Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

Darrel menanti sehingga Kaufman mengambil tempat duduknya semula. Dia memandang bosnya itu sambil tertanya-tanya dalam hati tentang tugasan baharu itu. Lelahnya menunggang motosikal membelah separuh dari negara AS, dari Pennsylvania ke Nebraska belum pun habis lagi.

"Cepatlah, George. Aku letih sebenarnya ni. Nak balik rehat." Darrel menggesa Kaufman yang terdiam seolah-olah sedang menyusun kata-kata.

"Okey, okey. Tugasan kali ini, kau kena pergi ke Istanbul."

"Istanbul?" Darrel bertanya dengan nada terkejut. Selama ini dia mencuri artifak muzium di dalam AS sahaja. Dia tidak pernah pergi ke luar negara untuk mencuri. Kerana Kaufman bukan pembekal sistem keselamatan kepada muzium luar negara.

"Ya, Istanbul. Secara spesifiknya, aku nak kau curi sesuatu dari Muzium Topkapi di Istanbul."

Dahulu Istanbul diberi nama Konstantinopel oleh kerajaan Byzantine yang menganut agama Kristian. Kemudian, kota Konstantinopel telah jatuh ke tangan Sultan Muhammad Al-Fateh. Sejak itu Islam berkembang pesat. Persekitaran kota itu kuat dengan pengaruh Al-Fateh. Rakyatnya begitu mengagung-agungkan pemimpin Islam itu sehingga sekarang. Istana Topkapi yang dijadikan muzium, banyak menempatkan barang-barang peninggalan pemerintahan Byzantine dan Al-Fateh.

"Apa bendanya, George?"

"Ada satu artifak yang telah dijumpai di Hagia Sophia dan kini dipamerkan dalam Muzium Topkapi."

Hagia Sophia pula dulunya sebuah gereja. Ditukar menjadi masjid pada zaman Uthmaniah. Seni bina dan suasana dalam Hagia Sophia masih kekal seperti sebuah gereja. Siling yang tinggi. Palang salib terukir di dinding. Gambar-gambar Nabi Isa dan Maryam. Bercampur pula dengan suasana sebuah masjid. Ada mimbar dan ukiran ayat-ayat al-Quran. Juga ukiran yang diperbuat daripada emas tulen membentuk perkataan 'Allah' dan 'Muhammad'.

"Mana kau tahu tentang artifak itu?" tanya Darrel, masih lagi hairan dengan permintaan Kaufman.

"Dah lama aku dengar mereka jumpa artifak itu. Mula-mula aku tak berapa minat sebab benda luar. Tapi baru-baru ni aku dengar desas-desus mengatakan artifak itu ada maklumat tentang agama kita."

"Maklumat apa?"

"Kau masih percaya tentang penyelamat dari kaum kita yang diramalkan akan muncul menyelamatkan dunia?"

Seperti juga agama lain, orang-orang Yahudi juga percaya pada akhir zaman nanti, seorang penyelamat yang dipilih Tuhan akan muncul untuk menyelamatkan dunia dari segala bentuk kejahatan. Mengikut semua kepercayaan agama, di bawah pemerintahan penyelamat ini, dunia akan menjadi aman damai, kekayaan melimpah ruah dan semua manusia baik-baik belaka.

"Apa kena-mengena penyelamat itu dengan artifak yang kau nak aku curi?" Darrel merenung Kaufman dengan muka tidak suka. Dia mengaku dia bukanlah seorang manusia yang baik. Dia juga mengaku yang dia bukanlah penganut agama Judaism sepenuhnya. Dia ada alasan tersendiri mengapa dia tidak suka membabitkan agama semasa bekerja.

"Aku dengar desas-desus mengatakan artifak itu mengandungi klu tentang tarikh tepat kedatangan penyelamat kaum kita. Agama nenek moyang kita, Darrel. Kau tak teruja ke?" Kaufman menggosok-gosok kedua-dua tangannya gaya orang teruja.

Semasa mula-mula dia mendengar tentang rahsia artifak itu, dia merinding. Dia asyik memikirkan mungkin artifak itu menyimpan kuasa Tuhan yang boleh membuatkan dia lebih kaya dan lebih berkuasa. Atau artifak itu mengandungi kuasa untuk dia hidup kekal abadi. Atau kuasa yang boleh buat dia muda semula.

"George, George. Kalau artifak itu ada klu tentang tarikh penyelamat kaum Yahudi, dah tentu satu dunia dah tahu."

Darrel menggeleng perlahan. Sekarang dunia Internet. Sekejap sahaja berita menjadi tular. Lebih-lebih lagi maklumat yang penting seperti tarikh kedatangan seorang penyelamat di mana semua agama ada versi masing-masing.

"Mungkin pihak Turki rahsiakan. Turki kan negara Islam?"

"Tak ada orang pernah cuba curi ke?"

"Ada. Tapi satu pun tak berjaya. Bayangkan, Darrel. Kalau kau dapat curi artifak tu, kau akan jadi agen aku yang terkemuka."

Kali ini Darrel ketawa berlagak. Di akhir tawa, dia senyum sinis. "Memang aku dah terkemuka pun."

"Tapi ini lebih terkemuka daripada terkemuka."

Darrel memanggung kepala sambil memikirkan tentang Kaufman. Dulu, perniagaan Kaufman hanya membekalkan sistem sekuriti muzium. Sekarang Kaufman mahu campur adukkan dengan hal agama pula. Ini yang dia kurang gemar.

"Kenapa orang-orang tu yakin artifak itu ada kena-mengena dengan sang penyelamat?" Darrel menyuarakan rasa skeptikalnya.

"Kau cuba fikir. Kenapa Hagia Sophia menempatkan dua lambang agama terbesar dunia? Islam dan Kristian. Pernah ke kau bertanya, kenapa dua sahaja? Kenapa tidak tiga? Kenapa Judaism tidak termasuk sekali?"

Darrel menjongket kening. Masih kurang yakin.

"Kau tahu tak, dalam Hagia Sophia ada satu bilik rahsia. Selama ini, bilik itu berkunci. Di mana kuncinya pun tiada siapa tahu. Cuma baru-baru ini, dengan teknologi terkini, sekumpulan pakar arkeologi telah berjaya membuka pintu bilik rahsia itu."

Kaufman berhenti untuk mengambil nafas. Darrel menyandarkan diri sambil menyilang kaki. Apa yang diperkatakan oleh Kaufman semakin menarik.

"Apa yang mereka jumpa dalam bilik itu ialah rangka manusia yang sedang memeluk satu kotak kecil. Cara rangka itu menyilang tangannya seperti pendeta Yahudi."

"Mereka tak buka ke kotak itu?" Darrel pantas menyampuk. Benda sepenting itu, tentulah ada ramai pakar yang membuat kajian. Mungkin mereka sudah pun tahu apa yang terkandung di dalam kotak itu. Cuma bak kata Kaufman, maklumat itu masih dirahsiakan.

"Setakat ini, belum diumumkan kepada orang ramai. Tapi pihak arkeologi Turki mengatakan kotak itu kosong."

"Kosong? Kalau kosong, kenapa pendeta itu memeluk kotak itu sehingga dia sendiri menjadi rangka?" Darrel menyampuk lagi. Kali ini, suaranya ada nada teruja.

"Itulah persoalannya. Itulah juga kenapa aku percaya yang kotak itu tak kosong."

"Kalau kau dapat artifak itu, kau nak buat apa dengan maklumat itu, George?" Darrel kembali kepada pemikiran logiknya. Kaufman sama juga dengan Darrel. Bukanlah orang yang kuat agama. Jadi, apa perlunya Kaufman mengetahui tarikh tepat kedatangan penyelamat itu? Tahu atau tak tahu, sama sahaja. Life goes on, menurut Darrel.

"Kau tak mahu jadi seorang Yahudi yang kuat agama, Darrel? Ikut jejak langkah moyang kau yang pernah jadi pendeta Yahudi?"

Bagi Kaufman, inilah masanya dia juga mengukuhkan kepercayaan kepada agamanya. Selama ini, ada segelintir orang mengeluh dengan penyelamat yang tidak muncul-muncul itu. Malahan ada yang membuat tohmahan penyelamat itu lewat. Dengan mengetahui tarikh tepat kedatangan penyelamat itu, tiadalah lagi tohmahan seumpama itu.

Mata Darrel dan Kaufman berlaga. Masing-masing sedang melayan perasaan sendiri. Kaufman memikirkan kuasa yang dia akan dapat dari artifak itu. Darrel pula memikirkan betapa rumitnya tugasan ini. Hal agama, tolak tepi dulu.

"Aku tak pasti sama ada aku boleh buat misi ni, George. Dahlah aku tak pernah ke Istanbul. Kita tak tahu apa risikonya." Darrel menyuarakan kerisauannya. Sebenarnya, dia tidaklah begitu teruja untuk melakukan misi itu. Tapi kalau Kaufman menawarkan upah yang lumayan, mungkin dia berminat. Inilah peluang dia main tarik tali dengan Kaufman.

"Fikirkan dulu. Aku tak suruh kau buat dalam kadar segera pun. Bila-bila masa kau dah sedia. Walau apapun keputusannya, kau tahu kan, aku bukan pembekal sistem keselamatan Topkapi. Mereka ada sistem mereka sendiri. Kalau kau terima tugasan ini, kau perlu lakukannya tanpa campur tangan sistem aku."

Darrel tahu banyak kerja yang dia perlu lakukan. Dia perlu jalani latihan fizikal. Dia perlu mengkaji struktur dan seni bina Muzium Topkapi. Dia perlu biasakan diri dengan keadaan sekeliling bekas istana itu dan jalan raya di Istanbul. Dia juga perlu arif dengan jenis pengangkutan yang boleh membawanya keluar dari Istanbul. Dan dia mungkin juga perlu belajar bahasa Turki.

Setelah berbincang serba sedikit tentang risiko misi itu, perbincangan ditamatkan. Darrel keluar dari bilik Kaufman. Di hadapan pejabat itu, Darrel melintas di hadapan setiausaha berambut perang yang mengiringinya masuk sebentar tadi. Dia memberikan satu senyuman yang paling menawan. Cik setiausaha membalas senyum dengan lirikan mata yang menggoda.

"Baru kerja sini?" Darrel menunjukkan kemesraan dengan menyandarkan pahanya di bucu meja setiausaha itu.

"Ya, Encik Hayes. Ganti tempat Samantha. Dia sakit." Sebuah senyuman mesra diukir di bibir yang merah bergincu. Sebentar tadi, Darrel tergesa-gesa mahu berjumpa dengan Kaufman, sehingga dia tidak sempat memperkenalkan diri. Yang cik setiausaha tahu hanyalah bosnya sedang menanti kedatangan Encik Hayes.

"Nama?" tanya Darrel.

"Joan Jansen." Cik setiausaha bangun dan menghulurkan tangan. Darrel menyambut dan menggenggam tangan itu erat.

"Pukul berapa habis kerja?"

"Pukul 5."

"Nak aku belanja kopi? Lepas kerja?" Darrel kenyit mata. Tangan mereka masih tergenggam. Hangat. Darrel mengerling kepada jam di meja Joan. Lagi satu jam waktu kerja tamat.

"Bagus juga tu." Joan senyum. Walaupun bunyinya tidak formal, tapi dia tahu apa maksud pelawaan itu. Siapa yang tidak kenal Darrel Hayes? Lelaki bujang yang menjadi idaman wanita kerana ketampanan dan keseksiannya.

"Aku tunggu di restoran depan situ." Darrel menunjuk ke satu arah di mana terletaknya sebuah kedai kopi dan donat di hadapan bangunan pejabat Kaufman. Dia biasa minum di situ. Kadang-kadang dengan Kaufman. Kadang-kadang seorang diri.

Joan mengangguk saja. Darrel melepaskan tangan Joan dan berlalu pergi dengan langkah panjang yang santai. Hilang penatnya. Demi wanita cantik itu, dia sudi menunggu. Dan dia juga tergamak untuk membiarkan adiknya menunggu di rumah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro