Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

Ramai yang tidak tahu tentang perceraianku walaupun sudah hampir seminggu aku dan Zafran bercerai. Tiada siapa yang bertanya. Mungkin disebabkan tiada yang bercerita. Aku rasa Dhinah sedang berusaha menutup dengan rapat tentang perkara ini. Mustahil dia hendak buka aib sendiri. Aku pasti tidak semua yang menyokong Dhinah walaupun cerita Dhinah aku rasa seratus peratus tidak benar.

Jarang orang hendak bersimpati dengan gadis yang menjadi perosak rumah tangga orang. Dalam kes aku dan Dhinah terbalik pula. Aku yang kelihatan menjadi orang ketiga. Dhinah pandai mengambil hati. Dhinah sangat peramah dan dia mudah mesra dengan siapa saja. Dengan alasan itu juga Zafran tertawan. Maka senanglah Dhinah pusingkan cerita sebenarnya.

Aku pendiam. Tak banyak cakap. Aku kurang mesra. Hanya berkawan dengan lingkungan aku saja. Jadi aku nampak sombong dan bermasalah. Tak mengapalah. Aku tak kesah pun. Rezeki aku Tuhan yang tentukan. Bukan manusia. Tak kesahlah orang kata aku sombong. Pandangan manusia tu tak penting.

Aku buka bekas makanan. Pagi ni aku goreng kuetiau. Ketika di dalam tempoh idah ini, aku berusaha menjaga langkahku agar tidak tersasar. Jadi aku perlu membataskan aktiviti luar. Nik pun cakap dalam tempoh idah dia tak mahu ganggu aku. Bagus juga kalau begitu. Nampaknya dia sangat memahami.

Sambil membaca WhatsApp, aku kunyah kuetiau.

Tiba-tiba telefon berbunyi. Zafran? Kenapa pula hubungi aku? Bukan sudah seminggu kami bercerai dan entah berapa lama dia tidak endahkan aku.

"Apa hal?" soalku sedikit kasar.

"Tak boleh ke abang telefon Teya?" Kasar juga dia membalas.

"Kita dah tak ada apa-apa hubungan. Kenapa nak telefon Teya? Tolonglah, bang. Tolong jangan ganggu Teya." Hilang selera nak makan. Menyesal tiba-tiba kerana menjawab panggilan Zafran. Kalau tak jawab tadi tak boleh ke?

"Abang bukan nak ganggu Teya. Walaupun abang dah lafazkan talak, abang masih ada tanggungjawab pada Teya."

La, hampir tiga bulan tak ambil tahu langsung pasal aku, alih-alih pagi ni sebut pasal tanggungjawab? Hilang ingatan atau buang tabiat dia ni?

"Tak apa, bang. Teya dah ikhlaskan semuanya. Abang jangan bimbang pasal semua tu. Abang tak perlu bertanggungjawab apa-apa lagi. Teya reda."

Tanggungjawab konon. Agaknya tanggungjawab yang Zafran maksudkan itu adalah tanggungjawab sakitkan hati aku. Dia masih belum puas mahu sakitkan hati aku, jadi dia sebutlah tanggungjawab dia. Ingat aku tak tahu perangai dia?

"Teya memang suka sangatlah dengan perceraian ni?"

"Suka. Rasa macam bebas sangat. Rasa lapang selapangnya. Kalau Teya tahu, dah lama Teya tuntut cerai." Aku benar-benar maksudkannya. Bukan setakat mahu menyakiti hati Zafran. Tapi aku belum lagi rasa menyesal dengan keputusanku dan aku rasa inilah yang terbaik buatku untuk setakat hari ini.

"Sebab Teya pun tak sabar nak kahwin lain kan?"

"Kalau ada jodoh Teya, Teya tak tolak."

"Cakap ajelah Teya dah gatal sangat nak berlaki."

Eh, lain macam saja kata-kata Zafran. Tak puas hati apa lagi sedangkan dia senang-senang ceraikan aku. Hari tu bukan main lagi tunjuk bahagia depan aku. Pagi ni lain pula kata-katanya.

"Mungkin. Rasanya dah setengah tahun Teya tak disentuh. Gatal tu mungkin boleh dijadikan alasan." Sebenarnya aku berusaha menghindari rasa sakit hati, tapi tetap juga rasa sakit itu menguasai hatiku. Kata-kata Zafran sangat menghina. Dia fikir aku gatal macam dia?

"Dasar perempuan gatal."

"Bukan gatal. Kita masing-masing ada nafsu. Normallah tu. Tak perlulah abang tuduh Teya gatal atau apa. Selagi Teya tak kacau hak orang, Teya rasa tak salah, kan? Yang abang macam tak puas hati dengan Teya dah kenapa?"

Aku ketawa-ketawa. Memang tak perlu pun aku ketawa, tapi saja nak buat-buat ketawa. Nak bagitau Zafran yang aku ni tak kesah pun dia nak cakap apa.

"Oh ya, bakal isteri abang dah sampai ni. Abang sembang dengan dialah." Sengaja aku kuatkan suara agar Dhinah mendengarnya. Dhinah menjeling tajam waktu dia melintasi mejaku.

"Abang belum habis lagi bercakap dengan Teya!" Kuat suara Zafran.

"Tak apalah, bang. Teya nak sambung makan ni. Kalau boleh tak payahlah telefon Teya. Teya tak nak dituduh terhegeh-hegeh nakkan abang semula. Assalamualaikum." Kelam-kabut aku matikan panggilan.

Dhinah hempas beg tanganya sambil cekak pinggang. Bermakna dia dengarlah apa yang aku katakan tadi. Bagus. Itu yang aku nak dengar. Bermakna bukan aku yang kacau Zafran, tapi Zafran yang kacau aku.

Dhinah keluarkan telefon bimbitnya dan dia bawa ke pantri. Pasti saja dia mahu menghubungi kekasihnya. Kalau Zafran terbalikkan cerita, tuduh aku yang kacau dia, tahulah aku nak buat apa.

Tengah makan, Aliyah dan Mira sampai. Aku perhatikan saja mereka. Walaupun Mereka berdua pun pandang aku sama. Walaupun satu rumah, Aliyah tetap pergi kerja dengan keretanya. Kadang-kadang dia datang dengan Dhinah.

"Kau makan apa tu?" Mira bertanya.

"Aku goreng kuetiau."

"Bau macam sedap."

"Campak-campak aje."

Aku lupa. Sekarang dah hujung bulan rupanya. Padanlah puji semacam.

"Nak bagi, aku pun bawa cukup-cukup." Bermanis kata, apa salahnya.

Mira tak jawab lagi. Aku makan sampai selesai. Aku bangun untuk ke pantri. Mahu mencuci bekas makanan. Namun langkah terhenti bila mendengar suara Dhinah sedang marah-marah.

"Yang kau gatal sangat telefon janda kau tu apa hal???" Dhinah bertempik. Dhinah panggil Zafran kau? Bukan ke berabang sayang sudah? Bila marah, keluar semuanya. Selama aku jadi isteri Zafran, tak pernah aku panggil dia kau. Awak pun tak pernah. Padan muka kau, Zafran. Dapatlah intan yang kau nak sangat. Tak sabar rasanya nak tepuk tangan.

"Kau sayang dia lagi? Cakap, kau masih sayang dia?" Dhinah terjerit-jerit. Teruknya perangai Dhinah. Sekarang baru nampak dengan jelas.

"Kalau kau sayang dia, pergilah rujuk. Masih ada peluang untuk kau dengan dia rujuk. Aku sikit tak hairan. Ingat aku hadap sangat dengan muka kau?"

Kes cemburulah ni? Harus aku ketawakan kedua-duanya. Aku sambung melangkah. Tak peduli dengan kemarahan Dhinah. Dhinah seperti terkejut melihat aku.

Dia matikan panggilan dan tinggalkan pantri. Aku fikir tadi Dhinah nak menyerang aku. Cara dia marahkan Zafran memang menakutkan.

Selesai membersihkan bekas makanan, aku kembali ke tempatku. Dhinah teresak-esak. Aduhai, kalau dah pelakon, pelakon jugak. Kalah pelakon terbaik.

"Kau ni dah kenapa, Teya. Sendiri minta cerai, sekarang terhegeh-hegeh nak rujuk balik." Mira mula menyerang aku. Sabar, Teya. Banyakkan istighfar. Inilah fitnah akhir zaman. Benda yang tak ada, diadakan. Benda tak betul, kata betul.

"Salah tu. Kau salah dengar. Abang Zafran merayu-rayu pujuk aku. Tapi aku tak naklah. Kalau boleh, nak try barang baru." Kau boleh buat cerita, aku pun boleh. Aku lagi hebat, Dhinah. Cuma selama ini aku tak tunjuk. Kalau aku tunjuk, aku tak ada bezanya dengan kau. Cuma pagi ini aku terpaksa kerana aku rasa Dhinah sudah semakin melampau.

Makin kuat Dhinah teresak.

"Tak payah nak goreng sangatlah, Dhinah. Tak ada siapa yang nakkan bakal suami kau tu. Aku sendiri pun tak sanggup nak hadap. Sudah-sudahlah buat cerita tak betul. Mati hidup semula pun aku takkan balik pada dia. Kau ambiklah bekas aku. Simpan baik-baik."

Puas hati aku. Dulu aku tak tahu apa-apa. Aku tak tahu apa salah aku sampai semua orang pandang serong pada aku. Sekarang, aku sudah tak peduli. Tak perlu nak jaga hati sesiapa.

Tangisan Dhinah berhenti dengan sendirinya. Pelakon macam itulah. Mudah menangis, cepat pula berhenti.

"Cepat-cepat ajak Zafran nikah sebelum betul-betul dia ajak aku rujuk semula. Dalam tempoh idah ni macam-macam boleh jadi." Aku tambahkan lagi gelora hari Dhinah. Biar dia rasa.

"Betul tu, Dhinah. Kalau Zafran betul ajak rujuk, habis kau. Takkan kau nak bermadu pulak? Keluarga kau semuanya dah siap nak buat majlis kau." Mira pula jadi tukang hasut. Bagus betul kalau dapat kawan macam Mira ni.

"Kau percaya dengan cakap perempuan ni? Zafran nak pandang dia pun jijik, inikan pulak nak rujuk. Berhentilah bermimpi."

Dhinah seperti mahu menyalahkan aku. Nak cakap aku jugaklah yang salah.

"Kalau macam tu, janganlah syak aku bukan-bukan."

"Habis kau tak sudah-sudah goda dia."

"Istighfar, Dhinah. Ada syaitan yang sedang hembus kau tu. Tu pasal kepala kau jadi tak betul. Kau jangan bimbang. Aku belum gila nak goda Zafran. Aku dah buang dia, takkan aku nak kutip semula? Cuba istighfar. Tahu tak istighfar macam mana?"

Dhinah terdiam. Tak tahulah dia betul beristighfar atau tidak.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro