Bab 12
SITI ZULAIKHA, suaranya seindah namanya, lemak merdu. Keramahan dan lembut bicaranya membuat gadis itu kelihatan semakin ayu. Kepalanya yang sentiasa berlilit tudung dan gerak-gerinya yang lemah-gemalai menampakkan ciri-ciri gadis Melayu. Dia cantik.
Itulah yang membuat jiwa Nina mulai dilanda kemelut, meronta tidak keruan sejak bertemu mata dengan gadis itu di majlis pembukaan pejabat Indah Textiles tempoh hari. Siti Zulaikha dan Jefri tampak sepadan. Lebih-lebih lagi apabila mereka berganding bahu dalam menjayakan majlis perasmian itu.
Nina berasa kekurangan apabila membandingkan dirinya dengan keayuan Siti Zulaikha. Mulai dari saat itu dia dapat merasakan betapa keceriaan di dalam dirinya semakin menghilang. Hati semakin dirundung duka.
Buat kali kedua dia berasa seolah-olah tempatnya di sisi Jefri dirampas lagi oleh perempuan lain. Pilu dan sayu perasaannya setiap kali membenarkan diri mengenang kembali kisah percintaannya dengan Jefri. Nampaknya kesetiaan Jefri masih perlu diduga.
Mampukah Jefri terus bertahan apabila terus berdampingan dengan gadis yang cantik peribadinya seperti Siti Zulaikha? Bagaimana pula dengan Nina?
Bukankah diri sendiri akan rugi seandainya sengaja membukakan jalan kepada Siti Zulaikha? Soalan itu masih sendat di kepala Nina ketika dia meninggalkan kawasan meletak kereta menuju ke pejabat Jefri tengah hari itu.
Memandang wajah Jefri hampir lima belas minit kemudian membuatkan hatinya bertambah resah. Kenapakah semakin hari hatinya semakin rindu mahu menatap wajah tampan Jefri?
Saban malam semakin pula berkejar untuk mendengar sebaris ucapan selamat malam daripada Jefri. Seandainya keadaan begitu berterusan, dia tidak tahu siapa sebenarnya yang sedang diduga. Jefri ataupun dirinya sendiri?
"Kenapa nampak murung?" soal Jefri tatkala mereka mula duduk menghadapi satu sama lain. Matanya terus meneliti wajah Nina apabila pertanyaannya sekadar dibalas dengan senyuman dingin.
"Penat? Kau terlalu kuat bekerja, Nina. Kau perlu rehat, bercuti," kata Jefri masih merenung Nina dengan teliti. Dia kelihatan begitu mengambil berat.
Kalaulah Jefri tahu bahawa dia begitu kerana asyik memikirkan tentang perhubungan mereka yang entah di mana ikat simpulnya, pasti Jefri melonjak gembira. Sedikit sahaja tanda yang menunjukkan Nina masih mengambil berat tentang dirinya pasti melegakan perasaan Jefri. Tetapi Nina tidak mahu Jefri terlalu cepat mencapai kemenangan. Jefri mesti bersusah payah kerana sikapnya yang tidak tahu menghargai perhubungan mereka dahulu.
"Jeff pun sama. Kata mak long, Jeff macam mesin. Tak ada masa rehat. Sekurang-kurangnya mak long tak kata Nina macam mesin. Siapa yang lebih teruk?" balas Nina bersahaja sambil mengeluarkan fail maklumat yang menjadi bahan perbincangan mereka nanti.
Mendengar balasan daripada Nina itu, Jefri tersenyum, mengakui.
"Kalau macam itu apa kata kalau kita berdua sama-sama bercuti? Let's go somewhere," ajak Jefri tiba-tiba.
Terkejut Nina dengan keberanian Jefri itu. Lelaki sememangnya tidak ada perasaan segan.
"Berdua?" ungkap Nina, tersenyum. Tebalnya muka Jefri.
"Kalau Nina sudi," balas Jefri. Kala itu harapannya mula menggunung. Hubungannya dengan Nina kebelakangan ini dirasakannya semakin menyenangkan. Nina semakin jinak.
"Tak ada sesiapa yang mengamuk nanti?" Nina menduga.
"Ada sesiapa yang Nina kenal yang mungkin akan mengamuk?" Jefri mencabar.
Nina terdiam. Matanya merenung pada Jefri dan pada wajah itu muncul pula wajah ayu Siti Zulaikha.
"Han, Rudi, Kamal, Is... Chris." Sengaja Nina menyenaraikan nama-nama peminat setianya untuk halwa telinga Jefri. Biar dia tahu bahawa selama ini
Nina bukan hanya bertapa menunggu kehadirannya. Nina juga tahu bergembira.
"Tapi keputusan di tangan kita berdua, Nina. Kalau sudi, Han, Rudi ataupun Is tak menjadi soal," bisik Jefri, tajam.
Dia mengerti benar bahawa Nina masih cuba mendera perasaannya. Jinak Nina adalah jinak-jinak merpati. Nina tidak tahu bahawa hatinya memang sudah cukup terseksa sejak bertahun yang lalu. Mahu menangis, teringat pula dirinya anak jantan.
Dia sebenarnya mahu mengamuk tetapi kalau dilayan perasaan yang menggila, porak-peranda jadinya. Seandainya runtuh semangatnya, apa-apa pun tidak mungkin lagi dimilikinya termasuk Nina. Seperti juga berseronok, bersedih juga ada batasnya.
Nina menyandar lesu, cuba menyembunyikan rasa kecewa yang merantai hati. Selama ini Jefri tidak pernah sekalipun menunjukkan rasa cemburu terhadap perhubungannya dengan lelaki lain walaupun semasa mereka sedang hangat bercinta dahulu.
Jefri tidak kecoh, seolah-olah yakin benar terhadap cinta Nina. Air tenang yang tidak pernah berkocak kadang-kadang hilang juga keseniannya, begitu juga perhubungan di antara teruna dan dara. Lagipun kata orang, cemburu tandanya sayang. Sikap tidak cemburu Jefri kadang-kadang membuat perasaannya terasa sepi.
"Jawab saja ya atau tak," sambung Jefri lagi.
"Mungkin," balas Nina perlahan, antara serius dan tidak. Alangkah rindunya kalau dia berpeluang berbulan madu bersama Jefri. Suatu ketika dahulu, dia sering kali bermimpi untuk mengelilingi dunia menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan ini berdua dengan Jefri.
"Ertinya mustahil, kan? Agaknya, Jeff kena tambahkan lagi masa kerja supaya tak perlu mimpikan Nina," ucap Jefri lalu bangun menuju ke tingkap. Lama dia berdiri di situ, termenung panjang melayan perasaan rajuk. Suasana jadi hening.
Hati Nina berkecamuk dengan perasaan resah. Urusan perniagaan yang sepatutnya dibincangkan tidak pun bermula, kini terpaksa pula menjeruk perasaan. Dia tidak sepatutnya menerima urus niaga dengan Jefri. Dia tahu perasaan peribadi dan business tidak seharusnya dicampuradukkan tetapi walaupun setelah mencuba sedpya upaya urusan hati tetap menjadi penghalang.
Ternyata jiwanya lemah dan dia tidak mampu berhadapan dengan Jefri tanpa memikirkan soal cinta. Dia sering terkenangkan peristiwa lalu dan hati asyik tertanya-tanya tentang apa yang bakal terjadi dalam kehidupan mereka pada masa hadapan.
Tidak lama kemudian setelah lama membelakangi Nina, Jefri berpaling. Dia merenung Nina, diam, sedangkan mata seolah-olah berkata.
Semakin detik berlalu semakin Nina berasa tidak selesa berada di ruang pejabat itu berduaan dengan Jefri. Malah ditenung dengan rupa kesal begitu. Dia perlukan gangguan dari luar. Setiausaha Jefri? Interkom? Panggilan telefon? Ataupun apa-apa sahaja asalkan dia terlepas dari keheningan yang merimaskan itu.
"Jeff tak mahu ambil tahu tentang lelaki dalam hidup kau, Nina. Seandainya kau jatuh cinta sekalipun, jangan beritahu. Hidup ini lebih aman tanpa mengetahuinya."
Diam lagi. Suasana kembali sepi. Jantung Nina yang berdegup kencang seolah-olah kedengaran.
"Damn it! I love you, Nina!" ucap Jefri tiba-tiba, gaya orang yang kepenatan setelah berkali-kali menegaskan perkara yang sama kepada orang yang tidak ingin mendengar.
"Jeff cintakan Nina. Kenapa layan Jeff begini? Apa yang Nina mahu sebenarnya?"
"Cukup!" Hati Nina berdetak. Pantas dia mencapai beg serta fail-fail di atas meja. Dia tidak tahan lagi. Dia harus pergi sebelum hati degilnya dicairkan oleh rintihan Jefri.
"Nina, please... Jangan pergi," rayu Jefri apabila melihat Nina sudah pun bersiap sedia dengan barang-barangnya. Setiap pertemuan sentiasa berakhir begitu. Nina sering sahaja melangkah pergi tanpa sebarang penyelesaian.
"Nina juga cintakan Jeff," ucap Nina, tegas. Sekiranya hanya ucapan sebegitu yang mampu membebaskannya dari bilik itu, dia sanggup mengucapkannya walaupun seribu kali.
Jefri terpana. Tidak disangka-sangka ucapan yang diimpikannya selama ini kini kedengaran di telinga, diucapkan oleh Nina. Sedetik hatinya bermandi perasaan ceria tetapi sayang, Nina melafazkan ucapan cinta tanpa senyuman di bibir, tanpa seri di wajah. Nina tidak ikhlas. Adakah selama ini Nina masih menyimpan parut di hati?
"Tapi?" bisik Jefri, lesu. Sungguh hatinya kecewa dengan sikap Nina yang memperkecilkan lafaz cinta. Begitu murahkah perkataan cinta di mata Nina? Adakah kepercayaan Nina terhadap cinta telah hilang, tenggelam bersama percintaan mereka?
Nina segera memalingkan wajahnya daripada Jefri. Debaran di dadanya berkocak kencang. Hiba dan marah bercampur baur. Dia hanya mahu Jefri tahu perasaan sebenarnya, bahawa dia tetap mencintai Jefri.
Lagipun, itu juga adalah kehendak Jefri. Dia tidak mahukan apa-apa. Atau berbohongkah dia dengan kenyataan bahawa dia tidak menginginkan apa-apa daripada Jefri? Dia cuma manusia biasa yang ingin disayangi dan menyayangi.
Jauh di sudut hati, dia sememangnya memerlukan Jefri di dalam hidupnya. Dia tidak rela melepaskan Jefri kepada Nur Ayu ataupun Siti Zulaikha. Tetapi hatinya masih tidak dapat melupakan perbuatan Jefri.
"Nina tak mahu bimbangkan perkara ini. Nina datang cuma nak bincangkan tentang Indah Store, bukan hal peribadi," tegas Nina. Hatinya tidak lagi tenteram. Dia memejamkan matanya rapat, menarik nafas dalam-dalam dan cuba menenangkan perasaan yang bergolak.
Jefri merapati. Tangannya mencapai kedua-dua bahu Nina lalu tubuh Nina dirapatkan ke tubuhnya, dirangkul erat. Dia sedar Nina dalam dilema. Nina serba salah dalam membuat keputusan. Nina yang tersentak dengan tindakan Jefri itu cuba menjauhkan diri tetapi penolakannya sesaat cuma. Tidak terdaya melawan tenaga jantan Jefri.
"Lupakan kisah lalu, Nina. Berikan peluang untuk kita mulakan semula," pujuk Jefri tatkala mata bertentang.
"Jangan menafikan kenyataan ini, Nina. Kau sebenarnya sayangkan Jeff sebagaimana Jeff sayangkan Nina. Kita bina hidup baru," ucap Jefri lagi, dia mula merapatkan bibirnya ke ubun-ubun Nina.
Kehangatan yang dirasai membuat Nina sedar diri mulai hanyut dibuai asmara. Cepat-cepat dia meleraikan tubuh mereka. Panik. Lemah segala sendinya. Dia gugup. Perasaannya sentiasa hanyut apabila bersama Jefri, mengalah tanpa rela.
"Nina?"
"Er... Nina terpaksa pergi," ujar Nina. Kelam-kabut mencapai semula beg dan fail-fail yang tersungkur di lantai. Dia harus pergi dari situ, jauh daripada Jefri. Tetapi tangan kirinya dicapai oleh Jefri, digenggamnya kemas.
"Sayang, bertenang. Jangan tergesa-gesa. Jeff bukannya nak buat apa-apa," pinta Jefri lembut.
Setiap kali mata bertentang, mahu sahaja Nina ikutkan segala kemahuan Jefri. Hatinya memang telah dikuasai.
Nina sedar dia perlu melepaskan diri daripada perangkap cinta itu seandainya tidak mahu diri terluka lagi. Dia tidak rela membiarkan diri lemah tergoda, kemudian dikecewakan. Sekarang bukannya masa untuk bercinta dan bermimpi.
"Nina betul-betul harus pergi. Kita sambung kemudian saja," balas Nina, melarikan pandangan matanya jauh daripada Jefri.
"Tolong pandang Jeff, Nina... Dengar," rayu Jefri lagi. Matanya merenung hiba pada wajah Nina.
"Sekiranya Nina ikhlas terhadap Jeff, Jeff sanggup menunggu sehingga Nina bersedia. Jeff takkan paksa, cuma jangan ketepikan Jeff daripada hidupmu, Nina. Jeff perlukan kasih sayangmu. Jeff cintakan kau sejak belasan tahun. Ia amat sukar..."
"Habis, apa Jeff buat dengan Nur Ayu?" tingkah Nina penuh gusar. Kenangan lama mulai bangkit di mata. Mengingati kisah Jefri dan Nur Ayu betul-betul membuat dia tawar hati terhadap Jefri. Jefri sebagai kekasih benar-benar menyebabkan dia kecewa dan patah hati.
Soalan tajam daripada Nina itu membuat air muka Jefri berubah perit. Genggaman tangannya di pergelangan tangan Nina mulai lemah. Nina sengaja mendera. Nina tidak mahu dia lupa kesilapan yang telah dilakukan.
"Jeff mengaku salah kerana terlalu lembut hati dan biarkan dia mendekati Jeff. Okey, Jeff akui ketika itu mata dan hati Jeff jadi kabur kerana berjauhan daripada kau tapi perasaan Jeff terhadap dia tak dapat menandingi perasaan cinta Jeff terhadap kau, Nina... Setiap percintaan pasti ada dugaan. Kenapa kau seolah-olah tak faham?" ungkap Jefri lagi.
"Lebih baik jangan diungkitkan lagi perkara ini, Jeff. Atau Nina tak akan jumpa Jeff lagi," ugut Nina lemah, selemah jiwanya setiap kali mendengar rayuan Jefri.
Mendengar ucapan Nina itu, Jefri mengeluh resah. Dia mula mundar-mandir. Terseksa jiwa raganya kerana Nina. Sanggup Nina berkata begitu sedangkan dia tidak sanggup hidup tanpa mendengar suara Nina.
"Bantu Jeff, Nina. Apa yang harus Jeff lakukan supaya Nina percaya."
"Nina tak tahu," bisik Nina seketika kemudian. Jawapan yang membuatkan hati yang kecewa semakin parah. Nina seolah-olah tidak lagi peduli. Nina tidak mahu mengambil tahu soal hidup atau matinya?
Jefri terduduk. Lemah. Tunduk merenung lantai dengan perasaan penuh kalut. Sakit hatinya tatkala itu hanya Tuhan sahaja yang tahu. Sikap Nina memang mengecewakan. Kenapa hati Nina begitu degil? Nina buat kepalanya bercelaru selama bertahun-tahun.
Jefri tidak tahu sampai bila dia boleh bertahan. Dia amat mencintai Nina sedangkan Nina pula rupa-rupanya masih tidak sudi memaafkannya.
Apabila daun pintu terkuak, Jefri sedar Nina telah pun pergi meninggalkannya dengan pertanyaan yang belum terjawab. Urusan yang belum selesai entah bila dapat diuruskan.
Nina sukar didekati. Selagi ada peluang, Nina pasti cuba melarikan diri, kecualilah dia perangkap Nina di sebuah kapal yang dikelilingi oleh lautan yang luas terbentang. Tetapi mungkin lautan luas sekalipun sanggup Nina renangi demi menjauhkan diri daripadanya.
Jefri mengeluh sedih. Hidupnya dibiarkan sunyi dan sepi kerana menantikan kepulangan Nina tetapi Nina... Entah ke mana arah langkah sebenarnya? Apa yang Nina inginkan? Sudikah Nina kembali? Atau dia hanya sekadar mengejar bayangan? Nina yang diharap semakin menjauh.
Manakala Nur Ayu, gadis yang tidak makan saman itu tidak pernah jemu merayu cinta kasihnya walaupun tidak dilayan. Nur Ayu tetap seperti beberapa tahun yang lalu, manja dan keras kepala. Dia akan merajuk jika dirinya tidak diendahkan, kemudian Nur Ayu memberontak bagaikan anak kecil.
Ugutan untuk membunuh diri sentiasa menjadi mainan bibir. Jefri yang sayangkan nyawa sesama insan sudah beberapa kali berkejar untuk menenangkan gadis itu.
Kerenah Nur Ayu turut melibatkan ayahnya, tokoh korporat Datuk Abdul Malek yang tiba-tiba sahaja menawarkan ganjaran tinggi kepada Jefri sekiranya dia memberi peluang kepada anak kesayangannya itu. Jutawan itu cuba membeli cinta untuk anak gadisnya bagaikan membeli boneka.
Jefri menolak. Dia bukannya jalang. Bukan gigolo untuk dibuat bahan urus niaga. Dia mampu berusaha sendiri untuk berjaya dalam bidang perniagaan, tidak perlu mengampu Datuk ataupun memperalatkan anak gadis tokoh korporat. Tetapi Nur Ayu tidak pernah menyerah kalah, sebagaimana Jefri tidak pernah berputus asa untuk bersama Nina. Kehadiran Nina tentu sahaja akan mewarnai hidupnya yang sepi.
Jefri mencapai kalendar yang telah ditinggalkan oleh Nina. Kalendar yang hampir sebesar meja itu dibukanya perlahan. Sebaik sahaja matanya menatap gambar pasangan pengantin yang kelihatan sungguh hebat di muka hadapan, bibirnya segera melebar senyum.
Duka di hati tiba-tiba sahaja lenyap dalam sekelip mata. Terubat dengan hanya merenung gambar dia dan Nina sebagai pengantin, berpelukan mesra dan penuh ceria. Dunia khayalan ternyata lebih indah daripada dunia nyata. Tetapi dunia itu tidak pernah kekal.
Tiga puluh minit kemudian, matanya masih tidak puas memandang. Dia tidak lagi peduli akan deringan telefon yang acap kali mengganggu. Malah sesiapa pun tidak dibenarkan mengocak dunianya pada saat itu.
Hatinya belum puas meneliti setiap inci wajah anggun Nina yang merenung penuh kasih kepadanya. Seandainya Nina sudi berbuat begitu di dunia nyata, dia rela korbankan segala-galanya demi renungan sebegitu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro