikat itu semakin menggalakkan. Malah cawangan syarikat mereka akan dibuka pula di Kuala Lumpur.
Bermakna Jefri benar-benar akan berpindah ke sana dan jarak di antara mereka tentulah menjadi dekat. Apakah pula rancangan Jefri dalam usahanya untuk memikat Nina kembali? Apa yang akan dilakukannya? Berita terbaru itu membuat dadanya berdebar resah.
"Tapi Jeff pernah berjanji takkan meninggalkan Johor Bahru?" ujar Nina pantas.
"Hati Jeff ada di sana," balas Jefri. Matanya melirik seketika kepada Nina.
Jantung Nina berdetak kencang. Dia mengerti benar apa yang dimaksudkan oleh Jefri. Hati Jefri dibawa pergi olehnya dua tahun yang lalu dan sekarang Jefri berhasrat untuk sentiasa dekat padanya.
"Mungkin di sana nanti, perasaan Jeff akan lebih tenteram, lebih bahagia. Jeff mahu dekat padamu, Nina," sambung Jefri lagi bersungguh-sungguh.
Nina tersentak apabila tangan Jefri tiba-tiba sahaja mendarat di tangan kanannya, menggenggam lembut jari-jemarinya. Nina tidak tahu tindakan bagaimana yang harus diambil. Berdiam diri, membalas dengan senyuman gembira ataupun melenting?
"Apa lagi yang harus Jeff lakukan, Nina?" soal Jefri dengan wajah hiba.
Tetapi seperti biasa, Nina tetap diam membisu. Walaupun beratus kali Jefri bertanya, dia tidak pernah ada jawapan untuk pertanyaan sebegitu.
"Jeff sudah terima balasan perbuatan Jeff, Nina. Jeff alami segala-galanya. Rasa bersalah, sedih, kecewa dan rindu yang tak terubat. Kalau Nina mahu menghukum Jeff sekalipun, takkah dua tahun itu sudah memadai?"
Sekali lagi pertanyaan Jefri terbiar tanpa jawapan apabila mereka mula memasuki kawasan hospital besar. Jefri sibuk mencari tempat untuk meletak kereta. Nina pula sibuk melayani fikirannya yang semakin bercelaru.
SEBAIK sahaja pintu bilik yang menempatkan Puan Zaiton dibuka, Jefri terus bersuara riang menegur ibunya.
"Mak! Tengok siapa yang datang?"
Apabila wajah Nina tersembul di muka pintu, mata mak longnya terbuka luas dan senyuman gembira terus mekar di bibir. Dia tiba-tiba kelihatan cukup bertenaga.
"Nina! Oh..." seru Puan Zaiton dengan kedua-dua tangannya terbuka lebar menerima ketibaan Nina.
"Mak long..." Nina terus meluru ke dalam pelukan mak longnya. Bertentangan mata dengan mak longnya membuatkan dadanya bersarang dengan perasaan sebak. Air matanya tiba-tiba sahaja menitis ke pipi.
"Nina, Jeff... Kamu datang berdua? Oh, mak gembira betul."
Nina berasa diri amat disayangi dan diperlukan oleh mak longnya apabila tangan orang tua itu sibuk membelai rambut serta kulit pipinya dengan sepenuh kasih sayang.
"Nina nampaknya semakin hari semakin elok parasnya," puji Puan Zaiton setelah puas menilik dan memerhati.
"Mak long pula macam mana? Dah sihat?"
"Mak long tak apa-apa. Tengok saja wajah Nina, mak long rasa bertambah-tambah sihat," balas Puan Zaiton dengan senyuman lebar.
"Tapi mak masih perlu berehat. Ingat pesanan doktor," pesan Jefri. Dia mula menghampiri dan mengambil tempat duduk di sisi ibunya.
"Abah dah balik?" tanyanya sesaat kemudian.
"Ya, baru sekejap tadi. Nina dah jumpa pak long?" soal Puan Zaiton, berpaling pula kepada Nina.
"Belum. Masa Nina sampai tadi pak long dah pun keluar," balas Nina lembut.
"Mak dah makan?" soal Jefri.
"Sudah. Tapi makanan di sini tak seenak masakan sendiri. Mak tak sabar-sabar nak balik," rungut Puan Zaiton.
Nina dan Jefri tersenyum, memahami. Setelah beberapa hari berbaring di katil hospital, sesiapa pun boleh naik bosan.
"Jeff pun dah rindu masakan mak. Tapi sehari dua saja lagi, mak. Bersabarlah. Jeff rasa kami perlu beredar dulu. Nina belum makan tengah hari."
"Kenapa belum makan? Dah hampir pukul 2.00 petang ni! Jeff kenalah jaga Nina dengan baik. Dah petang, perut pula masih kosong. Tak baik," bebel Puan Zaiton kepada Jefri.
"Nina ikut Jeff pergi makan, ya?"
"Yalah, mak long. Nina pergi dulu. Nanti Nina datang lagi."
"Yalah," balas Puan Zaiton, senang hati.
Apabila Nina dan Jefri berlalu, Puan Zaiton tersenyum panjang. Hatinya terasa senang apabila melihat Nina dan Jefri muncul berdua. Mereka berdua bagaikan cincin dengan permata. Kelihatan sepadan betul apabila jalan beriringan.
Kemunculan Nina ternyata mengubah seri pada wajah Jefri. Daripada wajah yang murung, kini Jefri tampak berseri-seri. Berapa peratuskah peluang Jefri untuk kembali bersama Nina?
Selama ini Puan Zaiton tidak pernah lupa berdoa agar Tuhan menemukan jodoh di antara kedua-dua anaknya yang dikasihi itu. Dia berharap benar agar keadaan kembali seperti suatu ketika dahulu. Rumahnya dipenuhi suara gurauan serta ketawa riang anak-anaknya.
Perhubungan di antara Nina dan Jefri telah berubah menjadi sepi sejak kepulangan Jefri bertemankan gadis manja bernama Nur Ayu itu.
Puas sudah Puan Zaiton menasihati agar Jefri memujuk Nina kembali tetapi sehingga sekarang tidak juga kelihatan hasilnya. Dia pun tidak tahu sama ada Jefri berusaha atau tidak.
Apakah rancangan anak bujangnya itu? Hati tuanya runsing mengenangkan ramai pula gadis yang berminat terhadap Jefri, sedangkan gadis yang betul-betul diinginkannya sebagai menantu sering berjauhan daripada Jefri. Bertanya khabar tentang Jefri pun tidak pernah. Musnahlah harapannya seandainya Nina telah pun tawar hati terhadap Jefri.
Tetapi tidak mungkin... Naluri Puan Zaiton dapat merasakan ada sesuatu yang memberikan sinar harapan pada renungan mata Nina, walaupun gadis itu berusaha keras untuk tidak memandang Jefri.
Bukankah itu bererti Jefri masih ada harapan sekiranya dia pandai bermain kata-kata dan tidak lagi membuang masa dengan hanya menunggu! Sebagai lelaki, Jefri harus pandai mengejar.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro