Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 13

Di celah bunyi orang menukang pagar yang rosak dek puting beliung, telinga Darrel menangkap suara perempuan ketawa. Dia kenal sangat suara Debbie ketawa. Tapi tawa seorang lagi itu kedengaran lebih menyerlah. Merdu di telinganya. Dia menoleh ke arah bunyi tawa itu.

Debbie dan Leia sedang ketawa dengan galaknya. Entah apa yang lucu, geram pula Darrel mahu tahu. Debbie tertoleh memandang Leia. Dan Leia sedang tunduk meninjau-ninjau ke dalam bakul yang dijinjingnya. Ketika itu, Leia yang sedang ketawa mengangkat muka dan membalas pandang Debbie di sebelah. Detik itu juga, jantung Darrel berubah rentak. Detak jantungnya bertambah laju melihatkan aksi Leia ketawa. Babak itu bermain bagai filem gerak perlahan di hadapan mata.

Leia menoleh ke hadapan dengan senyum berbaki tawa. Matanya terhenti kepada Darrel yang sedang merenung ke arah mereka. Tawanya mati. Bibir yang menguntum senyum berubah menjadi segaris. Dia melarikan mata jauh ke arah kanan. Berpura-pura memerhati sekumpulan pekerja yang sedang membaiki bumbung rumah Matilda.

"Apa yang seronok sangat ni?" Darrel melangkah merapati Debbie dan Leia. Dia menjongket kening, tanda soal.

"Kami kutip telur." Debbie menunjuk kepada bakul yang dijinjingnya.

"Dapat banyak telur?" Darrel mengintai dalam bakul. Ada 3 butir telur sahaja. Dia mengintai bakul Leia pula. Ada 7 butir.

"Tak banyak yang dapat. Banyak yang pecah. Mungkin ada lubang, angin boleh masuk." Debbie membuat laporan tentang keadaan dalam reban.

"Hmmm... Nanti aku periksa dan baiki."

"Leia kata ayam merajuk sebab ketakutan. Tapi ayam tu dah okey, Leia pujuk. Kau patut tengok macam mana Leia pujuk ayam-ayam itu. Dia boleh buat bunyi dengan lidahnya. Demo sekali lagi, Leia." Dengan terujanya, Debbie memecahkan tembelang Leia. Dia terlupa akan janjinya tidak mahu menceritakan apa yang telah dilakukan oleh Leia ketika menenteramkan ayam-ayam itu. Itulah yang menjadi bahan tawa mereka tadi.

Leia menepuk lengan Debbie dengan geram kerana Debbie sudah lupa akan amarannya tadi. Dia tak akan mengulangi demonstrasi cara memanggil ayam yang nenek dia ajarkan. Depan lelaki itu pula. Memang taklah! Untuk menutup malunya, Leia berpura-pura leka memerhati pekerja ladang membaiki kerosakan. Sambil itu dia harap, janganlah Darrel memanjangkan lagi perkara ayam ketakutan itu.

"Budak pendek ni boleh bercakap dengan ayam? Dia buat chicken dance ke tadi?" Darrel menyakat Leia dengan nada sarkastik. Dia mengepak-ngepakkan tangan gaya senaman chicken dance dengan harapan dapat menarik perhatian Leia. Darrel makin geram apabila Leia tidak mengendahkan kehadirannya.

"Betul ke, Leia?" Kali ini Darrel menyebut nama Leia dengan begitu kuat sekali. Tubuhnya ditunduk dan kepala didekatkan ke telinga Leia. Leia menjauhkan dirinya sedikit.

"Hmmm?" Leia buat muka orang tidak dengar dan tidak faham. Padahal, dia dengar sindiran Darrel tadi.

"Kau buat chicken dance untuk hiburkan ayam ke tadi?" Darrel mengulangi perbuatan mengepak-ngepak tangannya. Kali ini dia memastikan yang Leia memandangnya.

Lelaki ini memang tidak letih membuat provokasi. Mujur Darrel tidak menggelarnya 'ibu ayam'. Sudahlah pagi tadi dia kena gelar 'budak pendek'. Ibu ayam campur budak pendek, tak pasal-pasal dia panggil aku ayam katik pula, gerutu Leia dalam hati.

"Sekarang ini, kau tak ubah seperti ayam." Leia membuat sindiran balas. Dia menjongketkan satu sudut bibir melihat aksi Darrel yang menjengkelkan itu.

Darrel terkedu sebentar sebelum tawanya meletus.

Mujurlah bunyi tayar memasuki jalan batu kerikil menarik perhatian mereka. Darrel menoleh ke arah kenderaan itu. Dia berkerut dahi cuba mengecam pemilik kereta itu.

Seorang wanita berambut kuning keluar dari kereta. Dia memakai baju tidak berlengan dan skirt paras atas lutut yang ketat berwarna merah. Ada reben besar yang terikat di belakang menambahkan lagi tonggek wanita itu apabila melangkah. Wanita itu terkial-kial berjalan di atas rumput dengan kasut stiletto 7 incinya. Cara dia melangkah kelihatan janggal dan melucukan kerana tumit kasutnya asyik terbenam di dalam tanah yang masih basah.

"Darrel..." Wanita itu memanggil dengan nyaring bersama satu alunan manja yang mengada-ada. Akhirnya dalam susah payah, berjaya juga dia sampai ke tempat Darrel berdiri. Dia membetulkan skirtnya yang sudah ternaik sedikit dek langkah yang terkengkang-kengkang sebentar tadi.

"Darrel, sayang!" Tanpa amaran, wanita itu melemparkan dirinya kepada Darrel. Dia memaut leher Darrel. Leia terus berpaling. Tidak sanggup memandang adegan kurang sopan yang seterusnya.

Terbeliak mata Darrel. Biji mata tertala ke sisi. Ke arah Leia dan Debbie. Berkerut-kerut keningnya cuba mengingati nama perempuan yang sedang memeluknya. Dia menolak pinggang Tina.

"Er... Aku sedang berpeluh ni. Nanti rosak pula baju kau yang mahal ini."

Leia terdengar suara Darrel. Dia kembali memandang Darrel dan wanita itu. Ala, berpura-pura suci pula Darrel. Peluh saja, kut. Sebelum ini, entah apa lagi yang mereka berdua pernah kongsi, kutuk Leia dalam hati.

"Ah... Ya tak ya juga." Tina memandang kepada bajunya. Memang ada tompok-tompok peluh Darrel sudah meresap di situ. Tina memandang kepada Leia dan kemudian kepada Debbie.

"Oh hai, Debbie. Kau pun ada di sini?" Tina mengerling kepada Debbie sejenak sebelum dia menumpukan perhatian kepada Darrel semula.

"Hai, Tina." Debbie menjawab sapaan, sengaja menyebut nama Tina agar abangnya boleh ingat siapa Tina. Bukan dia tidak tahu, Darrel selalunya tidak ingat nama siapa yang telah ditidurinya sebelum-sebelum ini.

"Darrel, sayang..." Bergulung huruf 'r' pada perkataan darling yang disebut Tina. Tanpa mengendahkan Debbie, dia terus menyambung.

"Aku dengar ladang kau kena puting beliung. Oh! Dan kau luka. Teruk ke? Kesiannya." Tina mengusap-usap balutan di lengan Darrel.

Leia mencapai tangan Debbie. Kononnya mahu mengajak Debbie masuk rumah. Menyampah pula dia lihat Tina yang seolah-olah mahu membolot keseluruhan Darrel. Macamlah Leia nak sangat pada Darrel.

"Sikit saja, Tina." Darrel menangkap jari-jemari Tina yang sedang mengusap balutan luka di lengannya. Tangan Tina dibawa ke bibir. Sebuah kucupan hangat hinggap di belakang tapak tangan Tina sebagai tanda terima kasih kerana sikap prihatinnya itu. Sambil itu Darrel mengerling kepada Leia. Seperti masih mahu meletakkan kesalahan itu di atas bahu Leia.

"Kenapa kau tak halang puting beliung itu datang ke ladang kau?"

Perut Leia terasa digeletek dengan kata-kata Tina. Dari rasa menyampah, terus berubah menjadi lawak. Kalau Tina ini teman wanita Darrel, teruk betul selera Darrel. 'Dumb blonde' begini pun boleh menjadi pilihan Darrel. Dah terdesak sangat, kut?

Darrel mengerling kepada Leia. Matanya terus merenung bibir Leia yang sedang terketap menahan tawa. Pastinya Leia menganggap dia terdesak kerana pilih Tina. Padahal, bukan dia yang menggoda Tina. Tina yang gatal mahukan dia.

Tanpa meminta diri, Leia terus meninggalkan tempat itu. Dia terpaksa masuk ke rumah dengan kadar segera. Ada benda yang tidak tertahan rasa. Dengan langkah laju-laju seolah-olah ada kecemasan, Leia berjalan menuju ke rumah.

"Biar aku tengokkan dia." Debbie menahan Darrel apabila terlihat yang abangnya seperti kehairanan dengan perangai Leia. Sebelum sempat Darrel memberikan respons, Debbie mengejar Leia.

"Leia! Tunggu aku."

Leia hanya mengangkat tangan sebelah. Tapi langkah diteruskan hinggalah dia sampai di anjung rumah. Apa yang ditahan-tahan terhambur keluar. Dia ketawa berdekah-dekah.

"Tina tu ingat abang kau tu Superman ke? Boleh hentikan puting beliung? Aduhai Debbie, perempuan apa yang abang kau tibai ni?"

"Entahlah. Memalukan!" Debbie tarik muka masam. Memang dia tahu Darrel itu kaki perempuan. Tapi dia rasa sentap juga apabila abangnya menjadi bahan tawa Leia.

Sama-sama mereka memandang Tina dan Darrel. Entah apa yang Darrel cakap, kelihatannya Tina beredar dari situ dengan muka yang tersenyum-senyum. Darrel memberi satu jelingan tajam ke arah Leia dan Debbie. Tahu sangat yang dia telah menjadi bahan tawa.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro