Bab 3
AKU tak pernah sampai ofis awal begini. Rasanya hari ini cipta rekod terkini aku orang pertama sampai ofis. Terus aku ke meja Aliyah. Sebab hanya di situ saja ada telefon yang boleh membuat panggilan ke luar. Kalau tak disebabkan benda alah satu ini memang tak ingin aku masuk ofis awal.
Laju aku tekan nombor telefon bimbit sendiri. Tapi lama panggilanku tidak berjawab. Tak bangun lagi ke mamat ni?
Aku mencuba berkali-kali sehinggalah panggilanku dijawab.
"Helo, maaf, saya bukan pemilik telefon ni. Saya orang yang jumpa telefon ni. Ada apa-apa pesanan? Insya-Allah, saya akan pulangkan telefon ni bila saya balik KL nanti. Terima kasih."
Suara orang yang menjawab seperti baru bangun tidur saja. Takkan baru bangun tidur kut wahai cik abang? Tujuh setengah pagi dah ni.
"Helo, encik. Sayalah pemilik telefon tu."
"Ya? Saya bercakap dengan pemilik telefon rupanya. Teya?"
Eh, mana dia tahu nama aku Teya? Lupa, WhatsApp memang aku guna nama Teya.
"Bila encik balik KL?" Terus aku bertanya. Kalau dilayan nanti memang melalut. Terbayang saja keramahan tak bertempat lelaki tu.
"Insya-Allah hari ni. Penerbangan malam nanti. Pukul sembilan malam."
"Encik tak boleh ambil tiket lebih awal ke?"
"Sayang, sekalipun syarikat penerbangan tu saya yang punya, pun tak boleh nak balik awal kalau tiket dah habis."
Kurang ajar, senang-senang dia panggil aku sayang. Dasar romeo.
"Kalau macam tu saya ambik telefon saya di airport malam nanti boleh? Sebab saya nak sangat telefon saya tu."
"Saya tak ada masalah."
"Errr, boleh tolong saya?"
"Ya."
"Tolong carikan nombor telefon Sulaina."
"Kejap."
Aku menanti. Kena bercakap dengan sepupuku itu juga sebab dia nak balik kampung hari ni. Linda pesan nak cendawan kukur.
"Ini nombornya." Dia sebut satu-satu nombor Sulaina.
"Errr, macam mana nenek encik? Kawan saya cakap encik terus balik kampung sebab nenek encik sakit."
"Nenek saya dah meninggal. Saya tak sempat jumpa pun."
"Salam takziah."
"Terima kasih."
"Rasanya setakat ni dulu. Nanti kalau saya perlukan apa-apa matlumat dari telefon saya, boleh saya hubungi lagi?"
"Bila-bila masa saja, sayang."
Aku memang meluat betul kalau lelaki panggil aku sayang. Rasa nak muntah. Gedik semacam. Zafran pun dah jarang bersayang-sayang dengan aku. Ah! Sayang Zafran pun terbang jauh. Tinggal kenangan saja sayang dia tu.
"Okey, assalamualaikum."
"Waalaikumussalam."
Aku toleh kiri kanan. Nak buat miss call pada Sulaina. Kalau buat panggilan untuk nombor telefon sendiri tak mengapa. Senang aku jawab nanti kalau Encik Ahmad bising-bising. Kami sama sekali tidak dibenarkan menggunakan telefon syarikat untuk panggilan peribadi. Kedekut punya kilang.
Berlalu beberapa ketika telefon berbunyi.
"Wei, aku ni. Kau jadi balik kampung hari ni?"
"Hantu kau, ingat siapa telefon aku. Aku tak jadi balik. Duit dah habis."
"Kalau tak jadi tak apalah. Ingat kau balik."
"Okey." Sulaina matikan panggilan.
Aku kembali ke tempatku. Hela nafas dalam-dalam. Jangan fikir apa-apa sekarang ni. Fokus pada kerja. Cinta tu sekadar permainan dunia. Tak mati kalau tak memiliki cinta manusia.
Seorang demi seorang rakan sekerja muncul. Terakhir aku nampak Dhinah. Terkejut juga bila nampak dia. Aku ingat dia akan minta cuti. Kesan lebam di muka ketara kelihatan. Memang teruk dia kena bantai dengan Kak Kay semalam.
"Kenapa? Kau ingat aku akan cuti? Itu yang kau nak, bukan?" Dhinah terus datang ke mejaku. Perlahan saja dia bercakap.
"Haah. Aku ingatkan kau akan cuti. Teruk juga kau kena belasah dengan Kak Kay, kan?" Sengaja aku kuatkan suara dengan harapan rakan sekerja yang lain akan mendengar kata-kataku. Biar mereka juga tahu apa yang berlaku. Tidaklah nanti Dhinah tuduh aku yang bukan-bukan.
Wajah Dhinah merona. Dia terus saja ke tempat duduknya. Mukanya tetap masam. Muka orang susah hati. Memang dasar perampas.
Aku sambung buat kerja tanpa pedulikan sekelilingku. Dalam pukul sembilan setengah lebih kurang, Encik Ahmad ketua bahagian kami melangkah keluar. Dia melangkah keluar dengan keadaan tergesa-gesa. Ada mesyuarat tergempar agaknya.
Aku bangun untuk menuju ke pantri. Langkah terhenti bila aku terdengar ada suara berbual di pantri. Tak jadi nak minum air.
"Jadi kau ceritalah hal sebenarnya, kita orang pun nak tahu." Aku dengar suara Mira.
"Zafran suruh aku ambik baju-baju dia sebab dia dah meluat sangat nak tengok muka perempuan tu." Suara Dhinah pula bercerita. Rupanya ada sesi meluah rasa. Tak apa, aku nak tumpang sama mendengar sesi bercerita. Dengan aku dia cakap Zafran tertinggal kunci. Dengan rakan sekerja dia cakap Zafran dah meluat tengok muka aku. Aku rasa cerita kedua tu memang betul.
"Aku pun pergilah rumah Zafran. Perempuan tak tahu malu tu pun ada sekali. Entah bila nak berhambusnya pun aku tak tahu. Dasar tak sedar diri langsung. Dah suami tak suka pun masih nak merayu-rayu."
Sabar aduhai hati.
"Memang dia masih nakkan Zafran ke?" Aliyah pula bertanya.
"Memanglah. Terhegeh-hegeh lagi nakkan Zafran. Tu pasal tak keluar lagi dari rumah tu."
Oh, macam tu kisahnya. Tak apa, lepas ni aku akan keluar dari rumah tu dan cari rumah sewa. Jangan nanti tuduh aku cakap tak tahu adat orang nak bercerai. Masa tu memang aku cili mulut orang tu kalau cakap banyak dengan aku.
"Sambung balik cerita aku semalam. Masa aku tengah kemas baju-baju Zafran, perempuan tak guna tu pergi telefon mak Zafran. Apa lagi, kelam-kabutlah orang tua tu datang dengan kakak Zafran."
Ini memang fitnah. Memang tak betul. Kau tanggunglah nanti, Dhinah.
"Eh, teruknya. Tak sangka Teya sejahat tu. Nampak bukan main baik dan suci, tapi jahat bukan main lagi. Tertipu kita orang semua."
Bertambah panas hatiku mendengar kata-kata Mira.
"Tu la pasal. Semua nampak aku yang salah. Kononnya akulah yang rampas suami dia, tapi korang tak tahu betapa menderitanya Zafran beristerikan seorang perempuan macam Teya. Perempuan tu memang jahat sebenarnya."
Aku yang tak sangka sebusuk ini hati Dhinah. Sebelum ini dia memang baik dengan aku. Selalu datang ke rumah bila aku buat makan-makan. Selalu keluar bersama-sama. Tak salah kalau aku akui kebenaran kata-kata Kak Kay. Dhinah memang dengkikan aku dan sekarang dia sudah berjaya merampas kebahagiaan aku.
"Kau jangan bimbang pasal tu, Dhinah. Kita orang semua tahu cerita yang sebenarnya. Kita orang akan sokong kau." Aliyah pula menyokong.
"Lepas tu apa cerita bila mak Zafran dengan kakak dia sampai?" Mira seperti tidak sabar-sabar lagi hendak tahu.
"Teruklah aku kena dengan kakak Zafran. Tengok pipi aku ni. Kesan kena tampar. Suka hatilah perempuan tu tengok aku kena tampar dengan kakak Zafran. Memang itu yang dia harapkan. Kalau tidak takkan dia telefon."
"Kesiannya kau, Dhinah. Aku memang tak sangka Teya sejahat tu. Kalau dah Zafran tak nak dia, tak payahlah sampai aniaya kau sampai macam ni sekali. Entah-entah dia guna mak Zafran dengan kakak Zafran untuk dapatkan Zafran semula." Aliyah pula buat andaian. Maka benarlah kata Linda, hati-hati dengan Aliyah. Dia tu talam banyak muka.
"Memanglah. Itu aje senjata dia sekarang ni."
Kau jangan lupa, Dhinah. Bukan tak ada balasan untuk orang yang tabur fitnah. Aku terpaksa kembali ke tempatku bersama tekak yang kering kerana aku tidak sanggup lagi mendengar fitnah Dhinah. Hati sudah mula menangis.
"Mana yang lain?" Encik Ahmad berdiri di hadapan mejaku. Terkejut amat. Sepatutnya sekarang ni masa Encik Ahmad bermesyuarat dengan semua ketua bahagian. Dan selalunya kalau mesyuarat, mesti lebih tiga jam. Ini tak sampai satu jam dah selesai?
Aku tidak memberi sebarang reaksi sebab aku tak mahu dituduh macam-macam nanti.
"Mana tiga orang lagi pergi?" Encik Ahmad tanya pula pada Nazri.
"Bergosip dalam pantri." Selamba saja Nazri menjawab. Tak kesahlah. Janji jangan aku yang cakap.
"Meeting apa dalam ni?" tengking Encik Ahmad dari arah luar pantri. Bergema suaranya satu pejabat. Aku nampak kelam-kabut mereka bertiga keluar dari pantri.
"Bila saya tak ada dalam ofis, semua tunjuk lagak. Bergosip tak ingat dunia. Esok kalau tak ada sebarang kenaikan gaji mulalah mengutuk saya macam-macam. Sikap buruk masing-masing tak pernah nak kaji balik." Encik Ahmad mula membebel. Masalahnya, tiga orang punya pasal habis satu ofis kena.
"Encik Ahmad, kami tak terlibat. Mereka bertiga tu dari tadi bergosip. Elok aje encik tinggalkan ofis, mereka bertiga kelam-kabut masuk pantri." Liana bersuara dari tempat duduknya. Mujur juga ada kaki bodek. Tapi kaki bodek Liana pun bertempat.
"Betul tu. Kami semua tak terlibat. Biar mereka bertiga ajelah yang tak naik gaji." Nazri pula menyampuk.
Encik Ahmad pandang muka Nazri. Kemudian muka Liana. Terakhir ketiga mereka yang sudah duduk di tempat masing-masing.
"Baiklah. Kalau macam tu kamu bertiga memang tiada kenaikan gaji tahun ni. Sebenarnya saya baru meeting pasal kenaikan gaji pekerja untuk tahunan ni. Jadi, jangan cakap saya dah kena jampi ya."
Encik Ahmad melangkah menuju ke biliknya semula. Walaupun ayat terakhir Encik Ahmad tu seperti bergurau, tapi aku tahu Encik Ahmad memang serius dalam hal ni. Jangan main-main dengan dia. Kalau dia cakap A, tak ada sesiapa pun yang boleh ubah jadi B.
"Alhamdulilah. Lepas bayar duit minyak sebulan pun jadilah." Nazri bersuara kegirangan sebaik sahaja Encik Ahmad sudah tidak kelihatan.
"Betul tu. Aku lepas duit lampin pakai buang anak aku pun jadilah." Liana juga menokok.
Mira, Aliyah dan Dhinah tidak menjawab. Wajah masing-masing berubah mendung. Tadi masa di pantri bukan main lagi galak. Awal-awal sudah dapat balasan.
Tapi pelik juga. Linda tak cakap apa-apa pun pasal kenaikkan gaji. Selalunya apa-apa yang berlaku dalam syarikat orang HR akan tahu terlebih dahulu. Tak apalah. Rehat nanti aku tanya dia.
Aku tarik nafas perlahan. Untuk sementara waktu, biarlah Dhinah teruskan fitnahnya terhadapku kerana kebenaran itu muncul sedikit lewat. Aku perlu lebih bersabar.
MASA makan tengah hari Aliyah langsung tak bercakap. Aku tahu dia tak puas hati dengan keputusan Encik Ahmad. Pasal tu aku tak kesah, tapi yang peliknya dia dah kutuk aku macam-macam masih boleh makan satu meja dengan aku. Dia tak rasa bersalah ke? Kenapa tak makan dengan Dhinah? Oh lupa, mesti Dhinah makan tengah hari dengan Zafran. Mira pula makan dengan orang jabatan pengurusan.
"Lin, kau tahu pasal kenaikan gaji?" soalku dengan mulut penuh. Kemudian aku pandang Linda.
"Mestilah aku tahu. Tahun ni penilaian tak ikut ujian, tapi ketua bahagian yang buat keputusan. Mereka yang berkuasa penuh. Untunglah siapa yang jadi kesayangan ketua bahagian."
Selalunya kenaikan kami berdasarkan beberapa ujian penilaian. Ketua bahagian hanya berikan markah untuk prestasi kerja sahaja. Syarikat tempat aku bekerja merupakan kilang pengeluar makanan paling terkenal. Makanan seperti biskut, makanan berasaskan bijirin mempunyai pasaran antarabangsa yang sangat tinggi.
"Betul ketua bahagian yang berkuasa penuh?" baru Aliyah buka mulut.
"Ya, betul. Kalau dapat ketua bahagian yang kedekut, sakitlah korang."
Wajah Aliyah kembali berubah. Kali ni tambah masam.
"Dan aku dapat tahu, tahun ni kenaikan gaji tertinggi dalam sejarah syarikat. Untunglah siapa yang dapat naik gaji tinggi."
Aku percaya cakap Linda sebab Linda memang dapat semua berita dari sumber yang boleh dipercayai. Bukan gosip sembarangan.
"Dan satu lagi. Ni memang rahsia sangat-sangat. Jeng jeng jeng..." Linda senyum sampai ke telinga.
"Apa?" Aliyah tanya.
"Mana-mana pekerja yang bermasalah akan diberi notis berhenti kerja. Korang berhati-hatilah. Nak cari kerja baru memang susah sekarang ni."
Wajah Aliyah bertambah keruh. Pasti saja dia bimbang kerana mereka tiga serangkai sering kali ada masalah dengan Encik Ahmad.
Aku sambung menjamah makanan. Berselera sedikit kerana perut memang betul-betul lapar.
"Suka aku tengok kau ni, Teya. Ada masalah ke, tak ada masalah ke, sama saja. Makan tetap juga berselera." Linda menegur.
"Aku tak ada masalah. Biasa saja. Lagipun, buat apa nak ingat orang yang dah tak suka aku? Cuma tulah. Zafran tu pengecut. Dia tak mahu ceraikan aku. Tapi suruh aku yang minta cerai. Konon takut nama dia busuk kalau ceraikan aku."
Aku jeling Aliyah. Biar tali barut seorang ini jadi tukang sampai. Tak pun Aliyah perlu mendengar cerita dari pihakku.
Linda ketawa.
"Ini memang lawak. Betul-betul lawak. Bukan lagi pengecut, tapi dayus."
"Tulah pasal. Semata-mata takut dengan mak dia, sanggup dia buat macam tu. Sengaja nak mendera aku."
"Bukan setakat mendera, gantung tak bertali sama tu."
"Apa susah. Selagi dia tak ceraikan aku, dia pun tak boleh nikah lain. Kau ingat dia boleh tunggu lama bila masing-masing dah gatal nak nikah?"
Masing-masing tu aku maksudkan Zafran dan Dhinah sekali.
"Betul tu. Kau tunggu dan lihat saja."
"Aku rasa aku nak keluar dari rumah tu. Nak cari rumah sewa." Aku jeling Aliyah yang buat muka selamba.
"Kenapa dengan rumah tu?" Linda menyoal.
"Tu bukan ke rumah Zafran. Rasa macam tak sedap hati aku tinggal kat situ. Nanti ada pulak yang cakap aku muka tak malu. Masih terhegeh-hegeh nakkan Zafran."
Aliyah terbatuk. Eh, tiba-tiba terbatuk. Termakan cili ke?
"Ya, aku pun ada dengar macam tu. Ada yang cakap kau masih mengharapkan Zafran kembali pada kau. Tak payahlah, Teya. Zafran tu terang-terang tak boleh pakai. Tak guna punya jantan."
Linda mengutuk depan-depan. Dia tak takut ke Aliyah jadi tukang sampai?
"Aku pun tak ingin!" balasku.
"Kalau betul kau nak pindah, kau duduk aje rumah aku. Ada bilik kosong. Tak payah nak cari rumah lain."
Wajah Aliyah terus-terusan berubah. Dia kan serumah dengan Linda. Mahu membantah, rumah tu rumah Linda.
"Betul ke?" Elok juga tinggal serumah dengan talam.
"Betullah. Lagipun kami tinggal dua orang saja. Masih ada satu bilik lagi kosong."
"Cantiklah tu. Tak payah aku susah-susah cari rumah lain."
Aliyah tetap senyap.
"Eh, aku lupa nak tanya pasal mamat yang pegang telefon kau tu. Kacak tak?" Sebenarnya aku hampir terlupa akan telefon bimbitku.
"Kenapa telefon kau?" Aliyah bertanya.
"Tertinggal dalam kapal terbang. Sorang mamat tolong simpankan. Jadi, kalau Dhinah cakap aku yang telefon mak Zafran dan kakak Zafran semalam, memang tak betullah. Dhinah yang buat fitnah. Sebenarnya, aku tak telefon siapa-siapa pun sebab telefon aku orang lain yang pegang."
Aku pandang Aliyah yang nampak tergamam.
"Apa cerita ni? Nak tahu jugak." Linda menyampuk.
"Semalam Dhinah datang ke rumah sebab nak ambik baju-baju Zafran. Tengah dia pergi kutip baju lelaki tu, mak mentua dengan kakak ipar aku datang. Teruklah dia kena belasah dengan Kak Kay."
"Padan muka. Eloklah kena belasah dengan bakal kakak ipar." Linda ketawa.
"Lepas tu Dhinah buat cerita. Dia tuduh aku yang telefon mereka berdua. Nak telefon pakai apa?"
"Tak apa, dia dah kena belasah. Mesti sakit tu."
Cukup setakat itu sahaja. Aliyah sudah tahu kisah sebenarnya. Aku tak mahu cakap lebih-lebih. Nanti cerita akan jadi lain.
Aliyah pun hebat juga dalam bab tokok tambah cerita.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro