Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

Azalea Huda membiarkan sahaja tingkap kereta terbuka luas. Keadaan di dalam kereta sudah cukup selesa tanpa memasang pendingin udara. Cuma sesekali, Leia terpaksa membetulkan kelepet tudungnya apabila angin menderu-deru masuk. Dia memandang Debbie yang sedang memandu kereta dengan laju. Mentang-mentanglah lebuh raya di hadapan mereka itu lurus dan lengang. Suka hati saja kawannya itu memandu melebihi had laju yang dibenarkan.

Leia membetulkan tudungnya buat kesekian kalinya. Entah apalah yang dikejar oleh Debbie, Leia pun malas mahu tanya. Mereka akan bercuti di rumah keluarga Debbie sahaja. Takkan lari rumah keluarga Debbie itu.

Cuti musim bunga itu, mereka tidak jadi melancong ke tempat peranginan. Buat rugi sahaja kerana cuti hanya seminggu, kata Debbie. Jadi, dia telah mengajak Melanie dan Leia bercuti di rumah keluarganya. Melanie tidak mahu turut serta kerana ladang jagung tidak menarik minatnya. Hanya Leia yang menemani Debbie 'balik kampung'.

Rumah keluarga Debbie terletak dalam lingkungan 3 jam dari kolej mereka. Ia terletak di kawasan prairie di Nebraska, satu negeri di tengah-tengah negara Amerika Syarikat. Menurut Debbie lagi, keluarganya ialah pemilik ladang jagung di situ. Rumah keluarga Debbie itu pun sudah tidak ada sesiapa. Cuma ada abangnya yang mewarisi rumah itu dan juga ladang jagung milik keluarga. Bermakna, keluarga itu tinggal dua beradik itu sahaja. Deborah dan Darrel Hayes.

Muka Leia terasa pijar dipukul angin yang kuat. Akhirnya, dia terpaksa mengalah. Leia menaikkan cermin tingkap sedikit supaya angin tidak terlalu kuat memukul mukanya. Dia menoleh kepada Debbie. Dari tepi ternampak mata Debbie yang berwarna hazel.

"Tak sangka kita boleh jadi kawan, kan? Sampai kau sudi ajak aku cuti kat ladang abang kau," kata Leia sambil memandang Debbie yang sedang mengawal stereng dan menekan minyak. Walaupun lebuh raya itu lengang, namun dia berharap tidak kena saman kerana memandu melebihi had laju.

Leia teringat bagaimana dia berkawan dengan Debbie dan Mel, seterusnya menjadi rakan study group mereka berdua. Leia telah mendapat markah 100% dalam ujian pertama kelas Prof. Sneider. Prof. Sneider telah memuji-muji Leia dan menjadikan Leia pelajar contoh.

Apabila kelas tamat, Debbie menegur Leia dan mengucapkan tahniah. Tanpa berlengah, Debbie terus menyatakan hajat mengajak Leia menjadi sebahagian daripada 'study group' mereka.

"Beginilah, Leia. Biar aku terus terang dengan kau. Kau tahu kan, Mel tu anak dekan kita?" Debbie menjeling kepada Leia sejenak, sebelum matanya kembali fokus kepada lebuh raya yang lurus terbentang di hadapannya.

Leia mengangguk sahaja. Masakan dia tidak tahu Melanie itu anak dekan. Semua orang pun tahu. Melanie tidak pernah menyorokkan hakikat itu. Dean Masterton juga mengakui yang Melanie itu anaknya.

"Kau tak perasan ke, Mel ada kelebihan 'meramal' soalan bonus?" tanya Debbie sambil tersenyum penuh makna. Dia sengaja mengenyitkan mata ketika menyebut perkataan 'meramal'.

Leia faham apa yang tersirat pada soalan Debbie. Masterton suka memberi soalan bonus. Soalan yang tidak ada dalam buku teks. Yang perlu dijawab menggunakan logik. Bolehlah dipanggil soalan KBAT. Dan Melanie selalu mendapat 'soalan bocor' ini daripada ayahnya sebelum peperiksaan. Tapi setakat soalan sahaja. Masterton tidak pernah membocorkan jawapan. Jawapan, anaknya kena cari sendiri.

"Dan kau pula bijak. Aku perlukan Mel untuk dapatkan soalan bocor. Kami perlukan kau untuk carikan jawapan kepada soalan bocor itu." Debbie ketawa terkekek-kekek.

"Mel dapatkan soalan bocor. Aku dapatkan jawapan. Kau dapatkan apa?" perli Leia.

"Aku dapat A." Debbie menjawab pantas.

"Bangganya aku dapat kawan yang licik macam kau." Leia pura-pura sinis. Padahal, sedikit pun dia tidak rasa dipergunakan kerana mereka sama-sama mendapat manfaat.

"Nak hidup, beb." Debbie ketawa lagi dengan perangai kaumnya yang memang terkenal dengan sikap pentingkan diri sendiri itu.

Ladang jagung dan gandum di kiri kanan lebuh raya menarik perhatian Leia. Luasnya ladang jagung dan gandum di kiri kanan lebuh raya itu, saujana mata memandang. Hujungnya kelihatan jauh di kaki langit. Sesekali, ternampak rumah dan silo tempat penyimpanan hasil tanaman di tengah kawasan ladang.

"Abang kau tahu tak yang aku akan bercuti dengan kau?" tanya Leia sambil mengagumi sebuah rumah ladang yang cantik seni binanya.

"Dia tahu aku bawa kawan. Tapi dia tak tahu aku akan bawa kau," kata Debbie teringatkan perbualannya dengan Darrel tempoh hari. Tentu Darrel sangka yang dia akan bawa Melanie kerana Darrel sudah kenal dengan Melanie. Manakala Debbie tidak pernah menceritakan yang dia ada seorang kawan Muslim bernama Azalea Huda.

Walaupun Debbie sering bercerita tentang abangnya, dia tidak pernah menunjukkan gambar Darrel kepada sesiapa. Kata Debbie, abangnya tidak suka bergambar. Sering kali, Leia membayangkan rupa abang Debbie. Tentunya sado kerana abang Debbie seorang peladang. Dan pasti kacak orangnya, sebab Debbie pun boleh tahan cantik. Kacukan Yahudi dan Amerika Syarikatlah katakan.

"Aku tahu apa yang kau risaukan. Kau risau sebab kami beragama Judaism, kan?"

Leia mengangguk.

"Agama Judaism dan Islam tak banyak beza. Kami sembahyang. Puasa. Dan bagi sedekah juga. Makanan kami dipanggil kosher. Lebih kurang sama dengan halal orang Islam. Kami tak makan babi. Kalau nak ikutkan, kosher lebih ketat. Kami tak dibenarkan campur susu dan daging, misalnya. Kami tak dibenarkan makan makanan laut kecuali ikan. Agama kami larang LGBT dan hubungan luar nikah..."

Debbie terhenti kerana teringatkan abangnya, Darrel. Patutkah dia ceritakan tentang Darrel kepada Leia? Dia harap Leia tidak akan terkejut melihat perangai abangnya itu. Dalam satu saat sahaja, dia buat keputusan untuk tidak mendedahkan perangai buruk Darrel.

"Tapi ada aje orang langgar." Debbie terus menutup ayatnya yang tergantung tadi.

Leia hairan kenapa Debbie menutup ayat secara tiba-tiba. Seperti mahu menyembunyikan sesuatu. Dia cuba mengingati perkara yang mana satu yang mungkin menjadi penyebab kepada terhentinya bicara Debbie.

"Mana-mana agama pun macam itu. Ada yang ikut, ada yang langgar. Terpulang kepada iman seseorang. Yang pasti, dosa masing-masing yang tanggung."

"Ha! Itulah lagi persamaan di antara Islam dan agama aku. Agama kita menolak triniti yang dipegang oleh Kristian. Agama kita kata, Tuhan itu satu. Agama kita percaya yang setiap orang memikul dosa masing-masing. Bukan seperti Kristian yang mengatakan dosa mereka semua telah ditanggung oleh Jesus."

"Wah! Kau tahu dari mana semua ni?" Leia menyuarakan rasa kagumnya. Dia seperti tidak percaya, dia sedang berada di dalam kereta dengan kawan yang berlainan agama, tapi sedang membincangkan persamaan agama mereka. Dia sendiri pun bukan tahu sangat tentang agama orang-orang Yahudi.

"Daripada kawan-kawan akulah. Kau ingat kau sorang aje kawan Muslim aku?"

Leia akui, Debbie memang peramah. Dia berkawan dengan semua orang di kampus. Tidak hairanlah sekiranya Debbie ada banyak tempat rujukan.

"Abang aku ada pembantu rumah. Matilda namanya. Nanti aku beritahu Matilda apa yang kau boleh makan dan tak boleh makan. Okey?"

Leia melepaskan nafas lega.

"Cuma aku harap kau tak akan terkejut."

Suara Debbie menarik perhatian Leia semula. Matanya tertumpu kepada Debbie yang sedang memandu.

"Kenapa?"

"Sebab..." Debbie terdiam sejenak, seolah-olah sedang menyusun ayat. Kemudian, dia menyambung.

"Abang aku ni lain sikit. Dia tak macam aku. Dia bukan peladang biasa. Ah! Nanti kau jumpa dia, kau tahulah."

Leia terpinga-pinga. Muka Debbie direnung, menantikan sambungan kepada kata-kata Debbie itu.

"Atau... Mungkin sampai bila-bila pun kau tak akan tahu." Debbie menjongket bahu dan mengatup mulut. Tidak mahu membocorkan apa-apa maklumat tentang abangnya.

Leia masih menunggu sekiranya Debbie akan bercerita dengan lebih lanjut lagi tentang abangnya yang misteri itu. Tapi, Debbie terus sahaja fokus pada pemanduannya. Leia semakin bertambah tertanya-tanya tentang Darrel. Sudahlah gambar abangnya pun, Debbie tidak pernah tunjuk. Kini, Debbie cuba berahsia tentang Darrel pula. Risau pula Leia mahu berjumpa dengan tuan rumah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro