Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 12

Seperti yang Darrel jangkakan, memang ada bilik yang terjejas dek ribut semalam. Tingkap bilik ibu bapa Debbie pecah. Angin telah membawa masuk berbagai-bagai sampah ke dalam bilik. Keadaan bilik pula seperti orang pecah rumah. Selerak dan basah.

Debbie menangis melihatkan keadaan bilik itu. Dia meminta agar Leia meninggalkannya di situ. Dia mahu kemas bilik ibu dan bapanya sendirian, katanya.

Terpaksalah Leia ke dapur. Nampaknya, projek masak bersama sudah bertukar kepada solo. Dia membuka peti ais. Melihat barang-barang di dalamnya. Memang tidak cukup untuk jamu semua pekerja.

Dia melihat barang-barang makanan yang ada di dapur. Terdapat banyak kentang dan bawang. Mungkin dia boleh buat salad kentang dicampur dengan cebisan ikan, Leia membuat menu dalam mindanya.

Leia memandang keluar dari tingkap dapur. Pandangan matanya tertancap ke sebatang pokok yang sedang lebat berbuah. Dia keluar dan merapati pohon itu.

Pokok itu sudah dipangkas daun dan ranting di bahagian bawah. Yang tinggal hanyalah bahagian atas yang merimbun. Pokok itu lebih tinggi daripada Leia. Leia mendongak dan mengamati buah yang terdapat pada pokok itu. Ada yang berwarna hijau. Ada yang berwarna kuning cerah. Ada yang sudah jatuh berselerakan. Dia mencapai sebiji.

"Eh! Ini buah lemon," gumam Leia dengan kuat. Dia mencium buah itu. "Memang sah lemon. Fuh! Buat air lemon, sedap ni."

Leia mendongak. Buah memang lebat. Tapi semuanya tinggi-tinggi. Tak tercapai dek tangan. Dia terfikir, macam seronok saja dapat petik buah lemon terus dari pokoknya. Lalu, dia menjingkit sedikit dengan harapan dapat memetik buah itu.

Alih-alih muncul satu tangan yang menjangkau atas kepalanya. Lengan orang itu bergesel dengan kepalanya. Leia terkejut. Dia memusingkan tubuh dengan pantas. Dia tersilap langkah. Hampir-hampir dia tersembam ke dada seorang lelaki.

Tangan Darrel cepat merangkul pinggang Leia untuk menstabilkannya. Leia mendongak. Ternampakkan Darrel, Leia terus mengundur setapak menjauhkan diri. Dia memandang Darrel dengan mata yang mengecil.

"Jangan. Sentuh. Aku." Sepatah-sepatah Leia hamburkan amarannya dengan gigi yang terketap. Tangannya pula sudah tergenggam-genggam. Suka hati sahaja Darrel mengambil kesempatan ke atas dirinya. Yang Leia pun, leka sangat dengan buah lemon, sehingga tidak sedar bila masa lelaki itu muncul.

Darrel buat muka hairan. Sejenak cuma. Kemudian, dia mengukir senyuman tanda faham dengan situasi itu. Dia dapat agak apa yang bermain dalam minda Leia. Tentulah semua yang buruk-buruk sahaja. Tentulah yang kotor-kotor belaka.

"Aku hanya nak tolong petikkan lemon ini untuk kau."

"Yalah! Tapi tak payahlah pegang-pegang," marah Leia kerana sangkanya Darrel sengaja ambil kesempatan.

"Bila masa aku pegang kau?" Terangkat-angkat tangan Darrel seperti orang naif.

"Tadi, kau peluk pinggang aku," tuduh Leia.

"Aku hanya nak halang kau dari terjatuh dan terpeluk aku." Ada sinar nakal pada mata biru Darrel.

"Ah! Yalah tu." Leia malas mahu melayan alasan Darrel yang sentiasa berlagak tidak bersalah itu.

"Dengar sini. Aku tak nak gaduh dengan kau, okey. Aku ada banyak kerja." Darrel melepaskan satu nafas bosan.

"Kalau banyak kerja, kenapa kau boleh ada kat sini? Bukan ke kau sepatutnya ada kerja kat luar sana?" Leia menuding ke arah hadapan rumah. Darrel melepaskan satu nafas yang berat dan panjang.

"Aku balik rumah untuk ambil kotak bertukang aku. Aku nampak budak terjengkit-jengkit nak petik lemon, tapi tak sampai, sebab dia pendek sangat. Aku datang tolong. Dia terkejut macam aku nak rogol dia ke apa. Aku tolong stabilkan dia aje. Alih-alih, budak pendek itu marah-marah. Tak reti cakap terima kasih pun."

Sindiran yang panjang lebar itu membuatkan Leia semakin jengkel. Tambahan pula Darrel telah membahan ketinggian Leia.

"Jangan gelar aku budak pendek."

"Eh? Terasa pula." Darrel ketawa kecil.

Leia sudah beri satu pandangan seperti mahu bunuh orang. Memanglah di AS ini, dia dianggap pendek. Dia orang Asia. Orang Asia lebih pendek berbanding orang Barat. Tapi kalau di Malaysia, ketinggian Leia itu normal sahaja.

"Aku panggil kau princess, kau tak suka. Aku panggil kau budak pendek, kau marah. Aku panggil kau sayang, boleh?"

"Tak boleh! Nama aku Azalea Huda."

"Darrel!" Satu suara lelaki kedengaran memanggil dari hadapan rumah. Darrel menoleh, padahal bukannya boleh nampak pun siapa gerangan yang berteriak itu.

"Nah! Lemon kau, Cik Azalea Huda." Darrel menghulurkan sebiji lemon itu kepada Leia. Siap dengan gaya tunduk dan kaki yang dibengkokkan gaya persembahan. Leia mencapai lemon itu. Sebelum sempat Leia berkata apa-apa lagi, Darrel segera beredar dari situ.

Leia merasa bersyukur kerana tidak perlulah dia bertekak dengan Darrel yang tidak sudah-sudah mengacau hidupnya.

Leia meletakkan semua buah lemon yang telah dipetiknya di atas meja makan. Dia melepaskan satu keluhan mengah. Penat juga terlompat-lompat sambil memetik 5 biji lemon. Campur dengan 7 biji yang mungkin luruh dek ribut semalam, dia ada sedozen buah lemon. Dia membelek kutipannya itu dengan rasa bangga.

"Amboi! Banyaknya lemon. Kau nak buat apa banyak-banyak macam ni?" tegur Debbie dari belakang Leia.

Leia menoleh. Muka Debbie sudah tidak comot dek air mata. Wajah pun sudah ceria kembali. Leia agak, mungkin Debbie sudah selesai berkemas bilik mendiang ayah dan ibunya.

"Kita buat air lemon. Jamu pekerja kat luar tu." Leia memberikan cadangan.

"Okey. Air lemon, aku tahu buat."

Debbie berjalan ke rak dapur. Dia mengeluarkan pisau dan alat pemerah lemon. Sebentar sahaja satu jag besar air lemon yang berais siap dibancuh. Debbie membawa jag itu ke luar, sementara Leia membawa beberapa biji cawan. Minuman itu diletakkan di atas meja di hadapan rumah.

"Darrel, nak minum air lemon?" teriak Debbie apabila terpandang abangnya yang sedang berjalan ke arah mereka.

Darrel melangkah laju. Dari jauh dia sudah ternampak jag besar itu. Sambil bekerja tadi, dia teringatkan Leia yang memetik buah lemon. Terlintas niat mahu menyuruh Leia bancuh air lemon. Elok sangatlah sudah siap pun air lemonnya.

Semakin Darrel menghampiri, semakin Leia merasa berdebar. Darrel hanya bersinglet. Lengannya yang terdedah, kelihatan berkilat dek peluh. Sambil berjalan, Darrel menanggalkan singlet dan mengesat peluh di leher dan dadanya. Ternampaklah seluar Darrel yang memang sengaja dipakai gaya terlondeh menampakkan pusat.

Sambil melangkah santai, Darrel mencangkuk pula ibu jari di pinggang seluar. Bertambah terlondehlah seluar Darrel sehingga hampir menampakkan ari-ari.

Makin sesak nafas Leia memandangnya. Mujurlah dia teringat perintah Allah agar menundukkan mata. Leia menundukkan pandangannya ke meja, agar tidak terpandangkan aurat Darrel. Tapi kenapa jantungnya berdebar lain macam? Dan kenapa hatinya meronta-ronta mahu melihat lagi keindahan ciptaan Allah itu? Dan mindanya pula mahu mengira berapa packs yang Darrel ada. Mukanya membahang dengan lintasan dalam mindanya itu.

Kau dah gila, Leia! Minda warasnya memarahi nafsu yang sedang berkecamuk. Perasaan ini kalau tidak dikawal akan memalukan diri sendiri. Mata Darrel yang tajam itu pasti akan dapat membaca bahasa tubuh Leia yang sedang menderhaka itu. Mudahlah Darrel mengambil kesempatan ke atas diri Leia kelak, kerana Darrel sudah tahu titik kelemahan Leia.

"Ni siapa buat?" tanya Darrel apabila Debbie menyuakan satu cawan air lemon kepadanya. Darrel menyidai singletnya di atas bahu. Dia menyambut cawan dari tangan adiknya.

"Akulah!" jawab Debbie.

"Berapa biji buah lemon?" tanya Darrel lagi. Leia langsung tidak berkutik. Walaupun dia tahu, soalan itu ditujukan kepadanya.

"Dua belas biji. Kan, Leia?" Debbie menoleh kepada Leia. Leia masih diam. Debbie menyinggul Leia dengan sikunya, memaksa Leia menjawab. Leia mengangguk sahaja tanpa bersuara. Mata masih terpaku pada meja.

"Siapa yang petik?"

Tanpa memandang Darrel sekalipun, Leia dapat agak yang abang Debbie itu sedang menyindirnya. Tentunya Darrel tidak sangka yang dia boleh capai kedudukan lemon yang tinggi-tinggi itu. Leia mengetap bibir dan terus tunduk. Tangannya sibuk menyusun cawan buat kesekian kalinya. Selagi boleh, dia tidak mahu pandang muka Darrel yang sedang mengumpan kemarahannya.

"Leia." Debbie menjawab soalan abangnya. Dia memandang Darrel dan Leia silih berganti. Bagaikan mengesyaki ada sesuatu telah berlaku di antara mereka. Seorang sedang tunduk mengira cawan. Seorang lagi asyik membuat provokasi.

"Oh, patutlah tadi aku ternampak budak pendek terlompat-lompat petik lemon." Darrel ketawa menyindir.

Leia tidak mengangkat muka langsung. Dalam hati dia tertanya-tanya, bila masa Darrel memerhati dia memetik lemon? Bukankah pokok lemon itu berada di belakang dapur dan terlindung oleh rumah? Bila masa Darrel mengintainya? Ini kerja Darrel, rupa-rupanya. Skodeng dia, Leia mencemuh dalam hati.

"Darrel, ingat amaran aku semalam?" Debbie menggeleng perlahan dengan provokasi abangnya. Dia tahu kenapa Darrel berdendam. Pastinya Darrel geram kerana dia tidak berjaya membuatkan Leia menyerahkan tubuh kepadanya.

"Apa? Aku tak cuit pun dia." Darrel mencampakkan singletnya yang basah di tepi meja, betul-betul di hadapan Leia. Memang dia geram. Geram kerana Leia langsung tidak mahu memandang kepadanya.

Leia tersentak. Secara spontan, dia mengangkat muka dan memandang Darrel yang sedang berdiri tidak berbaju itu. Dia pamer muka marah. Apa tidaknya? Bukan dia tidak tahu, Darrel sengaja mahu cari pasal.

"Darrel, sudahlah tu..." Debbie dapat agak apa niat abangnya mencampakkan singlet itu di hadapan Leia. Dia memandang abangnya dan kemudian kepada Leia. Darrel dan Leia sedang beradu panahan mata.

Darrel buat muka polos. Seolah-olah dia tidak ada niat apa-apa. Padahal, memang dia mahu memancing reaksi Leia. Dia lebih suka bertekak daripada berhadapan dengan Leia yang dingin. Sekurang-kurangnya, apabila bertekak, pipi Leia jadi merah, bibir dia jadi merah dan matanya bersinar. Dan suaranya... Oh, sangat mendebarkan dada Darrel.

"Banyak ke kerosakannya?" Sebelum perang besar terjadi, Debbie terus menukar topik.

Kali ini, Darrel melepaskan renungan matanya dari Leia. Dia memandang adiknya pula.

"Ladang tak banyak yang rosak. Tadi, aku periksa guna dron. Anggaran dalam 8 ekar yang ranap. Rumah Joshua, bumbung tercabut. Yang itu, kami dah pasang balik. Silo yang senget, kami dah tolak bagi tegak. Nasib baik tak ada kerosakan mekanikal. Tinggal menara saja kena bina semula."

"Dan jagung tu?" Debbie menala mata ke arah pohon jagung yang rebah dengan akar yang sudah tercabut.

"Terlalu muda untuk diselamatkan. Buang sahaja, atau jadikan makanan kuda."

Mendengarkan itu, Leia rasa ralat. Kalau di kampung, tentu ada kegunaan untuk jagung yang belum tua itu. Boleh buat jagung rebus. Atau bubur jagung. Atau puding jagung. Atau jagung bakar. Kalau masih putik, boleh buat sayur. Pendek kata, berbagai-bagai kegunaan agar tidak membazir.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro