Bab 13
API cinta semakin menyemarak sehingga tidak mampu dipadamkan lagi. Rafidah hanyut dibuai bisikan asmara Iskandar. Bulan madu tanpa nikah telah dilangsungkan di Eropah selama seminggu. Kerana kasih segalanya diturutkan. Begitulah pengorbanan Rafidah demi cinta kasihnya terhadap Iskandar.
Rafidah adalah milik Iskandar seratus peratus, termasuk segala harta bendanya. Setiap kali Iskandar mengadu kesempitan wang, Rafidah rela berhabisan dan bergolok-gadai. Nina tidak mampu menasihati. Setiap kali membuka mulut, dia dituduh cuba merosakkan kebahagiaan orang. Rafidah pasti memuncung selama beberapa hari. Muka Nina tidak sudi dipandangnya lagi.
Tetapi malam itu dan juga malam-malam yang sebelumnya sejak bulan madu dilancarkan sebulan yang lalu, air muka Rafidah tampak berubah.
Lincahnya mula berkurangan. Cerianya hilang, malah kesihatan pula terganggu. Muntah-muntah dan pucat memanjang. Hairan.
Perubahan pada diri Rafidah itu membuat Nina merenungnya dengan seribu tanda tanya. Di hadapan Iskandar, Rafidah tampak ghairah seperti biasa tetapi apabila Iskandar berpaling, termangunya kian teruk, sama seperti sekarang.
Televisyen terpasang, tetapi mata Rafidah pula sedang terpaku ke dinding. Nina pasti kalau ditanya kisah apa yang sedang ditayangkan, Rafidah pasti tidak tahu hujung pangkalnya.
Apa kena dengan Rafidah sebenarnya? Patah hati dengan perangai Iskandar? Rafidah bukannya tidak tahu bahawa Iskandar adalah buaya, perempuan keliling pinggang. Rafidah sendiri yang menyerah diri.
"Ida, kau menonton TV atau TV yang menonton kau?" tingkah Nina seketika kemudian apabila Rafidah berterusan mendiamkan diri. Tangannya hinggap di bahu Rafidah, menggoncang-goncang perlahan.
"Kenapa ni? Ada yang tak kena?" soal Nina. Wajah resah Rafidah direnungnya tajam. Dia cuba merisik. Tetapi semua itu bukannya mudah.
"Apa yang terjadi, Ida?" desak Nina lagi. Kesedihan pada riak wajah Rafidah turut mengusik perasaannya.
Rafidah bangun, bergerak lemah dan mula mundar-mandir mengelilingi sofa. Rupanya penuh gusar.
"Tak ada apa-apa." Rafidah cuba berselindung.
"Iskandar?" Nina meneka. Setahunya, masalah Rafidah sentiasa berakar umbi daripada buaya itu.
"Ida, Nina cuma nak membantu. Kau ada problem?"
Rafidah tunduk dan diam membisu. Pertanyaan Nina tetap tidak berjawab. Tetapi Nina tidak mudah berputus asa. Dia percaya, Rafidah pasti cuba menyembunyikan sesuatu. Dia terus mencuba untuk mendapatkan cerita sebenar. Tetapi dia harus berhati-hati kerana Rafidah yang bermasalah biasanya menyengat kalau diganggu.
"Kau tak pernah macam ni, Ida. Tengok keadaan diri kau, Nina naik bimbang," ujar Nina ikhlas. Sebagai kawan dia bersedia menjadi tempat untuk mengadu.
"Sebab sebelum ini aku tak pernah mengandung!" balas Rafidah lancang dengan mata penuh berair.
Terperanjat Nina mendengar jawapan lantang daripada Rafidah itu. Mengandung? Matanya segera menyorot ke perut Rafidah yang leper. Benarkah apa yang didengar oleh telinganya sebentar tadi? Rafidah kini berbadan dua?
Rupa-rupanya masalah Rafidah bukan sekadar perangai hidung belang Iskandar. Malah yang paling besar, paling mengaibkan bagi seorang gadis yang belum bersuami. Kenapa Rafidah begitu cuai? Rafidah bukannya dara sunti. Dia sepatutnya tahu akibat pergaulan bebas tanpa batasan. Sekarang, bukankah sudah terlewat untuk menyesal?
"Iskandar?"
"Ya, siapa lagi kalau bukan Iskandar? Aku bukannya jalang!" jerit Rafidah pilu. Dia kelihatan cukup tertekan.
"Dia dah tahu?" soal Nina, cemas. Berdegap-degup jantungnya, dia turut sama resah menghadapi masalah Rafidah itu. Mengenali Iskandar, dia tidak yakin lelaki itu akan menerima berita seperti itu dengan hati riang.
"Belum. Aku takut nak beritahu. Dia belum bersedia menjadi seorang ayah. Lagipun dia tak berapa sukakan kanak-kanak." Rafidah terjelepok ke sofa. Kegelisahan semakin menghimpit jiwa.
"Kau sepatutnya beritahu dia, Ida. Dia perlu bertanggungjawab. Suka atau tak, zuriat dia," tegas Nina.
"Aku takut nanti dia..." Rafidah menggelabah. Mundar-mandir lagi.
"Takut dia tinggalkan kau? Ida, kalau dia tinggalkan kau sememangnya dia jenis manusia yang tak berhati perut, hidup kau pasti lebih bermakna tanpa dia!"
"Dia bukan macam tu. Cuma dia tak bersedia. Kariernya sedang di kemuncak. Dia tentu tak mahu dibebankan dengan bayi." Lagi-lagi Rafidah mempertahankan buah hatinya itu.
"Ini bukan perkara kecil, Ida. Kau kena cuba. Kalau Iskandar tak mahu bertanggungjawab, terpaksalah kau lahirkan bayi itu tanpa dia. Berani buat, berani tanggung," nasihat Nina. Dalam hati dia merengus geram. Dia geram pada Iskandar dan juga geram terhadap perempuan di hadapannya.
"Tolong jangan bertindak melulu, Ida," pinta Nina. Sesungguhnya Nina kurang mempercayai Rafidah.
Dalam keadaan yang terdesak begitu, Rafidah mungkin sanggup berbuat apa-apa sahaja. Hatinya berasa hiba mengenangkan nasib bayi-bayi yang lahir akibat perbuatan sumbang. Bayi-bayi yang dibuang tanpa belas kasihan serta janin-janin yang dikorbankan sebelum sempat melihat dunia luar.
Wanita-wanita terpaksa menjadi manusia kejam akibat desakan keadaan. Lelaki-lelaki seperti Iskandar pula lepas tangan tanpa secalit pun rasa berdosa.
"Bayi di dalam kandungan kau tu tak bersalah..."
Yang berdosa adalah kamu berdua, ungkap Nina dalam hati. Dia sungguh dia kesal dengan apa yang terjadi. Rasa kesal itu dibawa sehingga ke tempat tidur.
Fikirannya tidak habis-habis berkisar tentang perut Rafidah yang bakal memboyot. Dia risau memikirkan jalan penyelesaian yang mungkin dipilih oleh Rafidah. Rafidah masih berayah dan beribu... Pak Haji Leman adalah haji tulen. Sudah dua kali menunaikan haji di tanah suci.
Apa yang akan terjadi sekiranya Pak Haji Leman mengetahui bahawa perut anak gadisnya memboyot kerana hidup bergelumang dengan noda? Macam mana pula Rafidah mahu berdepan dengan ibu dan ayahnya serta tohmahan masyarakat yang pasti menyakitkan?
Semua itu betul-betul menakutkan Nina. Dia berdoa agar Tuhan melembutkan hati Iskandar untuk menerima Rafidah dan kandungannya, agar Rafidah menjadi seorang ibu yang baik. Bukannya seorang ibu yang sanggup mengorbankan zuriat sendiri demi kepentingan diri sendiri.
Dalam pada Nina sedang meratapi musibah yang menimpa Rafidah itu, seperti biasa bunyi deringan night call bermula lagi. Selepas beberapa deringan, pita rakaman mula merakamkan suara yang cukup dikenali.
Walaupun setiap malam menelefon, Jefri tidak pernah kering idea. Ceritanya bukan cerita yang sama. Selain daripada bercerita tentang keinginannya, dia juga boleh bercerita tentang cicak di dinding ataupun tentang makna yang tersirat pada corak-corak fabrik yang dihasilkan oleh Indah Textiles.
"Nina, pernah tak kau terfikir soal mati?"
Nina yang sedang terbaring, terbangun mendadak macam spring. Terkejut dia apabila mendengar pertanyaan yang pelik itu.
"Jeff mahu hidup bersamamu, Nina. Tapi, impian sebegitu nampaknya semakin menjauh... semakin mustahil. Mungkin bukan milik Jeff..."
"Tanpa kebahagiaan, tanpa ketenangan, tanpa orang yang Jeff cintai, apa gunanya hidup ini, Nina? Apa gunanya Jeff hidup?"
"Agaknya perasaan beginilah yang dirasai oleh Nur Ayu apabila cinta tak berbalas. Bagaimana Jeff mahu salahkan dia apabila Jeff alami penderitaan yang sama? Hidup rasa tak bermakna tanpa Nina di sisi. Maafkan Jeff, Nina..." Akhirnya suara Jefri menghilang. Nina segera mencapai gagang telefon.
"Jeff!" panggilnya lantang. Tetapi talian telah pun diputuskan. Pada saat itu jantungnya mula melantun pantas.
Apa kau buat, Jeff? jerit Nina dalam hati. Dia takut. Dia panik apabila mendengar ucapan sebegitu. Jefri mahu membunuh diri? Menamatkan hayat sendiri? Kerana kecewa, Jefri tidak mahu hidup lagi?
Dalam sekelip mata sahaja, Nina bingkas berlari keluar mendapatkan keretanya lalu memandu menuju ke Ampang, ke rumah Jefri. Dia jadi tidak tentu arah. Cemas, takut dan bimbang menjadi satu.
Keretanya meluncur laju membelah malam. Dia tidak dapat memikirkan perkara lain selain daripada menghalang tindakan Jefri. Sepanjang perjalanan air matanya menitis tiada henti. Perasaannya diserang rasa bersalah. Terkenang kembali segala tindakan serta ucapan yang sengaja dihamburkannya demi menyakiti hati Jefri. Dia tidak mahu Jefri mati. Dia mahu Jefri hidup!
Lalu lintas yang sesak membuat cemas di dadanya tidak terkawal. Air matanya menderu dan seluruh tubuhnya bergetar. Bibirnya tidak lepas dari mengeluhkan nama Jefri. Dia cukup takut.
Pedal minyak ditekan sehingga tayar kereta berkeriut setiap kali membelok kiri dan kanan. Lampu trafik yang tiba-tiba berkelip merah sekalipun tidak langsung diendahkannya dan dia menekan minyak terus. Dia mahu cepat sampai. Nyawa Jefri kini di tangannya.
Akhirnya setelah bersusah payah, Nina tiba juga ke destinasi. Keretanya kini terpacak di hadapan pagar rumah Jefri yang kelihatan sunyi sepi. Dia bergegas ke pintu lalu penumbuknya singgah memukul daun pintu sekuat hati, sambil dia memanggil-manggil nama Jefri.
"Jefri! Jeff!"
Diam. Suasana malam sunyi dan sepi. Nina semakin cemas. Terlewatkah dia? Walaupun keadaan lengang, lampu di ruang tamu masih terpasang. Jefri pasti ada, sama ada masih bernyawa ataupun tidak.
"Jefri! Bukakan pintu. Tolong bukakan pintu..." panggilnya lagi dengan perasaan hiba tidak terkata. Teresak. Dia jadi semakin tidak tentu hala, sehingga terjelepok lemah di muka pintu.
Terdengar suara bising di halaman rumahnya, Jefri yang baru sahaja selesai mandi bergegas keluar dengan perasaan cemas. Dalam hati tertanya-tanya, apakah yang terjadi? Dia terdengar suara perempuan ataupun ia hanya khayalan semata-mata?
Daun pintu besar dibukanya pantas. Dahinya berkerut hairan apabila melihat satu tubuh yang hampir meringkuk lemah dengan esakan yang jelas kedengaran di hadapannya.
"Jeff..." Keluhan sayu kedengaran. Mendengar namanya yang dikeluhkan, Jefri kebimbangan. Adakah perempuan itu Nur Ayu yang sengaja datang dengan taktik barunya untuk memujuk rayu?
Oh Tuhan! Jefri merengus geram. Dia memang sudah tidak tahan dengan gelagat Nur Ayu. Kesabarannya sudah lama teruji. Kenapa Nur Ayu tidak juga mahu melepaskannya? Macamlah tidak ada lelaki lain lagi di dunia ini.
"Apa yang sedang berlaku di sini?" soal Jefri, tegas. Dia tidak akan mengalah pada Nur Ayu. Kalau gadis itu berterusan mengganggunya begitu, dia pasti mengamuk suatu hari nanti.
Mendengar suara Jefri, Nina berpaling pantas. Tercengang. Jefri masih bernyawa?
"Nina? Kau? What's going on?" Jefri tergamam. Nina datang tanpa dipaksa?
Tetapi apabila melihat wajah Nina yang basah dengan air mata, hatinya tiba-tiba terasa macam dicucuk. Nina telah disakiti? Tiba-tiba sahaja keresahan dan kemarahan menyelinap ke benak, membakar di dadanya.
Apa yang telah terjadi kepada Nina? Kemalangan? Diganggu samseng? Pantas tangannya segera mencapai tubuh Nina. Diperiksanya kiri dan kanan.
"Kenapa dengan kau, Nina? Apa yang terjadi?" soalnya cemas. Pipi Nina disentuhnya perlahan.
"Kau tak apa-apa?"
Nina segera dibawa ke ruang tamu, diperiksanya lagi.
"Kenapa kau buat begitu?" jerit Nina geram. Dia rasa tertipu. Jefri telah mempermainkannya. Jefri masih hidup. Jefri tidak membunuh diri. Air matanya habis berbakul tanpa sebab. Jefri buat dia terseksa.
"Apa dia?" balas Jefri, tidak mengerti. Dia termangu dengan tuduhan Nina. Mata Nina yang bengkak dan kemerahan itu direnungnya dengan perasaan hairan.
"Kau menakutkan aku!" tingkah Nina geram. Tangannya memukul dan menepis dada Jefri. Dia melepaskan rasa geram. Jubah biru di tubuh Jefri ditarik-tariknya kuat. Dia membahayakan diri memandu macam hantu kerana bimbangkan Jefri yang rupa-rupanya cuma berdrama.
"Nina..." Jefri cuba mencapai tangan Nina yang sedang rancak memukul dan menarik dengan penuh geram.
"Aku sangka kau... kau... bunuh diri. Gila! Kau cakap yang bukan-bukan!"
Mendengar jeritan geram Nina itu, bibir Jefri tiba-tiba sahaja melebar senyum.
"Mungkin, tapi bukan sekarang," balas Jefri masih tersenyum. Walaupun rasa bersalah, dia tidak dapat menahan perasaan yang tercuit. Rupa-rupanya Nina berkejar ke situ dengan esak tangisnya kerana ucapannya di talian setengah jam yang lalu. Siapa sangka Nina rupa-rupanya memandang serius.
"Kau masih nak senyum?" jerit Nina semakin geram. Perkara sebegitu Jefri pandang remeh. Soal mati dibawanya bergurau? Sekali lagi ditepisnya kuat pada bahu Jefri. Perasaannya mendidih.
"Maafkan Jeff. Jeff sangka Jeff hanya berceloteh sendiri. Jeff tak tahu kau dengar semua itu."
"Nina rasa macam orang bodoh! Berkejar ke sini tanpa berfikir."
"Nina memang ambil berat tentang diri Jeff. Jeff rasa amat gembira. Nina sayangkan Jeff, kan?"
Sudah tahu bertanya pula! desis Nina dalam hati.
"Jangan sesekali bergurau begitu, Jefri! Lelaki sejati takkan rendahkan diri sampai ke peringkat itu!" tingkah Nina, sengaja mencabar.
Ucapan Nina itu membuat Jefri terdiam. Matanya terpaku pada Nina, lama. Apakah Nina sangka lelaki sejati tidak punya hati?
"Jeff minta maaf," bisik Jefri sebentar kemudian dengan wajah sendu. Dia mengambil tempat duduk lalu membungkam. Tidak ingin membesar-besarkan perkara itu.
Melihat keadaan Jefri yang diam merenung lantai laksana orang merajuk hati, membatu tanpa berkata-kata itu, hati Nina mulai resah. Tersinggungkah Jefri? Kenapakah hatinya kini diserang rasa bersalah apabila melihat Jefri berkecil hati begitu, sedangkan dia memang mahu Jefri terasa dengan ucapan tajamnya tadi? Dia memang sengaja. Dia memang berniat untuk menyakiti Jefri.
Sememangnya selama beberapa bulan itu Nina sentiasa membuat Jefri berkecil hati. Perasaan kecewa itu jelas kelihatan pada sinar matanya setiap kali Nina menolak pelawaannya untuk keluar bersama. Ajakan Jefri sentiasa dibalasnya dengan perkataan sibuk.
Jawapannya tidak pernah berubah walaupun Jefri bersedia menunggu dengan keretanya di hadapan bangunan Zulhan Advertising, sedangkan dia tidak pernah menolak ajakan Tengku Zulhan. Kalau kedua-duanya menunggu, dengan selamba dia akan memilih Tengku Zulhan. Jefri hanya menerima ucapan maaf bersulam senyuman kesal.
Jadualnya tidak pernah berubah. Hari minggu telah diperuntukkan untuk Elly seorang. Pelawaan Jefri pula sengaja diabaikannya. Sesungguhnya dia tidak mahu dekat dengan Jefri, takut kedegilannya yang kian rapuh itu dipatahkan oleh rasa tertariknya terhadap Jefri. Daya tarik yang semakin hari semakin menjerat perasaan Nina.
Setiap kali kakinya melangkah pergi, pasti dia akan berpaling dengan perasaan berbelah bahagi. Lagipun dia sudah pun termakan budi dengan Jefri. Kalau bukan kerana Jefri, projek kebajikan tidak akan mendapat pujian.
"Bersihkan diri kau, Nina. Jeff hantar kau pulang," ujar Jefri tiba-tiba. Dia bangun memandang Nina dengan wajah serius.
"Bilik air di sebelah sana," sambungnya sambil melangkah ke arah bertentangan, memanjat anak tangga lalu hilang dari pandangan mata Nina.
Nina melangkah ke arah yang ditunjukkan tetapi terpaksa menjenguk kiri dan kanan. Kali pertama dia berkunjung ke situ dahulu, langkahnya hanyalah terbatas di sekitar ruang tamu. Dia tidak berganjak walaupun dipelawa oleh Jefri agar melihat sekeliling banglonya yang cantik setelah diubahsuai itu.
Di bilik mandi, Nina merenung mukanya yang sembap akibat tangisan. Kenapa dia boleh menangis sebegitu rupa hanya kerana Jefri? Dia seolah-olah lupa diri, tidak sedar apa yang telah dilakukannya. Sungguh memalukan!
Tindakan bodohnya itu pasti telah membuatkan Jefri sedar akan perasaan sebenar Nina terhadapnya. Tahu bahawa Nina jadi selemah itu kerana perasaan cinta yang sebenarnya masih tersemat di hati.
Tatkala Nina sedang mengelap muka dengan tuala basah dan membetulkan rambutnya, daun pintu diketuk berkali-kali disusuli dengan suara panggilan Jefri. Jefri seolah-olah tidak sabar lagi.
"Nina! Ready? Jeff tunggu di luar."
Di luar, Jefri sedang menunggu dengan wajah redup. Tingkah laku Jefri itu membuat Nina berasa benar-benar tidak selesa. Sudah lumatkah hati Jefri kerana ucapannya sebentar tadi?
Melihat Nina semakin menghampiri, Jefri segera membukakan pintu kereta. Manakala Nina pula memandang ke arah Proton Satrianya yang terpacak di luar.
"Jeff hantarkan kereta Nina besok pagi," ujar Jefri, memahami isi hati Nina. Tetapi riak wajahnya masih tidak ramah. Tampak masih berjauh hati.
Dalam perjalanan Jefri mendiam diri, membatu sepanjang masa. Menyedari Nina sendiri tidak sudi berbicara dengannya, dia membiarkan Nina melayani fikiran sendiri.
Tumpuan seolah-olah diberikan sepenuhnya kepada jalan yang dilalui, sedangkan fikirannya masih berkecamuk memikirkan ucapan Nina yang cukup menyentap perasaan. Hatinya terjeruk dengan rasa malu.
Benarkah dia telah merendahkan martabatnya sebagai seorang lelaki? Tindakannya meluahkan perasaan bukankah satu perbuatan lazim seorang lelaki? Layakkah dia mendampingi diri Nina?
Jefri menghela nafas dalam. Rasa pilu kian menggigit perasaan. Saban hari hatinya tidak merasa tenang kerana cinta yang tidak kesampaian. Dia mencurahkan perasaan yang terbuku di dada melalui corong telefon kerana hanya dengan cara begitu dia dapat mendekatkan diri pada Nina.
Tetapi malang sekali siapa sangka begitu pula jadinya. Lain pula pendapat Nina. Kejantanannya tercabar. Dia harus menjadi lelaki yang bagaimana baru menepati kehendak Nina? Lelaki seperti Zulhan? Apakah kelebihan lelaki itu sehingga Nina tidak pernah bosan menemaninya setiap hujung minggu?
Pedih hati Jefri bila mengenangkan kemesraan yang ditunjukkan oleh Nina terhadap Zulhan. Dia terpaksa menjadi pemerhati kerana terlalu mengikutkan hati yang cemburu. Gerak-geri Nina dan Zulhan sering diperhatikannya dari jauh dan setiap detik yang diluangkan oleh Nina untuk bersama lelaki itu bagaikan jarum yang menikam segenap urat sarafnya. Sakit!
"Oh! Jeff!" Suara jeritan Nina mengejutkan Jefri dari lamunannya. Dia terpinga-pinga.
"Jeff langgar lampu merah tadi! Kita nyaris berlanggar. Kereta tadi brek sampai berkeriut! Apa yang Jeff fikirkan?" jerit Nina dalam keadaan terperanjat.
"Oh Tuhan... I... I'm so... so... sorry!" ucap Jefri cemas. Gementar apabila menyedari akan kejadian buruk yang hampir terjadi akibat kelalaiannya.
Dia segera memberhentikan kereta di sisi jalan, berpaling kepada Nina. Ketika itu dia merasa cukup bersalah. Bersalah kerana membahayakan bukan sahaja nyawa sendiri tetapi juga nyawa Nina. Sekiranya sesuatu yang buruk terjadi kepada Nina, dia tidak mungkin dapat memaafkan diri sendiri.
"Maafkan Jeff. Nina tak apa-apa?" tanyanya cemas apabila menghadapi wajah Nina yang pucat akibat terperanjat. Tangannya pantas mencapai tangan Nina, digenggamnya erat dengan riak muka penuh resah.
"Nina tak apa-apa. Baik kita teruskan perjalanan," balas Nina perlahan. Dia mengerti bahawa Jefri sedang berada dalam keadaan tegang. Fikiran Jefri terganggu. Dia cuba untuk tidak menyalahkan Jefri. Dia juga bersalah. Ucapannya telah membuatkan Jefri bengang.
Sampai sahaja di pekarangan rumah, Jefri memberhentikan kereta, menyandar lesu ke belakang tanpa sedikit pun berpaling kepada Nina. Dia kelihatan begitu sugul.
"Lakukan sesuatu untuk Nina?" ujar Nina dengan harapan agar Jefri sudi berpaling. Tetapi hampa, Jefri yang tersinggung tetap membatu.
"Apa dia, Nina? Kau tahu Jeff akan lakukan apa-apa saja untukmu," balas Jefri tanpa memandang Nina.
"Sayangi nyawa. Pandu dengan cermat. Jangan buat Nina bersedih nanti," minta Nina selepas beberapa detik berlalu.
Tatkala mendengar permintaan Nina itu, baru Jefri berpaling. Mata bertentang lalu setitis kebahagiaan terasa menjengah di hati. Malangnya terlalu tipis untuk menyembuhkan luka di hati.
Ucapan serta tingkah laku Nina sentiasa sahaja memberikannya harapan tetapi selama ini harapan tetap tinggal harapan. Apa bezanya kali ini? Nina tidak pernah mahu memahami penderitaannya.
Sepuluh minit kemudian apabila Nina menyelak langsir di kamar tidurnya, dia dapati Jefri masih lagi di situ. Keretanya masih terpacak di halaman. Tampak sepi dibaluti kegelapan malam. Melihat Jefri menyendiri begitu, perasaannya terasa hiba. Tetapi dia tahu Jefri pasti akan pergi sebentar lagi.
Lima belas minit kemudian selepas selesai mandi dan bersiap sedia untuk tidur, dia melangkah ke tingkap untuk menenangkan fikiran dan menikmati keindahan malam, tetapi dia terkejut apabila mendapati kereta Jefri belum lagi bergerak walau seinci pun. Hati mula bimbang. Pelbagai persoalan datang menerjah di kepala.
Kenapa Jefri masih di situ sedangkan malam sudah begitu lewat? Apa lagi yang dinantikan oleh Jefri? Adakah Jefri sedar apa yang dilakukannya?
Sepanjang malam itu Nina memasang telinga dengan hati resah gelisah. Dia cuba menahan diri daripada menjenguk ke tingkap.
Tidak lama kemudian apabila mendengar sayup-sayup bunyi enjin kereta dihidupkan barulah dia berasa lega. Walau bagaimanapun kejadian malam itu membuat matanya tidak mahu lena. Dua kejutan dalam satu malam adalah terlalu berat untuk ditanggungnya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro