Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 6

Leia berlari-lari ke arah kereta Debbie. Dengan pantas dia membuka pintu dan menghenyakkan punggungnya ke kerusi penumpang.

"Maaf, lambat. Tadi ramai orang beratur. Aku tunggu sampai giliran aku." Leia menoleh kepada Debbie di sebelah dengan nafas termengah-mengah.

"Kenapa tak potong barisan? Atau kau pulangkan saja kat juruwang yang lain. Sama aje mana-mana pun."

Debbie memasukkan gear undur. Dia tidak marahkan Leia kerana menunggu lama. Ada saja yang dia boleh buat sementara menantikan Leia, seperti melayan media sosial dan bermain game. Yang dia tidak faham, kenapa Leia sanggup bersusah payah hanya kerana satu dolar.

"Kenalah pulangkan kepada yang buat silap. Orang lain tak tahu pun pasal baki lebih. Dan aku tak patut potong barisan. Itu dah ambil masa dan giliran orang lain."

"Hmmm." Debbie mengiakan saja. Sambil itu, dia memandang cermin pandang belakang untuk mengundurkan kereta. Tiba-tiba dia menekan brek.

"Patutlah aku telefon, dia tak jawab. Kat sini rupa-rupanya dia." Debbie merungut dengan kuat sehingga sampai ke pendengaran Leia.

"Siapa?" Leia terjenguk-jenguk ke dalam cermin pandang belakang. Tapi disebabkan sudut yang berbeza, Leia tidak nampak apa yang Debbie nampak.

"Abang aku." Debbie menghembuskan nafas panas. Dia menoleh ke belakang untuk melihat dengan lebih jelas.

"Mana?" Leia juga turut menoleh ke belakang. Tercari-cari kelibat abang Debbie yang misteri itu. Matanya terus tertancap kepada satu pasangan yang sedang berasmara di hadapan sebuah kafe Coffee and Donuts.

"Itulah abang aku," kata Debbie dan memuncungkan bibirnya yang merah bergincu kepada pasangan itu. Dia mendengus geram.

Leia memandang lagi. Dari kejauhan, wajah abang Debbie agak terlindung. Tapi setiap perlakuan pasangan itu dapat dilihat dengan jelas. Darrel sedang berdiri rapat dengan seorang wanita. Rapat sehingga hampir bersentuhan. Tangan abang Debbie terletak kemas di pangkal punggung si wanita. Yang si wanita pula sedang memaut leher Darrel agar lelaki itu berada lebih rapat. Muka masing-masing begitu dekat.

Leia memaling muka. Malu untuk melihat adegan seterusnya. Leia terfikirkan sesuatu. Itukah yang dimaksudkan oleh Debbie tentang abangnya? Kata Debbie abangnya bukan peladang biasa. Oh, kasanova rupa-rupanya, fikir Leia.

Tanpa dapat mengawal dirinya, Leia menoleh lagi. Adegan yang lebih panas terlayar di hadapan mata. Darrel dan pasangannya sedang bercumbu. Muka Leia pula yang membahang. Dia memandang ke hadapan semula.

Debbie membuka pintu pemandu. Sebelum Debbie benar-benar keluar dari kereta, dia membunyikan hon untuk menarik perhatian Darrel. Bunyi hon lantang kedengaran. Leia tidak dapat menahan dirinya daripada menoleh lagi.

Pasangan itu tersentak. Secara spontan, adegan mereka terhenti. Darrel menoleh ke arah bunyi hon yang mengganggu itu. Serta-merta dia ternampakkan Debbie yang sudah keluar dari kereta. Dia mengangkat tangan dan melambai. Kelihatannya, Darrel mengatakan sesuatu kepada pasangannya. Wanita itu nampaknya tidak puas hati. Darrel menyentuh bibir wanita itu dengan jari telunjuknya. Dia seolah-olah memujuk wanita itu. Akhirnya, wanita itu mengangguk dan tersenyum. Darrel mengatur langkah melintas jalan.

"Apa kau buat dekat sini? Semalam kau kata kau ada urusan rasmi. Tapi tak macam urusan rasmi pun aku tengok." Bagaikan tidak menyempat-nyempat, Debbie terus menghamburkan pertanyaan dan tuduhan kepada Darrel.

"Urusan rasmi dah habis. Aku sambung dengan urusan peribadi." Darrel menyengih sehingga menampakkan gigi. Dalam pada itu, dia perasan ada orang lain di dalam kereta. Dia menunduk dan memandang kepada Leia. Leia pula jadi serba salah. Takkan dia duduk sahaja di dalam kereta? Nampak kurang sopan pula. Leia pun membuka pintu dan melangkah keluar.

Berdiri di hadapan Leia ialah seorang lelaki mat salih yang kacak dan tegap. Kalau orang kata itu artis pun, pasti dia percaya. Sebab muka Darrel Hayes, abang Si Debbie itu, seiras dengan muka pelakon Hollywood yang digilai peminat wanita pada masa itu. Lagipun, kalau ada perbezaan pun, Leia tak akan perasan. Sebab dia tak pernah bertentang mata dengan artis Hollywood tersebut.

"Tadi tu siapa?" Debbie menunjuk dengan ekor matanya sahaja. Pasangan abangnya masih setia menanti di seberang jalan.

"Er... Joan." Darrel menggaru kepala sejenak dan kemudian menjawab dengan selamba.

"Joan mana?"

"Joan, setiausaha sementara Kaufman."

"Kau jumpa Kaufman? Urusan rasmi kau itu dengan Kaufman ke?" Debbie membeliakkan mata seolah-olah berurusan dengan Kaufman adalah satu dosa besar.

"Ala... Janganlah buat kecoh di sini. Aku jumpa untuk tanya khabar saja." Darrel mengalih pandangan mata ke arah Leia yang berdiri tercegat di seberang sana, dipisahkan oleh kereta. Kemudian, dia menjongketkan kening sambil menujukan soalan kepada Debbie. "Kau tak nak kenalkan kawan kau pada aku ke?"

Debbie baru tersedar yang Leia sudah keluar dari kereta. Dok asyik memarahi abangnya, sampai terlupa mahu perkenalkan Leia kepada Darrel. "Oh, inilah kawan aku yang akan bercuti kat rumah ladang kita."

Leia mengangkat tangan dan melambai sedikit. Dia mengukir senyum serba tak kena. Mata biru Darrel bagaikan meneliti setiap inci paras rupa Leia. Membuatkan Leia tidak keruan.

"Azalea Huda." Leia memperkenalkan diri dengan menyebut nama sahaja. Tangan tidak terhulur kerana mereka dipisahkan oleh kereta.

"Azalea nama sejenis bunga tu?" tanya Darrel dengan sebuah senyuman lebar.

"Ya. Dan Huda bermaksud terbaik," tambah Leia, tidak faham kenapa Darrel senyum seperti orang terlebih mesra.

"Bunga yang terbaik. Cantik nama tu. Tapi kau tahu tak, Azalea ialah sejenis bunga yang beracun? Madu dari bunga Azalea dipanggil 'mad honey'. Aku nak panggil kau apa ni? 'Honey', boleh?" Darrel mengayat dengan suara yang perlahan tapi tidak ada ruang langsung untuk Leia menyampuk di tengah-tengah.

"Kawan-kawan panggil aku Leia. Macam Princess Leia dalam filem Star Wars." Leia cuba mengajar cara menyebut namanya kepada Darrel. Pujian Darrel tentang namanya, ditambah dengan suara yang garau menggoda menyebut kata sayang itu telah membuat jantungnya berdegup laju.

"Ah! Aku tahu Princess Leia tu. Aku panggil kau 'princess' sajalah." Darrel bermanis mulut lagi. Malahan kata-katanya diakhiri dengan satu kenyitan disertai dengan satu senyuman yang sangat menawan.

Leia terpegun melihat lelaki rugged yang berdiri di hadapannya. Hatinya berdetak laju apabila sepasang mata biru itu merenungnya. Tetapi apabila dia teringatkan adegan intim Darrel dan wanita di seberang jalan tadi, Leia sempat mengingatkan diri bahawa lelaki jenis itu bukan untuknya.

"Joan tadi tu, dah lama kau kenal dia? Apa nama penuh dia?" Debbie memotong adegan di antara abangnya dengan Leia. Dia dapat mengagak apa perasaan Leia ketika itu. Dan dia juga tahu apa perasaan abangnya ketika itu. Abangnya kalau bab mengayat memang nombor satu. Dia tidak mahu abangnya mempermainkan kepolosan Leia. Kerana itulah, dia sengaja mengalihkan perhatian Darrel kepada Joan semula.

Darrel buat muka tidak suka dengan soalan adiknya. Dengan matanya sahaja dia beri isyarat 'jangan masuk campur' kepada Debbie. Tanpa menjawab soalan tentang Joan Jansen, Darrel menukar topik.

"Apa kau buat kat sini?" Darrel mengerling kepada Leia sejenak sebelum matanya beralih kepada Debbie.

"Beli barang makanan untuk Leia. Dia seorang Muslim."

Jawapan Debbie itu membuatkan Leia merasa bertambah canggung. Terasa bagaikan dia akan menyusahkan keluarga Debbie sahaja. Masakan tidak. Tuan rumah terpaksa memasak makanan khas untuknya pula.

"Kalau begitu, lebih baik kau balik rumah cepat. Ada benda yang akan cair nanti." Darrel seolah-olah menghalau Debbie dan Leia dari situ. Memang kehadiran mereka mengganggu urusan peribadinya.

"Kau balik tak malam ini?" tanya Debbie.

"Aku ada hal yang nak diselesaikan. Mungkin balik lewat sikit." Darrel menjawab dengan muka yang tidak ada langsung rasa bersalah.

"Hmph! Nak selesaikan urusan tergendala dengan Joanlah tu." Debbie mencebik.

Tanpa menanti bebelan selanjutnya dari Debbie, Darrel terus sahaja mengucapkan selamat tinggal kepada Leia dan Debbie. Dia mengatur langkah laju melintas jalan. Sekejap sahaja, dia sudah bermesra dengan Joan semula.

Debbie melepaskan satu keluhan panjang sambil memerhati abangnya yang sedang menyambung apa yang tertangguh bersama Joan tadi. Dia masuk ke dalam kereta dan memasukkan gear. Keretanya meluncur keluar dari kawasan parkir.

"Hmmm... Tadi tu teman wanita abang kau ke?" Leia bertanyakan soalan yang sejak tadi berlegar-legar dalam mindanya.

"Abang aku tak ada teman wanita. Tapi dia sangat pandai buat perempuan jatuh cinta. Dan dia tahu dia ada aura itu."

Debbie ketawa kuat melihatkan muka Leia yang keliru itu. Tentu Leia terkejut melihat Darrel senang-senang saja bercumbu dengan perempuan yang dianggap bukan teman wanita.

"Entah dah berapa ramai wanita jatuh disebabkan oleh abang aku itu. Kau tengok sajalah abang aku. Kacak nak mampus. Ada ladang jagung yang subur. Maknanya dia berduit. Mulut manis pula tu."

Leia mengakui kata-kata Debbie itu. Darrel memang menggoda. Dengan senyumannya. Dengan mulut manisnya. Hati perempuan mana yang tak akan terbuai apabila dipanggil 'princess'.

"Dan satu lagi. Dia anggap perempuan hanyalah tubuh hangat yang memanaskan tempat tidurnya saja."

Leia terkulat-kulat. Teruk benar cara Debbie menggambarkan abang kandungnya sendiri. Ketika itu, kereta Debbie semakin menghampiri sebatang jambatan yang diperbuat daripada rangka-rangka besi. Jambatan itu merentangi sebatang sungai yang tidak begitu besar.

"Tanah abang aku selepas sungai itu," kata Debbie ketika melintasi jambatan itu. Tidak jauh dari situ, dia membelok ke jalan desa.

"Berapa ekar tanah abang kau ni?" tanya Leia apabila terpandang ladang jagung yang luas terbentang di kiri dan kanan jalan desa itu. Ketika itu, pokok jagung sudah meninggi dan sedang berbunga. Sekata sahaja pemandangannya.

"100 ekar lebih."

Leia membayangkan tanah sawah moyang di kampung. Tanah sawah yang tinggal 5 ekar itu diusahakan oleh keluarga moyang dan anak-anak mereka. Sawah 5 ekar pun sudah dianggap luas, inikan pula 100 ekar.

"Ladang ini ada jagung saja ke?"

"Jagung ialah tanaman utama. Tapi ada juga tanam gandum dan soya secara komersil. Lain-lain untuk konsumsi sendiri. Seperti lobak dan kentang. Dan juga ayam untuk telurnya. Eh! Macam-macam ada. Nanti kau tengoklah sendiri."

"Wow!" Leia membayangkan keadaan seperti dalam siri televisyen Little House on The Prairie. Tempat seluas itu, tentulah dia ada banyak ruang untuk mengelak dari abang Debbie si kasanova, fikir Leia.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro