Bab 14
SEHARI, dua hari dan kini seminggu sudah berlalu. Nina gelisah apabila suara Jefri hilang lesap daripada pita rakaman telefonnya. Dia menunggu siang malam untuk mendengar suara Jefri tetapi hampa kerana tiba-tiba sahaja Jefri tidak lagi mengulangi tabiat yang dilakukannya selama dua setengah tahun itu.
Nina jadi tidak keruan dengan perubahan Jefri yang mendadak itu. Dia seperti kehilangan sesuatu yang paling berharga di dalam hidupnya. Dia jadi rindu untuk mendengar suara Jefri. Ke manakah Jefri menghilang? Sakitkah dia?
Seribu pertanyaan kerap kali datang menerpa di fikirannya selama beberapa hari itu. Dia tidak senang duduk. Perasaannya berkecamuk.
Sudah berpuluh kali hatinya tergerak-gerak untuk menelefon ke pejabat Jefri untuk bertanya khabar tetapi tindakan begitu adalah luar biasa baginya. Dia tidak pernah menghubungi Jefri kerana urusan peribadi. Dia segan. Dia berat hati. Egonya terlalu tinggi untuk dia sendiri menanggungnya.
Akhirnya Nina terpaksa bertahan dan tabahkan hati walaupun jiwa semakin porak-peranda. Teman-teman sepejabat mula mengesan perubahan pada dirinya. Saroja tidak segan-segan bertanya. Tengku Zulhan juga tidak ketinggalan, mula menyoal siasat sedikit demi sedikit.
Walaupun Nina cuba menafikan dan lebih banyak mendiamkan diri, Tengku Zulhan pandai meneka sendiri. Nama Jefri disebutkannya dengan penuh yakin. Dia begitu pasti bahawa Jefri adalah punca kegusaran pada wajah Nina selama ini.
Nina mundar-mandir lagi. Karpet di bilik pejabatnya itu sampai bertanda dibuatnya. Dia tidak mampu bertenang sekiranya tidak mendengar khabar Jefri. Akhirnya setelah tidak tahan termenung seharian, tangannya mencapai gagang telefon lalu didailnya nombor pejabat Jefri.
"Boleh saya cakap dengan Jefri?"
"Minta maaf. Encik Jefri pergi outstation. Boleh saya tahu siapa bercakap?"
"Nina."
"Oh, Cik Nina. Maaflah, Encik Jefri ada urusan di Johor. Seminggu nanti baru kembali semula ke office. Ada apa-apa yang boleh saya tolong?"
"Tak mengapalah."
Outstation? Selama ini walau di ceruk dunia mana pun Jefri berada, dia tidak pernah sekalipun lupa menghubunginya. Apa yang sedang berlaku? Nina semakin kelam-kabut. Setelah mundar-mandir lagi untuk seketika, sekali lagi dia mencapai gagang telefon.
"Mak long?"
"Nina... Panjang umur! Kebetulan mak long pun baru saja nak telefon Nina," balas Puan Zaiton dengan ketawa
"Jeff ada?" soal Nina, terus ke pokok pangkal. Dia hanya ingin mendengar khabar Jefri.
"Ada. Sedang sibuk berbincang dengan pak long kau. Eh Nina, mak long nak tanya kalau-kalau kau tahu fasal cincin berlian untuk bertunang. Reka bentuk yang macam mana sekarang ni yang diminati ramai?"
"Cincin tunang?"
Terkejut Nina mendengar pertanyaan mak longnya. Kenapa tiba-tiba sahaja orang tua itu bertanya soal cincin untuk pertunangan sedangkan beberapa bulan yang lalu dia sudah pun menerima satu set barang-barang kemas yang kononnya tanda pertunangan di antaranya dengan Jefri?
"Mak long dah tanya Siti, tapi katanya cincin apa pun boleh. Jefri pula katanya tak tahu langsung pasal barang-barang perempuan. Semuanya diserahkan pada mak long. Katanya, biar mak long yang buat keputusan. Tapi mak long ni manalah tahu selera orang-orang muda sekarang," ujar Puan Zaiton yang kemudian disusuli gelak kecil. Senang hati benar kedengarannya.
Pertunangan? Cincin untuk Siti Zulaikha? Siti Zulaikha dengan Jefri? Tiba-tiba sahaja seluruh tubuh Nina jadi lemah longlai. Lidahnya jadi kelu. Celoteh mak longnya yang bertali arus itu tidak lagi dapat difahaminya.
Gagang telefon terlepas dari genggaman tangannya. Dia terduduk. Air mata mula bermain di bibir mata. Buat seketika dia jadi bingung. Termangu.
Air mata yang ditahan akhirnya jatuh berguguran. Baru dia faham kenapa suara Jefri tidak lagi kedengaran di pita rakaman telefonnya. Jefri akan menjadi milik Siti Zulaikha.
Jefri yang tidak lagi sanggup merayu cintanya kini beralih kepada Siti Zulaikha. Nina kehilangan Jefri... Kini kenyataan itu sesungguhnya perit sekali untuk ditelan. Perasaannya cukup terhiris. Pilu.
Sepanjang hari Nina menyendiri melayani perasaan yang kian lara. Masa berlalu begitu sahaja. Satu kerja pun tidak menjadi. Semua temu janjinya untuk hari itu telah pun dibatalkan. Dia tidak sanggup untuk menghadapi sesiapa lagi mahupun teman-teman sekerja.
Moodnya memang tidak baik. Fikirannya tidak tenteram kerana asyik memikirkan tentang pertunangan Jefri dengan Siti Zulaikha. Kepalanya sendat dengan bayangan Jefri sehingga dia merasa seperti mahu mengamuk.
Nina sememangnya kalah. Sangkanya dia pasti dapat membuang kenangan bersama Jefri jauh dari ingatannya tetapi ternyata tidak. Akhir-akhir itu Jefri terlalu dekat di hatinya. Melampaukah dia selama ini kerana bersikap dingin terhadap Jefri?
Bagaimanakah perasaan Jefri setelah menunggu dan memujuk rayu selama bertahun-tahun tanpa apa-apa pulangan? Tentunya terasa kecewa, hampa dan sakit hati. Merantai di hati Jefri dan Nina pula tidak pernah peduli. Menyesal? Sudah terlewat untuk dia menyesal.
Kenapa mak longnya begitu gembira menerima kehadiran Siti Zulaikha di dalam keluarga mereka? Bukankah selama ini Nina yang diharapkannya sebagai menantu? Kenapa tiba-tiba sahaja mak longnya berubah hati? Merajukkah mak longnya kerana pujukan yang tidak pernah berhasil?
Beberapa bulan yang lalu apabila kalendar kebajikan jatuh ke tangannya, bukankah mak longnya gamat dengan perasaan gembira? Gambar perkahwinan mereka diusungnya ke sana ke mari. Mak longnya tidak habis-habis bercerita kepada jiran tetangga serta saudara-mara.
Apabila Nina kembali ke Johor Bahru, dia tergamam apabila dihujani dengan bermacam pertanyaan dan juga ucapan tahniah daripada orang-orang yang tidak mengetahui hujung pangkal. Khabar angin tentang perkahwinannya dengan Jefri hangat diperkatakan.
Puas dia memberi penjelasan bahawa itu semua hanyalah untuk tujuan kebajikan. Alangkah indahnya sekiranya semua itu adalah kenyataan bukannya lakonan. Tetapi kini... dia tidak mungkin berpeluang lagi.
Suasana pejabat sudah pun lengang tatkala Nina mencapai beg tangannya untuk meninggalkan pejabat. Sebaik sahaja dia melangkah keluar dari bilik pejabatnya, interkom tiba-tiba sahaja memekik.
"Nina! Are you still there?" Kedengaran suara Tengku Zulhan bertanya.
"Ya, Nina masih di sini," sahut Nina, lemah.
"Boleh datang ke bilik Han sekejap?"
"Sure," balas Nina, lalu melangkah keluar menuju ke pejabat Tengku Zulhan. Di dalam hatinya tertanya-tanya sekiranya ada projek baru yang bakal diserahkan kepadanya oleh Tengku Zulhan.
Sekarang pun kerja yang perlu diuruskannya masih berlambak. Pembikinan iklan untuk memperkenalkan syarikat Indah Textiles milik Jefri pula baru sahaja disiapkan.
"You batalkan temu janji dengan Mr. Dillon tengah hari tadi?" tanya Tengku Zulhan sebaik sahaja Nina mengambil tempat duduk di hadapannya.
Dia tidak faham kenapa Nina perlu membatalkan temu janji yang penting dan menggugat peluang mereka untuk mendapatkan tender ke atas iklan eksklusif tersebut.
"Ya," jawab Nina.
"Kenapa?" soal Tengku Zulhan, serius.
Hairan kenapa Nina melepaskan business dengan sebuah syarikat sebesar Maximum Enterprise? Perbincangan tidak sepatutnya dilengah-lengahkan. Nina pun tahu melengah-lengahkan permintaan bakal pelanggan adalah langkah yang tidak bijak. Nina sepatutnya bersikap lebih profesional.
Nina mengeluh berat. Dalam hati mengakui diri sememangnya bersalah. Dia tahu urusan dengan Maximum Enterprise adalah sangat berharga buat Tengku Zulhan tetapi apakan daya dia tidak mampu lagi untuk memberikan senyuman kepada sesiapa pun.
Mr. Dillon pasti mengharapkan seorang rakan niaga yang berwajah ceria bukan bermuram durja sepertinya. Wajahnya kini hanya sesuai untuk iklan insuran yang bakal dilakonnya nanti iaitu tentang seorang isteri yang kehilangan suami akibat kemalangan jalan raya.
Selepas beberapa ketika, dia hanya merenung kertas-kertas kerja yang berbagai-bagai warna di atas meja, tidak pada wajah Tengku Zulhan. Berat mulutnya hendak bersuara.
"Nina..." tegur Tengku Zulhan apabila Nina masih membisu.
"Maafkan Nina. Sebenarnya Nina rasa tak sihat. Fikiran Nina kacau. Tak elok untuk bersemuka dengan pelanggan dalam keadaan begini. Jangan bimbang, Nina janji akan jumpa dia besok," balas Nina dengan harapan agar Tengku Zulhan menerima alasan itu tanpa bersoal panjang.
"Apa kena dengan kau, Nina? Ada personal problem? Ceritakan pada Han," minta Tengku Zulhan. Dia merenung wajah Nina dengan rasa simpati yang mendalam. Wajah Nina sememangnya nampak pucat tidak berseri. Nina seolah-olah sedang dihimpit masalah yang tidak mampu dihuraikannya.
Malah sejak akhir-akhir ini dia dapati Nina agak berubah. Duka dan ceria menyelubungi wajah Nina bagaikan siang dan malam. Sekejap Nina kelihatan cukup riang tetapi sesaat kemudian lamunannya memanjang dan air mukanya berubah redup. Semua itu bermula sejak kemunculan Jefri.
Tengku Zulhan pasti bahawa Jefri bukan sekadar sepupu kepada Nina. Jefri sebenarnya berada di segenap ruang hati Nina. Tetapi kenapakah wajah Nina semurung itu sekiranya hati bermandi nikmat cinta? Apakah yang tidak kena dengan percintaan Nina dan Jefri?
Dia tidak dapat menduga apakah cacat celanya percintaan mereka. Dia sendiri pernah beberapa kali berdepan dengan Jefri dan Nina ketika menjalankan projek iklan untuk syarikat Jefri.
Dari sinar mata lelaki itu ketika memandang Nina, dia tahu Jefri sememangnya ada perasaan terhadap Nina. Nina bukannya bertepuk sebelah tangan.
Kenapa Nina harus bersedih sedangkan cintanya berbalas? Tengku Zulhan yang sepatutnya berduka kerana gagal memikat hati Nina. Setelah hampir tiga tahun, Nina masih beralasan untuk tidak menerima lamarannya.
"Luahkan perasaan kau, Nina. Adakah semua ini kerana Jefri?"
Sebaik sahaja nama Jefri kedengaran di telinga, perasaan Nina semakin kacau-bilau. Dia bangun, mundar-mandir. Resah. Bagaimana mungkin untuk dia membuka rahsia percintaannya kepada Tengku Zulhan? Dia sendiri tidak tahu apa yang harus diceritakan atau bagaimana mahu memulakan?
"Entahlah, Han. Nina tak tahu macam mana nak ceritakan. Semakin hari rasanya semakin sulit," keluh Nina. Dia mula membelakangi Tengku Zulhan.
"Mulakan dari awal, Nina. Setiap kisah ada permulaannya."
Mendengar suara Tengku Zulhan yang penuh ikhlas itu, perlahan-lahan Nina berpaling. Wajah Tengku Zulhan direnungnya lama. Tengku Zulhan sememangnya seorang kawan sejati. Jauh lebih baik daripada seorang kawan perempuan seperti Rafidah yang Nina kenali sejak di bangku sekolah.
Memikirkan tentang Rafidah, keresahan Nina semakin berganda. Apa kesudahannya dengan kehidupan Rafidah sedangkan Iskandar tidak mengaku bertanggungjawab. Iskandar memang seorang lelaki yang tidak berperikemanusiaan. Kejam!
Nina melihat dengan matanya sendiri bagaimana kasarnya tingkah laku Iskandar tatkala menafikan kebenaran. Kandungan Rafidah tidak mahu diakui sebagai zuriatnya. Rafidah merintih hiba apabila dihina oleh lelaki itu dengan kata-kata kesat yang mencucuk hati. Menitis air mata Nina apabila mengenangkan segala yang terjadi. Sedihnya kini bukan hanya untuk diri sendiri.
"Nina, kadang-kadang kalau kita luahkan perasaan kepada orang lain, ia boleh meringankan beban. Han sudi mendengar, sudi membantu. Berikan separuh beban Nina itu pada Han. Luahkan..." pinta Tengku Zulhan bersungguh-sungguh pada Nina yang masih berat hati untuk berkongsi kepahitan dengan orang lain.
Air mata Nina yang mulai gugur itu membuat perasaannya diserang rasa gundah. Apa lagi yang mampu dilakukannya selain daripada mendengar keluhan Nina?
Sebagai seorang lelaki yang juga menyayangi Nina, terpaksalah dia bersabar melihat Nina berkeluh-kesah merindui lelaki lain. Demi kebahagiaan orang yang disayangi, tidak rugi seandainya dia melakukan sedikit pengorbanan. Walaupun pahit, dia rela kehilangan Nina asalkan Nina hidup berbahagia bersama orang yang dicintainya.
"Sebenarnya tiga tahun yang lalu... Nina dan Jefri pernah bertunang," cerita Nina lalu berpaling kepada Tengku Zulhan yang kelihatan cukup bersedia mendengar apa sahaja.
"Pertunangan kami dilangsungkan sejurus sebelum dia berlepas ke luar negara. Kami saling mencintai. Nina menunggu kepulangannya selama empat tahun..."
Perasaan Nina kembali dibuai sayu tatkala mengenang kembali waktu-waktu yang dilaluinya tanpa Jefri di sisi. Rasa rindu yang tidak bertepi sentiasa menjenguk di pintu hati, sedangkan Jefri kala itu...
"Tapi dia tergoda dengan perempuan lain. Dia kembali bersama perempuan itu setelah sekian lama Nina menunggu. Kerana sakit hati, Nina putuskan pertunangan."
Tangan Nina berkali-kali singgah menyeka air mata yang jatuh ke pipi. Sehingga ke hari itu hatinya seakan-akan ditusuk sembilu setiap kali terkenangkan apa yang terjadi tiga tahun lalu.
"Nina sangkakan itu juga yang dia inginkan, bebas dari Nina agar dapat bersama orang yang dicintai. Tapi... beberapa bulan selepas Nina tinggalkan Johor Bahru, dia telefon Nina setiap malam memohon maaf. Nina biarkan di pita rakaman. Tak pernah sekalipun Nina menjawab panggilannya sehingga kini. Tapi Jefri tak pernah berputus asa. Dia tetap berusaha untuk memikat kembali hati Nina. Kerana hati terluka, Nina tak pernah katakan bahawa Nina telah pun memaafkan dia." Sebak dan menyesal, Nina hampir teresak.
"Setiap insan ada kelemahannya, Nina. Kau sepatutnya memberi peluang kepada orang yang telah pun sedar akan kesilapannya. Han sebenarnya kagum dengan semangatnya yang kuat itu. Tapi sudah tiga tahun, Nina. Kalau tak nampak juga hasilnya, semangat manusia boleh lumpuh," ujar Tengku Zulhan sambil mendekati Nina. Wajah Nina direnungnya penuh simpati.
"Kalau masih mengharapkannya, kenapa biarkan dia dalam kekecewaan sekian lama? Apa yang nak Nina buktikan? Han bukan nak berpihak pada Jefri kerana kami sama-sama lelaki. Han cuma nak membantu menjernihkan suasana. Han bukannya tak kenal Jefri. Kami pernah duduk semeja, bercerita dan berbincang bukan hanya sekali dua. Kalau nak memilih kawan pun, Han pasti pilih orang seperti dia. Seorang yang bijak dan senang dibawa berunding..."
"Dan Han yakin dia memang cintakan kau, Nina. The way he looks at you."
"Sudah seminggu Nina tak mendengar suaranya, Han. Mungkin Nina pernah tersalah cakap, sakitkan hatinya. Dan kini, mak long pula sibuk meminta pendapat tentang cincin pertunangan yang sesuai untuk Siti Zulaikha."
"Maksud Nina, pertunangan di antara Jefri dengan Siti Zulaikha?" tanya Tengku Zulhan dengan nada terkejut.
Nina mengangguk lemah, menyandar lesu di sisi tingkap. Harapannya kini terkubur bersama kedegilannya.
Anggukan Nina yang mengeyakan pertanyaannya itu membuat wajah Tengku Zulhan berkerut. Gusar. Patutlah rupa Nina bagaikan orang sakit tidak berpenawar.
Di majlis pembukaan pejabat Jefri tempoh hari, Siti Zulaikha menjadi pembantu yang setia. Siti Zulaikha kelihatan cantik, manis serta bersopan santun.
Pada pertemuan pertama itu Tengku Zulhan tidak melihat apa-apa kekurangan pada gadis itu. Dia adalah seorang gadis yang diimpikan oleh setiap ibu mentua. Sudah putuskah harapan Jefri sehingga sanggup membuat pilihan kedua?
Tengku Zulhan mengeluh. Tidak sanggup melihat dua hati yang saling mencintai kecewa dan terluka. Jefri dan Nina harus bersama. Bersatu.
"Han rasa Nina perlu berbincang dengan Jefri. Selagi belum berlangsung, dia belum menjadi milik sesiapa," nasihat Tengku Zulhan. Kisah Nina kini menjadi semakin sulit. Dia tidak tahu bagaimana lagi mahu menenangkan perasaan Nina.
"Tapi... tidak. Nina tak boleh..." Nina serba salah. Tidak mungkin dia merosakkan majlis yang telah siap dirancang. Perkara sebegitu melibatkan maruah seseorang.
"Baik mencuba daripada menyesal tak sudah, Nina. Kalau Han pentingkan diri sendiri, pasti Han akan katakan: Lupakan dia, Nina. Sudah terlambat. Tapi Han fikirkan kebahagiaan Nina. Besok pagi Han hantar Nina ke lapangan terbang, okey? Nina bincangkan dengan keluarga. Luahkan perasaan kepada Jefri. Sure everything will be alright," pujuk Tengku Zulhan.
Terharu perasaan Nina dengan sokongan yang diberikan oleh Tengku Zulhan itu. Tengku Zulhan sememangnya jauh berbeza daripada Iskandar. Tengku Zulhan sangat baik dan sentiasa memahami. Bertuah betul perempuan yang ditakdirkan menjadi isterinya.
Malangnya kenapa Tengku Zulhan harus jatuh hati kepadanya sedangkan hati Nina pula masih terikat kepada Jefri? Dia pernah mencuba untuk menerima Tengku Zulhan tetapi perasaannya terhadap Tengku Zulhan tidak pernah berubah.
Tengku Zulhan tetap sekadar seorang sahabat di hatinya, tidak lebih daripada itu. Dia sedar seandainya impiannya untuk bersama Jefri tercapai, Tengku Zulhan pula terpaksa menanggung perasaan kecewa. Apa yang pasti, Tengku Zulhan ternyata tidak mementingkan diri sendiri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro