Bab 3
SEJAK tiga jam yang lalu wajah Encik Azlan, pengarah penggambaran iklan masam mencuka. Dia asyik menggaru kepala dan mundar-mandir sambil menggelengkan kepala tanda tidak berpuas hati. Bukan sahaja Encik Azlan yang tidak gembira hari itu tetapi juga krew penggambaran, jurusolek serta model-model yang terlibat turut mengeluh tidak senang.
Semuanya menyalahkan Nina kerana menggagalkan penggambaran iklan itu. Sebagai bintang utama Nina dikatakan tidak memberikan mood yang sepatutnya, wajah tidak ceria dan dia tidak beraksi dengan betul.
Encik Azlan telah berkali-kali memberi tunjuk ajar, kritikan serta nasihat sepanjang hari itu. Nina diminta melupakan semua masalah peribadi demi menjayakan sesi penggambaran iklan yang menelan belanja bukan hanya seribu dua itu. Nina dinasihati agar bersikap profesional serta bertanggungjawab atau tempatnya akan digantikan dengan model lain.
Apa yang Nina mampu lakukan hanyalah memohon maaf. Fikirannya benar-benar kacau. Jiwanya tidak tenteram dan dia tidak mampu mengawal perasaan. Langkahnya sentiasa tersilap dan bibirnya kelu setiap kali mahu mengutarakan dialog.
Semua itu berpunca daripada Jefri. Kerana Jefri, dia telah bertegang urat dengan mak longnya. Nina mahu memulakan hidup baru di tempat lain sedangkan mak longnya tidak mengizinkan.
Nina ingin meninggalkan Johor Bahru untuk bekerja di sebuah syarikat pengiklanan di Kuala Lumpur yang telah biasa menggunakan khidmatnya di dalam beberapa buah iklan demi menjauhkan dirinya daripada Jefri. Nina berdegil dan tetap dengan keputusannya.
Nina tahu mak long dan pak longnya menyayangi dirinya bagaikan anak sendiri. Sudah sekian lama mereka hidup sebumbung, semenjak kematian ayah dan ibunya akibat satu kemalangan ngeri di jalan raya. Mereka telah membesarkannya dengan sepenuh kasih sayang.
Sesungguhnya Nina sendiri tidak mahu berjauhan dari keluarganya tetapi setelah apa yang terjadi di antara dirinya dan Jefri, tidak memungkinkan dia hidup sebumbung lagi. Dia tidak sanggup.
Dengan langkah longlai, Nina meninggalkan bilik persalinan. Beg galasnya disangkutkan ke bahu. Ketika dia melintas, semua orang merenung dengan rupa semacam termasuk Encik Azlan yang kini mula mengorak langkah menghampirinya.
"Nina, walau apa jua masalah yang you hadapi sekarang, make sure besok datang tepat pada waktunya, okey? Kita tak boleh lagi membuang masa. Time is money and please... do it right next time," ujar Encik Azlan, tegas.
"Baiklah. I betul-betul minta maaf di atas kejadian hari ini," balas Nina perlahan.
Dia akui dirinya bersalah kerana menyusahkan semua orang. Selama ini dirinya dikenali sebagai model yang berbakat, berdedikasi dan tidak menyusahkan.
Tetapi ketika itu dia tidak menggalas beban masalah seberat yang dihadapinya kini. Jefri tidak pernah membuat fikirannya runsing. Jefri yang dahulu sentiasa memberi semangat dan pandai menenangkan perasaannya yang resah telah berubah kini.
"Jumpa lagi esok tepat pukul 10.00 pagi." Encik Azlan melangkah pergi mendapatkan kakitangannya dan seterusnya memberi arahan tertentu.
Nina sekadar memerhati dengan perasaan bersalah. Hari itu dia telah membuang masa semua orang. Wang beribu-ribu ringgit telah dihabiskan untuk menyewa tempat yang eksklusif itu tetapi semuanya sia-sia. Hidupnya kini memang tidak tentu arah.
"Hai, Nina!"
Nina segera berpaling apabila ditegur secara tiba-tiba oleh satu suara lunak manja. Terkejut dia apabila matanya singgah pada wajah kacukan yang sedang melangkah pantas ke arahnya. Bukankah itu kekasih baru Jefri? Tiba-tiba sahaja hatinya diburu dengan pelbagai pertanyaan. Macam mana pula gadis itu boleh berada di situ? Apa yang dia mahu daripada Nina?
"Kebetulan ya... I datang jemput kawan. Dia model iklan."
"You ni?"
"Oh, I'm very sorry. Nur Ayu, tunang Jefri."
Gadis itu segera memperkenalkan dirinya sambil menghulurkan tangan kepada Nina. Orangnya tampak periang sekali. Bibir manisnya sentiasa tersenyum. Jiwa Nina pula seakan berkecai.
Tunang? Dalam diam, Jefri bertunang lagi! Hatinya pedih. Sakit. Berita itu menambahkan lagi perit di hatinya. Bagaikan menabur garam pada luka yang masih berdarah! Dalam masa yang sama hatinya mendidih marah.
"I nampak you di rumah minggu lepas. Tapi kita tak berpeluang berkenalan. You nak balik? I boleh tolong hantarkan," pelawa gadis itu.
Nina merenung tajam. Gadis itu sememangnya berani kerana datang bersemuka dengannya begitu.
"Cik tak tahu yang saya adalah tunang Jefri?" soal Nina serius.
Matanya merenung tepat pada wajah Nur Ayu, cuba mendapatkan reaksinya. Adakah Nur Ayu dari jenis perempuan yang sanggup merampas tunang orang? Siapakah yang bersalah sebenarnya? Nur Ayu ataupun Jefri? Siapa yang menggoda siapa?
Dia tidak mengenali gadis itu, tidak tahu hati budinya. Mana mungkin dia mengadili gadis itu dengan hanya memandang rupanya? Tetapi reaksi Nur Ayu adalah di luar dugaan. Tidak sedih mahupun terkejut. Dia seolah-olah sudah pun mengetahui segala-galanya. Malah senyuman sinis kini terukir di bibirnya.
"I tahu... tapi kalau mampu lelaki boleh kahwin empat. Lagipun selagi belum bernikah, dia belum lagi menjadi milik sesiapa. I sedar you memang cantik orangnya. Malah lebih cantik daripada I. Tapi... cinta bukan semata-mata kerana rupa. Kami saling mencintai kerana banyak sebab yang lain. Saling memahami dan saling mempercayai," sambung Nur Ayu, berfalsafah. Dia bagaikan berada di awangan mengenangkan keindahan percintaannya dengan Jefri.
Gelagat Nur Ayu sememangnya menyakitkan hati. Tetapi Nina sedar, bukan Nur Ayu seorang sahaja yang harus dipersalahkan. Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.
"Sia-sia kalau berebut dengan I. Kalau tengok pada rekod I yang lepas-lepas, I tak pernah gagal," kata Nur Ayu lagi, angkuh. Matanya bersinar-sinar merenung Nina seakan-akan mengutarakan cabaran.
Nina mengetap bibir. Hatinya geram melihat gaya Nur Ayu menunjukkan kehebatannya itu. Sahlah Nur Ayu bukannya jenis gadis yang baik.
"Oh, you ingat I nak berebut dengan you? Sorrylah, banyak lagi baju buruk yang I tak nak. You nak?"
Mendengar kata-kata Nina itu, muka Nur Ayu tiba-tiba sahaja merah menyala. Dia mengetap bibirnya sampai herot. Jari-jemarinya mencengkam geram pada beg tangannya.
"Oh!" jerit Nur Ayu. Matanya menyilau memandang Nina, marah.
Tiba-tiba sahaja dia melangkah pergi membawa hatinya yang baran itu.
Nina sekadar memerhati setiap langkah gadis itu dengan hati meruntun pedih. Kali ini dia tidak peduli lagi. Jefri boleh buat sesuka hatinya. Jefri bebas berkahwin dengan seribu Nur Ayu! Nina takkan ambil tahu. Hatinya kini sudah retak seribu. Tiada lagi maaf untuk Jefri.
SEJAM kemudian sebaik sahaja melangkahkan kaki ke ruang tamu, perkataan pertama yang keluar dari bibirnya ialah nama Jefri. Dia mahu segera menyelesaikan segala kekusutan itu. Dia tidak mahu berterusan menjadi mangsa. Pertemuannya dengan Nur Ayu hari itu menyemarakkan lagi rasa geram serta sakit di hatinya.
"Jefri?" soal Nina pada mak longnya yang sedang asyik menonton rancangan masakan di kaca televisyen.
Kelakuan Nina yang agak aneh itu membuat mak long dan pak longnya saling berpandangan. Perasaan resah kelihatan terpancar pada wajah mereka.
"Nina... Ada apa?" soal Puan Zaiton, kehairanan. Tuan Haji Mohammad pula menjenguk dari sebalik surat khabar di tangannya.
"Mak long, mana Jefri?"
"Ada di atas. Tadi di bilik bacaan. Kenapa ni?" soal Puan Zaiton lagi, menggelabah. Perangai Nina tampak cukup pelik. Air mukanya begitu serius. Puan Zaiton bimbang kalau-kalau Nina bertindak sembarangan kerana marahkan Jefri.
"Nina nak selesaikan perkara ini dan Nina... Nina dah buat keputusan nak ke Kuala Lumpur," balas Nina, tegas.
Wajah Puan Zaiton berubah pucat. Dia kini betul-betul resah mendengar kata-kata Nina itu. Bila sudah berjauhan, pasti dia akan kehilangan Nina. Dia akan merindui Nina sebagaimana rindunya dia terhadap Jefri ketika anaknya itu di luar negara dahulu.
"Abahnya?" Mata Puan Zaiton melilau ke arah suaminya. Cemas.
"Bawa bertenang, Nina. Jangan buat keputusan dalam keadaan marah." Tuan Haji Mohammad mula campur tangan. Wajah tuanya turut berkerut, bimbang.
"Nina dah berfikir panjang, pak long. Nina bukannya tak sayangkan perhubungan ini. Tapi kalau dah terpaksa..." ujar Nina lemah, lalu berpaling pergi untuk bersemuka dengan Jefri. Dia harus berani memutuskan perhubungan mereka. Dia tidak boleh lagi menahan rasa sedih serta perasaan sakit hati yang dirasainya saban hari.
Sekurang-kurangnya apabila pertunangan mereka diputuskan, dia bukan lagi sesiapa untuk menyoal tindak-tanduk Jefri. Jefri bebas untuk bermesra dengan gadis pilihannya. Nina juga berjanji tidak akan bertegur sapa dengan Jefri sehingga ke akhir hayatnya.
Nina menolak daun pintu sekuat tenaganya. Jefri yang sedang meneliti sebuah buku tercengang. Terkejut melihat Nina yang meluru ke arahnya sepantas peluru itu. Dengan pantas juga cincin pertunangan di jari Nina diungkai dan diletakkan di hadapan mata Jefri.
"Aku bebaskan kau! Kau buatlah apa yang kau suka, Jefri!" bentak Nina.
"Nina... Apa yang kau buat ni?"
"Shut up! Aku tak ingin dengar walau sepatah kata pun!" jerit Nina lantang lalu melangkah keluar dari bilik itu menuju ke kamarnya. Seluruh tubuhnya bergetar dan dia mulai teresak. Baru sesaat sahaja dia melabuhkan punggung ke tilam, pintu kamarnya dibuka dan ditutup pantas. Jefri muncul di hadapannya dengan wajah penuh resah. Cemas.
"Nina, jangan buat begini. Please... I love you," rayu Jefri penuh perasaan.
Buat seketika Nina tergamam. Itulah kali pertama Jefri mengucapkan kata cinta di usia matang mereka.
"Jeff sedar kesilapan Jeff. Tapi antara Jeff dan Nur Ayu, tiada apa-apa yang istimewa. Berikan Jeff peluang untuk membetulkan kesilapan... Percayalah, Nina. Jeff dah insaf," bisik Jefri.
"Nina percayakan Jeff selama enam tahun. Sekali kepercayaan itu hilang, ia tak akan kembali lagi," balas Nina, sebak.
Jefri merenung dengan wajah kecewa. Terdiam. Fikirannya kalut. Dia tidak menyangka Nina yang ayu dan lembut, punya hati yang begitu keras. Nina bukan pemaaf. Kesalahan pertamanya tidak sudi dimaafkan. Apa lagi yang harus dilakukannya? Akhirnya Jefri menghela nafas dalam. Memberanikan diri mencapai jari-jemari Nina, lalu digenggamnya perlahan.
"Agaknya Jeff terlalu yakin dengan perhubungan kita, Nina. Sangka Jeff, tak akan ada sesiapa pun yang boleh memisahkan kita. Tapi rupa-rupanya Jeff salah..."
"Memang Jeff terlalu yakin sehingga Jeff sangka Nina tetap akan menunggu selama-lamanya, sedangkan Jeff pula..."
"Tidak, Nina! Jeff sekadar berbaik dengan dia. Tak ada apa-apa yang berlaku. Hanya Nina di hati Jeff. Nina seorang..."
"Bebaskan Nina, Jefri..." ucap Nina pilu. Dia menjauhkan diri daripada Jefri. Sesungguhnya wajah sedih Jefri amat mengusik perasaannya. Tetapi hatinya tidak lagi dapat mempercayai kesetiaan Jefri. Dia ingin sekali mempercayai setiap baris kata-kata yang baru keluar dari bibir Jefri sesaat yang lalu, ingin disematkan di dalam hatinya... tetapi apakan daya.
"Nina?"
Sayu sekali wajah Jefri tatkala berjuang untuk menegakkan benang basahnya. Agaknya begitulah sikap golongan Adam, tidak pernah mahu mengaku kesalahan diri. Egois!
"Keputusan Nina tetap, Jefri! Tak akan berubah!" tegas Nina.
Jefri terduduk. Matanya terus mengikuti setiap gerak-geri Nina. Lembut, tetapi masih penuh bersemangat.
"Sumpah, Nina. Kalau pengantin perempuannya bukan kau... Selama-lamanya takkan ada pengantin di dalam hidup Jeff," ucap Jefri sejurus kemudian. Matanya tepat merenung Nina.
Menduga? Sumpah konon! Sedangkan empat tahun pun Jefri tidak mampu menahan rasa sepi sehingga sanggup menduakannya, inikan pula selama-lamanya? Dia tidak percaya Jefri sanggup bersendirian sepanjang hayatnya hanya kerana putusnya perhubungan mereka itu. Cinta Jefri bukannya sesuci cinta Romeo. Tengoklah nanti setakat mana semangat jantan Jefri dapat bertahan.
Seketika kemudian tanpa disangka-sangka, sekali lagi Jefri mencapai tangan Nina. Sedetik mata bertentang dan dia meletakkan sesuatu di dalam genggaman tangan Nina, lantas berlalu pergi. Apabila Nina membuka telapak tangannya, matanya singgah pada cincin tanda pertunangan yang telah sekian lama menemaninya itu. Apakah maksud Jefri berbuat begitu?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro