Bab 9
Ketika Leia susup-sasap keluar dari rumah, dia lihat beberapa orang pekerja sedang sibuk memastikan binatang ternakan dan peliharaan berada pada tempat yang sepatutnya. Ketika itu, angin sudah mula bertiup.
"Sempat ke ni?" gumamnya sambil memandang ke langit yang sudah gelap seperti mahu hujan. Tanpa berlengah, Leia berlari ke arah ladang. Dek pokok jagung lebih tinggi daripada dirinya, sekejap sahaja susuk tubuh Leia sudah tidak kelihatan di celah-celah deretan jagung.
Darrel yang sedang mengunci kandang kuda menoleh ke langit untuk melihat keadaan cuaca. Tika matanya terlempar ke ladang, dia bagaikan ternampak satu susuk tubuh berlari memasuki deretan pokok jagung. Dia menajamkan mata. Pokok jagung yang meliuk lentok dek tiupan angin menyukarkan dia untuk mengesan gerangan susuk tubuh itu milik siapa. Namun, hatinya bagaikan berkata-kata, itu Leia.
Dengan pantas dia meninggalkan kandang dan berlari ke arah rumah. Dia membuka pintu dengan terkocoh-kocoh. Debbie sedang berdiri tercegat dengan muka cemas.
"Mana Leia?" Debbie dan Darrel bertanya serentak.
"Dia tak ada kat bilik?" Darrel yang terlebih dahulu menukar soalan.
"Tak ada." Muka Debbie sudah panik.
"Dah cari di bilik bacaan?"
"Aku dah cari seluruh rumah. Dia tak ada. Tapi beg dia ada," jawab Debbie dengan cemas.
"Kan aku suruh kau jangan bagi dia keluar." Suara Darrel memetir kuatnya. Bulat mata birunya merenung Debbie.
"Aku tak perasan. Mungkin dia keluar masa aku sibuk di bilik bawah tanah."
Debbie rasa mahu sekeh kepala Leia. Degil sungguh kawannya itu. Dan berani pula melanggar perintah Darrel. Dalam hati Debbie berharap, Leia tidak sempat pergi jauh dan Darrel akan dapat menjumpai Leia sebelum ribut melanda. Ribut dan puting beliung bukan perkara kecil di Nebraska. Walaupun amaran sudah diberikan, tiada siapa boleh jangka bila dan di mana puting beliung akan melanda.
Darrel menyumpah kuat. Tanpa sebarang kata selain dari sumpahan kali kedua dan ketiga, Darrel keluar dari rumah. Di hadapan rumah dia memandang sekeliling. Dia ternampak orang kanannya.
"Caleb!" Darrel melaung kuat.
"Apa, bos?" Lelaki yang bernama Caleb itu menoleh dan berteriak di celah bunyi guruh yang berdentum.
"Ada orang hilang dalam ladang."
"Siapa, bos?" Caleb merapati Darrel.
"Kawan Debbie."
Cuaca berubah dengan begitu pantas. Langit menjadi semakin gelap. Awan tebal menutupi matahari. Angin yang tadinya perlahan, tiba-tiba sahaja bertukar menjadi ribut. Kedengaran siulan angin yang menyeramkan. Sesekali, kilat memancar. Darrel memandang Caleb.
"Kita kena cari dia. Aku pasti dia masih di luar sana," teriak Darrel di celah bisingnya siulan angin ribut. Suasana sudah menjadi seperti malam, padahal waktu itu masih pagi.
"Guna dron, bos?" tanya Caleb.
Pada zaman teknologi canggih, Darrel tidak terkecuali menggunakan teknologi terkini untuk memantau keadaan ladang yang beratus ekar itu. Selalunya dia mengunakan dron untuk melihat keadaan ladang.
"Dron tak boleh terbang dalam keadaan angin begini," kata Darrel sambil berlari ke tepi rumah. Caleb juga berlari mengejar bosnya ke arah menara pemerhatian.
Menara itu dibina oleh moyang Darrel dan masih teguh berdiri sehingga kini. Selalunya, pekerja menggunakan menara itu untuk memerhati keadaan ladang. Sebaik sahaja tiba di menara pemerhatian, Darrel mula mendaki. Dia hampir tergelincir kerana tangannya licin untuk berpaut pada tiang yang sudah basah.
"Hati-hati, bos!" teriak Caleb di celah bunyi siulan angin dan guruh yang bersahut-sahutan. Darrel terus memanjat. Dalam hatinya berdoa agar menara itu cukup teguh di dalam ribut yang sedang menggila.
Caleb menyuluh lampu dari bawah. Tetapi semakin tinggi Darrel naik, keadaan menjadi semakin kelam. Dia terus menapak mendaki tangga yang basah itu dengan berhati-hati.
Sesekali kilat memancar, memberikan cahaya. Namun, sekejap sahaja. Apabila kilat itu habis, begitu juga cahayanya.
Tidak sampai 10 saat kemudian, petir memancar lagi. Kali ini terasa dekat dengan Darrel. Jikalau tadi dia dibutakan oleh kegelapan, kali ini matanya hampir tidak nampak kerana silau.
"Bos, hati-hati!" Caleb menjerit dari bawah. Tapi Darrel tidak dapat dengar kerana suara Caleb ditenggelamkan dek bunyi angin yang menderu dan guruh yang menggegarkan keadaan sekeliling. Darrel melawan perasaannya. Tiada masa untuk rasa takut. Leia perlu diselamatkan.
Menara terasa berayun. Darrel terus memanjat sehingga sampai ke puncak. Di puncak, dia melihat melalui teropong. Memang susah untuk melihat dalam hujan ribut dan keadaan gelap-gelita itu. Cermin teropong pula basah, menambahkan lagi kabur.
Kilat memancar lagi. Darrel cuba ambil peluang keadaan terang yang sebentar ini. Tapi dia rasa sia-sia. Memang sukar untuk mengesan di mana Leia berada sekarang. Leia terlalu pendek di celah pohon jagung yang sudah matang. Ditambah pula pokok jagung meliuk lentok ditiup angin ribut.
Darrel memandang jauh. Kilat memancar. Apa yang Darrel lihat membuat darahnya bagaikan kering. Langit sudah berubah warna kehijauan. Awan bagaikan sedang bergumpal. Dari awan kelihatan kepala puting beliung, manakala kaki puting beliung sedang bergerak pantas ke arah mereka. Puting beliung itu bagaikan sedang menari mengikut gerak tari yang sukar dijangka.
Kilat menyambar bumbung menara dengan satu bunyi dentuman kuat. Darrel memandang ke atas. Bumbung sudah terbakar. Angin yang bertiup membawa percikan bara yang masih merah panas.
Darrel menyangkut teropong ke leher. Dia segera meluncur turun. Turun lebih susah dari naik. Kerana dia terpaksa meraba-raba anak tangga dengan kakinya sebelum menetapkan pijakannya. Anak tangga pula licin kerana basah.
"Leia... Di mana kau?" Darrel mengetus perlahan. Dek hilang fokus, kakinya tergelincir. Dia berpaut pada tiang tepi tangga.
"Bos!" Caleb menjerit memanggil Darrel. Risau melihat keadaan Darrel yang tergantung.
Darrel mengintai ke bawah dari celah ketiaknya. Ada dalam 10 kaki ke bawah. Tanah pula sudah lembut kerana basah. Darrel membuat lompatan dengan menggumpal tubuhnya seperti bola sebelum dia mencecah bumi.
"Bos tak apa-apa?" tanya Caleb dengan suara risau bercampur prihatin.
Darrel bangun. Dia menggeleng sambil menegakkan tubuh. Ketika itu satu panahan petir mengena kaki menara. Menara terbakar. Perlahan-lahan menara jadi senget. Saat itu Caleb menolak tubuh Darrel menjauh. Menara tumbang menyembah bumi dengan percikan api.
"Kita kena guna anjing pengesan. Puting beliung sedang mara ke sini," kata Darrel. Dia bangun sambil mengibas-ngibas bajunya yang sudah dijamah percikan api. Mujur seluruh bajunya tidak disambar api.
Caleb berlari ke tempat kurungan anjing. Dua ekor anjing ladang dikeluarkan. Mereka menyalak tidak henti. Darrel bertemu di pertengahan jalan. Caleb menghulurkan tali yang mengikat leher anjing yang berwarna hitam kepada Darrel.
"Ikut sini. Aku nampak dia masuk ikut sini." Darrel berlari laju ke arah tempat yang dia ternampak susuk tubuh Leia sebelum ribut melanda.
Dalam keadaan lencun, Leia duduk memeluk lutut. Sesekali apabila kilat memancar, Leia menutup telinga. Dia tahu dalam beberapa detik lagi, pasti guruh akan berdentum.
Leia memandang ke atas. Langit kehijauan. Sesuatu yang dia tidak pernah lihat sebelum ini. Bunyi angin nyaring bagaikan bersiul. Mukanya terasa pedih dipukul oleh titisan-titisan air hujan. Daun-daun jagung pula bagaikan menyebat pipi. Tajam dan memeritkan.
Selama berada di bumi AS, inilah kali pertama dia berada di luar ketika puting beliung sedang melanda. Sebelum ini, amaran puting beliung pernah berbunyi ketika dia berada di dalam kelas. Mereka semua diarahkan berlindung di koridor di tengah-tengah bangunan, jauh dari tingkap.
"Allah! Aku tak mahu mati dalam puting beliung ini."
Leia memanjangkan leher. Dari kedudukannya, memang sukar untuk menentukan arah pulang ke rumah.
"Mak. Ayah. Ampunkan Leia." Ketika itu, Leia teringatkan ibu bapanya di Malaysia. Apalah nasibnya kalau terkorban di bumi AS ini. Tidak dapatlah lagi dia mengucup tangan ibu dan bapanya.
Telinganya tiba-tiba menangkap bunyi salakan anjing. Semakin lama, semakin dekat.
"Cari dia!"
Darrel dapat merasa rentapan tali pada leher Blackie, seolah-olah anjing itu mahu cepat. Dia melajukan langkah, selaju Blackie mahu mengejar sesuatu yang menarik perhatiannya. Caleb dan Rookie mengikut dari belakang.
"Leia!"
Leia terdengar namanya dipanggil. Semerta, dia melepaskan nafas lega. Bunyi anjing kedengaran menghampiri. Ketakutannya terhadap ribut yang sedang menggila melebihi cuaknya terhadap binatang itu. Ini bukan masa untuk memikirkan anjing itu najis jikalau disentuh dalam keadaan basah. Ini darurat. Kilat memancar sebagai mengiakan pendapatnya.
"Sini!" teriak Leia. Tapi, suaranya ditenggelamkan oleh bunyi guruh dan angin yang menderu.
"Leia!"
Kali ini panggilan namanya terasa begitu dekat. Leia memanjangkan leher ke arah suara Darrel.
"Darrel! Aku kat sini."
Bunyi salakan anjing kedengaran semakin dekat.
"Darrel!" Leia menjeritkan nama Darrel dengan lebih kuat.
Kali ini barulah Darrel dapat mendengar suara Leia. Serentak dengan itu, anjing peliharaan ladang itu menerpa ke arah Leia. Dalam keadaan Leia yang terduduk itu, anjing-anjing itu kelihatan lebih tinggi daripada Leia.
Melihat keadaan itu, Leia terus membeku dan memandang Blackie yang sedang melompat-lompat mahu merapati dirinya. Kalau tidak disebabkan Darrel masih belum melepaskan tali Blackie, tentu anjing itu sudah meluru kepada Leia dan menjilat muka Leia.
"Woh! Woh!" Darrel menepuk-nepuk kepala Blackie agar anjing itu bertenang. Blackie berhenti meronta-ronta.
"Kita kena cepat. Puting beliung nak datang!" jerit Caleb sambil memegang Rookie yang sudah meronta-ronta mahu balik ke rumah.
Angin yang kuat, tiba-tiba berhenti. Leia mengucapkan syukur. Sangkanya ribut sudah reda. Dia memandang muka Darrel. Darrel sedang memandang ke langit dengan muka yang cuak. Leia memandang Caleb. Caleb pula sedang melilau memandang langit yang berwarna kehijauan di sebalik awan tebal yang sedang bergumpal-gumpal. Darrel dan Caleb memandang di antara satu sama lain bagaikan menghantar maklumat senyap. Darrel yang mula dulu memecah kesunyian.
"Dia dah datang!"
Leia memandang dua lelaki itu dengan hairan. Siapa pula yang dimaksudkan dengan 'dia' itu?
Satu bunyi gegaran kedengaran kuat. Seperti bunyi gerabak keretapi barang yang sedang merentas landasan. Darrel mencapai tangan Leia. Konon mahu menarik Leia berlari bersamanya.
"Jangan sentuh aku!" jerit Leia sambil menarik tangannya dengan kuat.
"Kau ingat aku suka-suka nak sentuh kau? Kau tahu tak, kau boleh diterbangkan oleh angin? Berat kau berapa? 35kg? 40kg?" Darrel memandang Leia dari atas ke bawah, seolah-olah sedang mengagak berat badan Leia yang sebenar. Kalau matanya ada jarum penunjuk mungkin akan terpamer berat badan Leia dengan tepat.
"48kg," jawab Leia dengan polosnya.
"Aku tak ada masa nak gaduh tentang berat badan kau. Cepatlah! Puting beliung dah dekat."
"Tak sempat, Darrel!" Caleb melaung di celah-celah bunyi dan gegaran kuat. Dia terus merentap tali Blackie dari tangan Darrel. Sekarang, kedua-dua anjing itu berada di dalam kawalan Caleb, sementara Darrel hanya perlu melindungi Leia.
Cuak. Panik. Gerun. Leia takut mati.
"Baring!" teriak Darrel. Spontan dia menolak Leia ke tanah. Leia terbaring tersembam. Darrel berbaring di sebelah Leia. Caleb memeluk Blackie dan Rookie.
Angin bertiup kencang semula. Kali ini angin tidak disertakan dengan hujan kerana air hujan telah disedut masuk ke tengah pusaran angin. Leia menoleh kepada Darrel dengan pandangan takut dan hairan.
"Puting beliung!"
Mata Leia membesar. Debaran jantung berpalu kencang. Angin yang kencang itu bertambah menggila. Debu tanah dan ketulan batu berterbangan. Cebisan ranting dan kayu bagaikan helaian bulu ayam ditiup angin yang berputar itu.
Leia terasa seperti dirinya terangkat. Dengan beratnya yang tak sampai 50kg saja itu, Leia takut sekiranya dirinya diterbang pergi. Dia mengangkat kepala dan memandang Darrel. Darrel sedang merenungnya.
"Kepala ke bawah, Leia," arah Darrel dengan tegas.
"Darrel. Aku tak nak mati." Leia sudah teresak-esak dalam tangisan ketakutan.
"Princess, aku takkan benarkan kau mati sebelum aku dapatkan kau."
Leia menjegilkan mata. Hilang takutnya. Berganti dengan perasaan marah. Sempat lagi Darrel menggatal pada waktu-waktu kritikal seperti itu. Ketika itu, angin berubah menjadi bertambah kuat. Bunyi siulan dan gemuruh juga bertambah bingit. Bumi bergegar. Ketika itulah Leia terasa bagaikan dihentam oleh angin yang kuat. Angin yang sekiranya perlahan terasa seperti membelai tapi kini memukul tubuhnya seperti dihentak benda keras.
"Tutup mata dan lindung kepala kau!" jerit Darrel di celah keadaan kacau-bilau itu.
Leia menyembam muka ke tanah dan meletakkan tangan di atas kepala. Dia menangis ketakutan. Dia tertanya-tanya, bagaimanakah rupa malaikat maut yang akan mencabut nyawanya?
Satu tiupan angin yang maha kencang melintas betul-betul di tempat mereka sedang berbaring. Tubuh Leia yang ringan terasa bergerak ditolak angin. Ditambah pula dengan tanah basah yang licin, Leia menggelongsor ke hadapan.
"Darrel!" jerit Leia ketakutan.
Darrel sempat menangkap pergelangan kaki Leia apabila kaki Leia meluncur melepasi kepalanya. Dia memegang kuat. Itulah saja yang boleh menghalang Leia dari diterbangkan lebih jauh.
Kaki Leia terasa seperti mahu tercabut apabila tubuhnya ditolak ke depan, manakala kakinya ditarik kejap oleh Darrel. Apabila nyawa di hujung tanduk, dua minit pun terasa sangat panjang.
Angin yang tadinya bertiup 300 kilometer sejam itu semakin reda. Darrel melepaskan kaki Leia. Dia merangkak ke arah Leia. Leia tidak bergerak. Kepalanya masih tersembam di tanah.
"Kau okey, princess?" Suara Darrel dekat di telinga. Ada nada risau.
Merasakan kehadiran Darrel sudah berada di sebelah, Leia angkat sedikit kepalanya. "Puting beliung dah tak ada ke?"
"Dia dah pergi. Tapi keadaan masih belum selamat di luar ini. Kita kena balik ke bilik perlindungan." Caleb tolong jawabkan. Dia memegang tali Blackie dan Rookie. Kedua-dua ekor anjing itu meloncat-loncat bagaikan tidak sabar mahu pulang ke tempat yang lebih selamat.
"Kau boleh berjalan?" Darrel membangunkan dirinya. Namun, matanya tidak lepas memandang Leia. Dengan susah payahnya, Leia bangun dan berdiri di hadapan Darrel. Kakinya sengal kerana dicengkam oleh Darrel tadi. Leia mengangkat muka dan matanya berlaga dengan renungan Darrel.
"Kau nak aku dukung kau ke? Kita tak ada banyak masa. Kita kena balik ke rumah."
"Tak apa. Aku okey." Dengan pantas Leia menggeleng. Dia tidak tahu sama ada Darrel serius atau masih menggatal. Sambil itu dia memaksa kakinya melangkah. Urat dan otot menjerit sakit seperti orang terseliuh. Leia mendesis kesakitan.
Angin mula bertiup semula.
"Darrel, dia datang balik!" jerit Caleb.
"Caleb, kau bawa Blackie dan Rookie balik. Pergi!"
Tanpa banyak soal, Caleb mengikut saja larian dua ekor anjing itu. Sama-sama laju berlari menuju ke rumah.
Darrel mencapai tangan Leia dan mengatur larian. Genggaman tangannya kuat. Leia terpaksa berlari selaju Darrel. Kalau dia lebih perlahan, alamatnya dia akan jatuh dan diheret oleh Darrel.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro