Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

BERAKHIR sudah. Ikatan perkahwinan yang dibina atas dasar suka sama suka, terlerai juga. Aku reda. Setakat ini saja jodoh aku dengan Zafran. Siapa kata perkahwinan yang dibina atas dasar cinta akan berkekalan hingga ke akhir hayat, orang tu dulu aku sembelih. Mengarut. Cinta sejati tu serupa rare sangat dah sekarang ni. Perempuan sekarang ni serupa dah terdesak benar. Suami kawan baik sendiri pun sanggup dirampas. Tak boleh ke hidup sorang-sorang. Kalau tak bersuami tu macam teruk sangat ke?

Aku sendiri yang membuat tuntutan bila Zafran seolah tidak mahu juga berganjak dari keputusannya. Aku hanya fikirkan dosa yang bakal Zafran tanggung kelak bila hubungan mereka tidak diikat dengan tali perkahwinan. Aku tidak mahu aku menjadi penyumbang terhadap dosa-dosa mereka. Jadi, aku pilih untuk beralah dan berkorban demi kebaikan Zafran.

Aku perhatikan saja Zafran dengan Dhinah yang baru keluar dari ruang perbicaraan. Bahagianya. Saling ketawa. Zafran pun nampak tambah berseri-seri. Tak sabar gamaknya hendak pegang tangan tok kadi atau tangan ayah Dhinah sendiri.

Aku sengaja berdiri di laluan utama. Mahu tunjukkan diri.

"Eh, Teya." Muka Dhinah berubah.

"Terkejut? Ingat aku dah berhambus?" Sengaja bercakap kasar.

"Apa lagi ni? Dah selesai semuanya, kan? Semua tuntutan Teya abang dah penuhi. Apa lagi yang tak puas hati?" Zafran memberikan satu ekspresi wajah yang harus dibalas dengan penampar. Namun aku tetap bersabar.

"Teya tak cakap apa-apa pun. Teya tengah tunggu along dan ayah saja. Ada kena-mengena dengan korang ke?" Aku senyum menyindir.

"Sayang, jomlah..." Dhinah tarik tangan Zafran.

"Abang pergi dulu." Zafran tatap mataku. Mungkin inilah kali terakhir kami dapat bertentangan mata begini. Sebenarnya aku sudah terlalu letih melayan kerenah Zafran. Dua tahun dia menjalin asmara, enam bulan terakhir memang sangat sengsara. Hari-hari bertekak. Dan air mataku sudah kering untuk menangisi perpisahan ini.

"Semoga abang bahagia." Lembut aku tuturkan kata-kata itu dan sudah selalu benar aku ucapkan buat Zafran. Tapi sakitnya hanya Tuhan yang tahu.

"Ya, abang pasti akan bahagia. Sekarang juga sudah terbukti abang memang cukup bahagia."

Tergamam seketika. Tidak sangka Zafran akan berkata begitu di hadapan Dhinah. Bermakna untuk tiga tahun dia memang langsung tidak bahagia bersamaku. Sumpah, aku akan ingat perkara ni sampai aku mati.

"Ya, Teya nampak. Teya nampak abang cukup bahagia. Tahniah. Teya tumpang bahagia melihat abang bahagia."

"Terima kasih. Kami pergi dulu." Zafran terus melangkah bersama Dhinah. Makin erat Dhinah paut lengan Zafran.

Semoga mereka akan bahagia selalu. Aku akan rawat hati aku baik-baik. Lama-lama akan sembuh juga rasa sakit itu.

"Jom Teya, kita balik." Abang Adib menghampiriku. Mak dengan ayah ikut dari belakang. Sugul wajah kedua-duanya namun aku pasti mereka tetap reda.

Aku angguk perlahan. Mak dan ayah semata-mata datang ke KL untuk menyelesaikan kes perceraianku. Sudah dua malam mak dan ayah bermalam di rumah Abang Adib. Kejap lagi Abang Adib mahu hantar kedua-duanya memandangkan dia juga mengambil cuti bagi menjadi saksi bagi pihak aku.

"Mak balik dulu." Mak peluk aku dengan erat.

"Maaf, Teya dah gagal jadi isteri yang baik."

"Tak mengapa. Kita kena percaya qada dan qadar. Jodoh Teya sudah tertulis setakat ini saja."

Mak sentiasa menyokong keputusan yang aku ambil. Ayah juga. Mereka berdua langsung tidak menyalahkan aku. Jauh sekali hendak marahkan Zafran. Reda sungguh mereka berdua.

Ayah juga peluk aku dengan erat. Sungguh, aku tak terkurang kasih dan sayang. Aku masih ada mereka yang selalu menyayangiku.

"Kami balik dulu," kata ayah.

Mak dengan ayah mana boleh lama tinggal di KL. Cepat saja mahu pulang. Risau ayamlah, risau pokoklah tak ada siapa nak siram. Risau pokok getah tak ditorehlah. Macam-macam alasan.

"Jaga diri. Kamu tu dalam idah," pesan mak lagi.

Aku angguk. Hanya melihat langkah mereka menuju ke kereta Abang Adib.

"KALAU ikut hukum, isteri dalam idah tak boleh tinggalkan rumah. Tempoh idah tu sebenarnya ruang untuk korang berbaik semula."

Linda mula jadi ustazah malam tu waktu kami sama-sama menikmati makan malam. Aku yang masak sebab aku cuti hari ni. Aku ajak Aliyah makan sekali. Sediakan makanan untuk kawan-kawan juga dikira sedekah.

"Masalahnya, belum bercerai pun aku dah kena halau."

"Tu la pasal. Jadinya kau tak salah. Zafran yang salah. Dia jawablah nanti."

"Tak apalah, Lin. Aku malas nak ambil tahu pasal dia sekarang ni. Yang penting aku fokus pada masa depan aku saja."

"Bagus tu. Tak perlu nak fikir perkara lain."

"Aku lega sangat sebab semuanya sudah selesai."

"Hurm, lepas ni bolehlah kau bercinta secara terang-terangan dengan Nik. Kan dah janda."

Tengah makan pun sempat lagi sebut nama Nik.

"Eh, sabarlah dulu. Nanti ada pulak dengar cerita janda gatal. Tak habis idah dah mula cari jantan."

Cakap biar jelas. Biar Aliyah faham.

"Sampai bila kau nak hidup dengan kata-kata orang? Orang ni tak pernah berhenti bercakap. Tak berhenti nak mengutuk sebab mengutuk juga satu bentuk hiburan yang sangat menyeronokkan. Jadi, tak perlulah kau nak fikir sangat."

"Aku pun tak pernah peduli apa cakap orang. Cuma kalau boleh nak tolong orang lain dari terus-terusan kirim pahala percuma kepada aku. Tu pasal kalau boleh nak kurangkan dari mereka terus-terusan kutuk aku."

"Baik betul kau, Teya. Dalam keadaan macam ni pun kau masih fikirkan kebaikan orang lain."

"Tak baik mana pun, Linda. Aku hanya nak bersihkan hati aku dari sifat-sifat tak baik. Selepas ni aku mahu hidup dengan gembira."

"Insya-Allah, kau akan jumpa nanti dengan kebahagiaan kau."

"Aminnn..."

Kami sambung makan. Aliyah makan dengan berselera. Dia dulu makan, dia jugalah orang terakhir sudah makan.

"Terima kasih sebab ajak aku makan sekali."

Mahu juga Aliyah berterima kasih pada aku.

"Tak ada apa hal la. Aku memang masak lebih. Dari membazir, baik aku ajak korang makan sekali."

Aliyah nampak seperti malu dengan aku. Mungkin selama ini dia banyak buat salah. Aku sebenarnya tak harap dia berterima kasih, tapi aku harap Aliyah akan sedar dan cepat berubah.

Jangan terlalu sangat mendengar cerita Dhinah. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro