Bab 4
Leia menegakkan tubuh apabila Debbie memperlahankan kereta. Sebentar kemudian, Debbie memarkir di hadapan deretan kedai. Leia menoleh memandang Debbie.
"Apa kita nak buat kat sini?" tanya Leia.
"Aku nak beli barang makanan. Aku tak nak kawan aku waswas dan kebulur masa tinggal kat rumah abang aku."
Debbie mematikan enjin sementara Leia senyum sumbing menyembunyikan rasa bersalahnya. Nampaknya, lawatannya ke rumah abang Debbie bakal menyusahkan dua orang adik-beradik itu. Kalau Melanie yang ikut, tidaklah menjadi masalah. Mereka boleh makan apa sahaja.
"Tak payahlah kau susah payah sampai macam ini, Deb. Aku tak akan kebulurlah. Paling tidak, aku makan jagung aje." Leia ketawa. Takkanlah berekar-ekar ladang jagung, langsung tiada apa-apa yang boleh dibuat makanan. Lagipun, dia ada bawa Sambal Meroyan yang dikirim ibunya dari Malaysia. Baru saja sampai dua hari lepas.
"Dah! Jangan banyak cakap. Mari!" Debbie membuka pintu dan melangkah keluar dari perut kereta. Mahu tak mahu, Leia pun turut keluar. Dia mengekori Debbie masuk ke sebuah supermarket.
"Rumah abang kau jauh lagi ke?" tanya Leia sambil memerhati Debbie mencapai sekotak emping jagung dan mencampakkannya ke dalam troli. Tanpa berlengah, Debbie menolak troli. Leia mengekori.
"Inilah pekannya. Ladang abang aku keluar sikit dari sini."
Leia mengambil kotak emping jagung dari dalam troli. Dia membaca senarai bahan-bahan di belakang kotak. Setelah pasti yang bahan semua halal dimakan, dia meletakkannya semula ke dalam troli.
Di bahagian makanan basah, Leia mencapai sedozen telur. Telurlah sumber protein yang paling selamat di negara barat ini.
"Abang aku bela ayam kat ladang. Ada telur segar. Lebih segar dari supermarket punya." Debbie mengambil kotak telur dari tangan Leia dan meletakkannya semula ke tempat asal.
Debbie berjalan ke tempat dingin beku pula. Dia mencapai beberapa bungkus filet ikan dan mencampakkannya ke dalam troli.
"Dah cukup, kut?" Debbie menunjuk kepada troli yang separuh penuh.
Leia mengintai ke dalam troli. Macam-macam yang dibeli oleh Debbie. Betulkah Debbie akan masak semua itu? Atau Leia yang kena masak sendiri? Dia memandang Debbie sambil angguk kepala. Suka hati Debbielah. Leia hanya tetamu. Tak boleh banyak songeh.
"Ini aku bayar sendiri." Leia mencapai dua bar coklat Snickers. Coklat itu kegemarannya. Kadang-kadang, dia tidak sempat makan tengah hari. Lebih-lebih lagi kalau waktu di antara kelas amat singkat. Dia lebih mengutamakan waktu yang singkat itu untuk solat zohor. Untuk menggantikan makan tengah hari yang terlepas, Leia makan satu bar coklat Snickers dan satu kotak susu coklat. Itu sudah cukup mengenyangkan. Begitulah kehidupannya sebagai pelajar yang mengejar waktu dan terpaksa berjimat cermat.
Selepas semua barang selamat berada di dalam kereta, Leia mengambil tempat duduk di kerusi penumpang. Dia membuka dompet dan mengeluarkan baki pembelian coklat Snickers yang telah bergumpal dengan resit. Dia mengira. Keningnya berkerut. Dia melicinkan resit dan melihat kepada nombor-nombor yang tertera pada kertas yang masih ada kesan kedut itu. Dia mengira baki sekali lagi. Dengan pantas dia menoleh kepada Debbie yang baru sahaja mahu menghidupkan enjin.
"Aku rasa juruwang salah kira."
Debbie menoleh kepada Leia serentak dengan dia memulas kunci kereta. Di celah-celah deruman enjin, Debbie berkata. "Salah kira yang macam mana?"
"Dia bagi baki lebih."
"Lebih berapa?"
"Satu dolar."
"Mungkin kau yang salah kira." Debbie menggeleng. Satu dolar pun Leia boleh jadi kalut semacam.
Leia mengira sekali lagi. Dan sekali lagi. Sementara itu, Debbie sudah masuk gear untuk mengundurkan kereta keluar dari parkir.
"Betul ni. Terlebih satu dolar."
"Satu dolar aje. Mereka tak akan perasan."
"Tapi satu dolar ini tetap bukan duit aku. Aku kena pulangkan duit ini." Leia menjadi risau apabila kereta Debbie sudah keluar sepenuhnya dari petak parkir.
Debbie menghentikan kereta. Dia memandang Leia yang sedang pamer muka bersalah, muka minta kasihan dan muka panik sekali gus. Debbie menukar gear dan memandu kereta masuk ke petak parkir semula.
Dengan terburu-buru, Leia membuka pintu kereta. Dengan sebelah kaki sudah terjulur keluar, Leia menoleh kepada Debbie.
"Kau tunggu sekejap, ya? Sekejap aje." Tanpa menanti jawapan daripada Debbie, Leia keluar dari kereta dan menutup pintu. Dengan pantas, dia berlari ke arah supermarket.
"Okey. Aku tunggu sini." Debbie menjawab seorang diri. Dia menggeleng melihat susuk tubuh Leia yang sudah masuk ke dalam supermarket. Rakannya itu memang seorang yang jujur. Jangan kata satu dolar, lima puluh sen pun Leia sanggup patah balik untuk pulangkan. Entah apa reaksi Leia kalau dia tahu yang abangnya seorang pencuri profesional.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro