Bab 2
PINTU utama diketuk dengan kuat. Siapa pula yang datang malam-malam begini? Segera aku ke muka pintu. Siapa lagi yang datang mahu buat kacau?
"Abang?"
"Kenapa? Terkejut? Tak sangka abang balik? Eh, abang balik ni bukan sebab nak tengok Teya."
Sakitnya hati mendengar kata-kata Zafran sehingga tiada kata-kata yang terkeluar dari mulutku untuk membalas kata-kata Zafran.
"Memang betullah tunggu abang balik?"
Aku hanya membatukan diri bila aku merasakan kata-kata sudah tidak lagi berguna sekarang ini. Bila hati jadi tawar, perasaan juga semakin tawar. Maka kalau hilang rasa kasih, rasa sayang juga bakal menyusul pergi. Tak guna aku pertahankan apa-apa. Berdiam diri adalah jalan yang terbaik.
Tunggu dia balik? Separuh hati kata ya, tapi separuh lagi kata tidak. Bila dia sudah kata begitu, aku memilih untuk kata tidak. Aku tidak mengharap Zafran kembali ke rumah. Titik!
"Tak sangka hati awak sebusuk ini, Teya. Sampai hati Teya telefon mak dengan Kak Kay suruh datang rumah masa Dhinah ambik baju-baju abang. Apa motif Teya buat macam tu? Nak suruh Kak Kay belasah Dhinah? Kesian Dhinah. Memang tak ada hati perut langsung!"
Barulah aku tahu kenapa Zafran muncul dengan tiba-tiba. Dhinah yang mengadu rupanya. Cepat sungguh Zafran bertindak demi membela perempuan kesayangannya. Jadi, aku sudah tahu tempatku di mana sekarang ini. Tidak lagi di hati Zafran, sebaliknya hanya di kakinya.
"Teya tak beritahu siapa-siapa pun pasal tu. Kebetulan mak dengan Kak Kay datang. Lagipun telefon Teya tertinggal atas kapal terbang. Tergamak abang cakap yang bukan-bukan pada Teya. Tak boleh ke abang siasat dulu sebelum buat tuduhan?"
Wajah Zafran aku tatap dengan linangan air mata. Tidak sangka Zafran akan berubah sampai begitu sekali. Dulu akulah kekasih hatinya. Isteri kesayangannya. Berjanji mahu sehidup semati denganku. Mahu menjaga aku hingga akhir hayatnya. Dan kini janji tinggal janji.
"Tak payahlah Teya nak menipu. Kalau ya pun nak karang cerita, karanglah cerita yang lebih logik lagi. Abang dah jelas perangai Teya sekarang ni. Tak payahlah Teya buat apa-apa. Keputusan abang memang sudah muktamad. Abang akan hidup bersama Dhinah selepas ni."
Ini sangat menyakitkan hatiku. Macamlah aku terhegeh-hegeh hendakkan dia. Macamlah tanpa dia hidup aku akan musnah.
"Teya pun tak kesah dengan siapa abang nak hidup selepas ni. Tak ada kena-mengena dengan Teya. Insya-Allah, Teya pun akan berusaha untuk membahagiakan hidup Teya. Jadi, tak ada apa-apa masalah buat Teya." Aku menjawab.
Zafran ketawa sinis.
"Tak ada apa-apa masalah konon. Tapi Teya sedang berusaha untuk dapatkan abang semula bukan? Sekarang ni Teya guna mak dengan Kak Kay. Sudahlah Teya, bukan abang tak tahu rancangan licik Teya."
Sampai begitu sekali Zafran buruk sangka dengan aku. Dan aku pasti, ini mesti kerja Dhinah. Dhinah yang burukkan aku. Rasanya bukan pasal tadi juga, bahkan sebelum-sebelum ni hebat Dhinah burukkan aku sehingga Zafran benar-benar percaya dan tewas dengan segala fitnah Dhinah.
Tak mengapa, Teya. Bersabarlah. Sesungguhnya sabar itu sangat indah.
"Tak, Teya tak guna siapa-siapa pun. Teya pun tak kuasa nak pujuk abang. Teya reda dengan apa yang berlaku. Abang pergilah. Tak perlu pedulikan Teya lagi." Aku masih pertahankan diriku.
"Kalau dah reda, tak perlulah guna mak dengan Kak Kay. Cepat-cepatlah Teya minta cerai."
"Kan Teya dah cakap, Teya tak pernah mempergunakan sesiapa pun. Kalau sudah takdir jodoh kita setakat ini sahaja, Teya reda. Tapi Teya takkan sama sekali minta cerai. Berdosa besar kalau Teya buat macam tu. Abang sendirilah yang ceraikan Teya. Kan mudah."
Aku juga pelik kenapa sampai sekarang Zafran tidak mahu ceraikan aku. Kalau dah tak suka, buat apa nak disimpan lagi. Lepaskan sajalah aku. Biar aku bebas tentukan hala tuju hidup aku.
"Senanglah nanti mak bencikan abang? Begitu yang Teya harapkan, bukan? Sebab itulah sampai sekarang Teya tak nak minta cerai. Macamlah abang tak tahu niat Teya."
Kisahnya. Barulah aku tahu kenapa sampai sekarang Zafran tak mahu menceraikan aku. Takut nama jadi busuk rupanya. Sungguh tidak cerdik lelaki seorang ini.
"Terpulang pada abanglah. Teya sama sekali takkan minta cerai." Aku bertegas kali ini.
"Jadi memang betullah Teya masih mengharapkan abang?"
Ah! Bosannya. Tak sudah-sudah dengan ayat yang sama. Aku nak harap apa lagi kalau nak hadap muka dia pun aku sudah tak sanggup.
"Teya tak harap apa-apa lagi dalam hubungan kita. Tapi untuk minta cerai, Teya takkan lakukan sama sekali."
"Sebab Teya tahu, selagi abang tak ceraikan Teya, abang memang tak boleh nikah dengan Dhinah."
Aku tidak menjawab kerana tak guna pun aku cakap apa-apa sebab Zafran sendiri tidak akan faham apa-apa. Dia tu memang tak ada perasaan langsung dan pentingkan diri sendiri.
"Teya, abang tak mahu melihat antara kita menderita. Baiklah kita selesaikan masalah ini dengan segera. Tolonglah Teya. Tolonglah mohon cerai."
Aku senyum sinis mendengar rayuan Zafran. Sampai begitu sekali dia merayu.
"Teya betul-betul kasihan melihat abang."
"Kenapa pulak nak kesiankan abang? Teya tu yang kena kesian diri Teya sendiri."
"Teya kesian tengok keadaan abang. Betapa lemahnya abang. Baru Dhinah goda abang sikit, cair perasaan abang. Sanggup abang lupakan cinta kita. Nanti bila ada perempuan lain goda abang, mudah pula hati abang berubah. Tak sangka semurah itu cinta abang."
"Abang janji, Dhinah adalah yang terakhir buat abang. Dhinah benar-benar buat abang bahagia."
Kalau itu bertujuan untuk melukakan hatiku, ya. Memang hati aku sangat sakit. Rupanya hanya Dhinah yang mampu memberikan kebahagiaan buat Zafran. Aku langsung tidak. Apa yang aku lakukan selama ini adalah sia-sia. Tidak bermakna apa-apa buat Zafran. Aku kena beritahu diriku sendiri bahawa Zafran tak pernah bahagia.
"Apa selama ni memang tak ada langsung rasa sayang abang pada Teya? Abang memang tak pernah cintakan Teya?" Air mata sudah tidak mampu aku bendung lagi. Begini rasanya bila diri langsung tidak dihargai. Bukan saja tak bertempat di hati, bahkan untuk mengakui keberadaanku di sisinya tidak mungkin sama sekali.
"Abang bukan mahu melukakan hati Teya, tapi menjadi suami Teya memang satu kesilapan buat abang. Maafkan abang."
Zafran tidak tahu rupanya bagaimana rasa bila hati sudah terluka. Tak mengapalah, aku harap satu hari nanti dia akan rasa. Sekarang giliranku dan satu hari nanti giliran dia pula. Aku akan tunggu sehingga saat itu.
"Jawab soalan Teya dulu. Abang memang tak ada perasaan sayang langsung buat Teya?" Aku mendesak lagi dengan soalan yang sama. Aku mahu mendengar sendiri pengakuan daripada mulut Zafran kerana selama ini aku terbuai dengan kasih sayang dan perhatian yang dia berikan.
"Ya, memang abang tak pernah langsung sayangkan Teya."
Dan akhirnya aku tahu jawapannya kini. Tidak sangka semuanya palsu belaka.
"Tak mengapalah kalau begitu. Teya dah jelas sekarang ni status Teya di hati abang." Sumpah, aku takkan harap apa-apa lagi daripada Zafran. Aku akan lepaskan segalanya dan aku berusaha untuk lupakan Zafran. Sakit memang sakit. Tapi inilah kenyataannya. Bila orang memang benar-benar tak sayang, tak guna hendak ditunggu lagi.
"Hal kita abang akan selesaikan secepat mungkin. Cuma satu saja yang abang mintak daripada Teya." Zafran tatap mataku.
"Tolong lupakan abang. Anggap abang tak wujud dalam hidup Teya."
Aku angguk. Aku akan cuba mengikis segalanya tentang Zafran secara perlahan walau sangat sukar untuk melupakan orang yang kita terlalu sayang dalam masa yang singkat. Sakitnya akan terasa selamanya. Tapi aku yakin segala luka yang ada akan sembuh nanti.
"Abang jangan bimbang. Teya akan lupakan abang nanti."
"Dan satu lagi, tak payahlah nak mempertahankan rumah tangga kita. Tak perlu nak guna mak dengan Kak Kay. Kalau boleh, jangan lagi ada hubungan dengan keluarga abang. Mereka dah tak ada-kena mengena dengan Teya lagi."
Yang ini aku tak boleh ikut.
"Teya tak boleh paksa mak dan Kak Kay untuk terus sayang Teya. Itu hak mereka. Kalau abang berani, abang sendiri cakap dengan mak dan Kak Kay."
"Ya, abang tahu. Mak dan Kak Kay memang sayangkan Teya, sebab itu abang minta Teya jauhkan diri daripada mereka. Berilah peluang pada Dhinah pula untuk disayangi mak dan Kak Kay. Teya bukan siapa-siapa lagi buat mereka. Tolong sedar diri sikit."
"Kalau itu yang abang nak, Teya akan berusaha jauhkan diri dari mak dan Kak Kay. Tapi abang sendiri kena beritahu mak dan Kak Kay jangan rapat lagi dengan Teya. Teya tak sampai hati nak beritahu sendiri."
Sangat sedih. Aku tahu Hajah Sauwiyah sayangkan aku. Begitu juga dengan Kak Kay. Tak tergamak rasanya hendak memutuskan silaturahim antara kami. Kalau pun kami tiada sebarang hubungan kelak, hubungan antara aku dengan Hajah Sauwiyah tidak akan terputus sama sekali.
"Pasal tu Teya jangan bimbang. Abang akan berusaha pujuk mak nanti agar jauhkan diri daripada Teya."
Kalau begitu kehendak Zafran, aku akan berusaha untuk tunaikan keinginannya.
"Teya doakan abang akan bahagia."
"Abang tak perlukan doa Teya. Tanpa doa Teya pun abang bahagia."
Zafran terus melangkah ke pintu utama. Sumpah, aku takkan lupa hari ini. Aku akan ingat sampai mati.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro