Bab 3
George Kaufman membelek pen Gabenor Wise sambil tersenyum-senyum. Dari air muka Kaufman, Darrel tahu bosnya itu gembira dengan tugasan yang berjaya. Selepas ini, Kaufman akan menjalankan langkah kedua yang telah dirancangkan. Darrel sudah arif benar dengan pelan perniagaan Kaufman yang melibatkan artifak berharga.
"Bagaimana kau masukkan julap dalam kopi pengawal?"
"Aku bayar seorang pelacur. Mudah saja." Darrel menjongket bahu. Dia pasti wanita itu tidak akan ingat rupanya. Kerana ketika dia berurusan dengan wanita itu, Darrel mengenakan jaket yang berhud dan menutup separuh mukanya dengan sapu tangan. Malahan dia juga memakai kaca mata hitam, agar tidak mudah dikenali.
Kaufman ketawa. Dia memandang Darrel dengan kagum. Darrel memang licik dan bijak. Anak muda itu memang sudah dilatih untuk mencuri tanpa menggunakan senjata.
"Pihak muzium dah hubungi aku. Mereka setuju dengan tawaran naik taraf sistem keselamatan." Kaufman ketawa. Sebiji-sebiji tawanya terhambur.
"Hmmm. Dah kena rompak baru nak setuju." Darrel mengerling kepada pen Gabenor Wise yang menjadi pencetus kepada persetujuan muzium untuk naik taraf sistem. Pantas sungguh Kaufman menjalankan langkah kedua.
"Itulah pasal. Dan juga mereka dah upah agen aku untuk cuba dapatkan balik pen Gabenor Wise yang hilang itu." Kaufman ketawa lagi. Pen antik itu dibelek-belek. Siapa sangka, pen lama yang sudah tidak boleh digunakan itu boleh menjadi begitu berharga semata-mata kerana pernah digunakan untuk menandatangani perintah membunuh seseorang.
George Kaufman memiliki sebuah syarikat yang membangunkan sistem keselamatan. Boleh dikatakan hampir kesemua muzium di AS menggunakan sistem keselamatan yang dibekalkan oleh syarikat Kaufman Securities. Selain itu, Kaufman juga memiliki syarikat Kaufman Lost and Found yang menawarkan khidmat mencari barang yang dicuri itu.
Dengan kedua-dua jenis perniagaan ini, Kaufman mudah menjalankan modus operandinya. Setiap kali ada teknologi baharu dalam industri keselamatan, Kaufman akan memasukkan teknologi itu ke dalam sistem keselamatannya. Kemudian, dia akan menawarkan sistem yang sudah dinaik taraf itu kepada pihak muzium. Demi keselamatan artifak-artifak yang tidak ternilai harganya, kebanyakan muzium membayar saja sistem baharu itu tanpa banyak soal.
Namun, ada juga muzium yang berdegil mahu mengekalkan sistem yang ada kerana sudah selesa dengan cara kerja lama. Di sinilah khidmat Darrel sebagai pencuri profesional diperlukan. Darrel akan mencuri sesuatu dari muzium berkenaan. Kerja mencuri menjadi mudah kerana sistem keselamatan Kaufman ada 'pintu belakang' yang boleh dimasuki dengan mudah. Di samping itu, sistem keselamatan Kaufman boleh mematikan sistem penggera dan CCTV supaya Darrel boleh menjalankan misi mencurinya tanpa dapat dikesan. Itulah yang berlaku kepada The National Civil War Museum, kelmarin.
Setelah Darrel mendapatkan barang yang diperlukan, dia menyerahkannya kepada Kaufman untuk disimpan. Pihak muzium akan melaporkan kecurian itu. Juga akan membuat tuntutan insurans. Sudah tentulah pihak insurans akan cuba membuktikan yang kecurian itu adalah kerana kecuaian untuk mengelakkan daripada membayar tuntutan. Mereka akan mengupah agen dari Kaufman Lost and Found.
Sementara barang itu 'dicari', Kaufman Securities akan memaksa pihak muzium supaya menaik taraf sistem sekuriti untuk mengelakkan muzium dicuri lagi. Setelah satu jangka masa yang difikirkan logik, barang curi akan 'dijumpai'. Kaufman akan menyerahkan barang yang dicuri itu. Kononnya, agen upahan dari Kaufman Lost and Found yang telah menjumpai barang curi itu dari pasaran gelap.
Akhirnya, Kaufman mendapat wang dari muzium untuk sistem yang dinaik taraf. Muzium gembira kerana barang curi sudah dijumpai. Muzium juga rasa lebih selamat dengan sistem sekuriti yang lebih canggih. Syarikat insurans gembira kerana tidak perlu membayar tuntutan.
Dan Darrel? Darrel mendapat upah dan juga namanya dipadamkan dari tuduhan mencuri. Tiada bukti pun untuk sabitkan jenayah itu ke atasnya.
Inilah yang Kaufman gelar sebagai win-win situation.
"Ada orang-orang Fisher sabotaj kau semasa tugasan ini?" tanya Kaufman sambil meletakkan pen Gabenor Wise ke meja di hadapannya. Meja mewah yang diperbuat daripada cermin itu membiaskan refleksi artifak itu.
"Tak ada. Kenapa kau tanya?" Darrel mengerut kening. Soalan ini tidak pernah ditanyakan oleh Kaufman. Soalan tentang sabotaj. Selama ini, Darrel tidak pernah mengalami sebarang masalah menjalankan tugasan Kaufman. Dia juga tidak pernah gagal.
"Sejak keluar dari penjara, Fisher sedang membina pengaruhnya."
Kaufman menyandarkan diri ke kerusi sambil menyilang kaki, gaya santai. Namun, jari-jemarinya mengetuk-ngetuk tempat letak tangan. Nampak sangat dia tidak begitu selesa dengan kemunculan Fisher yang mengganggu perniagaannya.
Mendengarkan itu, kening Darrel terjongket. Dia kenal siapa Samuel Fisher. Lelaki yang pendek bertubuh gempal. Jalan pun terkedik-kedik. Masakan Fisher mampu menjadi saingan kepada Kaufman. Masakan Fisher mampu melakukan kerja-kerja mencuri seperti dia. Nak mencelah tempat sempit pun belum tentu perut Fisher boleh lepas.
"Apa yang dia dah curi?"
"Dia belum curi apa-apa lagi. Cuma aku dah dengar berita yang dia sedang rekrut beberapa orang untuk jalankan operasi dia."
Daripada muka terkejut, wajah Darrel berubah. Dia ketawa kecil sebelum menyatakan pendapatnya. "Dia tak akan berjaya."
Kerisauan Kaufman langsung tidak terpujuk dengan keyakinan Darrel itu. Tanda-tanda kebimbangan jelas terpancar pada wajah Kaufman.
"Akan ambil masa untuk dia bina perniagaan sebesar kau, George. Dia hanya penjual barang antik kecil-kecilan. Kalau dia nak buka syarikat yang bersaing dengan kau, siapa yang akan percaya? Dia orang baharu dalam industri ini."
"Aku tak risaukan itu. Memang akan ambil masa yang lama untuk dia naik. Tapi yang aku dengar, dia bukan nak curi terus dari muzium. Tapi dia nak caras aku. Dia nak guna jalan mudah."
Kaufman menggigit hujung kuku ibu jarinya. Di dalam kepalanya asyik memikirkan kehadiran Fisher yang akan menggugat monopoli yang selama ini dipegangnya.
"Dan aku dengar, dia bukan nak tawarkan sistem atau khidmat mencari. Dia nak jual terus di pasaran gelap. Kau cuba bayangkan. Kau yang bersusah payah mencuri sesuatu artifak. Nyawa kau dalam bahaya semasa kau jalankan misi. Tiba-tiba dia rampas dari kau. Dengar saja dah buat darah aku mendidih."
Mendengarkan kata-kata Kaufman itu, Darrel melompat bangun. Dia berjalan mundar-mandir untuk menghilangkan kemarahannya. Sesekali, dia memandang kepada pen Gabenor Wise di atas meja dan terkenang detik cemas ketika dia mencuri pen itu.
"Setakat ini, dia hanya tahu aku jual sistem keselamatan. Dia tak tahu tentang kerja mencuri yang kau orang jalankan." Kaufman merujuk kepada beberapa orang agen seperti Darrel.
"Bagaimana dengan yang lain?" tanya Darrel, mengenangkan bukan dia seorang sahaja yang bekerja sebagai pencuri profesional di bawah syarikat Kaufman. Ada beberapa orang lagi yang pernah lakukan kerja mencuri.
Kaufman mencapai pen Gabenor Wise. Seterusnya, dia bangun dan berjalan menuju ke sebuah potret moyangnya. Potret itu dialih ke tepi mendedahkan satu peti besi yang terletak di dalam dinding. Dia menekan kata laluan peti besi. Pen itu disimpan dan dia menutup peti besi. Seterusnya, dia membetulkan potret moyangnya kepada kedudukan asal.
"Dia akan cuba 'beli' mereka. Tapi setakat ini, dia masih tak mampu menyaingi upah yang aku bayar kepada kau orang semua. Kau tak akan belot, kan Darrel?" Kaufman merenung Darrel.
"Kalau kau curiga pada aku, aku tak rasa kita ada apa-apa lagi nak bincang. Aku balik dulu, George." Darrel sudah bersedia untuk pergi. Dia tidak suka apabila kesetiaannya dipertikai. Lagipun, dia teringatkan Debbie yang sepatutnya dalam perjalanan pulang ke rumah ladang.
Kaufman ketawa melihat lagak merajuk Darrel.
"Ala, aku sengaja duga kau saja. Aku tahu kau tak akan belot. Duduklah dulu. Aku ada satu lagi tugasan."
"Aku kena balik, George. Debbie nak balik bercuti di rumah ladang hari ni."
"Ala! Debbie tu dah besar. Bukan budak kecik. Lagipun, Matilda boleh jaga dia sementara kau tak ada." Kaufman menyebut nama pembantu rumah Darrel, menandakan dia kenal rapat dengan keluarga Darrel. Masakan tidak. Mereka sebangsa dan seagama.
Darrel teragak-agak. Memang Debbie sudah boleh jaga diri sendiri. Memang pembantu rumah mereka akan layan Debbie seperti bos. Tapi, sebenarnya dia tidak mahu Debbie tahu yang dia masih menjalankan misi untuk Kaufman. Debbie, satu-satunya ahli keluarga yang dia ada, melarang dia melibatkan diri dengan Kaufman. Dengan satu keluhan berat, Darrel melabuhkan punggung ke atas kerusi semula.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro