Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 6

AKU cuba lelapkan mata, namun tak juga mata mahu terlelap. Mungkin masih terlalu awal. Baru pukul sepuluh setengah. Selalunya kalau terlalu penat, lepas solat isyak saja aku sudah tertidur. Mungkin persekitaran baru. Mata pun tak boleh terima. Kenalah sesuaikan dulu. Sabar, Teya.

Aku bawa telefon bimbitku ke ruang tamu. Nak telefon mak, dah lewat benar. Rasanya lepas isyak tadi mak dah tidur.

Aroma Milo sudah menembus ruang bau. Rupanya Aliyah sedang jamah biskut dengan air Milo sambil menonton TV.

Aku duduk di sofa. Dia buat pandang tak pandang. Sebagai rakan serumah, aku cuba untuk berbaik-baik dengan Aliyah. Tidak mahu bermusuhan. Tak menguntungkan sesiapa pun.

Aliyah buat tak nampak akan kehadiranku. Tak mengapalah. Bersabar saja dengan kerenahnya. Aku tak kacau dia pun.

"Amboi, sedap minum Milo!" Tiba-tiba Linda menegur. Terbatuk Aliyah tiba-tiba.

"Aku nak cakap dengan kau tadi tapi ingatkan kau tidur." Aliyah senyum-senyum.

"Gila baru pukul sepuluh lebih dah nak tidur?" Nada suara Linda seperti marah. Maknanya Aliyah guna Milo Linda? Kenapa Aliyah nampak seperti tak berduit sangat sampai Milo pun tak mampu nak beli?

"Nanti gaji aku gantilah. Kau jangan risau."

"Dah berapa kali gaji nak gantinya, tapi tak ganti-ganti pun."

"Ya, kali ni aku ganti."

"Aku tuntut. Kau tak bayar siap." Linda duduk bersebelahan denganku. Kemudian dia perhatikan saja Aliyah makan. Aku rasa kecik besar saja Linda tengok Aliyah.

Telefonku berbunyi. Nik di talian. Galak pula dia menghubungiku. Memang betullah sudah tiada orang lain untuk dia kacau. Ataupun masing-masing sudah meluat untuk melayan dia. Setakat ini, aku tiada masalah dengan Nik. Dia seorang yang agak menyenangkan. Tak apa kut kalau aku layan dia berbual.

"Assalamualaikum." Aku senyum-senyum sambil beri salam. Sempat jeling Linda.

"Waalaikumussalam." Nik jawab.

"Ya, Nik Adri. Kenapa telefon?" Aku sebut nama penuh Nik. Bukan nak menunjuk tapi nak Aliyah tahu bukan Zafran yang hubungi aku.

"Dah makan?"

"Dah. Sekarang ni masa nak tidur."

"Ya ke? Saya baru nak makan. Makan pun sorang-sorang."

"Kesian..." Aku ketawa perlahan. Suka pula nak menyakat dia.

"Apa nak buat. Tak ada yang sudi nak temankan."

Aku bangun dan masuk bilik. Tutup pintu sekali.

"Eh, kata romeo. Takkan romeo makan sorang-sorang kut. Apa kelas?"

"Romeo dah pencen."

"Romeo pun ada pencen ke?" Aku sendiri buat lawak, aku sendiri ketawa.

"Sampai masa pencenlah. Nak buat macam mana, kan?"

"Tu masak sendiri ke beli?"

"Ingat saya tak boleh masak ke?"

"Awak pandai masak?"

"Mestilah."

"Awak pandai masak apa?"

"Masak air."

"Woit!"

Nik ketawa dengan kuat. Dalam diam-diam dia kenakan aku.

"Masak air orang gila pun tahu." Geram sudah.

"Saya masak spageti aje. Mudah dan ringkas. Jangan cakap orang gila pun pandai masak spageti."

Betul ke romeo tu pandai masak spageti? Hebatlah tu kalau boleh masak spageti.

"Nanti bila-bila tolong masak untuk saya. Nak rasa."

"Bila?"

"Bila-bila la."

"Insya-Allah. Awak sebut saja bila. Saya akan masak untuk awak. Okeylah awak. Saya nak sambung makan. Nanti saya telefon awak lagi."

"Selamat menjamu selera. Assalamualaikum."

"Terima kasih. Waalaikumussalam."

Tak sangka dia pandai masak. Zafran nak masak? Jangan mimpilah lelaki tu nak masak. Masak air pun belum tentu lepas. Sudahlah cerewet gila. Ada saja yang tak kena.

Aku bawa telefon bimbitku semula keluar.

"Eh, suara kau ketawa dah sampai ke luar tau." Linda menegur.

"Betul ke? Maaflah. Si Nik tu buat lawak."

"Nik?"

"Kekasih baru."

"Amboi. Belum lagi bercerai dah ada kekasih?"

Aku duduk sebelah dia.

"Untunglah. Kita saja yang tak ada kekasih kan, Aliyah? Kalau kau ada kekasih, mesti tak rembat Milo aku." Sempat lagi Linda menyindir Aliyah. Aliyah buat pekak saja. Kalau aku memang terasalah.

Dengan selamba Aliyah bangun dan bawa muk sekali.

"Geram betul aku. Habis Milo aku. Tinggal sikit saja lagi. Aku ingatkan sampai cukup bulan." Linda membebel. Aku tepuk bahu Linda perlahan minta dia lebih bersabar lagi.

"Nak saja aku halau dia, tapi tak sampai hati pulak."

"Kenapa dia tak tinggal dengan Dhinah?"

"Dhinah pun tak sanggup satu rumah dengan dia."

Rasanya memang betul apa yang Linda cakap tu. Siapa yang sanggup satu rumah dengan orang macam tu.

"Eh, siapa Nik?"

"Lelaki yang terambil telefon aku tu. Kau tak ingat ke?"

"Dia dah jadi kekasih baru kau?" Linda pamer wajah terkejut.

"Tak adalah. Aku cuma cakap macam tu aje depan Aliyah. Nak bagitau bukan Zafran yang telefon."

Linda angguk. Tanda dia faham.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro