Bab 15
KEPULANGAN Nina secara mendadak memang memeranjatkan mak longnya dan seluruh ahli keluarga. Tetapi tiada sesiapa pun bertanya kerana pintu rumah itu sentiasa terbuka untuknya. Memandangkan hari itu adalah hari minggu, Kakak Salmi dan anak-anaknya juga ada bersama. Suasana rumah yang biasanya sepi kini gamat dengan suara kanak-kanak.
Entah kenapa Nina merasakan suasana amat berlainan sekali. Diri terasa semakin jauh dan terasing sedangkan layanan saudara-mara tidak pernah berubah.
Cuma wajah mak longnya sahaja kelihatan berseri-seri lebih daripada hari-hari biasa. Senyumannya melebar setiap saat. Nina pasti kegembiraan mak longnya itu adalah kerana bakal bermenantu. Malah mak longnya tidak sabar-sabar lagi hendak menunjukkan rupa bentuk cincin tanda untuk Siti Zulaikha.
Nina yang baru tiba dan letih lesu segera diheretnya melihat katalog cincin berlian, lalu ditunjukkan cincin yang menjadi pilihan.
"Tak tahulah Siti suka atau tak bentuk macam ni. Tapi mak long rasa bentuknya simple dan sesuai untuk orang-orang muda. Apa pendapat kau, Nina?" soal Puan Zaiton.
Nina terpaksa menghela nafas dalam. Melihat rupa bentuk cincin yang cantik itu, hatinya terasa sebak.
Jelas, kini dia kehilangan hak untuk hidup bersama Jefri. Pilihan telah dibuat. Semuanya sudah dirancang. Tidak mungkin dia melarang mak longnya ataupun Jefri daripada meneruskan niat mereka. Dia tidak sampai hati untuk bertindak begitu. Lagipun selama ini peluang yang diberi tidak pernah dihargai. Mak longnya sudah banyak kali mendesak.
Kini dia harus menerima kenyataan bahawa peluang itu bukan lagi menjadi miliknya sebagaimana Jefri bukan lagi miliknya.
"Rupa bentuk cincin sebenarnya tak penting, mak long. Yang penting adalah ikatan yang menyatukan dua hati," balas Nina lemah.
Perasaannya betul-betul terusik apabila dirinya dilibatkan dalam hal pertunangan Jefri. Tidakkah mak longnya tahu bahawa hatinya kini sedang luka berdarah? Kenapa kali ini mak longnya langsung tidak memikirkan perasaannya?
"Mak long tahu," balas Puan Zaiton sambil terus membelek katalog di hadapannya.
"Tapi pemberian kita biasanya akan dapat menggambarkan betapa ikhlasnya tujuan kita. Malah menggembirakan hati orang. Lebih-lebih lagi dalam urusan nikah kahwin. Siti tu kalau pakai cincin ni mesti tambah berseri-seri," ujar Puan Zaiton lagi sambil tersenyum senang.
"Eh, Si Noramin ni kenapalah belum sampai-sampai lagi," rungut Puan Zaiton tiba-tiba. Resah. Dia melangkah ke tingkap, menguak kain langsir lalu memerhati ke luar. Noramin sepatutnya sudah berada di situ sejam yang lalu seperti yang dijanjikan.
"Macam ni bila nak dapat cincin tu?" rungut Puan Zaiton lagi. Kerana kasihankan Noramin yang sebatang kara, dia bersusah payah menjadi ibu ganti kepada pemuda itu daripada urusan merisik sehinggalah kepada urusan pertunangan yang akan berlangsung tiga hari lagi.
Noramin memang bertuah. Walaupun rupa tidak setampan mana, malah boleh dikatakan tidak lawa tetapi Siti Zulaikha masih sudi bersuamikannya.
Puan Zaiton tetap akur. Kalau sudah jodoh, sememangnya tidak ke mana. Semua itu sudah ditentukan oleh Allah sejak azali. Rezeki, jodoh dan ajal maut seseorang sudah ditentukan oleh Ilahi. Dia tidak lagi akan memaksa Nina agar menerima Jefri. Paksa memaksa selalunya membawa padah.
Tetapi melihat keadaan Jefri yang tidak pernah ceria dan sugul sepanjang masa itu membuat hati keibuannya menangis hiba. Sehingga kini pun Jefri masih tetap menunggu Nina, sedangkan kawannya, Noramin yang tidak pernah bercinta itu sudah pun merancang untuk berumah tangga.
Tetapi Jefri pula... entah bila? Kalau diukur pada air muka Nina sekarang, alamat kempunanlah Jefri buat selama-lamanya.
"Mak long..." panggil Nina pada mak longnya yang masih lagi menghadap tingkap seolah-olah menantikan seseorang.
"Nina takkan lama di sini. Petang nanti Nina terpaksa berangkat," ujar Nina.
Dia tidak sanggup lagi untuk mendengar cerita tentang pertunangan Jefri. Tidak rela bertentang mata dengan Jefri. Oh Tuhan, sesungguhnya dia tidak sanggup menghadapi semua itu. Dia perlu bersendirian, menangis hiba demi melepaskan sebak di dada.
"Kan Nina baru saja sampai. Beg pakaian yang besar tu apa gunanya kalau tak tinggal lama?"
Melihat wajah hampa mak longnya, Nina semakin resah. Tangannya melurut kasar pada rambutnya yang panjang mengurai. Dia mundar-mandir. Fikirannya sememangnya kusut. Kedatangannya yang pada mulanya bermisi, kini hilang tujuan. Apa gunanya lagi dia berada di situ?
"Maafkan Nina, mak long. Nina sebenarnya nak ke Singapura. Jadi, Nina singgah sekejap," bohong Nina. Daripada menghadapi Jefri yang bakal menjadi milik orang lain, dia rela pergi jauh.
"Nina ni tak habis-habis kerja. Dalam setahun berapa kali saja Nina balik jumpa mak long. Sekarang singgah sekejap dah nak pergi lagi."
"Mak long tengok Nina ni semakin lama semakin tak bermaya. Luangkan masa untuk berehat. Nina dan Jeff memang serupa, asyik dengan kerja. Cubalah fikirkan tentang hal-hal lain..." rungut Puan Zaiton panjang lebar.
Sudah banyak lagi Nina mendengar teguran yang sama dan dia akui dirinya bersalah. Kerana melarikan diri daripada Jefri, dia telah membelakangi seluruh ahli keluarganya.
"Amin juga yang bertuah..." keluh Puan Zaiton seketika kemudian.
"Kenapa? Dah jadi orang kaya baru?" balas Nina sekadar melayani perbualan mak longnya. Pada masa yang sama Kak Salmi muncul menghidangkan minuman dan kuih-muih.
"Makanlah, Nina, mak."
"Terima kasih, kak."
"Kalau ya pun, sebelum pergi jumpalah pak long kau dulu. Entah macam manalah dia orang tu... Sejak pagi sampai sekarang belum balik-balik. Sibuk dengan hal pengubahsuaian kedai kain kita tu. Sekarang, kedai kain kita tu dah semakin besar," cerita Puan Zaiton pada Nina yang sedang menyandar lesu di sofa.
Puan Zaiton cukup bangga dengan pencapaian anak bongsunya itu. Walaupun gagal dalam percintaan, Jefri hebat dalam bidang perniagaan.
Sejak Jefri mengambil alih perniagaan keluarga itu, corak fabrik yang dihasilkan pun semakin mendapat sambutan hangat. Puan Zaiton sendiri mulai dikenali ramai gara-gara fabrik terbaru yang diberi nama Mama Zaiton yang kini menjadi top.
"Kilang kita dah berkembang, Nina. Mak long bersyukur. Kalau kau nak tahu, mak long sekarang pun dah top macam penyanyi." Puan Zaiton tergelak kecil.
Cerita mak longnya itu membuatkan hati Nina yang sedang lara itu tercuit geli. Dia tersenyum.
"Mak long dah top?"
"Fasal corak keluaran terbaru yang Jefri berikan nama sempena nama mak long itulah, Mama Zaiton. Kak Melah yang biasanya tak ada hati nak bertegur sapa dengan mak long tu tiba-tiba saja sudi nak menyapa..."
"Hari tu kami terserempak. Dia kata Rafidah tak balik-balik. Apa kena dengan budak tu? Kau dan Rafidah kan serumah," soal Puan Zaiton, tidak senang.
Tersentak Nina apabila nama Rafidah keluar dari mulut mak longnya. Rafidah yang sedang berbadan dua itu pasti menjauhkan diri dari kampung halaman. Rafidah tentu tidak sanggup menunjukkan muka kepada saudara-maranya apabila perutnya mula membesar. Rafidah yang membuat dosa, tetapi entah kenapa Nina berasa diri seolah-olah turut bersubahat dalam perbuatan terkutuk itu.
Kalau hanya sekadar menjadi teman serumah membuat dirinya turut bergelumang dengan dosa dan noda, adalah lebih baik sekiranya dia berpindah jauh dari Rafidah. Tetapi perempuan yang sedang mengandung tentu memerlukan seorang teman di sisi. Nina tidak boleh bertindak kejam dengan meninggalkan Rafidah sendirian di dalam keadaan begitu.
"Entahlah, mak long. Ida itu... sentiasa sibuk. Walaupun serumah, kami jarang bertemu."
"Anak-anak zaman sekarang dah semakin tak pedulikan orang tua. Tak baik... berdosa," keluh Puan Zaiton dengan rupa gusar.
"Nanti Nina nasihatkan dia. Er... Nina naik ke atas dulu ya, mak long?"
Nina segera bangun. Dia tidak mahu bercerita panjang tentang Rafidah. Tidak ingin memburukkan lagi keadaan.
"Yalah. Berehat cukup-cukup. Bila Jeff balik nanti, mak long cakap yang Nina ada di sini."
Di kamarnya, Nina tidak dapat menenangkan diri. Mundar-mandir dengan perasaan resah yang tidak pernah pun berkurangan. Dia tidak mampu menahan air mata daripada jatuh berguguran.
Dia marahkan diri sendiri kerana begitu takut untuk bersuara meminta mak longnya menghentikan rancangan pertunangan Jefri. Dia sepatutnya berani mengaku bahawa dia mencintai Jefri dan sudi untuk berkahwin dengannya. Mak longnya tidak perlu lagi meneruskan rancangan itu.
Tetapi apabila mengenangkan pengakuannya nanti bakal memporak-perandakan hubungan di antara dua buah keluarga, dia tidak sanggup untuk bersuara. Siti Zulaikha pasti mendapat malu sekiranya majlis pertunangan dibatalkan. Seorang gadis tidak seharusnya dibebankan dengan keaiban sebegitu.
Siti Zulaikha tidak bersalah. Nina sendiri sepatutnya tidak bersikap mementingkan diri sendiri. Dia yang bersalah kerana telah melepaskan segala peluang yang ada. Kejam kerana tidak pernah memaafkan Jefri. Egonya terlalu tinggi.
Kini, terpaksalah dia hidup dengan hakikat bahawa dirinya menyesal kerana kehilangan Jefri. Nasi sememangnya sudah menjadi bubur. Tiada guna lagi menangisi apa yang telah terjadi.
Nina tidak sanggup lagi berada di tempat yang membawa seribu kenangan di antaranya dan Jefri. Semakin dipujuk hatinya agar bertenang, semakin teruk pula jadinya.
Pantas dia mencapai beg pakaiannya lalu meninggalkan kamar. Anak tangga dituruninya dengan laju. Dia mesti meninggalkan tempat itu secepat mungkin. Hatinya terlalu lemah untuk menghadapi Jefri dan semua itu.
"Mak long! Mak long!"
Puan Zaiton terkebil-kebil melihat Nina yang muncul macam orang takut ketinggalan kapal terbang. Kak Salmi yang sedang berbual dengan ibu mentuanya itu turut memandang dengan rupa hairan.
"Mak long, Nina terpaksa pergi," ucap Nina ketika mencapai dan mencium tangan mak longnya.
Hatinya terasa pilu untuk melangkah pergi. Dia merenung wajah mak longnya dengan mata berkaca. Terasa seolah-olah mulai dari saat itu hubungan mereka akan menjadi renggang. Gadis lain akan menggantikan tempatnya di hati mak long dan pak longnya. Di hati Jefri.
"Kak Salmi... tolong tengok-tengokkan mak long, ya," pinta Nina, berpaling kepada Kak Salmi sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman. Kak Salmi mengangguk, tersenyum pahit seolah-olah cuba menyembunyikan rasa simpatinya terhadap Nina. Sememangnya Kak Salmi arif tentang apa yang terjadi di dalam keluarga itu.
"Nina, kenapa pula tergesa-gesa ni?" soal Puan Zaiton kehairanan. Wajah tuanya berkerut resah.
"Jefri dan pak long kau belum balik lagi. Nina tak nak jumpa mereka?"
"Bukan begitu. Tapi... Nina dapat panggilan daripada pelanggan. Dia nak adakan pertemuan secepat mungkin. Maafkan Nina, mak long..." Perlahan-lahan Nina mencapai tubuh gempal mak longnya, dirangkul dengan penuh kasih sayang.
"Jaga kesihatan. Banyakkan makan buah-buahan," pesan Nina seperti biasa.
"Selamat tinggal..." Cepat-cepat Nina melangkah pergi sebelum hatinya dilemahkan oleh wajah hiba mak longnya.
Apa lagi yang harus dilakukan sedangkan mak longnya sudah pun membuat pilihan.
Tetapi di halaman, langkahnya terhalang oleh kereta Jefri yang baru meluncur masuk. Berdetak jantung Nina. Cemas. Tiba-tiba sahaja lututnya terasa lemah.
Pak longnya melangkah keluar daripada kereta lalu terus menuju ke arah Nina dengan senyuman senang. Manakala Jefri pula menyandar di pintu kereta, merenung tajam padanya. Jefri kelihatan sungguh tampan dengan jean hitam yang dipadankan dengan T-shirt sendat membaluti tubuhnya. Siti Zulaikha memang sungguh bertuah.
"Pak long... apa khabar?" Nina segera mencapai dan mencium tangan pak longnya.
"Pak long baik-baik saja. Nina nak ke mana ni?" soal Tuan Haji Mohammad. Matanya beralih kepada beg di sisi Nina.
"Sebenarnya Nina sampai sejak dua jam yang lalu. Sekarang Nina dah nak berangkat, ada urusan di Singapura. Maafkan Nina sebab tak dapat singgah lama," balas Nina dengan senyuman kesal.
"Tak mengapalah. Jaga diri Nina. Kalau ada masa selalulah balik," ujar Tuan Haji Mohammad dengan senyuman ramah di bibir.
Sebaik sahaja ayahnya berlalu, Jefri melangkah menghampiri Nina. Berhadapan dengan Jefri begitu membuat Nina hampir tidak dapat menahan perasaan sedih di hati. Dia telah berkejar ke situ dengan niat untuk bersama Jefri sehidup semati tetapi akhirnya dia terpaksa pergi dengan perasaan hampa.
Hatinya terlalu sedih, apatah lagi apabila Jefri terus merenungnya begitu, seolah-olah sedih dan kesal dengan apa yang terjadi di antara mereka. Seolah-olah Nina yang bersalah kerana memaksanya memilih jalan itu.
Suara hati Jefri seakan-akan kedengaran di telinganya. Nina teringin memohon maaf, tetapi air matanya pasti berguguran sekiranya dia membuka mulut pada saat itu.
"Apa khabar, Nina?"
"Baik," balas Nina perlahan. Sedaya upaya dia memberanikan diri bertentang mata dengan Jefri.
"Tahniah, Jeff!" ucap Nina sejurus kemudian sambil menghulurkan tangan yang kemudiannya disambut perlahan oleh Jefri.
"Terima kasih..."
"Nampaknya mak dah ceritakan segala-galanya. Jeff buat semua itu untuk mak," sambung Jefri. Tangan Nina masih digenggam erat seolah-olah tidak mahu dilepaskan. Tindakan Jefri itu membuat perasaan Nina longlai. Air mata tiba-tiba sahaja bergenang di bibir mata. Dia tidak mampu lagi memandang wajah sendu Jefri. Tidak berdaya untuk memberikan senyuman.
"Selamat tinggal, Jeff!" ucap Nina, sebak. Dia cuba menarik tangannya dan melangkah pergi tetapi masih digenggam kemas oleh tangan Jefri.
"Tolong maafkan Jeff, Nina..." bisik Jefri seketika kemudian. Tetapi Nina tidak lagi dapat menahan sebak di dada. Air matanya tiba-tiba sahaja jatuh menitis. Lantas tanpa sepatah kata, Jefri segera ditinggalkan. Dia pergi tanpa berpaling lagi.
Di dalam perjalanan, Nina tidak habis-habis menyeka air mata yang bergenang. Dia tidak mahu menangisi nasib diri. Tidak mahu menjadi perhatian. Tetapi wajah hiba Jefri tidak dapat dilenyapkan dari kotak fikirannya. Genggaman erat tangan Jefri masih dapat dirasainya sehingga ke saat itu.
Walaupun pada saat-saat akhir, Jefri masih tidak mahu melepaskannya pergi. Jefri masih mengharap. Bagaimanakah perasaan apabila tidak dapat menghabiskan hayat bersama orang yang dicintai? Terpisah jauh dan mengetahui bahawa tidak mungkin lagi ada pujuk rayu?
Kini Nina punya jawapan untuk semua pertanyaan sebegitu. Dia dihantui oleh satu perasaan yang tidak pernah dialaminya selama ini. Kepiluan yang tidak terucap dengan perkataan. Kekecewaan. Kegagalan. Dia tumpas!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro