Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

SEHARIAN Nina terpaksa ke sana sini macam lipas kudung. Dia sibuk betul. Terlalu banyak kerja yang perlu dibereskannya demi memastikan penggambaran hari itu berjalan lancar. Kehadiran Jefri yang memang dinanti-nanti pun tidak disedarinya sehinggakan tanpa sengaja dia membiarkan Jefri menunggu lama. Sedangkan Jefri sepatutnya disambut seperti tetamu kehormat.

Sekiranya Jefri merajuk, memang meloponglah dia. Nasib baik ada Saroja dan Lulu yang membantu melayan keperluan Jefri serta model-model yang lain.

Tengku Zulhan pula sejak awal-awal pagi sudah pun melawat ruang yang telah diubah suai khas untuk sesi penggambaran itu.

Dia tersenyum senang dan memberi puji-pujian kepada Joe dan pembantu-pembantunya kerana hasil usaha mereka yang amat memuaskan itu. Tetapi Tengku Zulhan tidak dapat meluangkan masa lebih lama kerana kesibukan.

Sebahagian daripada kerja Nina juga terpaksa diambil alih olehnya buat sementara waktu sehingga projek itu berakhir.

Sebagaimana sibuknya Nina, begitu juga Saroja yang bertanggungjawab menguruskan satu lagi pasangan di bilik sebelah. Albert yang bertindak sebagai pembantunya, mengekori ke mana sahaja dia melangkah. Bibir kedua-duanya berkumat-kamit berbincang, mengangguk kemudian menggeleng. Suasana di tempat itu bagaikan sebuah pesta, bingit tetapi ceria.

Setelah selesai berbincang dengan jurukamera untuk pengesahan kali terakhir, Nina kembali kepada Jefri yang sedang menunggu di dalam bilik persalinan. Jefri kelihatan tenang sejak tadi. Matanya leka memerhatikan gerak-geri kakitangan yang terlibat dalam sesi penggambaran hari itu.

"Sorry, kerana Jeff terpaksa tunggu lama," ujar Nina sebaik sahaja sampai di hadapan Jefri. Lebih kurang sejam yang lalu dia hanya sempat bercakap dengan Jefri selama beberapa minit sahaja kerana terlalu sibuk.

"Bosan?"

"No problem. Jeff dah biasa menunggu sehingga kebosanan pun takut nak dekat dengan Jeff," balas Jefri sambil merenung penuh makna. Satu jam tidaklah seberapa kalau dibandingkan dengan masa dua tahun yang dihabiskannya untuk merayu Nina.

"John dan Ivy, jurusolek akan sampai sekejap lagi. Semasa penggambaran nanti, Jeff boleh pilih sama ada mahu gaya bebas ataupun mengikut arahan photographer."

Setahu Nina, Jefri fotogenik. Bagaimana cara pun dia bergambar, sentiasa sahaja kelihatan menarik. Jefri adalah model semula jadi. Berposing dengan Jefri tentu sahaja tidak susah untuk dilakukan. Walau bagaimanapun hatinya tetap berkocak kencang.

"Maksud Nina, boleh buat sesuka hati?" Jefri menduga, tersenyum nakal.

"Berpada-pada. Kita mahu yang terbaik. Aksi spontan, tak kaku, romantik, ada feeling. Pengantin sepatutnya ada perasaan kasih terhadap satu sama lain. Tonjolkan perasaan itu. Tapi ingat, ini cuma lakonan."

"Mana gadis malang itu? Boleh Jeff jumpa?"

Mendengar pertanyaan Jefri itu, Nina tersenyum simpul. Bagaimanakah perasaan Jefri seandainya dia tahu bahawa pengantinnya untuk hari itu adalah Nina sendiri? Hati Nina sudah pun berdebak-debuk untuk menghadapi saat-saat mereka disatukan di pentas nanti.

"Nina fikir... Emmm surprise lebih menyeronokkan. Lagipun mengikut kata orang tua-tua, pengantin dilarang bertemu menjelang hari perkahwinan."

"Sebenarnya dia ada di sini. Pandai-pandailah Jeff meneka," sambung Nina lagi.

Jefri tersenyum pahit. Matanya melangkau jauh ke hadapan, memikirkan sesuatu. Seketika kemudian, dia bersuara perlahan.

"Jeff pernah bersumpah takkan berbaju pengantin kalau bukan Nina sebagai pengantin perempuan. Apa yang akan berlaku hari ini... harap dapat diampunkan. Jeff lakukannya kerana kebajikan."

Ucapan Jefri itu membuat perasaan Nina tiba-tiba sahaja resah tidak keruan. Kalau boleh sedaya upaya dia ingin mengelak daripada membincangkan soal peribadi apabila berhadapan begitu tetapi kini perkara itu mula berbangkit pula.

Sesekali dia tidak menyangka Jefri betul-betul berpegang kepada sumpah yang pernah diucapkannya suatu ketika dahulu. Tetapi dua tahun bukannya satu jangka masa yang dianggap mencabar. Dua tahun masih terlalu awal untuk menodai kesetiaan seorang kekasih. Lagipun hari dan bulan terlalu pantas beredar.

"Jeff..."

"Hai, Nina!" Lantang suara John menegur dari jauh, ketika dia berhenti seketika untuk bertegur sapa dengan salah seorang daripada kakitangan syarikat itu. Tangan kanan John terangkat memberi salam kepada Nina.

Nina segera melemparkan senyuman manisnya sambil turut sama memberi isyarat tangan. Lega Nina dengan ketibaan John yang telah menyelamatkannya daripada terhimpit dengan dilema perasaan.

Dia tidak tahu bagaimana mahu membalas kata-kata Jefri sesaat yang lalu. Dia tidak tahu bagaimana mahu bertindak. Riak wajah hiba Jefri membuat dia berasa serba tidak kena. Cemas.

Sebentar kemudian sambil menepuk belakang dan berjabat tangan dengan krew penggambaran yang dikenalinya, John mengayun langkah ke arah Nina. Di bahunya tersangkut beg-beg besar yang dipenuhi dengan bahan-bahan solekan serta bahan-bahan yang diperlukan untuk sesi penggambaran hari itu.

John kelihatan tidak banyak berubah daripada pertemuan terakhir mereka kira-kira tiga bulan yang lalu. Masih dengan topi serta rambut yang diikat ponytail. Biasanya gaya John sentiasa sahaja berubah.

Hanya muka bulatnya itu sahaja yang tidak berubah, sentiasa kelihatan licin berseri mengalahkan pengantin perempuan.

"I'm very sorry, Nina! I tahu I dah lewat. Sejak jadi seorang bapa, ke mana-mana pun I asyik terlambat. Ivy tu cerewet betul setiap kali nak tinggalkan Little Johnny dengan nannynya. I harap semuanya masih okey? You takkan denda I, kan?"

Nina tersenyum menghadapi John yang peramah itu. John memang tidak pernah kering dengan alasan. Setiap kali pun asyik menyalahkan isterinya, Ivy.

"Tak mengapa, John. Baru dua puluh minit. Mana Ivy?"

"Oh, dia terus ke bilik sebelah bersama Cik Saro."

"John, kenalkan ini Jefri, kawan I. Dia adalah salah seorang model untuk hari ini," ujar Nina memperkenalkan Jefri kepada John.

"Dan Jeff, ini Mr. Johnny Teoh, jurusolek dan pakar kecantikan."

Sebaik sahaja diperkenalkan kedua-duanya saling berjabat tangan dengan senyuman meleret di bibir masing-masing.

"Mmm... You look more like a businessman than a model," komen John sambil memandang Jefri dari hujung rambut ke hujung kaki."

"Tapi menurut Nina, I kelihatan macam model, bukan businessman," balas Jefri, tertawa kecil.

"Well, setahu I itu sebenarnya pujian yang tak terhingga. Betul tak, Nina? Bila seorang perempuan mengatakan boyfriendnya handsome, tinggi dan sasa, begitulah cara mereka memuji," kata John, mengusik lagi. Matanya melirik nakal pada Nina.

"Now she's blushing!" usik John, tertawa besar.

Usikan John betul-betul membuat pipi Nina naik merah.

Setelah diusik teruk, dia mulai segan hendak bertentang mata dengan Jefri yang asyik tersenyum mendengar celoteh John itu. Kalau boleh dia mahu segera beredar dari situ daripada membiarkan diri diusik terus di hadapan Jefri.

Sesekali mengusik, John memang tidak boleh berhenti. Entah mengapa hubungannya dengan Jefri bagaikan terlalu jelas di mata sesiapa sahaja. Semua pun menyangka di antara mereka pasti ada sesuatu.

"You ni merepeklah, John! Okey, I serahkan Jeff pada you. You take care of him. I kena daftarkan diri di sebelah sana." '

"Alright! Tapi I rasa I tak payah kerja keras. He's natural beauty. You memang tahu memilih," balas John sambil menilik penampilan Jefri. Dia kelihatan berpuas hati.

"Great eyes, great smile, great body! You are really a lucky girl, Nina!" ujar John. Sambil memuji dia mengambil kesempatan untuk mengusik lagi.

"Oh!" Nina tidak tahan lagi dengan usikan John yang berlanjutan itu. Dia terus berlalu ke bilik sebelah untuk menyerahkan diri kepada Ivy yang bertanggungjawab untuk mengubah penampilan dirinya kepada seorang pengantin.

Hari itu dia dan Jefri akan menggayakan tiga pasang pakaian pengantin yang bermacam corak termasuk baju Melayu. Tiga foto terbaik mereka akan dipilih menghiasi kalendar Sinar Harapan.

Setelah hampir satu jam membiarkan Ivy menggunakan kepakarannya, barulah tubuh Nina disarungkan dengan gaun pengantin berwarna putih suci yang amat cantik.

Kata Ivy, gaun pengantin potongan moden serta rekaan terbaru itu kelihatan cukup sepadan dengan Nina dan Nina tidak ubah bagaikan Million Dollar Bride.

Sebaik sahaja Nina menjejakkan kaki ke set penggambaran, secupak mata memandang ke arahnya dengan wajah ceria dan kagum. Ada yang bersiul dan ada yang bertepuk sorak. Dalam masa yang sama juga lagu 'I Love You' nyanyian Celine Dion berkumandang memenuhi ruang.

Jefri yang menunggu di pentas memandang tanpa berkelip. Terkejut. Tergamam seolah-olah tidak mempercayai mata sendiri bahawa pengantin perempuan yang sedang melangkah menghampirinya sekarang ialah Nina. Debaran di dada akhirnya terjawab apabila gadis itu semakin mendekatinya.

Sememangnya pengantin itu ialah Nina! Akhirnya hati Jefri terasa lapang tiba-tiba. Gembira. Perlahan-lahan bibirnya menguntum senyum dan tangannya dihulurkan kepada Nina. Flash kamera beberapa kali ditujukan ke arah mereka dan Jefri sedar pada saat itu lakonan pun bermula.

"Surprise yang paling hebat, Nina," bisik Jefri sejurus selepas bibirnya mendarat di tangan Nina. Nina memberikan senyuman terbaiknya. Kala itu mereka seolah-olah pasangan pengantin yang paling bahagia walaupun ia merupakan lakonan semata-mata.

"Nina mahu yang terbaik, Jeff," balas Nina sambil terus beraksi dan membiarkan Jefri merangkul pinggangnya.

"Jeff tak pandai berlakon, perlu arahan pengarah," bisik Jefri ke telinga Nina dan tatkala itu kedua-dua jurukamera yang tangkas itu ligat memetik kamera mereka ke kiri dan ke kanan mencari sudut terbaik.

Nina mendongak mesra, senyum sebagaimana dia pernah senyum untuk Jefri suatu ketika dahulu.

"Kemudian, Jeff. Sekarang renung ke dalam mata Nina seolah-olah Jeff cintakan Nina."

"Jeff memang cintakan kau, Nina," balas Jefri perlahan tetapi jelas di telinga Nina. Renungan matanya membuat Nina tenggelam seketika. Saat indah yang dirakamkan berkali-kali oleh jurukamera langsung tidak disedari oleh mereka. Kala itu yang wujud di dunia ini hanyalah mereka berdua.

Hasilnya dapat dilihat dua minggu kemudian setelah sesi penggambaran bagi pasangan-pasangan yang lain selesai dijalankan. Sesungguhnya Nina tergamam melihat pose mereka yang amat menarik itu.

Dia dan Jefri betul-betul telah menghidupkan suasana percintaan. Malah ada juga pose yang tidak dapat diingatnya bila masa dan ketikanya diaksikan oleh Jefri.

Bila pula dia membiarkan kedua-dua tangan Jefri menyentuh pipinya sebegitu mesra? Gambar-gambar sebegitu cukup meyakinkan betapa intimnya perhubungan di antara mereka. Orang yang melihat pasti tertipu. Gambar-gambar itu memang hebat dan menarik sebagaimana yang diharapkan.

Tetapi kenapa pula hatinya gundah setiap kali matanya melihat gambar-gambar itu? Terasa diri seolah-olah telah melakukan kesilapan dalam membuat keputusan.

Menurut Saroja, antara gambar-gambar pasangan yang telah diambil, gambar Nina dan Jefri adalah yang terbaik dan patut digunakan untuk hiasan bulan Januari.

Saroja tidak habis-habis mengusik dan merisik perhubungan sebenar di antara Nina dan Jefri. Katanya, mereka kelihatan bagaikan pasangan kekasih, mesra dan romantik. Mereka cukup sepadan. Pujian-pujiannya tinggi melambung.

Sebenarnya apabila melihat gambar-gambar mereka dalam keadaan begitu mesra, intim dan penuh dengan perasaan kasih sayang, dengan sendirinya bibir Nina tersenyum mesra. Dia suka. Hatinya tergoda. Ia membuatkan dia tidak bosan mengelamun dan membiarkan fikirannya melayang kepada peristiwa-peristiwa silam. Ternyata hatinya kini tidak lagi berpendirian.

Dan Jefri pula lewat panggilan telefon tengah malamnya, asyik bercerita perkara yang sama. Tentang sesi penggambaran yang dirasakannya bukan sekadar lakonan. Ia satu pengalaman yang sungguh bermakna.

Katanya, dia sanggup mengulangi detik-detik itu walaupun seratus kali. Dia mengucapkan terima kasih kepada Nina kerana memberinya peluang merasai keindahan itu.

Sesungguhnya Nina tidak lagi dapat menafikan betapa benteng dendamnya semakin hari semakin goyah, tidak lagi sekuat dahulu. Dia tidak lagi mengingati nama Jefri dengan rasa pedih di hati seperti dahulu.

Usaha dan sikap baik Jefri selama ini mula menarik hatinya dan dia mula tertanya ke mana menghilangnya Nur Ayu? Bagaimanakah kedudukan Siti Zulaikha di hati Jefri? Siapa pula Nina pada anggapan Jefri? Masih tunangan?

Cincin pertunangan tidak pernah diterima kembali oleh Jefri. Putusnya pertunangan hanya di hati Nina seorang, tidak pada adat ataupun Jefri.

Tetapi Nina tidak lagi berani untuk bertanya. Dia tidak lagi berani mengambil tempat itu. Pengalaman lalu mengajarnya erti serik dan dia perit untuk kembali ke pangkuan Jefri.

Tetapi bahagiakah dia hidup begitu? Berpuas hatikah dia dengan mengorbankan cinta di hatinya demi dendam dan rasa sakit hati?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: